Thursday, November 1, 2012

Pantai itu

Pantai itu
Tanpa deruan ombak
Tanpa deraian pasir
Tanpa puput bayu
Tanpa desir angin
Tanpa taburan cengkerang
Tanpa senget ketam berlari sembunyi
Tanpa panah terik mentari
Tanpa sirna terang bulan
Tanpa apa-apa
Yang ada
Belas Allah cuma...

Monday, September 17, 2012

Ia Datang Lagi

Khabarnya jemaah Haji 2012 pertama akan berangkat hari ini,17 september. Perasaan teruja  dua tahun lepas kembali memenuhi ruang hati, mengisi penuh kotak memori...Khabarnya juga wukuf jatuh pada 25 oktober dan Aidiladha pula bakal melebarkan sayap rahmat Allah pada 26 oktober..

Ia datang lagi
Menjemput hatiku pergi

Selamat berjuang semua jemaah haji..

Tuesday, May 22, 2012

Salam 1 Rejab

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”


Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”

Semua bulan Islam ada keistimewaan tersendiri. Bulan Rejab, Sya'ban, Ramadan adalah antara bulan yang dinanti.

Berbahagialah jiwa, tenanglah hati, lapanglah dada...

Monday, April 16, 2012

Lelah

Saat ini saya mencemburui seorang teman. Tentu dia sekarang sedang berdiri sebagai seorang hamba yang sangat lemah di hadapan Allah di karpet hijau di taman syurga. Atau mungkin dia sedang sujud khusyuk mendoakan keselamatannya di dunia dan di akhirat. Mungkin juga dia sedang menyudahkan zikir-zikir terakhir dalam solat sunat tasbihnya..Atau mungkin juga dia sedang berusaha menekuni ayat-ayat suci Al Quran di sebalik tiang yang jauh dari lelah dunia...
Teman, saya rindukan saat-saat itu...saat dimana saya dapat merasai kenikmatan hidup dunia yang penuh ujian dengan perasaan yang betul-betul nikmat!

Tuesday, January 17, 2012

Sasaran yang tersasar

Sejujurnya, setiap kali ada penerbit atau penjual buku membuka booth di sini, saya tidak pernah ketinggalan membelek-belek buku baharu dan seterusnya membeli satu, dua atau tiga. Sentiasa ada ruang kosong yang selesa untuk saya menyelak sehelai dua muka surat buku-buku yang menarik perhatian. Tiada hiruk pikuk.

Semalam dan hari ini berlangsung lagi penjualan buku. Tapi kali ini agak luar biasa. Ramai siswi daripada siswa. Mereka bukan sekadar membelek-belek buku malah berbual-bual gembira. Mereka turut memegang beberapa buah buku yang berjaya menawan hati. Mereka kelihatan teruja. Hendak menyelit meninjau-ninjau buku pun kelihatan agak payah terutama waktu-waktu selepas kuliah berakhir. Mereka mengelilingi meja yang dipenuhi ratusan buku-buku. Tetapi mereka tidak membayar menggunakan duit tunai sebaliknya baucer buku yang bernilai RM200.

Pernah terbaca dalam surat khabar, kabarnya, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi iaitu Datuk Saifuddin Abdullah menegaskan bahawa baucer buku ini hanya boleh digunakan untuk tujuan beli buku teks dan juga buku rujukan sahaja. Tujuan baucer buku ini diberikan adalah untuk meringankan beban pelajar yang terdiri daripada golongan yang berpendapatan rendah. Selain itu, dengan pemberian baucer ini sekali gus dapat memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.

Selama 20 minit saya membuat pemerhatian. Saya berjaya membuat satu rumusan. Ia tidak seperti yang diharapkan.

Lalu, bagaimana?

Friday, January 6, 2012

Salah Faham

Apabila timbul sesuatu isu, komunikasi dua hala adalah jalan terbaik untuk mencari penyelesaian segera. Berbincang melalui emel atau mesej dianggap sesuai bagi sebahagian isu. Namun merbahaya bagi sesetengah isu lain. Lain yang ditulis dan dimaksudkan, lain pula pemahaman si penerima. Salah faham mula muncul. Komunikasi secara bertentang mata adalah lebih sesuai untuk mengelakkan salah faham. Namun, sekiranya jalan yang diambil itu tidak berjaya, mediator atau perunding hendaklah dilantik. Ia juga dipanggil Sulh. Perunding ini mestilah seseorang yang tidak mempunyai kepentingan ke atas mana-mana pihak. Beliau mesti zero bias.

Sekiranya ada antara kita yang ingin memahami punca isu, pendekatan yang terbaik ialah memahaminya dari sumber yang terapat dan yang boleh dipercayai. Bukannya mendengar dari pihak ke tiga yang tidak berada di tempat kejadian atau yang tidak terlibat secara langsung dengan isu yang timbul itu. Sekiranya ini terjadi, akan banyak salah faham yang akan mengundang implikasi lebih buruk. Memahami isu dengan hanya membaca dari internet atau laman sesawang sebahagian individu juga boleh menerbitkan kekeliruan. Fakta boleh ditambah. Boleh dikurangkan. Boleh juga diseleweng.

Salah faham tentang sesuatu isu adalah amat merugikan. Rugi tenaga positif. Tambah nilai negatif.

Akhirnya huru hara.

Thursday, January 5, 2012

GAGAL

Penat mencuba tetapi terus gagal.

Perlukah terus mencuba? Akan terus gagalkah andai cuba dan cuba lagi?

Pernahkah saudara/i cuba mengusahakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan sanggup melakukan apa sahaja namun hasilnya masih terus mengecewakan? Pernahkah terfikir kenapa kegagalan terus menerus terjadi?

Di sebalik semua kegagalan, hati masih berkata teruskan, teruskan, jangan mengalah. Apabila gagal lagi, hati sangat kecewa dan terduduk seketika merenung ke belakang, apa punca diri ini gagal lagi? Hati ditanya, kenapa tiada ketabahan? Kenapa kurang kekuatan? Apakah yang diusahakan itu sebenarnya memang tidak mampu dilakukan? Atau mencuba sekadar untuk mencuba?

Umur bertambah. Dosa juga.

Tuesday, January 3, 2012

KEMBALI

Assalamualaikum rakan semua.

Saya kembali.

Bukankah saya sudah menegaskan 'hijau selamanya' dalam posting saya sebelum ini? Abaikan sahaja dua ayat pertama perenggan terakhir dalam posting tersebut. Manusia memang selalu terlepas cakap.

Ada beberapa isu yang memanggil-manggil hati saya untuk kembali menulis. Isu Anwar, isu SMM di UPSI, isu rusuhan di China, isu pilihanraya, isu anak didera. Maknanya hati saya mudah diusik jika ia melibatkan undang-undang. Memang sebati.

Ini adalah bicara permulaan buat kembalinya saya ke dunia blog.

Salam 2012.

"Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya, yang sedia bersih itu, bertambah-tambah bersih. Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya, yang sedia bersih itu, susut dan terbenam kebersihannya."- As Syams: 9-10