Tuesday, April 21, 2009

Kelangsungan Bangsa

Ibnu Khaldun pernah berkata...

"Jika Allah hendak meruntuhkan suatu bangsa, maka Allah akan membiarkan penduduk bangsa itu melakukan perbuatan-perbuatan tercela dan menelusuri jalan-jalan keburukan, sehingga hilanglah keutamaan politik daripada mereka sama sekali. Mereka akan terus mundur hingga hilang kekuasaan daripada tangan mereka dan beralih ke bangsa lain. Kajilah bangsa-bangsa besar dalam sejarah, anda akan membuktikan kebenaran ucapan kami ini."

Malaysia, 2009, bangsa Melayu sering dikaitkan dengan najis dadah (rujuk statistik Agensi Dadah Kebangsaan), jenayah sosial (rujuk kes-kes di Henry Gurney), mengandung luar nikah dan murtad (rujuk kes-kes di Raudhatus Sakinah dan pusat penjagaan wanita seumpama) dan puluhan perbuatan tercela lagi.

Mampukah bangsa Melayu di bumi Malaysia ini meneruskan kelangsungan mereka?Kelangsungan yang penuh bermaruah. Panglima Hang Tuah pernah berkata takkan Melayu hilang di dunia.

Bak kata Nabil Raja Lawak (yang mempertahankan tindakan terpeluk buah hatinya bak berada di malam Grammy Awards) Anda Fikirlah Sendiri...

Saidian Ali Abi Talib pernah berkata

"Orang yang hanya berfikir untuk sesuatu yang masuk ke dalam perutnya (makanan dan minuman) maka nilai orang itu tidak lebih daripada sesuatu yang keluar dari perutnya (najis)"

Langganlah majalah Solusi!

Monday, April 20, 2009

Musim Hibernat Sudah Kembali



Sebentar tadi, pelajar-pelajar Investment selesai berjuang menjawab LAW 374.


Alhamdulillah, khabarnya masing-masing tidak cukup masa. Petanda baik!


Sekarang, bermula pukul 3 petang, perjuangan saya pula bermula.


Wahai pelajar semua, berdoalah selepas berusaha. Tawakal pada DIA!


Musim hibernat sudah kembali...

gambar ehsan internet

Sunday, April 19, 2009

Minat anak-anak

Semenjak pandai membaca pada usia 5 tahun, Almi Fatihah (anak bongsu setakat hari ini) sangat minat pada buku. Sekarang, Fatihah sudah berusia 8 tahun. Sangat cekap membaca dan faham apa yang dibaca. Sekarang, dia sedang menekuni buku motivasi karya Dr Noraini Ahmad. Apabila ditanya tentang cita-cita, dia akan yakin menjawab, kakak nak jadi cikgu...

Oklah tu, tak nak jadi Pensyarah? tanya saya.

Dia akan geleng kepala dengan tegas. Bila ditanya kenapa, dia tersengih. Apalah agaknya yang dia nampak dari mamanya sehingga enggan menjadi pensyarah...

Yang ke dua(paling kanan), suka menyanyi. Dia cepat hafal lirik dan suka bergendang. Almi Farhan agak lambat membaca. Bacaan adik beradik lain sudah mencecah halaman 30, dia baru halaman 12. Dan berehat seketika apabila selesai satu mukasurat. Suka bergaya. Gel Code 10 akan sentiasa disapu di rambut. Bila nak ambil wuduk, dia kata..alaaa mama, habislah Code 10 Angah...

Sekarang musim Angah menyanyi. Khabarnya, dia jadi penyanyi solo kumpulan nasyidnya. Sampai serak-serak suara Angah. Dan kadang-kadang dinasyidkan lagu-lagu pop masa kini. Saya biarkan saja minat anak yang seorang ini. Namun dalam hati berdoa, janganlah ikut jejak Faizal Tahir, Faisal Tehrani tak apa!
Kembali merenungi minat anak-anak, saya pasti cabaran ibubapa kini tentu sangat berat. Terkadang minat mereka tidak selaras dengan tuntutan Syariah. Bagaimana cara kita menangani cabaran ini?
Dan minat Along (makan nasi) merisaukan saya...

Cabaran Cari Bahan

Semalaman saya tercari-cari bahan untuk tajuk PhD. Sebelum 40, saya mesti mendaftar. Walau kurang yakin dengan kemampuan diri, saya tetap berminat. Anak-anak yang sedang membesar sering menjadi alasan saya. Namun, minat yang ada itu tetap saya pupuk sikit-sikit. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Suami selalu bagi semangat. Namun, diri sendiri kadang timbul kadang lemas.

Prof Madya Datin Nor Aziah Awal mendorong saya membuat penyelidikan tentang undang-undang kanak-kanak. Namun, Dekan Fakulti kata ia bukan bidang utama. Ramai kata cari tajuk yang kita minat kerana akhirnya minatlah menjadi penguat dan pendorong tamatnya satu-satu penyelidikan.

Dalam carian semalam, saya terjumpa maklumat tentang 'master' saya semasa chambering. Aduhai, rupanya beliau sekarang telah bergelar Dr. Saya cemburu bercampur bangga. Saya doakan beliau terus berjaya dengan kerjaya Pesuruhjaya Kehakimannya sekarang.

Kemudian, terbaca pula komen Dr Zaidi di blognya tentang 'proposal' beberapa calon PhD.

"...Paling ketara ialah isu kajian yang mana calon PhD tidak dapat menghubungkannya dengan masalah kajian. Ada sebahagian tajuk kajian tidak menepati taraf PhD. Maka saya ingin simpulkan bahawa, calon PhD perlu mengetahui bahawa tajuk kajian PhD bukan seperti tajuk kajian biasa dan ianya memerlukan ketelitian serta ilmu mengenai penyelidikan..."

Ilmu penyelidikan bukan datang dalam tempoh sebulan dua atau semester dua. Itu yang pasti!

Saya berdoa agar minat yang ada ini tidak akan terkubur. Kerana apabila anak meningkat dewasa, cabaran akan lebih besar.

Menu Kedai

Hanya pada hari minggu saya dapat masak makanan yang agak renyah penyediaan bahan-bahannya. Isnin hingga Jumaat, hanya lauk ringkas menjadi santapan putera puteri yang makin kuat makan. Terkadang (terselalu) lauk kedai menjadi lauk penyelamat buat mereka yang kelaparan di rumah.

Tadi, 'mood' memasak agak baik. Ikan siakap dan ayam dikeluarkan dari peti sejuk. Saya telah arif selera anak-anak. Andai sesekali keluar makan, apabila ditanya pembantu kedai tentang pesanan, mereka akan menjawab 'lauk biasa'. Inilah lauk-lauk yang biasa dipesan. Hari ini saya memasak ala kedai. 3 4 kali mereka menjenguk ke dapur. Aroma masakan menguji kesabaran.

Ayam goreng kunyit

Siakap tiga rasa


Tom Yam ayam
Mujur kali ini, bahan-bahan penyedap masakan ada tersimpan dalam peti sejuk. Ayam goreng kunyit tanpa daun kunyit kurang menyelerakan. Tom Yam tanpa serai dan daun limau purut kurang menyengat. Siakap tiga rasa tanpa cili api dan tomato kurang sempurna.
Baru saya tahu, serai ada 50 jenis. Yang biasa digunakan dalam masakan ialah serai peha ayam dan serai gajah. Namun yang pasti serai, kunyit, daun limau purut, cili api adalah bahan masakan yang ada fungsi dalam perubatan. Teringat bagaimana tiga pagi dikala tempoh awal pantang, emak di Serendah menyediakan pati ibu kunyit untuk ditelan cepat-cepat. Memang menyeksakan. Daun serai wangi direbus bersama halia buat mandian pagi.
Walaupun makan hari ini banyak yang goreng-goreng, namun kehadiran bahan-bahan tersebut dapat meyakinkan hati sendiri tentang khasiat menu ala kedai.


Saturday, April 18, 2009

Kanak-kanak dan Pembantu Rumah

Tiga empat kali saya mendapat emel tentang kebiadapan pembantu rumah ke atas anak-anak majikan. Disertakan video clip yang membuat saya marah, benci dan tentunya sedih. Betapa anak kecil yang tidak mengerti apa-apa ditendang, dipijak, dipukul dan dicubit. CCTV yang dipasang di dalam rumah menjadi bukti perbuatan kejam mereka.

Saya kembali mengingati 3 bibik Indonesia yang pernah berkhidmat dengan saya sebelum ini. Saya anggap mereka seperti pembantu profesional. Saya menghindari diri daripada memarahi mereka tanpa sebab. Saya memberi tunjuk ajar menggunakan bahasa mudah. Saya benarkan mereka makan apa yang ada. Sesekali saya bawa mereka bersiar-siar. Saya benarkan mereka tidur sebentar sebelah petang. Saya fikir saya majikan yang munasabah. Mereka menghormati saya dan masih boleh berkongsi perasaan dengan cara yang munasabah juga. Hasilnya, tidak pernah sekalipun, anak-anak saya dipukul, ditendang, dipijak dan dicaci. Walaupun saya tiada cctv tapi apabila saya pulang ke rumah, anak-anak saya akan bercerita macam-macam. Bibik ajar nyanyi lagu Indonesia, Bibik cerita hantu Indonesia, Bibik lukis gambar kampung di Indonesia, Bibik itu, Bibik ini...dan tiada lebam-lebam di badan mereka.

Apapun, tindakan pembantu rumah yang mendera anak-anak kecil majikan mereka perlu dapat pembalasan sewajarnya. Namun, punca mereka mendera perlu dikaji oleh Kementerian dan bentangkanlah jalan yang terbaik buat semua pihak; ibubapa, pembantu dan anak-anak yang masih belum mengerti...

Rustam, emel awak mengganggu emosi saya yang sedang ceria selepas mengikuti bicara Dr Jeniri Amir dari Sarawak.

Saturday, April 11, 2009

PTS Cemerlang di Segamat

Saya membawa anak-anak ke Dewan Jubli di bandar Segamat. Ada Pesta Buku. Kebanyakannya buku akademik. UPSR, PMR, SPM dan STPM. Lambakan buku-buku PTS menggembirakan hati saya. Alhamdulillah, anak-anak saya seronok memilih buku-buku terbitan PTS. Setelah berjaya memilih sebuah buku seorang (dihadkan satu seorang, mamanya terlupa nak keluarkan duit), kami ke kaunter.

Juruwang berbangsa Cina. Nampak sahaja 5 buah buku terbitan PTS diletakkan di atas meja, dia 'bercho che, cho che' dengan rakannya. disebut-sebut PTS beberapa kali. Saya menyerkap jarang.

"Ramai ke beli buku PTS?"

"Lamai loooo, buku PTS bagus, mahal tapi dia punya isi banyak bagus looo..."

Saya setuju dengan juruwang Cina tersebut. Buku PTS agak mahal namun sangat berbaloi. Tidak rugi membuat pelaburan atas buku.

Saya memilih Travelog Iran, Menyingkap Bumi Ahmadinejad. Anak-anak memilih Sakit Gigi, Debaran Buku Biru, Misteri Vila Penn dan Abang, Adik dan Ayam.

Tahniah Puan Ainon!

Friday, April 10, 2009

Cinta Ilmu

Beliau sudah melewati usia 30. Belum berkahwin. Beberapa kali digandingkan dengan gadis-gadis cantik manis. Satupun tidak melekat. Beliau kini di London. Beliau akan bergelar Dr. 3 ke 4 tahun dari sekarang. InsyAllah.

Hanya setahun beliau di Segamat. Namun, persahabatan terjalin sehingga kini. Setahun di Segamat, beliau mendapat tawaran menjadi pensyarah di sebuah IPTA di Nilai. Beliau tidak perlu berfikir panjang kerana matlamat beliau ialah bersegera melanjutkan pengajian kedoktoran undang-undang. Kalau di UiTM, ramai lagi pensyarah senior yang sedang menunggu giliran.

Beliau ulat buku. Sangat cintakan ilmu dan tidak kedekut untuk berkongsi. Semasa melanjutkan ijazah pertamanya di UKM (bahasa penghantar ialah Bahasa Melayu), beliau pernah dinobatkan sebagai pelajar yang paling banyak meminjam buku. Buku-buku tersebut kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris. Sudah pastilah untuk tujuan rujukan. Bukan untuk disimpan di bawah katil. Perpustakaan adalah 'rumah' keduanya.

Kerana cintakan ilmu, beliau merantau jauh. Menolak jodoh yang baik-baik.

Moga pengajian kedoktoran beliau dipermudahkan Allah dan akan ada pakar dalam bidang undang-undang perubatan.

Selamat maju jaya, Ijang! Semoga akan ketemu 'Madhuri Dixit' mu...

Ini baru betul!

Petang tadi, saya berkesempatan menjadi tenaga pengajar sukarela untuk kanak-kanak Tahap 2 SK Tebing Tinggi Segamat. Bahasa Inggeris memang antara matapelajaran kegemaran saya sejak sekolah rendah. Mendiang Cikgu Shanmugam percaya saya boleh menguasai matapelajaran ini walau dilahirkan dalam keluarga yang ibubapanya bercakap loghat utara setiap hari. Saya agak bagus dalam tatabahasa namun amat malu untuk berkomunikasi. Beliaulah yang mendorong saya memperbaiki kelemahan tersebut. Di UIA, kelemahan tersebut dapat dibaiki ke tahap yang lebih baik. Bila berkerja, ia menjadi lebih baik dan bertambah baik.

Cik Noridah, pensyarah Bahasa Inggeris UiTM Segamat memang sangat ikhlas mengajar. Ia boleh dilihat dari cara penyampaiannya yang bersungguh-sungguh. Dengan gaya mimik muka dan gerakan tangan, badan, kaki, beliau berjaya menambat hati pelajar-pelajar Melayu kita. Suaranya yang jelas, nyaring dan bermelodi amat menarik. Saya membantu dua kumpulan pelajar yang bersemangat tinggi dan minat belajar. Mendorong mereka supaya lebih berinteraktif dan pada masa yang sama memahami apa yang sedang dipelajari.

Aktiviti dimulakan dengan melihat tayangan kartun bertajuk 'Fire in the Kitchen', kemudian menulis semula apa yang dilihat dari tayangan tersebut, menyebut dan mengeja perkataan, membuat soalan atas apa yang dilihat dan menjawab soalan tersebut. Kami juga sama-sama menyanyi lagu 'Hero' dendangan Mak Cik Mariah Carey. Dan kemudian bertanding menyanyi tanpa melodi antara dua kumpulan. Saya seronok. Saya pasti pelajar-pelajar kecil itu tentu lebih seronok.

Ini baru betul. Pengajaran dan pembelajaran Bahasa, tidak kiralah apa Bahasa pun, mestilah bersifat menyeronokkan. Ada komunikasi dua hala. Ada hiburan bermakna. Ada gambar. Ada warna. Ada suara. Ada guru yang bersifat ikhlas seperti Cik Noridah.

Matematik dan Sains bukan Bahasa.

Thursday, April 9, 2009

SMKASHMS 85-89

Aros, Fadzillah, Rozita Azlina, Haslin, Rafidah, Zetty dan Lina



Teringin betul nak buat reunion.


Kalau dapat jemput guru-guru, ustaz ustazah lagi meriah.


Dan kalau dapat berbakti seketika buat junior lagilah seronok.


Buat rakan sahabat SMKASHMS 85-89, bila boleh bertemu semula?

Bohong dan Curi

Siakap senohong gelama ikan duri
Bercakap bohong lama-lama jadi pencuri

Cantik pantun di atas, pembayang (sumber alam) dan maksud sama rimanya.

Bohong sehingga boleh jadi pencuri?

Bagi saya, bukanlah pencuri yang pecah masuk rumah orang, namun akibat berbohong dan akhirnya tertangkap, seluruh nikmat kehidupan akan dicuri. Diri sendiri yang mencuri nikmat-nikmat ketenangan hidup.

XXX, memalsukan sijil sakit dan sijil kematian dan dijadikan bukti bagi menyokong ketidakhadirannya ke kuliah. Namun, mata pensyarah yang terlebih dulu makan garam itu cepat sahaja dapat menangkap ketidaksempurnaan sijil-sijil tersebut. Akhirnya XXX terpaksa mengaku pembohongannya. Dia bakal dikenakan tindakan baru,

Dan bermula detik itu, pasti kenikmatan ketenangan hidupnya telah dicuri. Asalnya hanya dari berbohong.

Bercakap bohong mudah, boleh meraih simpati tetapi andai terbongkar, kepercayaan yang berjaya dicuri hanya akan mendatangkan kemudaratan pada diri sendiri.

Buah pelaga makan dikikir
Dibawa orang dari hulu
Sebarang kerja hendak difikir
Supaya jangan mendapat malu

Sunday, April 5, 2009

Hidup itu perjuangan

Kita hidup selesa di sini. Tidak seteruk Kemboja, Palestin..namun kita perlu terus berjuang! Walau bukan ancaman perang saudara atau serangan musuh, namun ancaman di Malaysia lagi bahaya. Boleh merosakkan akidah dan pegangan agama Islam tercinta.

Buat pelajar Diia sem 6 khususnya yang akan berkelana meneruskan pencarian kehidupan selepas Mei 2009, realiti kehidupan terlalu berliku. Ancaman keimanan, terlalu banyak virus perosak di sekeliling kita. TV antaranya. Internet khususnya. Kalian masih muda dan senang mengikut kata hati. Ingatlah, ikut hati mati! Berpaksilah kepada tiang agama. Walau di mana kalian berada kelak, ingatlah DIA. Saya berdoa agar kalian kekal dalam iman. Buat yang bercinta, cubalah hindari sikap nakal-nakal. Saya doakan kalian bertemu jodoh dalam kerahmatan Ilahi. Ingatlah, kita Melayu Islam. Adat dan hukum seiring mengawal segala tindakan. Moga kita semua beroleh kejayaan.

Buat Han, Izy, Maz, Munira (Kelab Inspirasi), terima kasih atas kerjasama. Semoga kalian bakal menjejaki ilmu Tuhan dengan keimanan yang berterusan.

Andai DIA sentiasa di hati, insyAllah, kita akan selamat..Berdoalah agar iman kita yang senipis kulit bawang akan terjaga.

Sesungguhnya hidup itu perjuangan...

PANAS


Bila bercakap hal politik, Qayyum, pelajar Ijazah Perakaunan, amat berminat dan ada banyak buah fikiran. Seorang lagi, Payat, bekas pelajar Ijazah Perakaunan juga. Sekarang sudah berkerjaya. Sekarang minggu-minggu terpanas buat mereka yang komited dengan perkembangan politik negara. Tahanan ISA pun dah lepas bebas. Alhamdulillah, moga pengalaman ditahan dapat memberi kebaikan kepada diri sendiri dan keluarga.

TV pun semakin rancak dan panas dengan perang saraf terakhir. Ucapan 14 tahun sudah ditayang semula. Panas sungguh!

Cuaca di Segamat, sekejap panas, sekejap hujan. Walau hujan di sebelah petang, malamnya tetap panas. Tinggilah bil elektrik bulan ni. Tetapi suami kata, tak apa, biar untung syarikat abang. Saya kata, abang bukan pemegang saham. Dia kata, kalau TNB untung, pekerja dapat bonus lebih. Saya kata, kongsilah bonus tu, dalam bentuk barang kemas pun ok. Suami kata hehehe...

Bumi makin panas. TNB mencatat penurunan penggunaan sebanyak 550mw. Semasa earth hour berlangsung minggu sudah, rata-rata penduduk taman prihatin. Namun ada blogger yang pesimis tentang keberkesanan kempen ini. Apa ada pada tempoh sejam?

Panas, suasana politik, sosial, ekonomi Malaysia semakin panas.

Hobi baharu

Seorang suami berusia lewat 30an mempunyai satu hobi baharu.

Suami: Abang nak beli Ninja le
Isteri : Patutlah dalam tidur malam tadi, saya dengar abang sebut Ija, Ija..rupanya Ninja
Suami: Daripada abang ‘beli’ Ija, baik abang beli Ninja
Isteri: Yelah tu, harap abang sayang Ninja macam abang sayang saya,pertama dan terakhir
Suami: Tengoklah dulu, kalau 250 tak sedap, beli 750 pulak
Isteri: Erk..Tak pe, belilah bang, jangan ‘beli’ yang lain dah le..
Suami: Bila ada konvoi ke mana-mana, boleh join
Isteri: Jangan ke Perlis dah le
Suami: Awak pun boleh join sekali
Isteri: Err...tengoklah dulu, agak-agak riders lain muda-muda ke
Suami: Masing-masing dah 40an, saja pusing-pusing, cari pengalaman
Isteri: Bagusla kalau cari pengalaman bermotor...

Menjelang umur 40an, lelaki akan mempunyai hobi baharu. Positif atau negatif sukar ditebak. Positif bagi mereka, negatif bagi kita. Namun, sebagai isteri kita hanya mampu berdoa yang terbaik buat suami, diri kita sendiri dan anak-anak. Moga hobi itu dapat meningkatkan keimanan. Bukannya menjatuhkan nilai diri seorang lelaki.

Isteri pula, menjelang 40an, apa pula hobi baharu ye?

Saya semakin suka membaca...

Kisah Nasi Lemak 3S

Di Shah Alam pagi ini, sebungkus nasi lemak johan Pertandingan Membungkus Nasi Lemak dilelong dengan harga RM500. Amboi mahalnya…Mek pengacara “Nasi Lemak Kopi O” NTV9 sampai berkata simpan sahaja nasi lemak tu ke tahun depan…Khabarnya, hasil lelongan akan diserahkan ke Tabung Gaza. Alhamdulillah! Namun, sebungkus nasi lemak dengan harga RM500 bunyinya menakutkan.

Di Segamat, masih terdapat nasi lemak daun pisang di merata tempat. Paling murah sebungkus 60 sen. Bukan 50 sen, 50 sen Remi…(teringat Azian Irdawaty, apa khabar aktres ini). Bagi saya, nasi lemak jualan seorang wanita berhampiran Pasar Besar Segamat adalah yang tersedap. Apapun yang paling tersedap adalah nasi lemak buatan tangan saya sendiri. Hehehe ada ya perkataan YANG PALING TERSEDAP. Adaaa…contohnya setelah tamat Tingkatan 5 di SMKA Sheikh Haji Mohd Said Seremban, guru kelas yang saya hormati, mendiang Mr Shanmugam telah menulis PALING TERBAIK pada ruang kelakuan di Sijil Berhenti Sekolah saya. Opps dah tersasar tajuk..Saya menyediakan nasi lemak buat sarapan hanya pada hujung minggu. Hampir 4 pot ditanak. Agar tahan sampai ke petang. Malamnya, suami akan mengajak makan di luar. Jimat gas Petronas!

Di Serendah, nasi lemak emaklah yang tersedap. Entah apa adunan emak, nasi lemaknya berminyak dan berbau harum. Sambal tumis ikan bilis dan berkentang meruntuh tembok diet harian. Kacang tanah dan ikan bilis goreng penambah sedap. Hirisan timun muda dan telur rebus pelangkap hidangan. Emak kata direnehkan santan terlebih dahulu. Kemudian barulah tanak bersama beras. Helaian daun pandan diikat kemas dan diadun bersama beras dan santan. Hirisan halia di’campak’ buat penaik bau. Emak masak guna dapur gas. Mungkin sebab itulah nasinya harum dan berkilat.

Nasi lemak tetap pilihan no 1 orang kita. Dan saya akan memesan roti canai juga bila sesekali bersarapan di luar bersama keluarga.