Monday, February 28, 2011

Mesej Terakhir-26 Februari-TV3-10 malam

Cerekarama ini bunyinya dan kelihatannya menarik. Para pelakonnya ada peminat tersendiri: Rita Rudaini dan Tiz Zaqyah. Sama cantik, sama berpesonaliti.

Saya promosi cerekarama ini kepada emak, peminat setia cerita Melayu. Emak kelihatan teruja mendengar nama Rita Rudaini. Satu kapal agaknya, maksud saya orang utara...Emak lihat jam dinding. Akademi Quran habis siarannya pukul 10 malam. Sedang elok, kata emak. Emak berbaring di sebelah saya.

Rita bangun pagi, dikejut suaminya, Zafrul. Suaminya akan berangkat ke utara, ada projek yang belum selesai. Rita sediakan sarapan. Zafrul puji melambung isterinya. Zafrul tergesa-gesa, makan cuma sesudu mee goreng. Penat Rita masak! Di dalam kereta, Zafrul bermesej sambil tersengih-sengih. Rupanya sedang bermesej dengan si cantik Tiz yang setia menunggu. Kemalangan berlaku. Zafrul meninggal dunia. Tiz menunggu bagai nak rak. Rita menderita. Seminggu, dua minggu...Rita sangat rindukan Zafrul...hinggalah Rita membaca mesej di dalam handphone Zafrul...ada mesej berbau cinta, rindu, sayang seorang pesaing. Hilang rasa sedih, timbul rasa dendam, benci, sakit hati di hati Rita terhadap Zafrul. Sampai hati Zafrul menduakan Rita. Walaupun Zafrul sudah tiada di dunia ini namun kebencian Rita tidak bertepi. Anaknya diabaikan! Kasihan anak mereka, menuntut perhatian ibunya yang sedang menderita jiwa raga. Tiz setia menunggu tanpa mengetahui kematian Zafrul. Dudanya, Fizz Fairuz kembali menagih cinta Tiz. Fizz telah berubah. Ingin kembali kepada Tiz. Tapi hati Tiz telah tertutup. Hatinya hanya pada Zafrul...Kasihan. Buat beberapa ketika, Rita membiarkan mesej-mesej rindu Tiz pada Zafrul. Akhirnya, atas nasihat Amyza Adnan, Rita nekad menemui Tiz. Diaturkan satu temu janji di tempat biasa pertemuan Tiz dan Zafrul. Mereka bertemu empat mata. Kematian Zafrul dimaklumkan. Tiz keluar dari restoran. Fizz menghulurkan topi keledar kepada Tiz. Tiz terima......

Begitulah sinopsis saya tentang cerekarama ini.

Saya beri 2 daripada 5 bintang. 1 untuk barisan pelakon. 1 lagi untuk temanya.

3 lagi? Tolak 1 untuk jalan cerita yang agak perlahan dan berulang-ulang. Contohnya babak Tiz berbual dengan emaknya, Maimunah tentang hubungan Tiz dan Zafrul. Babak ini berulang 2 ke 3 kali. Mungkin 4.

Tolak 1 untuk penghayatan yang tidak mendalam dan tidak menyengat. Kesedihan Rita dan penyeksaan penantian Tiz tidak begitu menjadi. Ceh..ceh..ceh..komen yang agak melampau!

Tolak 1 lagi untuk hambarnya pertemuan 4 mata Rita dan Tiz di hujung cerita. Lansung tiada unsur suspen! Saya fikir tentu itu klimaksnya. Tetapi jangkaan saya meleset. Kalau saya jadi pengarah, saya akan meminta Tiz berjalan masuk ke dalam restoran, mencari-cari Zafrul seperti orang gila. Tetapi hampa, kelibat Zafrul tidak kelihatan. Tiz kecewa, berjalan keluar. Semasa sedang menuju keluar dari restoran, mata Tiz bertembung dengan mata Rita yang kemerahan dengan air mata bergenang...Tiz berhenti di hadapan Rita. Hati masing-masing berbicara. Tanpa ada suara, Tiz duduk di hadapan Rita yang memegang gambar Tiz. Dan Tiz tahu, wanita itu ialah isteri Zafrul...

Saya fikir saya boleh mengarah drama tersebut. Pasti menang Anugerah...sudahlah mak cik, tanda kertas ujian lagi banyak faedahnya....

Sebelum saya menanda kertas ujian, saya ingin merakamkan di sini dialog adik lelaki saya, Haji Firdaus semasa kami sedang menonton cerekarama ini.

"Apalah pompuan ni, suami dah mati pun, nak benci-benci. Leceh betul pompuan ni..."

Itulah ayat tipikal mana-mana lelaki yang ada 1 nafsu 9 akal.

Kita yang ada 9 emosi dan 1 akal, pasti akan terkenang-kenang dan terfikir-fikir, kalaulah cerita ini berlaku kepadaku, bagaimanakah keadaanku waktu itu.....

Sunday, February 27, 2011

Tidak Perlu Bertanya

Antara saya dan emak, banyak perbezaannya. Emak saya berkulit cerah. Berhidung mancung. Rajin. Tangkas. Pandai memasak.

Saya berkulit ala-ala Cheryl Samad. Hidung tidak mancung tetapi alhamdulillah, boleh bernafas, Agak rajin tetapi lebih banyak malas. Sukakan ketangkasan tetapi kurang stamina. Suka makan masakan emak walau agak pandai memasak tetapi di hujung minggu sahaja.

Nampak perbezaannya?

Emak tidak begitu pandai menunjukkan kasih sayangnya kepada anak-anak melalui pelukan atau sentuhan. Emak menterjemahkan kasih sayangnya melalui masakan yang enak, layanan yang mesra dan barang-barang yang dihadiahkan kepada kami adik beradik. Tidak perlu bertanya adakah emak menyayangi kami? Jawapannya sedia ada, agak tersirat...

Pagi tadi, saya bersarapan bersama-sama emak di Serendah. Saya tidak mahu menyusahkan emak lalu saya meminta anak yang sulung ke gerai membeli roti canai. Rupa-rupanya emak telah pun menggoreng nasi dan cucur udang. Lauk pauk semalam dipanaskan. Terhidang di atas meja, sambal tumis udang, kari daging, sayur campur dan ikan terubuk goreng.

"Mak, Ani ada nak tanya ni, mak perasan tak masa Ani kecil dulu, kenapa ye baju Ani mesti lain warnanya dari arwah Kak Long dan Adik?" tanya saya pada emak. Ketika membelek album lama, banyak kepingan gambar yang merakamkan perbezaan warna baju kami tiga beradik. Kami bertiga memakai gaun yang sama tetapi gaun saya berwarna coklat. Di sekeping gambar lain, kami memakai t-shirt dan seluar panjang yang sama potongannya tetapi T-shirt saya berwarna hijau. Yang dua lagi berwarna merah.

"Entahlah, mak dah tak ingat..Tapi mungkin masa tu, Ani dah pandai memilih. Yang emak ingat, Ani kalau nakkan sesuatu mesti dapat!", balas emak. Saya lihat air mukanya berubah. Nasi goreng di dalam pinggan dikais-kaisnya. Seolah-olah hilang selera makan.

"Emak tak pernah tanya Tok Teh, kenapa Tok Teh tak bela mak masa mak kecik. Kenapa Tok Nek yang bela? Mungkin ada sebab kenapa Tok Teh tak nak bela. Tak perlu bertanya..." tiba-tiba emak menyambung.

Saya tersentak. Allah...emak sudah salah sangka pertanyaan saya. Emak mungkin beranggapan yang saya mempertikaikan layanan emak terhadap saya semasa kecil.

"Emak, ani bertanya tu bukan sebab apa-apa mak. Ani cuma nak tau kenapa berbeza. Bukannya ada maksud lain. Betullah tu, Tok Teh tak bela emak mungkin sebab suami barunya tak selesa dengan anak tiri..." cepat-cepat saya menjustifikasikan soalan saya tadi.

"Abah yang suka Ani lain dari yang lain. Tapi bukan abah aje buat keputusan, mak pun sama-sama setuju.." terang emak dengan raut wajah yang kembali selesa...

Tidak perlu bertanya, saya memang anak abah. Dari segi rupa hinggalah ketingkah laku, hampir semuanya sama.

Namun, satu perubahan besar antara saya dan emak, sejak pulang dari Mekah, kami semakin mesra berkomunikasi dan berbincang mengenai banyak benda sehinggalah kepada hal suami isteri...

Syukur Ya Allah, mulut ini yang suka bertanya, akhirnya meleraikan beberapa persoalan yang belum terungkai...


Friday, February 25, 2011

Nyanyi Sunyi

Saya sedang ber'nyanyi sunyi'.

Karya terbaharu Dr. Maskiah Masrom membawa hati saya jauh mengembara ke dalam dunia sastera Melayu klasik Raja Ali Haji, puisi indah Sohaimi Meor Hassan, nyanyian rakyat Aripin Said, lagu Warisan Sudirman Haji Arsyad dan banyak lagi...

Saya terpaut untuk membaca dan meyelami kisah Cempaka sejurus membaca baris-baris pertama novel tersebut. Betapa Dr. Maskiah Masrom bijak menawan hati pembaca dengan ayat-ayat kukuh dan meyakinkan.

Saya akan membaca sehingga selesai dan akan memberikan sedikit pandangan kerana itulah permintaan penulisnya. Sudah tentu pandangan saya itu adalah pandangan biasa-biasa sahaja dan tidaklah setanding dengan ilmu penulisnya.

Bagi saya, Nyanyi Sunyi perlu diselami dan dihayati.

Terima kasih Sal kerana meminjamkan Kak Ani novel baharu Dr. Maskiah Masrom.

Wednesday, February 23, 2011

Kekuatan & Ketenangan

Pentingnya dua elemen di atas dalam kehidupan seharian kita memang tidak dapat dinafikan. Saya seorang yang kalut. Haji Jalaludin, pakar protokol yang dijemput Kelab Inspirasi minggu lepas, melihat saya seorang yang perfectionist. Katanya lagi saya dibayangi unsur-unsur lelaki. Inginkan sesuatu terhasil dengan cepat. Jika ada masalah, ia perlu diselesaikan di situ juga. Tiada kompromi. Ash, exco Kelab Inspirasi mengangguk laju mengiakan kata-kata Hj Jalal. Saya sendiri sangsi yang saya seorang perfectionist. Tetapi saya setuju tentang saya mahukan penyelesaian yang cepat apabila ditimpa ujian atau cabaran.

Telah banyak episod dalam hidup ini diakhiri dengan penyelesaian segera. Dan saya tidak pernah menyesal walau apapun hasilnya. Bagi saya setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya walau mungkin hikmah tersebut tidak dapat dipastikan sehinggalah ke nafas terakhir...

Mengapa saya begitu? Saya seorang yang kalut. Itu mungkin jawapannya. Apabila diuji Allah, saya hilang kekuatan, terbang keyakinan. Namun saya masih boleh berfikir, saya ini sedang diuji. Adakah saya hanya akan menyerah segalanya pada takdir semata-mata tanpa berusaha? Saya akan mencari penyelesaian segera. Saya akan merancang dalam masa yang singkat. Dan saya akan melaksanakannya dengan kadar segera amat. Bagi saya jika saya menangguh-nangguhkan peyelesaian ujian tersebut, hari esok yang mendatang adalah belum pasti dapat dilalui dengan kekuatan dan ketenangan.

Sebagai contoh, Khairil, bekas exco Kelab Inspirasi meminta saya menjadi moderator sebuah forum "Islamophobia: Persepsi Negatif Yang Disengajakan" dan dia mengesahkan pelantikan saya dua hari sebelum tarikh forum. Subhanallah, saya tahu apa itu Islamophobia tetapi hakikatnya seorang moderator perlu memahami topik dengan mendalam sebelum boleh mengemudi sebuah forum. Saya jadi kalut. Saya perlukan kekuatan dan ketenangan. Kerja pejabat yang tidak surut, tugasan dan ujian pelajar, dan pelbagai ujian hidup lain mengelilingi saya pada masa yang sama. Dan, LIM JOOI SOON ialah salah seorang panelisnya. USTAZ KAMARULZAMAN yang kaya ilmu itu juga menggugat jiwa saya yang tidak kuat dan tidak tenang. Khairil betul-betul berharap saya menerima pelantikan tersebut. Wajahnya serius mengharap.

Pada masa itu, saya hanya perlukan kekuatan dan ketenangan. Allah maha memahami, Allah maha mengasihani. Saya berjaya mengumpul kekuatan dan ketenangan yang saya harapkan dan alhamdulillah ya Allah, forum berjalan lancar..Saya sendiri banyak belajar perkara baru dari dua orang panelis yang sama hebat dalam bidang masing-masing. Subhanallah, walhamdulillah, walailahaillallah waAllahhuakbar!

Saturday, February 19, 2011

Edisi Lewat

Ini edisi lewat, trauma banjir melewatkannya. Saya berdiri di hadapan lautan air teh susu yang garang membidas apa sahaja yang menghalang laluannya. Air juga makhluk Allah, berkerja kerana Allah.



Tempat parkir kereta Klinik Kesihatan Segamat. Ketika mengambil gambar ini, sepasang suami isteri berbangsa India berdiri di sebelah saya. Mereka rupanya kakitangan klinik tersebut. Mereka ingin cuba memasuki kawasan klinik bagi menyelamatkan peralatan dan ubatan.

Medan Selera. Kedai Makan Hajah Nafisah yang menyediakan nasi lemak sambal sotong turut tidak terkecuali.



Air yang melimpah dari tebing Sungai Kapeh. Jalan utama dari Jementah ke Segamat terputus terus.



Berpayung sambil memerhatikan gerakan air.
Ya Allah, sudah dua kali Segamat dilanda banjir besar. Apabila Dikau katakan Jadi! maka Jadilah ia...KekuasaanMu meliputi segala yang di langit dan di bumi. Ampunkan dosa-dosa kami Ya Allah dan peliharalah kami daripada musibah yang lebih besar; musibah kehilangan iman dan Islam...



Komunikasi Efektif, Mahasiswa Produktif

Pagi ini Kelab Inspirasi akan menganjurkan seminar di atas. Saya diminta memberi ucapan penutup. Saya akan ke Majlis Perasmian dahulu, melihat-lihat isi kandungan seminar, mendengar sebentar pengisian seminar dan saya akan buat kesimpulan untuk penutup nanti.

Pukul 9, Puan Roza akan menceritakan tentang Mencari Cinta Abadi, dan saya tambah Cinta Hakiki. Saya berminat untuk mendengarnya. Saya ingin mencari cinta hakiki...Cinta dunia sementara cuma dan hanyalah pinjaman dari Allah swt.

Harapnya saya dapat ambil keberkatan kedua-dua majlis ilmu tersebut....

Friday, February 18, 2011

Makan-makan


Daging lada hitam, 2 in 1, lauk dan sayur


Bendi goreng


Sambal ikan bawal



Kebab ala Madinah


Susu rendah lemak. Kegemaran saya. Cuba cari perbezaannya...


Anak Dara


Inilah anak dara saya yang sentiasa saya bawa ke sana ke mari..Dia sentiasa menemani saya dan dialah penguat semangat saya. Gambar ini diambil di rumah tamu UiTM Kuala Pilah. Saya diminta memberi ceramah tentang Akta 174 sewaktu Minggu Destini Siswa akhir tahun lepas selepas dua minggu pulang dari Mekah. Saya diberi slot malam. Memikirkan yang saya terpaksa berpergian bersama-sama pemandu lelaki, saya mengajak Fatihah menemani saya. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, dia terus bersetuju.
Semasa dia masih kecil, sewaktu ketiadaan Bibik, saya terpaksa membawanya ke dalam kelas. Dia akan duduk di kerusi paling belakang bersama-sama pen dan kertas dan dialah pelajar UiTMJ yang paling cilik. Dia akan tekun menulis, mewarna dan mengira sehingga selesai kuliah. Prof Madya Yusri, itulah kali pertama dan terakhir saya bawa dia ke kuliah, atas dasar terpaksa....
Dia juga sentiasa menyertai mesyuarat bersama-sama Kelab Inspirasi.
Hasilnya, dia ingin menjadi Pelajar UiTMJ, Pensyarah UiTMJ dan Penasihat Kelab Inspirasi UiTMJ.
Saya kata padanya...ala kakak, pergilah belajar jauh-jauh dulu, Arab Saudi ke...bolehlah mama buat umrah selalu. Bila mama dah tua nanti, mama nak jadi visiting lecturer (ada ke?) di Universiti Mekah atau Madinah...Rindu pada Mekah dan Madinah saya panjangkan dengan memberi cadangan kepadanya...
Kakak, mama doakan Kakak jadi wanita solehah, beriman dan bertakwa sehingga ke akhir hayat...
Kakaklah penawar mama, sijantung hati dan penguat semangat mama..

Patutkah saya kembali ke dunia guaman?

Sejak pulang dari Tanah Haram, banyak kisah berkaitan undang-undang sampai ke pengetahuan saya. Kisah-kisah yang disampaikan sendiri oleh tuan punya badan. Kebanyakkannya kes suami isteri.

Puan XX atau patutkah saya memanggilnya Cik XX kerana beliau telahpun berpisah dengan bekas suaminya. Cik XX menelefon saya semasa saya sedang memberi syarahan kepada pelajar. Saya menghubunginya kembali setelah selesai kuliah.

"Ani, tolong carikan peguam Ni...nak tuntut nafkah anak-anak...dah 4 bulan dia tak bagi belanja.." keluh Cik XX.

"Suami saya nak kahwin lagi, Ani...dengan pembantu kedainya.." adu Puan ZZ pula. Suami Puan ZZ adalah pemilik sebuah restoran makanan Thai.

"Dia dah kahwin Ani, masa tu I pergi konferen kat Turki seminggu..." terang Puan NN dalam esak tangis yang sangat sayu...

Hati saya terusik dengan kisah-kisah di atas. Semuanya meminta saya memberi pendapat. Apa yang boleh saya katakan? Saya teringatkan lagu InsyaAllah nyanyian Maher Zain.

Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost and that you're so alone
All you see is night and darkness all around
You feel so helpless you cant see which way to go

Dont despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
InsyaAllah, insyaAllah, insyaAllah
You'll find your way...

Saya terfikirkan janji-janji yang dimeterai seorang lelaki semasa menikahi isterinya...

For the rest of my life
I'll be with you
I'll stay by your side honest and true
Till the end of my time
I'll be loving you, loving you...

Patutkah saya kembali ke dunia guaman?