Thursday, March 20, 2008

Sifat Nabi Muhamad saw yang perlu ada pada suami

Rata-rata kita tahu sifat mulia Nabi Muhammad saw. Diriwayatkan baginda adalah seorang suami yang rajin membantu isteri. Tiada persoalan tentang sifat terpuji itu.

Saya bertuah mendapat suami yang tersangat rajin. Bukan rajin memasak. Tetapi mengemas rumah. Hampir setiap hujung minggu dia akan mengemas. Suami jenis yang akan menyelongkar setiap sudut dan berusaha membuang habuk sebersihnya. Pagi ini dia mengemas ruang tamu. Selesai menyapu, dimopnya. Sekarang dia menyelongkar dapur. Memang nampak berselerak tapi dalam masa 2 3 jam lagi, berkilat berkilaulah dapur kami. Disusunnya pinggan mangkuk mengikut saiz, cawan gelas dikumpulkan di satu tempat. Tungku dapur dicuci. Sudu garfu dirombak dan diasingkan. Macam-macam lagi.

Saya mengambil kesempatan naik ke tingkat atas dan menyambung kerja pejabat.

Malam nanti, insyallah akan ke Dewan Segamat mendengar ceramah Maulidul Rasul. Biar suami mendapat banyak lagi maklumat tentang sifat mulia Nabi Muhammad saw. Siapa yang untung? Saya jugak....

Terima kasih bang..terima kasih daun keladi!

Tuesday, March 18, 2008

Penat tapi bermanafaat

Pagi

Pagi-pagi lagi bermesyuarat ringkas dengan Kak Onah sebelum menuju ke Unit IT untuk audit dalam. 4 jam yang memenatkan. Ke perpustakaan, pentadbiran, pejabat hal ehwal akademik, bilik kuliah dan blok asrama bagi mendapatkan maklumat secara langsung berkenaan pentadbiran unit IT. Pengalaman baru yang amat berguna.

Tengahari

Masuk ke bilik sementara menunggu pukul 3 petang. Semak emel. Banyak tugasan pelajar yang telah diterima. Balas memberitahu tugasan telah diterima. Semak file audit dalam dalam pen drive. Kak Onah minta buat laporan cepat supaya maklumat yang diperolehi pagi tadi dapat dilaporkan setepat mungkin mengikut nota auditor. Kena buat di rumah malam ini.

Petang

Sebelah petang, ke perpustakaan lagi. Kali ini mesyuarat AJK Induk 5S. 2 jam yang bermanafaat juga. Mendapat banyak maklumat berkenaan 5S. Sistem yang berguna bukan sahaja di tempat kerja tetapi juga di rumah.

Malam

Sebelum pulang petang tadi sempat singgah pasar malam. Badan sangat penat. Hajat untuk memasak malam ini terpaksa ditangguhkan...Balut buku Fatihah. Cari nota-nota lama. Basuh pinggan mangkuk. Susun baju. Masukkan markah test 2 dalam rawscore. Dan sekarang mengadap lap top. Perlu update entry. Kalau tidak, lama pula lah terbengkalai.

Hari ini sungguh penat. Tetapi penuh dengan pengisian yang bermanafaat.

10.23 malam. Mata sangat mengantuk. Undur diri dulu. Laporan audit ditangguhkan esok...

Tuesday, March 11, 2008

Selepas PRU 12

Saya sudah kembali ke Johor selepas PRU 12. Balik dengan perasaan lega kerana sudah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Walaupun telah menghabiskan kira-kira RM130 sebagai kos pergi balik ke tempat pengundian, saya berasa puas. Perjalanan pergi menghala ke tempat pembuangan undi diiringi satu perasaan yang sukar dibayangkan. Saya juga bertuah kerana tidak sampai lima minit, saya sudah selesai mengundi. Cuaca 8 Mac 2008 begitu nyaman. Tiada cahaya mentari yang memeluhkan badan dan tiada titik hujan yang menyejukkan suasana pilihanraya. Mendung dan nyaman. Khemah tempat petugas-petugas parti yang bertanding juga tenteram. Terasa sikit kehairanan kerana PRU 11 berbeza. Suasana hangat dengan laungan jeritan peraih undi. Tapi kali ini, petugas penyandang dan pembangkang lebih rileks.

Buat yang menang, bersyukurlah dan berusahalah sebaik mungkin untuk memenangi hati rakyat secara berterusan. Berkhidmatlah dengan penuh jujur dan ikhlas.

Buat yang kalah, masa untuk muhasabah dan perbaiki diri dan strategi. Strategi yang tidak dimurkai pastinya.
Buat semua pengundi, berdoalah agar calon yang telah dipilih dapat melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab. Semoga perpaduan semua kaum dapat dipertingkatkan dan kefahaman tentang Islam dapat dijelaskan sebaik mungkin.

Wednesday, March 5, 2008

Cabaran Mengundi

Tidak sabar rasanya ke Ampang Sabtu ini untuk membuang undi, juga untuk membuang calon yang tidak layak diundi. Tapi cabaran mengundi memang besar. Kita tidak mengenali calon yang bertanding. Sejauh mana kepercayaan boleh disandarkan ke bahunya. Bukan setakat kepercayaan tetapi juga segunung harapan. Macam empat tahun sudah, calon harapan ramai, seorang wanita berpendidikan tinggi akhirnya memusnahkan kepercayaan dan meruntuhkan harapan dek sebuah skandal yang mengaibkan. Sabtu ini, insyallah saya turun mengundi. Dengan semangat berkobar-kobar, saya doakan calon pilihan saya kali ini tidak mengecewakan. Walau tidak mengenali mereka, saya serahkan pilihan ini kepada kuasa Yang Maha Mengerti.


P99 AMPANG

1. Azman Wahid (BN)
2. Zuraida Kamarudin (PKR)


N20 LEMBAH JAYA

1. Khasim Abdul Aziz (Pas)
2. Datuk Ismail Kijo (BN)

Tuesday, March 4, 2008

Pantai, laut dan kehidupan




Kami sekeluarga memang kaki pantai. Cuma selepas peristiwa Tsunami, kami sifarkan aktiviti ke pantai. Sekarang perasaan takutkan laut masih belum hilang tapi sudah agak berani.Gambar-gambar ini diambil sekitar Setiu Terengganu dan Batu Layar Johor. Hidup bagai pantai dan lautan. Pantai yang luas di tepi lautan mendamaikan hati dan perasaan. Namun, bila lautan bergelora dan ombak besar menghempas pantai, hati jadi tak keruan. Ujian, cubaan dan dugaan dalam kehidupan umpama ombak di lautan. Kehidupan yang tenang dan selesa boleh tergugat dengan ujian atau dugaan. Jauh di sudut hati, berdoa agar ujian yang diberi setimpal dengan kekuatan keimanan pada qada dan qadar Ilahi. Terimbau pula ingatan pada arwah Kak Long yang meninggal dunia Mac 2003 diikuti abah Julai tahun yang sama. Betapa berat ujian yang menimpa kami sekeluarga terutama emak. Anak sulung tersayang dan suami tercinta dijemput Allah dalam masa empat bulan. Selepas 2003, pantai kehidupan kami tidak begitu ceria. Ombak kegirangan beralun amat perlahan. Kami adik beradik cuba menceriakan suasana semampu mungkin. Namun, kenangan pada arwah-arwah menyelusup hadir. Apa sahaja yang dialami, dirasai, dinikmati...pasti teringat pada arwah berdua. Kenikmatan beransur menjadi seminimum mungkin. Al Fatihah dikirim...

Resepi Istimewa


Lauk utama
Nasi Daging
Sabtu dan Ahad adalah hari memasak. Masakan istimewa. Saya memang tidak kreatif dalam mempelbagaikan menu dan memang tidak pandai sebenarnya. Lebih tepat, malas. Tetapi, rasa kasihan pada anak-anak menarik kaki saya ke dapur. Nasi Daging menjadi menu istimewa tengahari Ahad. Daging direbus bersama rempah ratus dan ditanak dengan beras. Ayam madu sambal, pajeri nenas dan jelatah timun menjadi lauk utama. Petangnya, bubur kacang hijau. Puas hati bila semua menu habis dimakan. Tinggal semangkuk bubur kacang, disimpan dalam peti sejuk. Malam, selepas anak-anak masuk tidur, sambil berborak dengan suami di tepi kolam sudut ruang tamu, kami berduet menghirup bubur hingga licin. Teh O panas menghangatkan kesejukan bubur.

Terasa bahagia berhari minggu di rumah sendiri. Terpanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana hingga saat ini, masih diberi peluang untuk menikmati detik bahagia. Walaupun tidak kaya, namun rezeki kurniaanNya masih tetap mencukupi untuk kami anak beranak mencicipi sedikit kebahagiaan dunia, dalam dunia kecil keluarga sendiri. Lalu, terkenang emak di Serendah. Mungkin air mata mak tumpah malam ini, mengenangkan arwah abah. Sepi seorang isteri mendambakan keberadaan seorang suami di sisi. Moga Hj Ismail Mat dicucuri rahmatNya. Moga abah sedang berbahagia di dunia sana. Moga kita bertemu dan dapat menikmati resepi istimewa Syurga. Insyallah.



Bunga sebagai terapi




Bunga adalah terapi buat saya. Melur, mawar, kesidang, tanjung antara bunga kegemaran. Bila rasa tertekan, sedih, sunyi...bunga dapat memulihkan semangat. Ahad lepas, suami habis RM230 untuk menghijaukan laman. Namun, hajat hati untuk membeli sepokok kesidang ditangguhkan. Satu pasu RM50, jadi hanya gambar dirakam buat penyeri entri kali ini. Dua pasu mawar menjadi penyambut tetamu di pintu kayu rumah kami. Kuning air dan merah menjadi pilihan. Bunganya sedang mengembang pagi ini. Harumnya sungguh halus. Namun hidung suami gagal menghidu bau mawar. Mungkin hanya wanita sahaja yang mampu mengesan keharuman halus mawar. Wanita kan halus dan harum. Umpama mawar.