Tuesday, December 22, 2009

Menjelang 2010

Ayat tipikal..."laaaa dah nak masuk tahun baru, cepatnya masa berjalan!"

Ya, 9 hari lagi 2010 akan menjelma. 2009 akan berlalu dengan 1001 kenangan. Mungkin beribu-ribu kenangan yang mampu dikenang otak.

Saya kembali menulis setelah Nov Dis berlalu dengan pelbagai kisah, pengalaman dan kenikmatan hidup dunia. Beberapa kisah menarik perlu dirakam di sini, dijadikan sejarah dalam liku-liku kehidupan untuk dikenang di masa hadapan. Namun, momentum menulis blog agak perlahan. Penulisan akademik menjadi agenda utama menjelang 2010. Doakan kesihatan badan dan minda saya!

Belum terlambat lagi untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 1431 Hijrah buat semua. Semoga kita sentiasa dalam kasih sayang Allah dan berada dalam keimanan yang meningkat dari masa ke semasa.

Wednesday, November 18, 2009

November Disember yang luar biasa

Kebiasaannya penghujung tahun saya dipenuhi aktiviti kekeluargaan. Kami biasanya mengambil peluang cuti sekolah pulang ke Serendah, Sg Sumun Perak, Sg Bogak Parit Buntar dan Sg Acheh Nibong Tebal. Menyelusuri jalanraya beerti mengimbau nostalgia. Sayakan sentimental orangnya. Terlihat pokok besar tepi parit depan rumah arwah abah di Sg Bogak pun sudah mampu membuatkan saya menitiskan air mata. Di situlah kami adik beradik, sepupu sepapat berkumpul bergosip sambil cicah pelam muda dengan sambal kicap campur belacan. Mulalah nak retro ni...

Tetapi 2009 ini, hujung tahun saya agak luar biasa. Sehingga ke detik ini (curi sekejap masa untuk entri baru) sehingga mencecah penghujung 2009, jadual saya hampir setiap hari (kecuali Ahad) sudah dipenuhi aktiviti (tapi malam kena tidur juga, tidurkan ibadah).

Kenduri adik ipar bongsu di Sg Sumun pun, saya tidak dapat turut serta:(

Namun, saya gagahi juga dengan harapan 2009 akan berakhir dengan kepuasan dalam kerjaya sebagai Pensyarah, kerjaya lain juga: isteri kepada suami, mama, anak, kakak, adik, jiran, kawan, sahabat...

Yang pasti ini semua ketentuan Allah. Saya hanya mampu berdoa agar Allah memberi rezeki keimanan,kesihatan dan ekonomi yang baik buat diri ini agar terus bertahan menjalankan tugas sebagai hambaNya di dunia yang penuh ujian.

Tuesday, November 10, 2009

Sama Tak Serupa

Sebagai muslimah, saya fikir saya sudah cuba memenuhi tugas saya mengikut perintahNya. Yang masih cacat di situ di sana di sini adalah kelemahan dan kejahilan diri saya sendiri. Namun, saya masih sangat memerlukan bimbingan dan ajaran mereka yang fasih dalam agama, sebagai memenuhi tuntutan minda dan jiwa yang masih kering dan berdebu. Salah satu caranya ialah melalui 'pengajian' melalui internet.

Saya ikuti penuh minat blog Ustaz Hasrizal, Ustaz Zaharuddin, Ustaz Asri Zainal Abidin dan juga Faisal Tehrani. Secara umum, banyak sungguh maklumat tentang agama yang meliputi pelbagai pendapat dan pandangan aliran-aliran dalam Islam. Mereka menulis berlandaskan Al Quran dan Hadis. Semuanya dapat dicerna otak. Namun, apabila mereka mengangkat pemikiran dan hukum oleh alim ulamak silam dan masa kini, saya terasa ketinggalan: dalam memahami dan mencerna. Apabila mereka mula bercerita tentang usul Fiqh dan kaedah-kaedahnya, saya membaca dengan berhati-hati dan cuba mencernanya dalam otak dan bawa ke hati. Namun, kerana latar belakang yang jauh berbeza dengan mereka, pemahaman saya singkat.

Lalu, apabila Ustaz Dr Asri ditahan JAIS, saya agak terkejut. Melalui pembacaan, gugusan wahabi kurang diterima di Malaysia. Tajuk-tajuk artikel di majalah tidak berpihak kepada gugusan tersebut. Namun, erti wahabi itu sendiri kurang difahami, apabila mereka berkata wahabi itu bahaya, kita terus menerima. Saya juga tidak terkecuali. Lantas, sejurus membaca tulisan Ustaz Hasrizal di lamannya http://saifulislam.com khusus buat Dr Asri, saya memahami sesuatu. Dan saya mengharapkan sesuatu yang terbaik buat kemelut ini.

Islam diturunkan buat semua, semua itu duduknya merata dunia. Merata itu caranya berbeza. Berbeza itu mengundang ilmu pemikiran yang tidak sama walau kitabnya serupa: Al Quran! Itulah kemanisan ilmu, walau berbeza, kita tetap seIslam.

Banyak yang perlu saya gali, namun saya masih kurang berani kerana tidak berguru. Pernah seorang sahabat di sini, mengajak saya 'mengaji' kitab kuning bersama-sama seorang ustaz yang sudah pencen dari UiTMJ. Akibat pertembungan masa, ajakan tersebut tidak dapat saya penuhi. Sebagai jalan alternatif, saya merujuk laman ustaz-ustaz di alam siber. Tidak mengecewakan.

Emel seorang sarjana sains beberapa hari sudah membangkitkan seribu rasa...

"Kita doakan agar 'pertelingkahan' sesama para ulama akan berakhir secepat mungkin. Marilah kita sama-sama kembali kepada Al-Quran. "

Sunday, October 25, 2009

Antara minat dan aurat

Saya di dapur membasuh pinggan mangkuk ketika tv menyiarkan klip video Stacy. Rentaknya sangat rancak.

"Kenapa bah kau berubah, kenapa bah?"

Stacy memang langsing. Tariannya pun ligat dan mantap. Teringat pada tarian Paula Abdul.

Fatihah melongo menonton klip video tersebut.

"Kakak, kenapa dia kurus?" tanya saya.

"Entah", itulah jawapan ringkas kegemaran Fatihah.

"Sebab dia suka menari, jadi kurang lemak. Jom kita menari kak."

Saya segera menyelesaikan basuhan dan cuba mengikut tarian Stacy. Fatihah ketawa besar. Mulutnya ditutup dengan tapak tangan kanan. Begitulah sepatutnya kalau hendak ketawa besar. Bukannya tidak boleh ketawa besar-besar tetapi jangan sampai bunyi ketawa itu terdengar begitu jelas.

"Mama tak malu ke? Nanti jiran belakang nampak?" tanya Fatihah sambil menunding jarinya ke arah pintu dapur yang sedikit terbuka.

Saya lega mendengar pertanyaan Fatihah. Sekurang-kurangnya setakat ini dia faham erti malu. Semoga dia nanti tahu meletakkan malunya di tempat yang betul hingga bila-bila.

Dengan tawaran kemudahan telefon mudah alih, remaja kini kian hilang malunya. Tiada pengecualian kepada remaja IPT. Telefon berkamera sering disalahguna. Kita dikuasai teknologi.

Ada yang menari hanya memakai pakaian dalam sahaja, dirakam dan dikirim kepada tersayang. Ada yang menari berkumpulan, ala-ala cat show, kurang sedikit nak jadi tiger show, dirakam dan ditayang secara rahsia atau rela kepada rakan lain.

Bolehkah kita menari? Boleh tapi menari di kalangan wanita dengan tujuan yang diberkatiNya! Menari tanpa baju? Mungkin saya bukan ahlinya untuk menjawab soalan tersebut tetapi saya suka dengan jawapan di bawah yang ditemui di internet dengan bantuan teknologi

Seluruh tubuh wanita adalah aurat bagi laki-laki yang bukan mahramnya. Ini tentunya sudah jelas. Adapun batasan aurat sesama wanita adalah dari pusat hingga lutut, sebenarnya hal itu berlaku dalam kondisi khusus. Yaitu jika ia berada di rumahnya di tengah-tengah saudara-saudara wanita dan karib kerabat wanitanya. Sedangkan pada dasarnya ia wajib menutup seluruh tubuhnya agar para wanita lainnya tidak mengikuti dan melakukan kebiasaan membuka aurat tersebut. Begitu pula ia wajib menutup anggota-angota tubuh yang menarik di hadapan mahramnya dan wanita-wanita selain keluarganya, agar tidak menjadi bahan pembicaraan disebabkan mereka itu menceritakan bentuk tubuhnya kepada orang lain.

Rasulullah Saw bersabda:
“Janganlah seorang wanita menceritakan seluk beluk wanita lain di hadapan suaminya hingga seolah-olah suaminya itu melihat dengan mata kepala.”


Maksudnya jika ia menampakkan anggota tubuh yang menarik seperti dada, lengan, perut, punggung, bahu, leher dan betisnya maka siapa saja yang melihat pasti akan terlintas dalam fikirannya hal itu.

Biasanya kaum wanita suka menceritakan apa yang mereka lihat dari wanita lain kepada keluarga mereka yang laki-laki atau perempuan. Hal itu tentu saja berbahaya. Oleh sebab itu ia wajib menutup anggota-anggota tubuh yang menarik seperti yang disebutkan di atas meskipun di hadapan mahram dan kaum wanita. Lebih-lebih di tengah keramaian, tempat-tempat pesta, resepsi, rumah sakit, atau sekolah meskipun di sekelilingnya kaum wanita. Kadang kala tanpa sengaja pandangan kaum pria dan remaja awal tertumpu pada mereka-sumber internet

Melalui pembacaan juga, saya mendapati menjadi tradisi wanita Arab berkumpul dan berhibur sehingga mendedahkan anggota tubuh sesama sendiri. Namun, itu tradisi bangsa mereka. Kita bangsa Melayu. Kita tiada tradisi tersebut. Saya fikir tradisi bangsa Arab itu terhasil kerana keadaan sosial negara mereka. Keadaan sosial wanita bangsa Melayu di Malaysia adalah berbeza. Kita berkumpul dalam keadaan lengkap berpakaian. Yang akan dibuka pun hanya tudung yang sehelai itu. Di asrama, kita lebih selesa berseluar panjang dan berTshirt. Ada juga yang memakai short, namun akan dipandang dengan pandangan yang tidak senang oleh rakan seasrama lain. Untuk ke tandas, ada yang berkemban dengan kain batik dan bahunya ditutup dengan sehelai tuala. Andai ada yang bertuala sahaja dan saiz tualanya hanya mentup antara dada dan pangkal peha, hati kita akan berbisik, ish...tak malu, nampak auratnya! Itulah budaya kita. Budaya yang selaras dengan kehendak agama, fikir saya. Tetapi itu senario saya dahulu semasa bersekolah dan di UIA. Saya tidak pasti bagaimana keadaan pelajar sekarang.

Apapun, buat yang suka menari, silakan. Menari boleh mengeluarkan peluh. Namun harus bijak menggunakan otak memikirkan di mana, bila dan bagaimana minat menari itu boleh dilaksanakan dan dirahmati Pencipta.

Saturday, October 24, 2009

Rezeki, nikmat berganda

Memang Allah Maha Pemberi rezeki, cuma cara pemberianNya berbeza: ada yang diberi segera, ada yang diberi cabaran dahulu baru nampak rezekiNya. Jika direnung-renung, rezeki pemberianNya untuk saya banyak yang kategori ke dua. Maksudnya, saya kena berusaha dahulu dan kemudian dapat hasilnya. Dan semasa proses berusaha tersebut, walau menuntut tenaga, masa dan wang ringgit, banyak kebaikan yang saya perolehi dan syukuri.

Awal 2009, Derwina (DD), pensyarah Bahasa Inggeris, menghantar emel menawarkan peluang untuk semua pensyarah menjadi pengajar Bahasa Inggeris secara sukarela di SK Tebing Tinggi, Segamat. Merasakan saya perlu memberi khidmat kepada masyarakat kerana ilmu yang telah diberikan olehNya, saya pula menawarkan diri untuk turut serta dalam projek DD. Projek itu berlangsung selama 9 bulan. Awal Oktober, DD menyuarakan hasratnya untuk menyertai IID, satu pertandingan innovasi dan penyelidikan. Poster dan segala kelengkapan pertandingan disediakan secara berjemaah. Hasilnya, projek kami mendapat medal EMAS.

Sekitar Ogos 2009, PM Dr Ahmad (Penyelaras Kampus UiTM JB) menghubungi saya dari JB. Menawarkan saya sebagai penyelidik untuk projek Permodalan Baitulmal Kebangsaan. Jawapan saya ialah "Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan". Saya perlu merebut peluang berkerjasama dengan seorang ilmuan yang lebih banyak pengalamanya. Maka, puluhan emel singgah menyinggah antara saya dan penyelidik lain dalam kumpulan itu. Kertas kerja diteliti dan pendapat diberi. Dalam bulan puasa, kami ke Putrajaya, bermesyuarat dengan Pengarah JAWHAR. Hasilnya positif. Dan Dr Ahmad juga menyertai pertandingan IID tersebut. Dapat juga medal EMAS.

Akhir tahun 2008, saya dan ahli kumpulan Kategori 1 AKNC, Kepimpinan Kampus ditugaskan untuk mencari bahan bagi membuktikan betapa Pengarah kami telah memperkenalkan konsep kepimpinannya "Pembangunan Insan" yang berteraskan kepada Al-Quran dan Sunnah, dikukuhkan dengan solat berjemaah dan konsep tersebut akhirnya memberi impak positif buat sebahagian besar warga UiTMJ. Sepanjang 2009 sehingga ke bulan Ogos, kami berjaya mengumpulkan maklumat dan membuat laporan. Khamis lepas, Panel Penilai AKNC dari UiTM Shah Alam, semasa membuat ulasan penutup, telah berkata "Saya melihat kepimpinan kampus yang berteraskan kepada pembangunan insan adalah sangat bagus dan wajar dicontohi kampus lain". Ayat tersebut sudah cukup melegakan saya selaku Ketua Penulis (menggantikan Ustazah Che Zuina) dan berdoa ia adalah satu petanda positif.

Sudah lebih kurang 3 tahun saya menjadi Penasihat Kelab Inspirasi. Sudah banyak projek dan aktiviti kami jalankan. Sudah berkali-kali hujung minggu terpaksa dikorbankan untuk Kelab. Banyak kali juga terpaksa hadir kembali ke UiTMJ selepas Isyak, untuk bermesyuarat dengan AJK Kelab. Beberapa kali juga semua anak diangkut sekali dan diarahkan senyap semasa mama sedang mesyuarat. Namun, saya ikhlas. InsyaAllah. Malam Jumaat baru-baru ini, Kelab Inspirasi telah terpilih menjuarai kategori Anugerah Khidmat Masyarakat/Sosial di Malam Anugerah Persatuan/Kelab UiTMJ. Dapat sijil, pen dan baucer wang bernilai RM300.

Empat rezeki tersebut diperolehi melalui cabaran dan usaha. Kalau kita ikhlas, walau tidak diberi rezeki itu pada masa yang singkat, namun lambat laun, Allah akan membalasnya. Just a matter of time. Saya menulis ini semua juga bukan untuk memberi gambaran betapa rajinnya saya tetapi sekadar memberitahu rezeki Allah itu sentiasa ada, namun cara pemberianNya berbeza dan bergantung pula pada kesediaan kita untuk berusaha dan seterusnya bertawakal kembali kepadaNya. La haulawala quwatailla billahil'alil'azim.

Maka, nikmat berganda tersebut tidak dapat lagi dinafikan...Alhamdulillah!

Thursday, October 15, 2009

Bahasa dan Nikmat Membaca

Dua malam menginap di sebuah hotel di JB, dua pagi juga membaca akhbar 'orang putih'. Namun, nikmat pembacaan tidak menyerap masuk ke salur-salur darah yang akan menbangkitkan bermacam perasaan. Bila membaca akhbar 'orang putih', saya tidak berperasaan. Pengecualian diberikan kepada pembacaan artikel akademik atau makalah undang-undang dalam bahasa itu.

Apabila membaca tajuk buku 'Rindu Bau Pohon Tin' karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, jiwa terus rasa bahagia. Saya seakan memahami kerinduan Ustaz pada bumi Jordan yang memberi impak besar pada dirinya. Namun saya tidak dapat menggambarkan bagaimana rupa pohon tin itu kerana Ustaz hanya menyelitkan gambarnya di sisi pohon zaitun. Anak saya Fatihah pun sampai bertanya, pohon Tin tu macammana? Saya jawab, alaaa kakak tak ingat ke pada surah Wattini wazzaitun? Oooo kata kakak, tanpa juga dapat membayangkan rupa sebenar pohon tin.

Begitulah saya, apabila membaca, saya sangat pentingkan rasa kebahagiaan yang terbit hasil keindahan bahasa karangan si penulis. Hasil tulisan Ustaz telah membangkitkan satu lagi impian: saya juga ingin ke Jordan! Saya dapat merasakan kenikmatan mengkaji pemikiran ulama terdahulu, saya lebih mengerti wahabi, saya lebih memahami bangsa Arab. Saya turut ingin merasakan kenikmatan falafil, khubuz, hummus, air ghader, waraq 'inab, saya juga ingin menikmati luasnya pandangan padang pasir dan langit malam tanpa tompokan awan yang melindungi kelipan ribuan bintang...juga ingin menikmati sesi pembelajaran kitab ulama masa silam...

Kerana bahasa yang indah, buku Ustaz dapat saya khatamkan dalam masa 2 hari. Kebetulan pula saya memang amat menggemari buku genre travelog. Apa ye travelog dalam Bahasa Melayu? Bolehkah kita sebut sebagai Catatan Penggembaraan?

Kerana buku yang mempunyai bahasa yang saya senangi, saya menikmati kehidupan ini walau saya masih belum mampu untuk menjadi seorang penulis Travelog...

Saya doakan Ustaz diberi rezeki kesihatan dan buah fikiran yang cemerlang untuk terus menulis kerana erti hidup ialah pada yang memberi ilmunya kepada yang memerlukan.

Serba salah: buat salah, tak buat rasa bersalah

"Salam kak, akak tau tak, jiran cina yang duduk baris tepi rumah akak, belakang rumah Cikgu Deris, mati kena bunuh. Dia dirompak"-sms daripada Cikgu Noraini, jiran hadapan rumah saya.

Berita sedih itu sampai semasa saya dalam perjalanan pulang dari JB ke Segamat. Saya terkejut. Suami Annie, David mesra dengan suami saya dan boleh berbual tentang banyak perkara.

Annie, 46, pemilik syarikat foto pengantin, dibunuh perompak petang semalam. Petang tadi, mayatnya dibawa balik ke rumahnya.

Sebaik tiba di rumah dari JB, saya melawat keluarga mendiang. Sebagai jiran terdekat, saya fikir perlu bagi saya menziarahi keluarga mendiang Annie. Saya disambut keluarga mendiang dengan raut muka yang sedih. Mata saya melilau mencari David. David yang sedang berbual dengan beberapa lelaki Cina, dipanggil ahli keluarganya. David menuju ke arah saya. Mukanya nampak sangat sedih. Dan dia menghulurkan tangan kanannya, ingin bersalaman dengan saya.

Ya Allah, serba salah saya ketika itu. Hendak saya apakan huluran salamnya. Patutkah saya menolak untuk bersalaman. Allah...Jika menolak, banyak pasang mata bukan Islam memandang kami, (hanya saya sahaja yang bertudung dan berbaju kurung di kalangan mereka) apa pula tanggapan mereka terhadap saya. Jika saya meletakkan tangan kanan saya ke dada tanda hormat, apa pula perasaan David yang sedang sedih ketika itu dan sedang menunggu saya menyambut salamnya? Allah...Akhirnya, salamnya saya sambut dengan hujung jemari. Saya rasa sangat bersalah.

Selepas berbual dengan David buat beberapa ketika, saya pulang ke rumah dan menghabiskan bacaan buku terbaharu Ustaz Hasrizal. Jiwa saya terpukul dengan tulisannya...

"Proud to be a Muslim and proud to be known as a Muslim".

Adakah saya telah mencacat celakan identiti saya sebagai seorang wanita Muslim?

Keampunan Allah saya harapkan...

Thursday, October 8, 2009

Lain PADANG, lain belalang...

Tapi Malaysia dan Indonesia hakikatnya negara-negara Kepulauan Melayu yang bertiangkan agama, berlangitkan adat dan berdindingkan budaya. Kita berbahasa Melayu walau dialeknya berbeza.

Mengapa ada di kalangan rakyat yang mesti bermusuh-musuhan sedangkan kita saling memberi dan menerima. Kita menerima tenaga kerja mereka dalam pelbagai bidang. Kekayaan Malaysia dikongsi bersama sama kerana kita yakin ini bumi Allah: siapa berusaha, dia merasa. Kalau merasa tanpa usaha, itu rezeki pemberian Allah yang Maha Pemurah.

Di Padang, kehadiran bantuan kita ditolak segelintir kecil mereka. Khabarnya sudah ada bala tentera yang bersedia memerangi kita dengan buluh runcing tajam. Menurut Arif, rakan Indonesia sesarjana yang sudahpun kini berkerja di salah satu Kementerian di sana, banyak isu kecil yang membentuk satu isu besar dan akhirnya diapikan oleh segolongan orang untuk memerangi kita di sini.

Hakikatnya, walau kita berlainan padang, dipisahkan oleh laut China Selatan, kita mempunyai persamaan dalam banyak perkara. Agama, adat, budaya, bahasa, makanan, pakaian: itu semua sudah menunjukkan betapa kita adalah serumpun. Tentang lagu-lagu atau tarian rakyat, ia boleh diselesaikan secara akademik. Saya sendiri pernah menulis tentang traditional cultural expressions: apakah cara-caranya untuk mengelak perselisihan antara dua negara ini. Saya harus meneliti kembali tulisan tersebut dan kalau diluluskan, bentang di seminar di Indonesia. Namun harus bersedia dengan soalan-soalan hangat atau hangit.

Tentang penderaan ke atas pembantu rumah, bukanlah ingin bersikap bias, namun, sungguh jarang majikan beragama Islam dilaporkan mendera pembantunya.

Mengenai Ambalat, isu perairan dua negara, perlu diselesaikan melalui rundingan dan bukan media.

Manohara pula, ampun Tuanku, hamba tidak pandai berbicara, kerana ini hal rumahtangga, ia rumit lagi rahasia.

Di atas segala persamaan itu, yang paling utama, kita harus kembali mengingati bahawa Allah memerintahkan kita berpaut kepada satu tali iaitu Al-Quran dan selagi kita bernama Islam, kita adalah sahabat. Sahabat tidak akan terputus selagi tidak mempersekutukan Allah dalam setiap tindakan.

Cakap banyak

Semalam semasa melawat Jua yang baru menimang cahaya mata pertama, kami (termasuk Sasai dan Ju) bercakap banyak perkara. Sambil makan biskut raya dan kekacang, kerepek, minum sirap yang sejuk, kami berrrrrrcakap tak berhenti. Bila ada isu isu sensitif, masing-masing memperlahankan nada suara, macamlah ada orang lain yang mendengar.

Saya pula memang sejak kecil pandai dan banyak bercakap. Semasa bersekolah di SMKA SHMS Seremban, saya sering menjadi penglipurlara selepas waktu prep, sebelum mata dilelapkan. Kami bertemankan lampu beranda. Kami akan ramai-ramai duduk di lantai, antara katil. Banyak cerita yang akan diperdengarkan. Kawan-kawan khusyuk mendengar. Hingga betul-betul mengantuk, barulah kami akan beredar ke katil masing-masing. Dan saya yang sememangnya fobia dengan waktu malam di asrama akan membaca buku sehingga tertidur.

Bila di alam universiti pula, bakat bercakap yang ada disalurkan kepada Moot Court Club.

Di alam pekerjaan, akibat bakat bercakap, saya menjadi orang penting dalam Kelab Pensyarah. Maklumlah kolej swasta, banyak kebajikan staf yang dipandang sepi. Keuntungan diutamakan. Sayalah yang bercakap banyak dalam mesyuarat. Saya di'mark'.

Balik kepada cerita asal, selepas menziarahi Jua dan baby baharunya, kami pun pulang ke kampus. Ju ingin melihat-lihat dahulu rumah-rumah staf UiTMJ yang mendominasi Taman tersebut. Kebetulan saya pernah menyewa di situ selama 4 tahun, jadi saya agak pakar tentang ini rumah En Kadir Library, sebelahnya Husni Fasiliti, yang ni pula rumah En Riduan HEP, itu rumah Kak Ida Penawar, ini rumah Din Fasiliti, itu rumah En Halim Kadri.

"En Halim ni, pendiam betul orangnya. Tapi dah berbuah buku dia tulis" komen Ju sewaktu keretanya melalui hadapan rumah En Halim.

"Jadi kita ni kena jadi pendiam la, mungkin banyak buku atau artikel yang boleh kita tulis" balas Sasai.

Saya setuju. Bila banyak bercakap, kita cepat letih. Bila dah letih, kita akan tertidur. Jadi bila masa nak menulis? Itu belum kira dosa yang kita himpun bila banyak bercakap. Pesan Luqmanul Hakim tentang kurangkan bercakap memanglah tidak dapat dinafikan kebenarannya. Bercakap banyak juga boleh membawa kepada mengumpat dan mengeji. Juga membuat fitnah. Umpatan, kejian dan fitnah kemudiannya akan sampai ke telinga-telinga lain dan telinga orang yang diumpat akhirnya. Dendam terbentuk. Persahabatan terlerai.

Kalau saya kurang bercakap selepas ini, janganlah saya dikatakan sombong. Saya cuba untuk kurang bercakap. Tapi tetap ramah. Memberi salam kepada mereka yang berselisih adalah tanda ramah saya.

Monday, September 28, 2009

Biskut Raya Boleh Dibeli

Bermacam jenis, rupa dan rasa biskut raya dihidang buat tetamu di bulan Syawal. Hampir semuanya dibeli. Kalau rajin nak buat sendiri, selalunya biskut raya yang senang: bahan memang sedia ada di dapur dan cara membuatnya tidak renyah.

Tabiat buruk saya bila pergi beraya ialah bertanyakan tuan rumah: Biskut mana yang buat sendiri?

Kalau ada biskut hasil tangan tuan rumah, biskut itulah yang akan dicapai dahulu.

Sekarang orang perempuan memang senang sangat. Biskut raya boleh dibeli atau ditempah sahaja. Tapi itu biskut...

Yang tidak boleh dibeli ialah umur muda dan kesihatan yang baik.

Syawal kali ini, saya sedar satu perkara. Sebelum ini, sedar juga namun kurang insaf. Kunjungan raya ke rumah saudara mara sebelah suami dan sebelah saya membawa pengajaran yang patut dijadikan teladan.

Wak Rukyah, Bibik Mor, Wak Sorip, Mak Ngah, Tok Jang, Tok Teh, Mak Uda adalah antara ibu tunggal berumur lebih 60 tahun. Dahulu, semenjak mengenali mereka sebaik berkahwin atau sejak kecil, mereka ligat mengacau dodol, halwa maskat, menggoreng tempeyek kerepek pisang ubi kayu bertin-tin. Biskut tradisional seperti putu kacang hijau menjadi satu kemestian. Putu ini sangat renyah pembikinannya. Kacang disangai dan dijemur. Adunan mesti ditekan kuat-kuat pada acuan. Biar kejap dan padat. Pagi Syawal pula, meja penuh dengan hidangan tradisional. Sambal goreng, kuah kacang, rendang ayam daging, lontong daun pisang, lemang...semuanya buatan sendiri. Sekarang semuanya sakit lutut, sakit belakang, sakit sendi dan macam-macam keuzuran lagi. Mengharapkan anak-anak di bandar pulang membawa sebekas dua biskut raya yang dibeli. Mereka juga tidak boleh bergerak banyak dan hanya mampu berbicara sekadarnya. Hasilnya meja penuh dengan pelbagai biskut kedai dan berjenis-jenis kacang atau kerepek beli timbang kilo.

Bibik Ro yang baharu sahaja pulih dari sakit kuat, bersuara perlahan meberi pesanan.

"Inilah Ani...masa mudalah kita perlu beribadat sebanyak mungkin. Solat dan puasa sunat antaranya. Solat masa muda lebih baik kerana kesihatan baik. Tulang kuat lagi. Bibik sekarang ini cepat penat..."

Pesanan bibik akan saya ingat dan cuba amalkan. Diusia hujung 30an ini, saya mengharapkan agar keimanan yang ada akan terus bertambah dan tidak berubah kerana usia muda adalah sangat mahal harganya. Moga diberikan rezeki kerajinan dalam beribadat, doa saya selepas solat...

Saturday, September 26, 2009

Singgah-singgah Aidilfitri 2009

Aidilfitri 2009, Nazaria kami mengembara sejauh 2, 428km merentasi Johor, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

8 buah negeri, kami sekeluarga mengunjungi kaum keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Saya patut merakamkan ucapan terima kasih pada suami yang gigih memandu seorang diri. Saya pula adalah seorang co-pilot yang kerap tertidur dari berjaga.

Segamat-Teluk Intan-Bagan Datoh-Bidor-Tanjung Malim-Serendah-Kuala Selangor-Sabak Bernam-Bagan Serai-Seberang Prai-Georgetown-Balik Pulau-Bayan Lepas-Batu Maung-Nibong Tebal-Gerik-Jeli-Kota Baharu-Pasir Tumboh- Pantai Irama Melawi- Bachok-Ketereh-Pulai Chondong-Kuala Terengganu-Jengka 4 Pahang-Muazzam Shah-Segamat.

Kembara Aidilfitri yang mengambil masa 8 hari sememangnya agak meletihkan namun sangat-sangat berpuas hati kerana hubungan yang terputus akibat kejauhan dapat disambung kembali. Setidak-tidaknya anak-anak kami dapat mengetahui susur galur keluarga Haji Ismail Mat dan Haji Abdul Ghafar.

Saya mendoakan seluruh ahli keluarga dan sahabat handai selamat hidup di dunia dan akhirat. Hanya itu doa yang mampu diucapkan.

Hingga ketemu lagi.

Sajak sahabat

Nuza, sahabat semenjak matrik law uia. Sudah lebih 5 tahun tidak bertemu. Telefon pun tidak. Beliau tinggal di Sabak Bernam. Saya mengajak suami membuat kunjungan raya mengejut. Berpandukan ingatan 5 tahun lepas dan bertanya-tanya pada mereka yang setaman dengannya, kami berjaya menjejaki Nuza. Dan ternyata beliau menghargai kunjungan tersebut lalu menukilkan sebuah sajak dalam blognya.

Beliau cikgu Bahasa Inggeris.

should i begin with the beginning
should i start with the ending
but it all will start with your warmth and smile
the treasure i find in you match the magic
that as kid sometimes wish
before they go to sleep
that as adult before facing
a new day to be able to endure the challenge
i have the same hope and pray for you as friend
that your world and my world stays beautiful forever....

a dedication to ani...

Aidilfitri sememangnya bermakna...

Thursday, September 10, 2009

Apabila Kecewa

Saya menerima satu berita yang mengecewakan:(

Dahulu, andai terkecewa, saya akan cepat membuat keputusan lari dari situasi yang menegecewakan itu. Dan selalunya, keputusan tersebut berbaloi, setidak-tidaknya pada diri dan perkembangan kerjaya saya. Saya pernah menjadi Timbalan Presiden sebuah Kelab, akibat terlebih cakap, perkhidmatan saya terjejas. Saya simpan kecewa dalam hati dan merancang lari dari situasi itu. Saya berjaya melarikan diri.

Hari ini, apabila sesuatu mengecewakan harapan dan impian saya, saya masih boleh berfikir dan berfikir dan terus berfikir. Walau jauh di sudut hati, saya nyata kecewa, sedih dan terasa. Saya lebih profesional walau hati tidak begitu senang dan tenang.

Namun, magiknya, dalam keadaan itu saya cuba juga mencari jalan keluar mudah untuk mengatasi kekecewaan itu. Dan saya menjustifikasikan tindakan saya dengan beberapa keadaan lain yang berlegar di sekeliling kehidupan saya.

Itulah saya, seorang manusia lemah yang apabila dikecewakan, akan lari dari kekecewaan tersebut, membina sesuatu yang baru dan mempunyai alasan kukuh untuk melakukannya. Orang lain tiada kena mengena dalam keputusan saya.

Kecewa dan justifikasi atas tindakan lanjut yang lahir dari sebuah kekecewaan...patutkah?

Hanya Allah yang tahu!

Penghujung Ramadan

...dan saya merasakan betapa pantas masa berlari meninggalkan 20 Ramadan...10 Ramadan terakhir, inilah hari yang ditunggu-tunggu oleh hamba-hamba yang berdosa, yang telah bertaubat dan berazam akan terus meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dan dilarang. Juga memohon rahmat dan kasih sayangNya kerana hidup ini hanya untuk DIA dan kepadaNya kita akan kembali...

Penghujung Ramadan
Tunggulah aku
Jangan tinggalkan aku
Dalam keadaan ini
Yang masih tercari-cari
Kenikmatan bermunajat di malam hari

Penghujung Ramadan
Biarkan ku berwuduk
Sepanjang masa
Akan ku peluk
Al Quran rapat ke dada

Penghujung Ramadan
Terasa baharu sahaja kau menyapa
Kini detik perpisahan menghampiri tiba
Kau beredar mengikut aturan yang Esa
Malam yang bening terasa hiba
Terkenang dosa akibat alpa
Apa akan diampuni Dia?
PadaNya ku serah segala
Titisan air mata
Keluhan penuh rahsia
Gambaran jiwa harap kasihMu
Pautan hati pinta cintaMu

Penghujung Ramadan
Kupasti merinduimu
Bila lagi akan ketemu
Biar panjang usiaku
Agar dapat kuhirup manismu
Buat bekalan akhir hayatku

Penghujung Ramadan
Tunggulah aku...

Monday, August 31, 2009

Emak

Emak datang ke Segamat. Untuk menjemput dua cucu anak arwah Kak Long yang telah seminggu berada di sini sempena cuti sekolah. Emak sampai petang semalam. Emak pakai beg tangan baru. Emak juga membawa sebekas kuih cucur badak untuk berbuka.

Saya masak masak lemak cili api ayam, sup tulang, sayur campur dan goreng ikan. Suami nak makan sagu mata ikan yang dicampur air gula merah berserta susu cair. Ditambah murtabak dari Bazar Ramadan.

Ramai-ramai kami berbuka puasa. Emak nampak berselera, nasi ditambah. Selepas berbuka emak solat. Dia nampak keletihan namun sempat juga dia menyambung tugas membasuh pinggan semasa saya bersolat Magrib. Sesudah Isya', emak sudah terbaring atas tilam. Dan tidur lena.

Saya bangun untuk masak sahur pukul 4 pagi. Emak masih nyenyak. Apabila usia meningkat, badan semakin tidak kuat. Emak senang tertidur. Emak kemudiannya terbangun dan melihat saya menyediakan juadah bersahur. Mukanya masih keletihan.

Usia emak menghampiri 60 tahun dan sudah 6 tahun ditinggalkan arwah abah. Beberapa kali 'ditanya' lelaki usia emas, namun emak menolak terus.

Saya di Segamat, emak di Serendah. Mengambil masa lebih 3 jam jika memandu. Pernah beberapa kali saya mempelawa emak untuk tinggal di Segamat. Balasnya, "bila emak dah langsung tak boleh bangun, masa tu nak bawa ke mana pun, bawalah". Saya menjadi anak sulung selepas Kak Long meninggal. Jadi peranan saya agak besar. Pengorbanan juga harus lebih besar. Emak selesa di rumah sendiri. Saya juga selesa di Serendah, rumah yang pernah kami sekeluarga hidup berbahagia sebelum abah dan Kak Long dijemput pulang dalam tahun yang sama, 2003. Namun, saya sudah memiliki rumah di Segamat. Ia seakan menghalang saya dari memohon untuk berpindah ke Shah Alam. Namun, bila memikirkan emak dan keadaan dirinya yang makin lemah, saya perlu berfikir dan memohon pertolongan Allah.

Takkanlah saya perlu menunggu emak sakit terlantar, baru saya membawanya ke Segamat?

Saya masih keliru dan hanya Allah Maha Menentu.

Agama Yang Dipolitikkan

Politik perlu sentuhan agama. Politik akan jadi bersih jika agama didahulukan. Tetapi mempolitikkan agama boleh mengundang padah. Entri ini juga bukanlah berniat politik kerana saya tidak berniat untuk bermain politik tetapi kerana merasakan ia telah mencalari imej mulia agama, saya terpanggil untuk menulis sesuatu tentangnya. Ilmu politik saya amat dengkel. Ilmu agama pun tidak sehebat ustaz ustazah. Saya menulis berdasarkan kefahaman saya mengenai beberapa ayat di dalam Al-Quran. Saya menulis kerana saya tidak mahu melihat agama saya dituduh agama yang melampau.

Tindakan sekumpulan orang Melayu mengarak kepala lembu yang masih berdarah di Shah Alam beberapa hari lalu sebagai satu protes pembinaan kuil Hindu di kawasan perumahan Melayu adalah tindakan berimej agama yang keterlaluan. Dengan berbekalkan maklumat yang diperolehi dari internet (pelbagai versi pastinya) saya lihat ia sebagai satu isu yang boleh menganggu gugat keharmonian kaum di Malaysia. Saya pasti Muruga, pensyarah beragama Hindu di UiTMJ yang berpendidikan dan berhemah tinggi , turut terguris hatinya melihat sesuatu yang dianggap suci dalam agamanya dipersendakan. Muru, ia tidak mewakili sebahagian besar kami. Kami memegang teguh peringatan Allah dalam surah Al-An'aam ayat 108:

"Dan janganlah kamu memaki hamun sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampau batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah kami jadikan setiap ummat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian, kepada Tuhan tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahu kepada mereka apa yang telah mereka kerja."

Malah Al-Quran juga mempunyai surah Al-Baqarah yang bererti sapi atau lembu betina.

Satu persoalan di fikiran saya, bukankah tindakan ini boleh menggugat ketenteraman awam di Malaysia, jadi apakah tindakan pihak berkuasa? Walaupun tindakan ini dilakukan oleh saudara sesama Islam namun saya terpaksa untuk tidak bersetuju. Mempertahankan agama itu wajib, tetapi janganlah sampai mencerminkan keburukan agama kita kembali. Membina kuil di penempatan yang majoritinya Melayu adalah satu isu lain. Saya tidak mahu mengulas tentang isu ini kerana saya bukan ahlinya. Sebagai orang Islam, saya hanya ingin memberitahu rakan bukan Islam, Islam agama suci yang tidak akan menghina agama lain.

Ayat 108 Surah Al An'aam adalah pembuktian tegahan Allah Yang Maha Besar.

Sunday, August 30, 2009

Malaysiaku Merdeka!

Salam Merdeka buat semua

Malaysia sebuah negara Islam yang merdeka.

Kita ada Mahkamah Syariah, walaupun kuasanya terhad, sekurang-kurangnya kita ada walau tidak merdeka sepenuhnya.

Hakim Mahkamah Syariah kita berkelayakan dalam bidang syariah, pastinya, mereka ahli walau kemerdekaan dan keahlian mereka masih dipertikaikan.

Namun kedudukan Mahkamah Syariah kita belum merdeka secara sewajarnya, sekurang-kurangnya merdeka dari pendapat mereka yang bukan ahli.

Makan cempedak bekal cempedak
Pergi ke laut mengail udang
Bertokok tidak meluakkan tidak
Bagai melukut di tepi gantang

Pergi ke dusun berhari-harian
Tanah baru hendak di buka
Macam timun dengan durian
Menggelek luka digelek pun luka

Salam Merdeka...merdekakan juga Mahkamah Syariah!

Daun Pokok Pisang Diambil Orang

Suami menanam dua pokok pisang di tepi jalan berhampiran teratak kami. Daunnya lebat dan berkilat. Namun belum berbuah. Setiap kali berkenderaan melalui tepi jalan tersebut, saya akan berdoa, cepatlah berbuah wahai pokok!

Jumaat lepas, saya agak terkejut kerana mendapati banyakkkk pelepah daun pisang telah dicantas. Pokok pisang kami jadi hampir togel. Namun, disebalik ketogelan itu, kelihatan setandan pisang muda dengan jantungnya.

Saya agak bengang dengan 'sipengambil' daun pisang kami. Namun saya berfikir positif. Mungkin dia mengambilnya untuk tujuan berniaga. Namun, bagaimana dengan hukum menjual sesuatu yang bukan miliknya? Saya segera menghalalkannya.

Suami pun agak berang. Siap suruh tulis memo dekat pokok pisang tersebut. "kalau nak daun pisang, sila ke rumah bernombor..." Saya balas sambil mengusik, "kita laminate ye memo tu, jadi bila hujan tak basah!". Suami kata "'sipengambil' daun pisang tu patut fikir, tentu pokok ini ada tuan punyanya sebab pokok pisang takkan tumbuh sendiri". Saya kata "dia mungkin tak tau pokok tu ada tuan sebab banyak tumbuhan lain dah panjat dan memenuhi pokok pisang kita". Saya kata lagi, "abang pegilah bersihkan tempat tu, barulah orang tahu pokok tu ada tuannya". Dia jawab "puasa ni penatlah pulak".

Dan akhirnya, anak-anak teruna saya tidak mengantuk lepas solat subuh bermain-main di sekitar pokok pisang tersebut sambil membersihkan sekitarnya. Sekarang, dua batang pokok pisang kami nampak macam bertuan!

Suami kata lagi, "lepas Syawal nak tanam lagi anak pokok pisang. Puasa ni tak larat..."

Mereka Yang Beruntung

Subuh 9 Ramadhan

Kebetulan surah Al Mukminun dibaca. Hati sayu mengenangkan adakah diri tergolong dalam golongan mereka yang akan ditempatkan di dalam syurga Firdaus. Terdapat beberapa buah sifat untuk menduduki syurga Firdaus. Melalui pembacaan saya yang terhad, penghuni syurga Firdaus akan dapat melihat Allah! Allahuakbar, Subhanallah, MasyaAllah...

Banyak sungguh gambaran keindahan Syurga dinyatakan dalam Al-Quran, antaranya:

Mereka berehat didalam syurga dengan berteleku di atas pelamin-pelamin (yang berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang bersangatan sejuknya. (Al-Insan: 13)

Ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredhaan yang tinggal kekal di dalam syurga . (Muhammad:15)

Beberapa sifat penghuni Firdaus ialah:

الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;


وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;


وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ

Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);


وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ

Dan mereka yang menjaga kehormatannya, -


إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ

Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela: -


فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاء ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;


وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;


وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;


أُوْلَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ

Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi -

الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.


Air mata mengalir laju mengenangkan diri yang penuh dosa dan kekurangan yang masih belum dapat diperbaiki atas kelemahan diri sendiri.

Adakah saya akan tergolong dalam golongan mereka yang beruntung?

InsyaAllah...

Wednesday, August 19, 2009

Bonus Ramadan

Ramadan bulan bonus kepada umat Islam.

  1. Bonus pahala berpuasa.

  2. Bonus pahala bangun sahur.

  3. Bonus pahala berbuka puasa pada masanya.

  4. Bonus pahala solat sunat Tarawikh

  5. Bonus pahala kurang bercakap (kecuali mengajar)

  6. Bonus pahala tadarus Quran

  7. Bonus pahala zakat fitrah

  8. Bonus pahala berzikir

  9. Bonus pahala sedekah

  10. Bonus pahala sentiasa bersyukur pada Allah yang masih memberi peluang kepada kita untuk sama-sama menerima bonus-bonus di atas.

Kesemuanya telah disedia, terhidang, terserah sahaja kepada iman kita, ingin merebut dan mengambil peluang keemasan tersebut atau tidak. Semoga kesihatan kita di bulan mulia itu akan sentiasa cemerlang, semoga keimanan yang ada makin bercahaya gemilang, semoga ketakwaan menjanjikan tempat kembali yang terbilang.


SALAM RAMADAN AL MUBARAK BUAT SEMUA RAKAN SEISLAM


Tuesday, August 18, 2009

Tudung:Hujah perempuan vs Hujah Al Quran

Hujah perempuan: Tudung? Belum lagi kotttt...Biarlah masa yang menentukan.
Hujah Al Quran: Demi masa…Sesungguhnya manusia kerugian , melainkan yang beriman dan beramal saleh

Hujah perempuan: Belum sampai seru lagi!
Hujah Al Quran: "Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (ini seruan Pencipta kita)

Hujah perempuan: Hati belum terbuka...
Hujah Al Quran:"Kemudian hati kamu menjadi keras setelah itu, dan menjadi seperti batu, atau lebih keras, kerana ada antara batu yang sungai-sungai memancar daripadanya, dan yang lain terpecah supaya air keluar daripadanya, dan yang lain terjatuh dalam ketakutan kepada Allah. Dan Allah tidak lalai daripada apa yang kamu buat."

Hujah penggulungan: Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

Hati lelakinya dicuri lagi

Semalam hampir 40 minit mendengar keluhan seorang sahabat yang sedang diuji. Hati suaminya dicuri gadis berumur 20 tahun. Paginya, berkongsi 'rasa yang entah apa' dengan berita pernikahan ke dua seorang uztaz penuh glamour bersama-sama artis cantik. Beberapa bulan sebelum ini, menjadi penasihat undang-undang kepada seorang rakan yang suaminya juga 'terperangkap' dengan gadis muda belia. Setahun sebelum ini, menjadi pendengar paling setia kepada seorang bekas pelajar yang bersuamikan seorang lelaki mata keranjang. Senang betulkan hati seorang suami dicuri gadis lain.

Seorang isteri yang kebiasaannya dianugerahkan Allah dengan segala sifat taat padamu, setiaku di sini, kaulah segalanya, akan kecewa yang teramat sangat apabila mendapat tahu kebenarannya. Yang menjadi pilihan sekarang ada dua:

  1. Ku kan terus setia walau badai melanda.
  2. Lepaskanku pergi, selamat tinggal selamanya

Pilihan ke dua diambil Maizawati.

Sahabat saya akan berjumpa Dr Fadzillah Kamsah. Juga meminta pandangan saya yang masih belum diuji dengan ujian tersebut (dan moga tidak diberi ujian dalam bentuk itu). Saya berfikir sebelum bersuara.

"Lelaki tetap lelaki. Dan setiap isteri berpotensi untuk menerima ujian sebegitu. Cuma dalam mengatasi ujian tersebut, jangan abaikan perasaan kita. Fikir juga tentang diri kita. Selama ini, selama menjadi isterinya, terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan untuk suami tercinta. Di waktu sebeginilah, kita sibukkan dengan diri kita dengan sesuatu yang kita ingin lakukan dahulu tetapi terhalang. Lakukan ia sekarang. Buatlah Master jika masih berminat untuk belajar. Belajarlah menjahit atau memasak. Sementara suami kita dilanda gelombang cinta ke dua ini, selama itulah perasaan kita menderita...jadi fikirkan tentang diri kita juga."

Saya harap saranan saya boleh melegakan hatinya yang sedang hancur. WaAllahhua'lam.

Saturday, August 15, 2009

Antara realiti dan fantasi

"Mama, boleh ke kita guna pistol ke senapang ke, kita tembak je H1N1 kat udara?" tanya Fahim, 9 tahun, seorang kanak-kanak lelaki yang kaya fantasi.

"Mana boleh, H1N1 tu kecik sangat, kena guna kanta pembesar, kalau kita pakai pistol, nanti tertembak orang!"balas Fatihah, 8 tahun, seorang kanak-kanak perempuan yang sedar akan realiti virus pembunuh itu.

"Alaaa, boringlah kena pakai topeng ni...panas!"keluh Fahim kecewa.

Realitinya, mengikut WHO, seramai 5 juta rakyat Malaysia berisiko tinggi dijangkiti H1N1. Ramai tu! Realitinya ramai orang Melayu yang ampuh tahap kesihatan badan. Realitinya India yang padat penduduknya baru mencatatkan 24 kematian.

Ketika menyelusuri internet baru-baru ini, terbaca satu artikel yang tidaklah dikatakan fantasi namun untuk dikatakan realiti, perlu pembuktian kukuh.

Khabarnya H1N1 adalah virus dari makmal US. Virus ini disebarkan untuk mengurangkan kepadatan penduduk bumi dan kebergantungan kepada ubat-ubatan dari US. Dasar kapitalis, hanya memikirkan keuntungan. Tiada simpati, tiada ehsan.

Setakat mana kebenarannya?

Resepi Internet










Bagi mama-mama yang kurang pandai masak (dan malas) macam saya, resepi diambil dari blog mereka yang pandai memasak (dan rajin). Ada yang menjadi, ada yang tidak. Pernah sekali membuat kek dan ikut betul-betul gramnya tapi hampa. Nak buat kek jadi biskut!

Sempena mood yang baik dua tiga minggu kebelakangan ni (sejak H1N1 sebenarnya) kami kurang makan-makan di luar, jadi saya ambil inisiatif untuk masak-masak. Memang banyak sunguh resepi di blog mereka yang pandai masak, tinggal copy, paste, save dan print.

Dan di atas tu, antara hasil percubaan resepi internet. Tidaklah mengecewakan. Anak-anak pun tumpang seronok.

Sunday, August 9, 2009

Ke Hospital Segamat

Fatihah demam, batuk dan selsema. Fadhli, Farhan dan Fahim batuk-batuk. Saya dan suami bawa mereka ke Klinik Zohar. Di sana bertemu En Hussien dan Puan Hamidah, En Khairul dari Shah Alam pun ada, Zurina datang sekeluarga dan ramai lagi. Saya tiba pukul 8 malam, pukul 9.30 baru selesai. Ada kuman di paru-paru Fatihah. Doktor bagi antibiotik yang paling kuat. Jika tidak kebah dalam masa dua hari, datang kembali, pesan doktor.

Dalam perjalanan pulang, suami telefon rakan motornya yang bekerja sebagai MA di Klinik Kesihatan Segamat. Bercerita dan minta nasihat tentang Fatihah. Dia syorkan ke Wad Kecemasan.

Saya berbelah bahagi. Namun, tidak mahu mengambil risiko dan ingin Fatihah diX-ray, kereta kami menghala ke Hospital Segamat.

Pukul 10 sampai, terus daftar. Ada 6 kanak-kanak dan 4 orang dewasa yang turut demam dan batuk, menunggu giliran.10.30 malam suhu badan Fatihah diambil di satu kawasan khas berhampiran kaunter pendaftaran. 37.3 darjah celcius. Kami diminta menunggu di hadapan bilik no 4. 11.15 malam, Doktor berbangsa Cina memeriksa Fatihah. Saya menceritakan tentang paru-paru Fatihah. Dia kata, kita Xray. Kami ke bilik Xray 11.20 malam. Xray selesai 11.30 malam. Kemudian masuk semula ke bilik 4. Fatihah ok, paru-paru hanya berbunyi sedikit sahaja. Habiskan antibiotik pesan doktor, jangan keluar rumah, tunggu hingga betul-betul sihat.11.40 malam menghala balik ke rumah.

Alhamdulillah, demam Fatihah tidak serius. Ya Allah semoga diberi kesihatan yang baik selepas ini.

Perkhidmatan Hospital Segamat tidak pernah mengecewakan saya. Semoga wabak ini segera berakhir. Ya Allah selamatkanlah semua muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat, kami mengharapkan ehsanMu Ya Allah...

Thursday, August 6, 2009

Purdah dan Jubah

Saya belum pernah berpurdah. Berjubah sesekali ke kampus.

Topeng muka diedarkan oleh MPP UiTMJ semalam. Kami di Bilik Rehat Pensyarah (yang sehingga kini masih belum mempunyai nama) seumpama Doktor. Ada yang mendakwa specialist. MA pun ramai. Pensyarah muda yang masuk ke dalam bilik dianggap pesakit. Pakat-pakat ketawa dalam sedar.

Pagi tadi, semasa memandu masuk melalui pondok pengawal keselamatan, topeng muka turut dipakai oleh mereka yang mengawal lalulintas. Nampaknya, kesedaran bahaya H1N1 telah melanda UiTMJ.

Saya ke gerai Ibu membeli sarapan. Memakai topeng muka. Terserempak dengan dua pelajar lelaki.

Saya: Dah dapat mask?
Mereka: Belum
Saya: Pakailah kalau dapat nanti.
Mereka: Dah ada kes ke?

Bukanlah isu dialog antara saya dan mereka yang saya ingin tuliskan di sini.

Namun, saya mengalami perasaan yang sangat menyenangkan apabila berbual dengan lelaki dengan memakai topeng muka. Rasa diri lebih terhormat, lebih selamat, lebih terjaga, lebih suci.

Mungkin inilah perasaan mereka yang berpurdah. Terutama mereka yang dianugerahkan Allah rupa paras yang cantik menawan.

Jubah pula? Apabila tubuh kita ditutupi potongan kain yang lebar dan longgar, pergerakan menjadi lebih teratur. Samalah seperti baju kurung bagi bangsa Melayu. Kurung melalui pembacaan novel Manikam kalbu, bukanlah hendak mengurung wanita. Namun, bila berbaju kurung, nafsu buruk wanita mampu dikurung.

Saya lihat ada tiga pensyarah wanita anggun UiTMJ kini selesa berjubah hitam. Memang mereka semakin anggun dan kelihatan yakin dengan penampilan sebegitu.

Wednesday, August 5, 2009

Berebut

Maghrib semalam, ketika bersedia menjadi imamah kepada anak-anak, saya minta Along melaungkan azan. Kuat-kuat, pesan saya.

Dia yang masih mamai kerana tertidur, melonglaikan badannya, memprotes dengan bahasa tubuh yang amat difahami. Disikunya Angah di sebelah, isyarat 'ko azanlah Ngah'. Angah menyiku semula, sebagai isyarat balasan, 'ko lah, kan mama suruh ko!'. Alang membisu di sebelah Angah, dalam hati, 'hehehe terselamat hari ni, tak yah azan'. Hati saya jadi panas. Cuba menyabarkan diri. Terfikir-fikir cara memancing minat untuk azan.

"Bila Along azan, semua malaikat mendoakan kesejahteraan Along. Allah pun perhatikan Along. Nabi Muhammad pun bangga dengar Along. Merdu."

Maka, berebut tiga anak lelaki itu melaung azan. Along menyiku Angah. Angah menyiku kembali. Alang pun tidak membisu lagi. Berebut untuk azan.

Dan saya pula, dapat menyelamatkan diri dari marah-marah dalam keyakinan terhadap hikmah azan yang diceritakan itu.

Tuesday, August 4, 2009

Zon Menutup Aurat

Apabila wanita bukan Islam teringin masuk ke dalam masjid, pengurusan masjid akan selalunya meminta wanita berkenaan menutup rambut dengan sehelai tudung.

Tetapi apabila wanita Islam yang enggan bertudung ingin bersolat di masjid, adakah perkara yang sama dikenakan ke atas mereka?

Jika di masjid-masjid besar, peraturan ini dikuatkuasakan oleh pengawal keselamatan yang memang diupah. Jika di masjid-masjid lain yang lebih kecil, yang tiada pengawal, wanita Islam yang enggan bertudung bebas keluar masuk kecuali jika ingin dinikahkan di dalamnya. Itu senario biasakan?

Kenapa perlu double standard?

Di UiTMJ, di pintu masuk tempat jemaah wanita, ada tertampal sehelai kertas A4 dengan tulisan tangan ZON MENUTUP AURAT. Namun, ada jua pelajar yang tidak menghormati arahan tidak rasmi itu.

Kenapa perlu double standard?

Adakah kerana ingin berhemah dan berhikmah dengan mereka yang enggan bertudung?

Persoalan...

Belajar kitab

Seronoknya perasaan belajar cara dulu-dulu. Tapi sakitnya pinggang setelah duduk bersila sekejap, bersimpuh sekejap dari pukul lapan ke 10, dan sambung semula setengah jam selepas itu sehingga hampir pukul satu. Petangnya sebaik sahaja sampai ke rumah, tanpa berlengah, rebahkan badan atas katil...luruskan badan yang melengkung. Dalam hati terpaksa mengakui kelemahan tulang yang makin ketara. Alhamdulillah, pembelajaran berjaya dilangsungkan dan sekali lagi alhamdulillah kerana ada ura-ura siri seterusnya akan dirancang. Terima kasih!


Ustaz Fahmi bersungguh-sungguh menerangkan hadis 40 yang sempurna sanadnya. Oleh kerana kekangan masa, penerangan menjadi terhad namun mencukupi untuk difahami secara umum.


Ada hadis yang menawan hati antara puluhan hadis yang memang sangat menarik. Antaranya hadis tentang telaga kausar di Padang Mahsyar kelak. Diriwayatkan airnya lebih manis dari madu dan mampu menghilangkan dahaga buat tempoh waktu yang sangat lama. Nabi Muhammad saw sendiri yang akan menanti dan merai kehadiran umatnya di tepi telaga tersebut. Kita yang memahami, mengerti betapa sibuknya keadaan di padang Mahsyar. Masing-masing membawa buku amalan dunia. Dicelah kesibukan, rupanya ada seseorang yang sangat istimewa menanti. Aduhai...manisnya saat itu yang bakal dilalui umat yang bertuah. Akhirnya dapat ketemu juga kekasih Allah yang disebut-sebut selalu dalam solat lima waktu dan solat-solat sunat lain.

Bagi yang memahami dan menerima hadis sepenuh hati, gambaran-gambaran tersebut sudah cukup menggetarkan hati dan jiwa. Buat diri yang berdosa, taubat diperbanyakkan dan setiap tindak tanduk dijaga semampu mungkin.

Wahai kekasih Allah, wahai Nabi yang dirindui, terimalah diri ini sebagai tetamumu di tepi Telaga Kausar. Izinkanku menerima seteguk air dalam cangkir hebat dari tanganmu sendiri. Izinkan aku merenung matamu. Izinkan aku menatap wajahmu...Izinkan aku mengikutmu ke syurga.

Saturday, August 1, 2009

Blog suram & Mood masak gemilang

Blog yang suram

Rasanya blog ini perlu pengubahsuaian rupa. Dah terasa bosan apabila terlihat rupa yang sama, suram...

Tapi tak punya cukup masa atau minat mendalam nak explore blogspot dan dapatkan rupa baru yang kena dengan jiwa raga.

Mungkin Arif Rusli boleh bagi tips.

Memasak gemilang

Minggu ni sempena cuti awal semester yang dicepatkan, mood memasak saya agak cemerlang. Bila mengajar 2-4 jam sehari, mood memasak lemah longlai.

Semalam, cuba resepi nasi dagang dan gulai ikan. Menjadi. Jumaat, buat chicken sosej roll. Anak2 suka. Tadi buat blueberry muffin. Walau tak berapa cantik tapi sedap, kata anak2. Beras pulut yang direndam semalaman dikukus dengan santan. Topping durian. Jadilah serimuka durian.

Semua menu diambil dari blog http://hanieliza.blogspot.com/ . Memang berbaloi!

Malam ni, nak menggosok baju anak2. 3 anak lelaki x 5 pasang=15 + 3 helai samping baju Melayu=18+ 3 pieces baju anak perempuan x 5 pasang=33 helai!

3 jam diperlukan....yang ni tak perlu tunggu mood, kalau tunggu jugak, anak2 akan ke sekolah dengan baju yang kusut masai.

Wednesday, July 29, 2009

Lada Hitam & Pantang

Ada orang yang berpantang makan, ada yang pantang nampak, makan.

Saya mungkin kategori kedua. Merasakan diri masih sihat, apa yang dihidang, saya makan.

Hujung minggu lalu, adik saya di JB melahirkan anak lelaki kedua. Emak saya kaya cucu lelaki. Arwah Kak Long meninggalkan 2 anak lelaki, saya 3, Ina di Perlis 1, jadi 8 lelaki kesemuanya. Fatihah satu-satunya cucu perempuan yang nampak macam lelaki, berambut pendek.

Ibu dalam pantang memang banyak pantangnya. Sarapan adik ialah roti, biskut atau nasi panas bersama ikan bilis goreng lada hitam. Tengahari ikan tenggiri kukus lada hitam bersama hirisan halia dan bawang putih. Atau sup ikan haruan lada hitam. Sup sawi campur lada hitam menjadi menu sayur setiap hari.

Pendek kata semuanya mesti ada campuran lada hitam.

Minggu kedua berpantang, barulah boleh makan ayam. Ayam lemak lada hitam. Ayam kukus lada hitam. Ayam goreng lada hitam.

Minggu ketiga mak akan menggulai pula. Kari ikan haruan. Kari ayam. Kari daging.

Sedap pula bila mengenangkan tempoh pantang yang lama, dihidang makanan panas-panas. Bila pulalah giliran saya untuk berpantang selama 2 bulan? Lizi tentu pening kepala!

Satu Islam

Malaysia kini semarak dengan semangat Satu Malaysia. Banyak program dirancang, direncana, disusun, diatur, difikirkan oleh pelbagai agensi. Perlu. Memang penting. Kerana sejak lahir sehingga berumur 12 tahun, tiga kaum terbesar di sini, secara tradisi akan membesarkan anak mengikut kepercayaan yang dianuti dan budaya yang diwarisi.

UiTM juga tentu telah merencanakan sesuatu untuk menyokong wawasan yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia. Namun, melihat kepada majoriti warga UiTM yang beragama Islam, rasanya kita patut ada slogan 'Satu Islam'.

Warga UiTMJ majoritinya pelajar. Majoritinya beragama Islam. Penghayatan agama di kampus ini semakin semarak apabila dipimpin oleh Prof yang berjiwa cekal, tekal dan komited dalam menghidupkan ruh Islam. Namun, adat manusia, yang baik, yang disarankan agama, dikatakan kolot. Apabila HEP menetapkan etika berpakaian di dalam kolej kediaman, terdapat pelajar yang mengeluh dan menzahirkan keluhan mereka di dalam blog. Puluhan remaja lain turut menghina peraturan sedemikian. Hati saya runtun kesedihan melihat kebiadapan komen yang ditinggalkan. Betapalah Islam dan adab berpakaian dilihat sebagai sesuatu yang remeh dan menyusahkan.

Islam untuk semua. Islam cantik dan menarik. Islam bawa kebaikan. Islam mewah ganjaran.

HEP sebagai badan yang berkuasa untuk menentukan hala tuju program anjuran pelajar tentu akan memainkan peranan besar dalam menyemarakkan Satu Islam.

Sekadar cadangan. Masih lagi memperbaiki diri untuk menjadi lebih sempurna di sisiNya.

Friday, July 17, 2009

Kematian = Kelahiran

Saya mengikuti dengan penuh minat perkembangan terbaharu tentang kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor, mendiang Teo.

Kematiannya dikatakan misteri oleh segelintir golongan. Isu ini sedikit sebanyak meredakan isu kematian Michael Jackson yang juga penuh misteri.

Seakan menjadi lumrah, kematian seseorang akan membuka satu lembaran baru bagi kehidupan orang lain. Kematian Michael turut mengaitkan nama-nama lain. Saya yakin, kematian mendiang Teo juga akan mengheret masuk mereka yang berkenaan ke dalam sebuah kehidupan lain. Apapun, biarlah pihak polis yang bijaksana (yang diberi sepenuh kepercayaan) mengadakan siasatan.

Kematian=kelahiran.

Ia satu realiti. Hakikat kematian memang begitu.

Kematian Allahyarham Ammar, pelajar perubatan di Mesir di dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini, membuka kelahiran baru buat rakan-rakan rapatnya. Kebanyakan mereka tersedar bahawa kematian begitu dekat dengan sesiapa sahaja. Kematian Ammar melahirkan semangat cintakan Islam yang semakin mendalam, cintakan jemaah, kasihkan ummah. Kematian Ammar melahirkan kehidupan baru dalam fasa hidup kebanyakan pelajar perubatan Malaysia di bumi Mesir. Subhanallah!

Kematian juga mampu menggugat kehidupan mereka yang lain. Jika melahirkan impak positif, alhamdulillah. Jika negatif, bersedialah menghadapi detik-detik kelahiran sebuah kehidupan yang akan bertukar dalam sekelip mata.

Itu janji Allah, setiap kematian, ada kelahiran.

Yang pasti, kelahiran dunia baru buat roh, dunia akhirat.

Dialog anak-anak lelaki: Sata & Anak

Selepas Maghrib, saya menghantar Along ke tuisyen di Segamat Baru. Anak-anak lain ikut serta. Di dalam kereta, mereka galak berbual. Saya diam, tekun mendengar perbualan anak lelaki yang masih peringkat remaja awal.

Alang: Alang nak masuk kelas komputer la mama.
Along: Tak payah, ko belajar je dengan abah
Angah: Ko belajar dengan Ika(anak jiran). Dia pandai facebook. Dia ramai kawan.
Alang: Ramai kawan? Maknanya dia tak suka kat Alongla..hehehe
Along: Alaaaa, orang pun tak suka dia apaaaa...
Alang: Alang nanti nak kawin orang Terengganu (tiba-tiba cakap pasal kawin!)
Along: Kenapa pulak?
Alang: Alang suka makan sata
Along: Kalau dia tak pandai buat sata?
Alang: Tukarlah orang lain!
Along: Ala, mengada ko ni, sebelum kawin tanyalah dulu dia pandai buat sata ke tak
Alang: Ooooo...
Along: Baik ko kawin dengan orang putih
Alang: Kenapa lak?
Along: Nanti cucu dengan anak ko semua nampak macam orang putih
Alang: Ye ke mama?

Saya hanya tersenyum dan angguk. Perbualan mereka masih suci. Masih bercerita tentang makanan dan kawin tanpa ada apa-apa perasaan malu. Mereka bersikap terbuka dengan saya. Tetapi di depan abah, mereka banyak menyembunyikan perasaan.

Mama: Malam nanti, jangan nak tukar-tukar siaran. Mama nak tengok Nur Kasih!

Ye, tontonlah Nur kasih, antara drama Melayu yang berkualiti( kecuali terlalu banyak babak pelukan erat antara lelaki Melayu dan perempuan Mat Salleh di Sydney)

Thursday, July 16, 2009

Lagi buku baharu

Bila ada seminar, pasti ada pameran buku.

Pecinta buku pasti 'gila' dengan ratusan buku yang kelihatan sangat lazat dan menyelerakan. Bau helaian kertas buku baharu sangat menggoda nafsu.

Saya beli tiga buah buku.

Menjadi Ibu Bapa Genius Berdasarkan Nasihat Luqman al-Hakim
Bidadari Dari Timur
Terapi Solat Tahajud Mukjizat Penyembuh Penyakit.

Dalam beg Seminar ada empat majalah percuma. Saya angkut lagi dua majalah percuma yang dipamerkan dan boleh diambil begitu sahaja.

Saya teringatkan pula pakej istimewa Ujana Ilmu. Three in One. Hujung bulan ini insyAllah.

Dan saya sengaja bertanyakan majalah kegemaran pelajar-pelajar saya semester ini di dalam borang data peribadi yang saya edarkan dalam kelas pertama.

99% menulis:

CLEO
REMAJA

Hmmm..mereka memang remaja moden!

Hanya seorang menulis Al-Islam!

Islam dari pandangan seorang Hindu

Pagi tadi, hari ke dua Seminar Antarabangsa Penyelidikan Undang-Undang Islam di UM.

Seorang Prof Madya beragama Hindu bersemangat membentangkan penyelidikan beliau tentang status agama anak apabila salah seorang pasangan bukan Islam memeluk agama Islam. Beliau nampaknya memahami roh Perlembagaan Persekutuan dalam kebebasan beragama. Namun sudah pastilah beliau cuba sedaya upaya mempertahankan agama asal anak yang lahir daripada sebuah perkahwinan yang dimeterai di bawah kepercayaan Hindu. Pada masa yang sama beliau menghormati pegangan dan keputusan Mahkamah Syariah di dalam isu ini.

Di akhir sesi pembentangan, saya bertanya pandangannya tentang cara alernatif mengatasi isu sensitif ini. Beliau berpendapat isu agama anak patut diselesaikan di Mahkamah Sivil kerana perkahwinan diadakan mengikut kepercayaan asal mereka. Biarlah Hakim Mahkamah Sivil menyelesaikan isu itu. Namun bagi saya isu baru akan timbul. Siapa pula yang akan dilantik menjadi Hakim Bicara? Tidakkah pegangan agama Hakim tersebut akan mempengaruhi keputusannya? Adakah keputusan Hakim tersebut akan mengambil kira kepentingan kanak-kanak atau dibuat mengikut 'the best interest of the child'?

Seorang Mat Salleh bertanya pula tentang andai kedua ibubapa beragama Islam, tetapi anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut tidak pernah mengamalkan Islam dalam hidupnya, bolehlah beliau keluar dari Islam apabila berusia 18 tahun?

Prof Madya beragama Hindu tersebut menjawab ia sudah terang lagi bersuluh kes murtad dan akan diadili di Mahkamah syariah. Beliau turut menerangkan beberapa Artikel dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan isu tesebut.

Prof Madya ini nampaknya amat arif tentang pentadbiran agama Islam di Malaysia. Saya mendoakan agar kefahaman mendalam ini akan menyumbang kepada penyelesaian isu sensitif yang semakin membara,hasil daripada perkembangan dan penerimaan agama Islam oleh bukan Islam.

Segala yang tersurat ada makna tersirat.

Wednesday, July 8, 2009

PPSMI

Wise people once said...

Better late than never.

Monday, July 6, 2009

Kelas dan buku pertama semester baru

Kuliah telah bermula.

Saya sampai ke kelas pukul 7.55 pagi. Tiada seorang pelajar pun sehinggalah ke pukul 8.30. Saya melangkah keluar.

Itulah senario di kelas pertama semester baru ini.

Saya buka emel. Senarai buku bagi bulan Jun tahun ini telah berada di rak-rak Perpustakaan UiTMJ. Berjumlah 1184 keseluruhannya.

Apakah judul buku pertama pilihan saya semester ini? Bukan buku pertama tapi ada 12 buah buku yang menarik perhatian. 9 buku ilmiah dan 3 buku bacaan santai.

1184 tolak 12 buah buku. Ada lagi 1172 lagi buku menanti pengunjung. Jadi apa tunggu lagi..

JOM KITA KE PTDI!!!

Kecil bagi kita, besar bagi mereka

Semester ini, untuk penerangan Akta 174 kepada pelajar baru, saya memasukkan gambar pelajar yang telah menghadiri konvo di Shah Alam dalam persembahan power point. Antaranya mantan Exco Kelab Inspirasi, Amirul dan Aisyah.

Saya hebahkan kepada pelajar baru, betapa bersyukurnya mereka dapat belajar di UiTM Segamat, sebuah syurga ilmu yang nyaman dan segar. Suasana yang sangat kondusif untuk menuntut ilmu. Saya tunjukkan mereka gambar bekas pelajar UiTM Johor yang nampah gah bersarungkan jubah yang berwarna ceria.

"Mereka bukan sahaja berjaya mendapatkan CGPA 3.5 ke atas malah aktif dalam kelab dan persatuan" terang saya memberi semangat.

Rupanya, gambar tersebut telah mengubat kesengsaraan hati seorang pelajar baru. Dia telah berkira-kira untuk berhenti kerana penat dan lelah dengan suasana Minggu Mesra Siswa. Ibunya telah dihubungi untuk datang menjemputnya pulang.Namun, kerana gambar tersebut, semangatnya kembali dan dia akan kekal belajar di sini. Alhamdulillah. Bagaimana saya tahu semua ini?

Pelajar berkenaan rupanya mengenali Amirul. Selesai mendengar ceramah, dia menghubungi Amirul dan berceritakan tentang bagaimana semangatnya yang kendur dan lemah kembali tinggi setelah melihat gambar Amirul berjubah semasa Hari Konvokesyen baru-baru ini.

Gambar yang kecil sahaja sumbangannya dalam penerangan saya malam itu rupanya memberi impak yang besar bagi orang lain...

Buat pelajar semua, bertahanlah...di sebalik rimbunan hutan getah dan kelapa sawit, UiTM Segamat ialah syurga ilmu.

Berakit-rakit ke hulu
Berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu
Bersenang-senang kemudian

Panggilan Kecemasan

2 Julai, saya ke UiTM Shah Alam untuk menghadiri mesyuarat di Fakulti Undang-Undang. 30 hb sebelumnya saya ke Kampus Bandaraya, menerangkan kepada pelajar baru tentang Akta 174. 1 hb Julai, saya bersama 1160 pelajar baru di Kampus Segamat, mengulangi penerangan kepada kumpulan pelajar yang lebih besar. Waktu bersama anak sangat terhad. Dan anak-anak pun seakan mengerti...

Di Fakulti Undang-Undang, 4.30 petang, mesyuarat belum lagi selesai. Tiba-tiba saya terlihat no telefon berkod Johor di skrin hp, yang saya senyapkan deringannya. Rasanya perlu dijawab.

"Mama, mama kena balik Segamat sekarang jugak..." kata Angah di hujung talian. Dia masih belum terfikirkan jarak Shah Alam-Segamat.

"Kenapa Ngah, mama mesyuarat ni". Talian terputus. Saya agak cemas. Dan hp berkelip-kelip lagi.

"Mama, Angah telefon dari sekolah ni, Angah guna duit kawan ni..nanti Mama bagi 30 sen kat Angah tau."

"Yelah,yelah, kenapa Angah suruh Mama balik?"

"Seluar Alang terkoyak kat bahagian zip. Mama kena ambik dia sekarang juga." Talian terputus lagi. Dan berkelip-kelip lagi.

"Mama, besar koyaknya, macammana ni Mama? Alang malu..." suara Angah agak cemas.

"ok,ok,ok, sekarang suruh Alang keluarkan baju dari seluar, nanti taklah nampak sangat."

"Ok mama, bye" suara Angah gembira.

Saya tiba di rumah pukul 9.30 malam. Alang dan Angah, sipenyelamat telah tidur. Dan saya cari seluar Alang dalam bakul.

Ohhhhh memang koyak yang sangat besar. patutlah dia malu besar dan buat panggilan kecemasan. Alang pun tidak pernah mahu memakai seluar kecil!

Friday, June 26, 2009

Doa

26 tahun yang lalu, saya mendesak arwah abah membeli kaset (arwah?) Michael Jackson. Saya sedang angau lagu Beat It dan Billy Jean ketika itu. Selama beberapa minggu saya desak dan akhirnya kaset itu kepunyaan saya. Sayalah antara penyumbang 50 juta kaset yang terjual seluruh dunia pada masa itu. Original bukan cetak rompak!

Dan lagu Inggeris adalah antara penambah vocabulary dan kelancaran berbahasa saya, bukannya Matematik atau Sains.

Pemergian Mikaeel mengundang perdebatan di internet. Khususnya apabila abangnya menyebut "May Allah be with you always Mikaeel". Ramai yang menyatakan ucapan itu sungguh biadap. Dan ada juga yang berkata tidak sepatutnya Muslim mendoakan seorang Non Muslim. Dan andainya Mikaeel adalah rakyat Malaysia, jenuhlah Jabatan Agama ber'perang' di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah mengenai pengebumiannya. Tapi hasil bedah siasat belum lagi diperolehi jadi isu pengebumian Mikaeel di sana belum muncul.

Namun, ramai pula yang mempertahankan tindakan abang penyanyi popular itu dan disokong dengan puluhan artikel mengenai keindahan Islam. Tidak salah mendoakan Non Muslim terutamanya ahli keluarga sendiri. Islam itu mudah. Sesuatu yang tidak melanggar akidah, ada kelonggarannya. Doa datang dari hati yang tersentuh. Kematian menyedihkan. Lahirlah keluhan yang mengharapkan kasih Allah.

Doa saya moga Mikaeel pergi dalam keadaan beriman pada Allah. Hanya Allah yang tahu!

Thursday, June 25, 2009

Perempuan senang tertipu

Sebab tu Malaysia ada lagu Tipah tertipu...tipah tertipu lagi

Entri saya sebelum ini berkenaan emel Richard, my new friend from London, yang sanggup menyerahkan huge enormous unbelievable funds kepada saya tanpa sebab sebab yang konkrit. Dan saya katakan lagi tentu penerima emel tersebut kebanyakkannya wanita. Atau mungkin juga sebab wanita memang ramai di Malaysia, dan bila si Richard hantar emel terus terperasan kehebatan diri sebagai wanita Malaysia terakhir dan menghubungi Richard dengan harapan bukan sahaja dapat funds tetapi dapat fun berkawan dengan Richard yang mungkin ada iras-iras Richard Gere.

Semalam, mailbox formal uitm saya menerima kunjungan emel dari rakan rakan se UiTM seluruh Malaysia yang menjanjikan pulangan lumayan dari BILL GATES, sekali lagi saya taip BILL GATES sekiranya saya forward emel tersebut kepada orang lain pula.

Saya hanya mampu menggeleng kepala awalnya tetapi bila lihat ada testimoni dari mereka yang berpangkat dalam Jabatan kerajaan, hati sedikit kacau, betul ke? Namun bila baca jumlah wang yang telah dipindahkan oleh BILL GATES kepada beberapa penama, gelengan saya makin laju...sangat tidak logik oleh akal saya. Begitu murahnya hati Uncle Bill...

Dan yang menariknya, kebanyakkan yang forward emel itu kepada seluruh warga kerja UiTM ialah perempuan...

Kes bawa dadah dalam beg perempuan, kes kena rogol kawan baru juga perempuan(pastinyalah), kes percaya pada bomoh yang boleh jadikan muka seindah purnama juga perempuan...

Perempuan memang senang kena tipu? Mungkin faktor biologi turut memainkan peranan...

Ps: Arif, boleh beritahu saya bgmn awak dapat rm50 dengan berblog?

Tuesday, June 23, 2009

Kawan baru?

Am sending you this email through the internet with reservations, basically because you may perceive my intentions wrongly. The issue I want to unravel to you is a very classified and sensitive one. It may be very difficult for you to comprehend, but it certainly is the truth. It involves huge funds that I want you to receive on my behalf. On your response via my email
address: (richardsnowdenesq107@hotmail.com) I will send you the details and more information about myself and the funds.

Regards.
Richard Snowden.
Erskine Chambers
33 Chancery Lane
London
WC2A 1EN
Phone: +44 704 571 7905


PAGI INI, SAYA DAPAT EMEL SEPERTI DI ATAS, KAWAN BARU DARI LONDON LAGI...MUNGKIN SAUDARA BAU-BAU PERIA DENGAN SAYA. BAIKNYA HATI DIA. NAK SERAHKAN HUGE FUNDS MACAM TU JE PADA SAYA. ADAKAH PEREMPUAN LAIN DI MALAYSIA DAPAT EMEL SEPERTI DI ATAS? GENDER DECEIT? MUNGKIN HANYA PEREMPUAN YANG BOLEH TERMAKAN EMEL SEPERTI INI. TETAPIIIIII AWAS BAHAYA!!!!!!

JANGAN DILAYAN EMEL INI!!!!!!!

Monday, June 22, 2009

Berpadu demi Ummah?

Teruskan wahai encik-encik semua. Demi kelangsungan ummah.

Dan setelah berpadu, bentuklah satu jawatankuasa yang arif dan pakar tentang pembasmian masalah sosial dalam kalangan ummah. Dan janganlah dipedulikan hina dusta kakak-kakak kita tu yang tidak habis-habis berjuang atas dasar kesamarataan. Dan fikirkan tentang penguatkuasaan hukum syarak yang sering dipersenda. Dan perjuangkanlah hak perlembagaan yang diiktiraf dalam Artikel 11 dan 153...

Duduklah bersama-sama wahai encik-encik semua, bersatulah demi ummah Muhammad s.a.w!

22 Jun

Pada tarikh ini, 37 tahun yang lalu, anak ke 2 Allahyarham Haji Ismail Mat dilahirkan di sebuah rumah kampung di tepi sawah yang menghijau di Sg Acheh Nibong Tebal Seberang Prai Selatan. Semalam, suami bersusah payah balik dari JB bagi meraikannya. Anak-anak rupanya sedang menggoreng telur diketuai oleh Chef Along. Buat penambah lauk yang sedia ada. Semua kenyang ketika abah sampai. Mama mereka sedang solat.

Pukul 11.30 malam, ketika anak-anak tidur, kami keluar makan(sahur) di gerai berdekatan. Abang belanja, katanya. Saya yang berselera melayu pesan nasi paprik. Suami, mee hailam. RM10.50. Suami belanja makan, saya bayar, sempena Hari Bapa.

Fatihah tidak sihat. Dan anak-anak tidak bersekolah hari ini. Ada acara di sekolah. 22 Jun saya isi dengan mengajar Angah mengaji dan ajar Kakak bahagi. Along buat latihan Matematik. Alang katanya nak buat kad buat mama, tetapi sehingga ke detik ini, kad tak kunjung tiba...Puasa membuatkan saya banyak membaca...membaca...membaca..zzzz...Sebentar tadi ketika berbuka puasa, filem Panglima Bujang Lapuk ditayang. Sudah lama rasanya saya tidak ketawa besar dengan lawak melayu. Tapi yang ini, rasa nak tersembur air kopi suam yang dihirup.

Cikgu: Yang ini huruf apa?
P.Ramlee: mmmm....
Cikgu: Huruf ini ada ekor, ada mata satu
P.Ramlee: Mambang tanah!!!
Cikgu: Bukan mambang tanah, tapi jin
P.Ramlee: Jin dengan mambang tanah, dah dekatlah tu...

Yang ini pula...

Bapa Cikgu: Aziz, cuba bacakan apa yang aku sebut tadi
Aziz: Hai Mambang tanah, mambang kurus, mambang gemuk, mambang panjang, mambang pendek, mambang bujur...
Bapa Cikgu: Hah! Cuba lihat apa yang kau tulis(gambar kartun)...apa ni???
Aziz: Ini short hand...
Bapa Cikgu: Jadi apa yang kau baca tadi?
Aziz: Saya tulis short hand, saya baca long hand...

Banyak lagi lawak yang menjadi...tak perlu double meaning macam Raja Lawak...

Esok, semoga lebih cemerlang buat saya dan anak-anak.

Friday, June 19, 2009

Berkat Jumaat

Dua tahun yang lepas, setiap Jumaat, Unit Agama mengadakan Tazkirah Jumaat. Ustaz Ustazah CITU dijemput, terkadang dari Pejabat Agama Daerah Segamat dan selalu juga Ustaz Saud yang telah bersara. Emel pemberitahuan slot Jumaat tersebut dihantar kepada kami dengan begitu kreatif sekali. Cantik, berbunga-bunga dengan kalikatur kartun yang bergerak-gerak, cepat menangkap mata. Itu kerja Ustaz Shafie, kalau tak silap saya. Bagi saya yang memang senang terlupa dan kadang-kadang sengaja lupa, tazkirah mampu menggerakkan hati untuk segera bertaubat.

Namun, selepas beliau berpindah, tiada lagi slot tersebut. Mungkin atas kealpaan saya, wujud slot-slot seumpama namun saya tidak menyedarinya. Mungkin.

Sebentar tadi, Unit Agama kembali mengadakan slot Jumaat tetapi bukan tazkirah. Ia dikenali sebagai Kelas Tajwid dan Tahsin Al-Quran. Alhamdulillah, setelah sekian lama berhenti belajar dengan Ustazah Kalthom yang telah berpindah ke Melaka, kini kembali kelas yang dinanti-nanti. Ustazah Siti Fatimah yang sungguh cantik dan bersuara tegas menjadi pembimbing. Sesekali dicelah Ustaz Azrul.

Alhamdulillah, kini saya ada pembimbing bertauliah. Begitu juga dengan 29 rakan sekerja yang lain. Teringat semasa di SMKASHMS, ketika kelas Tajwid, saya belajar dalam keadaan takut kerana ustaz yang mengajar amat garang. Banyak ilmu yang terbang begitu sahaja. Dan kini dalam keadaan tenang, saya boleh menghayati kerana ustazahnya muda dari saya...dan alhamdulillah, budaya membaca Al-Quran di UiTMJ insyAllah dapat disemarakkan melalui kelas ini.

Moga Allah memberkati warga UiTMJ.

Thursday, June 18, 2009

Dialog bila Pembantu Rumah Dapat Cuti dan Paspot

Majikan: Bibik, esok masak nasi lemak ye
Pembantu Rumah: Ibu, esok hari Ahad, saya cuti
Majikan: Jadi saya kena masak le
Pembantu Rumah: Ya Bu dan saya akan makan
Majikan: Pergilah keluar berjalan-jalan
Pembantu Rumah: Segamat apa yang menarik ya Bu?
Majikan: Giant, Upwell, Nirwana, Billion
Pembantu Rumah: Ibu hantarkan ye
Majikan: Jadi saya jadi pemandulah?
Pembantu Rumah: Terpaksa Bu dan jangan lupa jemput pulang ya
Majikan: Jangan berpeleseran di sana
Pembantu Rumah: Saya ngak jahat, nakal aja dan satu lagi Bu, paspot saya?
Majikan: Jangan lari pulak bila dah pegang paspot!!!
Pembantu Rumah: Ke Segamat pun Ibu hantarin...

Ohhhh beginilah agaknya dialog rasional yang akan terhasil antara dua golongan di atas bila tiba detik itu.

Pendapat saya yang pernah menggunakan perkhidmatan Bibik, susahnya kalau ia dikuatkuasa!

Tuesday, June 16, 2009

Derita Yang Hidup

Sekitar Mac hingga Julai 9 tahun yang lepas, saya namakan Travelog Sedih Sebuah Kehidupan. Dua kali seminggu saya berulang alik Segamat- Serendah bersama 4 orang anak yang masih kecil. Sekitar 5 bulan itulah, arwah Kak Long pergi selama-lamanya dan meninggalkan dua orang anak lelaki yang masih kecil. Yang tua berumur 5 tahun, yang kecil 6 bulan. Kami bersengkang mata menjaga keduanya pada waktu malam. Yang tua sudah mengerti. Namun kesedihannya sangat kami fahami. Yang kecil, Umar seakan memahami ketiadaan ummi lalu merengek menangis setiap malam. Abang Long masih terkejut dengan kematian Kak Long yang terlalu pantas. Dia tidak berdaya. Kamilah sandarannya.

Arwah abah mula sakit seminggu setelah Kak Long meninggal. Kami sangka dia rindukan Kak Long. Rupanya kansernya telah merebak. Umar diserahkan kepada opah, emak abang long. Kasihan Umar...Tiga bulan abah terlantar di Hospital Selayang. Akhirnya, Julai hadir menamatkan kisah sedih abah.

Kami yang hidup menderita. Mak paling terasa. Selama setahun kami betul-betul menderita dengan kenangan bersama mereka. Kenangan menjadi teman tidur. Hanya selepas setahun, kehidupan terasa kembali tenang. Tenang yang kurang kenikmatannya.

Buat Jaja, kembalinya Ijam kepada Pencipta sudah tertulis. Kita terima dan kita redha. Kita tabah namun selalu kalah dengan kenangan bersama mereka yang telah tiada...

Itulah derita buat yang masih hidup.

Kembali berjuang

Hidup ini perjuangan.

Semasa bercuti, perjuangan seharian agak ringan. Tidak perlu mengadap komputer. Perjuangan mengemas rumah, mencuci karpet mak, memasak, membawa mak berjalan-jalan menziarahi saudara mara, membeli barang dapur dilaksanakan dengan hati yang gembira. Selebihnya menonton tv.

Sekembali dari percutian yang menyenangkan, perjuangan di pejabat kembali dilangsungkan. Walaupun ia tugas rutin namun setiap tugas ada perspektif yang berbeza. Juga menuntut perasaan yang pelbagai rasa. Ada yang dilaksanakan dengan gembira, terkadang terasa tekanan yang menyesakkan nafas, selalunya dengan nada serius, dahi berkerut berfikir, berfikir dan berfikir....

Dan entri pertama selepas cuti hanya dapat dirakamkan hari ini, Selasa, bukan Isnin kerana semua maklum tentang Monday blues...

Hidup perlu diteruskan, perjuangan masih panjang...

Ya Allah, berilah kesihatan dan akal fikiran yang cemerlang buat wanita ini.

Friday, May 29, 2009

Bercuti

Saya akan bercutiiiiiiiiiii

Inilah cuti pertama saya pada tahun ini, sempena cuti sekolah yang panjang, saya ambil kesempatan untuk meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak di rumah.

Inilah masanya merehatkan seluruh jiwa raga dari memikirkan hal-hal pejabat (betul ke dapat rehat?). Tapi hakikatnya tidaklah seluruh jiwa raga kerana setiap malam, andai berkesempatan, lap top akan dibuka dan folder-folder subjek/penulisan (akademik dan kreatif) akan dikemaskini.

Rehat yang dimaksudkan ialah tidak perlu menggosok baju sekolah anak-anak, tidak perlu memandu dari rumah ke pejabat, tidak perlu menunggu lampu merah selama 99 saat, tidak perlu punch in dan out, tidak perlu pening kepala fikir apa nak masak malam ni dalam keadaan diri yang penat...

Dan nampaknya blog ini tidak perlu dikunjungi selalu (oleh Mirul, Arif, Huda dan beberapa kerat lagi) kerana Puan ini akan jarang-jarang update blognya.

Selamat bercuti juga kepada rakan-rakan setugas, semoga kita dapat berjumpa lagi di UiTMJ tercinta dengan semangat baru...

Tuesday, May 26, 2009

Pengacara

Temubual seorang pengacara Nasi Lemak Kopi O di TV9 dengan seorang kanak-kanak berumur 10 tahun Sabtu lepas.

Pengacara : Apa perasaan adik jika tidak dapat bermain piano dalam sehari?

Adik : Rasa sedih...

Pengacara : Kenapa sedih?

Adik : Hmmm...sebab tak dapat main piano...

Bukan mudah kerja mengacara. Terutama siaran secara langsung. Kreativiti dan buah fikiran yang bernas menjadi penentu yang menarik hati untuk menonton.

Di Dewan Sri Temenggung UiTMJ minggu sudah...

Pengacara wanita : Hmm..nampaknya Hafiz, acara kita sudah sampai ke penghujung

Pengacara lelaki : Eh...masih ada 4 persembahan nasyid lagilah Efa..

Empat persembahan lagi, belum penghujung namanya. Empat darab dua lagu jadi lapan. Masih panjang perjalanan acaranya...

Dan saya meminati Nurul Syuhadah Nurul Ain TV3.

Cerai atau tidak?

Berita terbaharu yang semakin panas sekarang tentulah kisah isteri Ustaz Akhil Hayy. Cantik orangnya. Namun bak kata Nisah Haron setiap wanita Muslim berpotensi untuk dimadukan. Wanita manalah yang seronok mempunyai madu... Kalau benar ada, tentu bilangannya sedikit sahaja. Pengalaman saya menyaksikan saudara terdekat bermadu, hmmm memang berat. Hanya kaum Hawa sahaja yang mengerti apa yang berat itu. Terkadang tidak tertanggung jiwa raga.

Namun, senang sangatkah proses meminta cerai kerana tidak dapat menerima hakikat akan dimadukan? C.E.R.A.I memang mudah dilafazkan namun tidak mudah urusannya. Paling terkesan ialah hak anak-anak kemudiannya.

Saya fikir tentu isteri Ustaz Rock kita tu sudah tiada jalan penyelesaian sehingga terpaksa menebalkan muka, ditonton seluruh rakyat Malaysia dan membuat pengakuan telah memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Syariah. Sebagai seorang isteri, tentu kita cukup tersentuh menonton dan menghayati ceritanya, namun kita tidak dapat membuat penghakiman awal kerana hanya sebelah pihak sahaja yang bercerita, sebelah pihak lagi membisu seribu bahasa.

Sesudah penceraian, adakah setiap bekas suami akan patuh kepada arahan Mahkamah tentang nafkah anak-anak terutamanya? Sakit demam anak? Peningkatan atau penurunan prestasi anak dalam pelajaran? Adakah terjamin itu semua akan sama-sama ditanggung oleh ibubapa yang tidak lagi tinggal serumah?

Bagaimana dengan mental dan perasaan anak-anak? Dapatkah pemantauan dibuat sekerap mungkin oleh kedua lelaki dan wanita yang sudah hilang rasa kasih sayang?

Senario cerai sekarang amat membimbangkan. Kanak-kanak yang tidak mendapat perhatian dari ibubapa mungkin akan menghadapi masalah dari beberapa sudut. Antaranya sudut perasaan dan sudut kendiri.

Bercerai atau tidak, ia amat bergantung pada perasaan dalaman yang sudah pasti tidak dapat diteka oleh orang lain. Ini soal hati. Ini soal perasaan. Ini soal suami isteri.

Namun, sebelum keluar perkataan cerai dari mulut suami, para isteri harus berfikir jauh-jauh, dalam-dalam, masak-masak. Dan pastinya pohonlah petunjuk dari Ilahi.

Wednesday, May 20, 2009

Nasyid dan saya

Saya suka nasyid, telinga saya mesra nasyid, bukan kerana saya orang alim warak tapi irama nasyid sudah sebati di hati sejak bersekolah menengah. Di UIA, genre lagu ini makin menambat hati apabila irama melodi rentak diantarabangsakan oleh pelajar dari pelbagai negara. Apabila berada di konsert nasyid, hati terasa sangat bahagia, sangat suka, sangat gembira, sangat teruja, sekali lagi saya tekankan di sini, saya bukanlah orang alim yang hanya akan menyukai nasyid tapi nasyid sebati di hati.

Sekarang saya menyampah dengan Sinar FM yang makin mengarut pengisiannya, Era FM kurang sesuai dengan umur. Saya tukar ke Klasik FM. Bolehlah sekali sekala. Ikim FM pula terlalu banyak iklan dan pengisian bercorak sembang-sembang. Bila memandu saya perlu halwa telinga. Rancangan sembang-sembang ini terlalu serius. Jadi saya beli kompilasi nasyid lama dan baru. Hati jadi tenang dan ingat pada Allah.

Tadi, berlangsung FENAS 2009 di UiTMJ. Saya tahu ia bermula pada 18 Mei dan saya tahu ia saringan. Jadi saya tangguhkan niat menonton. Pagi ini sejurus sampai ke pejabat, saya baca emel. Peringkat akhir akan bermula pukul 9 pagi di DST. Emel yang dihantar begitu biasa-biasa sahaja, tidak setimpal dengan usaha IRAMA dan En Syamsul, penasihatnya. Saya fikir, emel pemberitahuan tentang acara terbesar hari ini patut dihantar semalam dan dibesarkan font dan diwarna-warnikan hurufnya.

Akibatnya, saya tercicir peluang menyaksikan persembahan UiTMJ. Terkilan kerana Naim, Latif, Han dan Amir antara ahli kumpulan nasyid UiTMJ. Namun kehampaan terubat apabila mereka diumumkan sebagai NAIB JOHAN.....dan UPSI sebagai JOHAN memang bagus persembahan mereka. Sungguh harmoni...

Saya suka nasyid.

Monday, May 18, 2009

Mei dan 1001 peristiwa

Mei adalah bulan yang penuh dengan peristiwa. Yang paling terkesan ialah 13 Mei, tarikh keramat buat rakyat Malaysia yang mahu memahami dan menginsafi. Perpaduan 3 bangsa terbesar di Malaysia amat perlu dan penting demi kelangsungan permai Malaysia. Gagasan yang cuba dibawa PM akan teruji keberkesanannya. Namun, Islam sebagai agama rasmi tetap wajib menjadi keutamaan. Mampukah mereka....



Hari Ibu disambut pula pada 10 Mei. Ibu ialah guru yang terbaik. Namun kerjaya kaum ibu yang menuntut lebih masa di pejabat menjadikan anak-anak di rumah semakin kurang mendapat perhatian. Dan mereka berguru dengan teknologi. Hasilnya terbentuklah generasi muda yang dapat dilihat perkembangan sosial mereka pada hari ini.



Apabila Hari Guru disambut pada 16 Mei, berpuluh mesej memaparkan kata-kata penghargaan muncul di skrin telefon bimbit saya. Saya perlu membalas kerana saya menghargai ucapan mereka. Guru tidaklah semestinya yang mengajar di sekolah tetapi merangkumi semua yang membimbing kita mendapatkan ilmu pengetahuan demi kebaikan diri agar lebih insaf dan makin rapat dengan SiPencipta. Kerana mereka yang berilmu akan memahami betapa indahnya ilmu...Ilmu mengajar kita agar lebih berwaspada dengan tipu helah dunia, agar lebih bersedia dengan kematian dan bekalan untuk dibawa menjadi teman di alam barzakh ...Ilmu itu luas. Luasnya ilmu melebihi jumlah lautan yang ada di muka bumi. Cikgu-cikgu di AF juga adalah guru, yang mengajar menyanyi, berlakon, beraksi. Mentor Awie, Mas Idayu, Lah Ahmad, Ajai juga guru.........alahai lemas sudah tengok program realiti macam ni.

Pengarah UiTMJ yang semakin dikenali juga menyambut ulang tahun kelahiran yang ke 45 pada 19 Mei, selamat hari jadi, Prof

Mei yang berbaki juga mempunyai cerita tersendiri...


Dan bagi saya bulan Mei adalah bulan Sains untuk Along. Tinggal beberapa hari lagi untuk Along mengkhatamkan matapelajaran Sains. Mama dah khatam awal tahun lagi...

Thursday, May 14, 2009

Penawar Lara

Penat sungguh rasanya seluruh sistem badan apabila tugas-tugas peperiksaan akhir selesai.

Cuba untuk membaca bahan akademik namun kurang penumpuan. Mungkin otak perlu di'rehat'kan seketika.

Lalu, ambil kesempatan mengemas bilik pejabat yang sudah hilang sebahagian besar ciri-ciri 5Snya. Terjumpa sebuah buku latihan Fatihah. Pernah dia demam, terpaksa dibawa ke UiTMJ dan ditinggalkan berseorangan di pejabat semasa saya memberi kuliah. Berpesan kepadanya: Kakak, tulis sebuah karangan pendek ye, balik kelas nanti mama check...

Sebuah karangan pendek karya Fatihah yang sangat perlu diedit menawar perasaan lara....

Tajuk: Orang Kaya Yang Kedekut

Pada zaman dahulu ada seorang Mak Sal yang kaya raya di sebuah kampung yang kecil. Rumah Mak Sal itu sangat besar dan cantik. Pada suatu hari, ada seorang budak perempuan meminta duit tetapi ia tidak bagi kepada budak perempuan itu. Pada lewat malam, Mak Sal itu ingin tidur, tetapi ia tidak boleh tidur, ia berjaga hingga ke pagi. Pada keesokan paginya ia tidak rasa ngantuk. Ia pun pergi keluar dan ia nampak sebuah telaga yang besar dan dalam. Ia menjenguk ke dalamnya. Tiba-tiba ia terjatuh dan meninggal. Rumahnya itu diberi kepada budak perempuan yang bernama Aminah. Aminah telah jaga dengan baik. Tamat.

Moral: Jangan ikut perkara begitu

Betapalah anak-anak kecil pun pandai mengambil moral dengan apa yang terjadi....

Lara di Perak...sudahkah kita belajar moralnya?

Tuesday, April 21, 2009

Kelangsungan Bangsa

Ibnu Khaldun pernah berkata...

"Jika Allah hendak meruntuhkan suatu bangsa, maka Allah akan membiarkan penduduk bangsa itu melakukan perbuatan-perbuatan tercela dan menelusuri jalan-jalan keburukan, sehingga hilanglah keutamaan politik daripada mereka sama sekali. Mereka akan terus mundur hingga hilang kekuasaan daripada tangan mereka dan beralih ke bangsa lain. Kajilah bangsa-bangsa besar dalam sejarah, anda akan membuktikan kebenaran ucapan kami ini."

Malaysia, 2009, bangsa Melayu sering dikaitkan dengan najis dadah (rujuk statistik Agensi Dadah Kebangsaan), jenayah sosial (rujuk kes-kes di Henry Gurney), mengandung luar nikah dan murtad (rujuk kes-kes di Raudhatus Sakinah dan pusat penjagaan wanita seumpama) dan puluhan perbuatan tercela lagi.

Mampukah bangsa Melayu di bumi Malaysia ini meneruskan kelangsungan mereka?Kelangsungan yang penuh bermaruah. Panglima Hang Tuah pernah berkata takkan Melayu hilang di dunia.

Bak kata Nabil Raja Lawak (yang mempertahankan tindakan terpeluk buah hatinya bak berada di malam Grammy Awards) Anda Fikirlah Sendiri...

Saidian Ali Abi Talib pernah berkata

"Orang yang hanya berfikir untuk sesuatu yang masuk ke dalam perutnya (makanan dan minuman) maka nilai orang itu tidak lebih daripada sesuatu yang keluar dari perutnya (najis)"

Langganlah majalah Solusi!

Monday, April 20, 2009

Musim Hibernat Sudah Kembali



Sebentar tadi, pelajar-pelajar Investment selesai berjuang menjawab LAW 374.


Alhamdulillah, khabarnya masing-masing tidak cukup masa. Petanda baik!


Sekarang, bermula pukul 3 petang, perjuangan saya pula bermula.


Wahai pelajar semua, berdoalah selepas berusaha. Tawakal pada DIA!


Musim hibernat sudah kembali...

gambar ehsan internet

Sunday, April 19, 2009

Minat anak-anak

Semenjak pandai membaca pada usia 5 tahun, Almi Fatihah (anak bongsu setakat hari ini) sangat minat pada buku. Sekarang, Fatihah sudah berusia 8 tahun. Sangat cekap membaca dan faham apa yang dibaca. Sekarang, dia sedang menekuni buku motivasi karya Dr Noraini Ahmad. Apabila ditanya tentang cita-cita, dia akan yakin menjawab, kakak nak jadi cikgu...

Oklah tu, tak nak jadi Pensyarah? tanya saya.

Dia akan geleng kepala dengan tegas. Bila ditanya kenapa, dia tersengih. Apalah agaknya yang dia nampak dari mamanya sehingga enggan menjadi pensyarah...

Yang ke dua(paling kanan), suka menyanyi. Dia cepat hafal lirik dan suka bergendang. Almi Farhan agak lambat membaca. Bacaan adik beradik lain sudah mencecah halaman 30, dia baru halaman 12. Dan berehat seketika apabila selesai satu mukasurat. Suka bergaya. Gel Code 10 akan sentiasa disapu di rambut. Bila nak ambil wuduk, dia kata..alaaa mama, habislah Code 10 Angah...

Sekarang musim Angah menyanyi. Khabarnya, dia jadi penyanyi solo kumpulan nasyidnya. Sampai serak-serak suara Angah. Dan kadang-kadang dinasyidkan lagu-lagu pop masa kini. Saya biarkan saja minat anak yang seorang ini. Namun dalam hati berdoa, janganlah ikut jejak Faizal Tahir, Faisal Tehrani tak apa!
Kembali merenungi minat anak-anak, saya pasti cabaran ibubapa kini tentu sangat berat. Terkadang minat mereka tidak selaras dengan tuntutan Syariah. Bagaimana cara kita menangani cabaran ini?
Dan minat Along (makan nasi) merisaukan saya...

Cabaran Cari Bahan

Semalaman saya tercari-cari bahan untuk tajuk PhD. Sebelum 40, saya mesti mendaftar. Walau kurang yakin dengan kemampuan diri, saya tetap berminat. Anak-anak yang sedang membesar sering menjadi alasan saya. Namun, minat yang ada itu tetap saya pupuk sikit-sikit. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Suami selalu bagi semangat. Namun, diri sendiri kadang timbul kadang lemas.

Prof Madya Datin Nor Aziah Awal mendorong saya membuat penyelidikan tentang undang-undang kanak-kanak. Namun, Dekan Fakulti kata ia bukan bidang utama. Ramai kata cari tajuk yang kita minat kerana akhirnya minatlah menjadi penguat dan pendorong tamatnya satu-satu penyelidikan.

Dalam carian semalam, saya terjumpa maklumat tentang 'master' saya semasa chambering. Aduhai, rupanya beliau sekarang telah bergelar Dr. Saya cemburu bercampur bangga. Saya doakan beliau terus berjaya dengan kerjaya Pesuruhjaya Kehakimannya sekarang.

Kemudian, terbaca pula komen Dr Zaidi di blognya tentang 'proposal' beberapa calon PhD.

"...Paling ketara ialah isu kajian yang mana calon PhD tidak dapat menghubungkannya dengan masalah kajian. Ada sebahagian tajuk kajian tidak menepati taraf PhD. Maka saya ingin simpulkan bahawa, calon PhD perlu mengetahui bahawa tajuk kajian PhD bukan seperti tajuk kajian biasa dan ianya memerlukan ketelitian serta ilmu mengenai penyelidikan..."

Ilmu penyelidikan bukan datang dalam tempoh sebulan dua atau semester dua. Itu yang pasti!

Saya berdoa agar minat yang ada ini tidak akan terkubur. Kerana apabila anak meningkat dewasa, cabaran akan lebih besar.

Menu Kedai

Hanya pada hari minggu saya dapat masak makanan yang agak renyah penyediaan bahan-bahannya. Isnin hingga Jumaat, hanya lauk ringkas menjadi santapan putera puteri yang makin kuat makan. Terkadang (terselalu) lauk kedai menjadi lauk penyelamat buat mereka yang kelaparan di rumah.

Tadi, 'mood' memasak agak baik. Ikan siakap dan ayam dikeluarkan dari peti sejuk. Saya telah arif selera anak-anak. Andai sesekali keluar makan, apabila ditanya pembantu kedai tentang pesanan, mereka akan menjawab 'lauk biasa'. Inilah lauk-lauk yang biasa dipesan. Hari ini saya memasak ala kedai. 3 4 kali mereka menjenguk ke dapur. Aroma masakan menguji kesabaran.

Ayam goreng kunyit

Siakap tiga rasa


Tom Yam ayam
Mujur kali ini, bahan-bahan penyedap masakan ada tersimpan dalam peti sejuk. Ayam goreng kunyit tanpa daun kunyit kurang menyelerakan. Tom Yam tanpa serai dan daun limau purut kurang menyengat. Siakap tiga rasa tanpa cili api dan tomato kurang sempurna.
Baru saya tahu, serai ada 50 jenis. Yang biasa digunakan dalam masakan ialah serai peha ayam dan serai gajah. Namun yang pasti serai, kunyit, daun limau purut, cili api adalah bahan masakan yang ada fungsi dalam perubatan. Teringat bagaimana tiga pagi dikala tempoh awal pantang, emak di Serendah menyediakan pati ibu kunyit untuk ditelan cepat-cepat. Memang menyeksakan. Daun serai wangi direbus bersama halia buat mandian pagi.
Walaupun makan hari ini banyak yang goreng-goreng, namun kehadiran bahan-bahan tersebut dapat meyakinkan hati sendiri tentang khasiat menu ala kedai.