Saturday, July 26, 2008

Hak kanak-kanak (3)


Bukankah ibu bapa pelindung terbaik bagi kanak-kanak? Ibu bapa seharusnya melindungi anak-anak mereka di dalam dan di luar rumah. Namun, kalau ibu bapa sendiri sanggup membunuh anak-anak mereka yang tidak berdosa, wajarkah mereka dipanggil ibu bapa?

Saya jenuh beremosi apabila didatangi berita ibubapa mengambil nyawa zuriat mereka dengan pelbagai cara. Ada yang meracuni, menjerut leher...Ya Tuhan, tidak terdaya otak ini mengingati cara pembunuhan yang amat kejam terhadap insan kecil bergelar kanak-kanak. Bayi baru lahir yang ditinggal begitu sahaja di tong-tong sampah, di gigit serangga, itu cerita sedih lain...

Apa yang telah terjadi kepada institusi kecil keluarga kita? Kerana kesibukan kita? Kerana kecuaian kita?

Mungkin ramai yang masih ingat kes pembunuhan Ying-Ying yang berumur 3 tahun. Ibunya sendiri adalah suspek utama. Kes di Pulau Pinang, seorang ibu menjerut leher dua anak mereka gara-gara kecurangan suami bermain kayu tiga. Dan yang terbaharu, berlaku di Parit Kasa, Nibong Tebal (saya terkejut kerana Parit Kasa adalah antara tempat yang ’wajib singgah’ apabila kami balik melawat saudara mara). Seorang ayah dan dua anak kecil mati dalam keadaan yang menyedihkan. Namun, kes ini masih dalam siasatan. Kita belum pasti lagi cerita sebenarnya.

Artikel 19 Konvensyen Hak Kanak-Kanak memperuntukkan bahawa kanak-kanak mestilah dilindungi dari segala bentuk keganasan, pengabaian, pengeksploitasian, pecabulan walau semasa berada di dalam jagaan ibubapa. Seksyen 28 Akta Kanak-Kanak 2001 pula mewajibkan mana-mana ahli keluarga yang mensyaki ada keganasan atau pengabaian berlaku pada kanak-kanak agar melaporkan kepada Pegawai Polis.

Dalam kes di Parit Kasa, tidakkah siibu dapat menghidu sesuatu yang buruk bakal berlaku? Arwah suaminya dikatakan mengambil anak perempuan mereka di rumah pengasuh.

Namun, apa yang berlaku dalam sesebuah rumah selalunya dianggap urusan peribadi. Jangan ada yang campur tangan, buruk padahnya. Nah, akibat takut dianggap menjaga tepi kain orang, kanak-kanak sering dilupakan begitu sahaja. Akibatnya, bukan setakat fizikal, mental juga tercedera.

Kasihan kanak-kanak…”they are seen, but not heard”

Talian Nur 15999 mungkin jawapan bagi kita yang ingin membantu kanak-kanak mangsa dera atau keganasan ibubapa atau penjaga sendiri.

Saya pernah mnenukilan sebuah sajak ringkas yang lurus bendul sebaik saja mendengar berita di radio mengenai seorang kanak-kanak yang didera pengasuh sekitar 2006. Ibubapa kanak-kanak tersebut telah bercerai. Lalu, anak mereka diserah kepada jiran. Anak orang tidak sama seperti anak sendiri. Mungkin kerana tertekan kerana ibubapa sebenar tidak langsung menjenguk atau mengirim wang belanja, anak malang itu didera...


Pagi itu, tidak seperti biasa
Komputer dibuka, ditatap sahaja
Hati bergetar menahan geram membara
Bila terdengar berita dicorong radio di dalam kereta
Ada anak kecil mati didera
Mengalir air mata tanpa dipinta
Mengganggu emosi ceria hari nan bahagia…

Di bilik rehat, kalau hari-hari sebelumnya,
Nampak surat khabar terus disambar
Tetapi tidak hari ini, pandanganku hambar
Naluri keibuanku tercalar
Berita yang ku dengar di corong radio tadi…
Anak kecil itu, tanpa dikasihani,tanpa dikasihi
Didera penjaga sehingga mati
Masih terus menghantui…

Di kelas, semasa memberi tunjuk ajar kepada anak bangsa
Fikiranku terlayang , terbayang si kecil
Andai ibubapa yang terputus kasih,
Terus membelai menitip sayang
Mendidik mengasuh penuh harapan
Tidak jadikan perpisahan satu alasan,
Anak kecil itu, mungkin satu hari nanti
Menjadi pelajarku yang dahagakan ilmu
Menjadi orang besar berakhlak mulia
Atau menjadi seorang bapa yang tidak alpa

Namun, takdir telah berlalu
Anak kecil itu yang sepatutnya pada hari ini
Bangun tidur meminta susu, minta didukung
Ingin bermanja dengan si ibu
Telah diambil kembali mengadap Ilahi
Dalam usia sekecil ini
Merasa sengsara ujian menimpa
Merintih mengharap belas dan ikhsan
Namun terkulai terlerai impian

Wahai sikecil
Berbahagialah kau disisi Ilahi
Pemergianmu ditangisi, kehilanganmu dikesali
Bergembiralah kau di sana,
Bebas dilanda ujian dunia


Ya Tuhan, moga semua ibubapa yang sibuk mencari rezeki, yang tiada jodoh lagi, diberi kekuatan untuk menjaga amanahMu sebaik mungkin...Insyallah

sumber gambar dari internet

Friday, July 25, 2008

Wanita dan kelebihan diri anugerah Ilahi

Malam semalam, semasa memandu ke UiTM Johor bagi meraikan ahli baru Kelab Inspirasi, saya mendengar Sinar FM. Kebetulan lagu Inul ke udara . Lirik lagu nyanyian Inul itu saya dengar elok-elok

“Dangdut tanpa goyang
Bagai sayur tanpa garam”

Ishh ishh ishh sayur tanpa garam memang tak sedap!

Dangdut tanpa goyang? Macam tengok nasyid agaknya. Tapi ok apa? Terhibur juga hati walau penyanyi nasyid tegak berdiri…sebab yang kita tonton ialah personalitinya, pakaiannya, rupanya. Yang kita dengar ialah suaranya, lirik lagunya…

Saya fikir penonton Inul pasti datang untuk melihat goyangan 360 darjahnya tu. Memang mendebarkan…Inul sampai terpengsan-pengsan sebab sedih bangat konsertnya dibatalkan. Mungkin Inul setuju berkonsert di Malaysia kerana terkenangkan ratusan ribuan rakyat Indonesia yang berada di sini. Demi saudara senegara tercinta mungkin.

Tapi Rhoma Irama tidak perlu bergoyang pun. Ramai juga peminatnya. Lirik dangdutnya menginsafkan.

Inul menggunakan kecantikan tubuh badannya untuk mengaut keuntungan. Suaranya biasa-biasa sahaja. Merdu lagi suara Hetty Koes Endang dan Endang Estaurina. Ramai lagi sebenarnya yang mengambil kesempatan kelebihan diri bagi mendapat hasil pendapatan lumayan dalam sekelip mata. Ada yang positif, banyak yang negatif. Kebetulan pula, mata manusia memang suka yang cantik mulus. Itu adat manusia.

Tapi Inul mungkin lupa atau cuai, kecantikan tubuh badannya yang ditutup dengan cebisan kain yang dipotong dan dijahit mengikut bentuk dan goyang gerudinya yang dipamer secara berlebihan amat bertentangan dengan adat dan budaya Melayu Muslim.

Cuba lihat Siti Nurhaliza. Mengapa pula saya bandingkan Inul dangan Siti? Mereka membawa genre muzik yang berbeza tetapi mereka tetap perempuan, kedua-duanya penyanyi dan cantik. Dan saya belum pernah melihat Siti dengan pakaian yang keterlaluan. (untuk entri kali ini, lupakan isu tudung tak rupa tudungnya itu). Siti juga menari tetapi tariannya sopan (sopan dalam industri ini)

Saya setuju wanita sukakan sesuatu yang cantik dan terkini. Saya tidak terkecuali. Tetapi beringatlah, ada sahaja mata yang akan memandang. Ingatan ini untuk diri saya juga.

Apapun, rujuklah novel Manikam Kalbu karya Faisal Tahrani (boleh juga dibeli secara online melalui laman sawang Nisah Haron). Novel tersebut sarat dengan penerangan mengenai budaya pakaian Melayu Islam. (saya perlu baca lagi..kadang terlupa kadang ingat)

Atau rujuk sahaja lirik lagu Bunga Melur di sebelah kiri blog saya…(ingatan untuk saya lagi)

Tuesday, July 22, 2008

Cuti Sabtu dan Ahad: Duka Dalam Bahagia

Sekitar 2005, apabila kerajaan mengumumkan 5 hari bekerja bagi kakitangan awam, ramai yang gembira. Termasuklah saya yang tinggal berjauhan dari emak di Serendah dan keluarga mertua di Sg Sumun Perak.

Kerap juga kami pulang ke kampung atau membawa anak-anak bercuti. Emak seronok bila anak cucu selalu pulang melawat. Kami bahagia kerana boleh berehat bersama keluarga tersayang. Adik beradik berkumpul, bersama-sama ke pantai atau air terjun, makan-makan, bakar-bakar ikan, udang. Hujung minggu, mencuba resepi baru.

Hujung minggu lalu, kami ke Serendah. Melawat emak seperti biasa. Juga melawat Jun, sahabat UIA di Paya Jaras Sg Buloh, yang kematian ibu dan ayah yang sudah uzur. Singgah pula di Seremban melawat sahabat karib SMKA Sheikh Haji Mohd Said. Has baru 5 hari melahirkan anak ke 4. Kami pulang ke Segamat melalui jalan lama. Elak tol, bilang suami.

Perasaan saya sangat-sangat seronok kerana dapat berjumpa emak, adik-adik dan sahabat-sahabat. Dapat meluangkan masa, berbual-bual, mengimbau nostalgia lama, berkongsi cerita. Ia adalah satu terapi. Terapi setelah bekerja 5 hari seminggu.

Namun, saya terkejut bila suami berkata.."duit minyak je RM300, Ni."

Itu belum campur duit makan minum sepanjang perjalanan, jajan anak-anak, dan duit yang keluar untuk macam-macam hal lagi sepanjang dua hari bercuti.

Kenaikan harga minyak menyesakkan...Di zaman gawat begini, setiap ringgit yang keluar perlu bersebab. Saya yakin akan ada anak-anak yang mengeluh bila mengenangkan kos perjalanan melawat ibu bapa di kampung halaman. Mereka yang berkeluarga agak besar tentu perlu memasak terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Berhenti makan di RNR atau kedai makan di tepi jalan membuatkan kos bertambah naik. Harga sepinggan nasi putih, lauk, sayur dan teh o ais menjangkau RM6. Itu baru seorang, kalau berenam?

Tentu juga kekerapan melawat ibu bapa merosot. Ibu bapa mungkin tidak sanggup mengeluh kerana mereka juga tahu mengira kos yang terpaksa ditanggung anak-anak. Akhirnya, mungkin bila ketibaan Hari Raya Aidilfitri sahaja, semua ahli keluarga dapat berkumpul. Hujung tahun, terpaksa fikir tentang kasut, baju, buku sekolah pula. Pagi sekolah kebangsaan, petang sekolah agama. Duit tambang bas lagi. Tuisyen? Buku kerja tambahan? Ohhhh...

Bonus hujung tahun ini ada tak agaknya?

Tuesday, July 15, 2008

Along Yang Sihat (15 Julai 2008)

Selamat Ulang Tahun Kelahiran ke 11, Along.
Semoga sihat tubuh badan dan dijauhi penyakit.
Semoga menjadi lelaki soleh dan bertakwa.
Semoga berakhlak mulia persis Nabi Muhammad s.a.w.
Semoga berjaya dunia akhirat.
Semoga cepat khatam Quran.
Semoga menjadi Al-Tahfiz dalam usia remaja.
Semoga Along menjadi contoh terbaik untuk adik-adik.

Abah masak hari ni. Mama balik je dari kelas, tengok makanan dah terhidang atas meja.

Tom Yam Campur yang sungguh memikat.

Udang Goreng Kunyit campur Kacang Panjang yang membuka selera

Telur Bungkus (tapi nampak macam murtabak) yang sungguh fine!

Kuala Terengganu 13 Julai 2008

Saya suka Terengganu. Saya sukakan pemandangan di tepi jalanraya, lambaian pohon kelapa, damparan pasir memutih, alunan ombak di lautan luas, hembusan angin di tepian pantai, bayangan Pasar Payang yang meramah mesra (sudah tentu) dan segala-galanya di sana.

Bila sahaja diberitahu seorang kawan tentang Seminar Undang-Undang Kanak-kanak di Terengganu, saya terus menghantar borang penyertaan sebagai pembentang. 12 Julai 2008, pukul 3.30 petang, saya sampai ke bumi Kuala Terengganu.

Saya menetap begitu hampir dengan Pantai Batu Burok yang meriah dengan sekawan layang-layang yang terbang tinggi di langit biru. Sungguh indah.


Berjumpa dengan rakan-rakan baik dari seluruh tanah air yang meminati bidang yang sama amat mengujakan. Kami bukan setakat berkongsi ilmu pengetahuan, namun berkongsi minat membeli belah di Pasar Payang. Namun, terpaksa ditahan-tahan nafsu membeli belah.

Masuk Pasar dengan doa khusus. "Ya Allah, Aku memohon kepadaMu kebaikan apa yang ada di dalamnya, dan aku berlindung kepadaMu dari kejahatan pasar ini dan kejahatan apa yang ada dalamnya". Hasilnya, tiada sehelai batik sutera pun yang berjaya mengikut saya pulang ke Segamat. Telekung bersulam biru dengan harga yang amat berpatutan memikat hati untuk dijadikan hadiah sempena Ramadhan dan Syawal buat emak tersayang.


Selain keropok dan serunding, pasar ini juga dihujani buah durian. Sempat pula kawan-kawan berkenduri kecil durian di tengah Pasar Payang.

"Durian mana ni dik?" tanya saya.

"Durian Segamat, kak"

Tawa berderai.

"Korang kalau nak makan durian fresh, datang je Segamat. Petik je!"

Petikkk????


Friday, July 11, 2008

Jenaka Menghina



Saya membaca hampir kesemua akhbar harian secara on line dan menyelusuri aliran maklumat di alam siber. Saya tidak ketinggalan mengikuti hal-hal seputar politik tanah air. Saya percaya kepada kebebasan bersuara. Namun, saya juga percaya yang setiap kebebasan ada hadnya.

Kebelakangan ini saya sungguh sedih apabila membaca kandungan beberapa blog terkenal. Paling membuat saya beristighfar ialah apabila membaca komen-komen yang ditinggalkan oleh pembaca blog.

Isu liwat, larangan bersolek yang keterlaluan dan solat lima waktu semuanya ada kaitan dengan Islam. Isu ini menjadi begitu besar dan begitu global.

Beberapa pelawat blog telah membuat ulasan tersendiri yang saya fikir amat keterlaluan dan menghina agama yang saya anuti sejak lahir lagi. Saya sedih Islam telah dipandang remeh dan dijadikan bahan jenaka: diketawakan . Air mata mengalir kerana merasakan betapa Islam telah diperlekehkan.

Inilah antara kata-kata yang saya perturunkan(sumber dari internet):


1. Let me talk about good Muslim. Good muslim should 1. pray 5 times a day, if it's office hour, let the non-Muslim do all the jobs. 2. look closely and admire at those women who cover up their bodies as much as possibe. 3. Try to marry 4 wives if you are able to. 4. Commit crime only when there are less than 4 people (witnesses) around.

2. Let us look at this scenario: Two guys did a robery and 1 is a Muslim while the other is not. Both got caught and the Muslim guy has his hands cut off while the other is jailed for a certain period of time. Another scenario: A Muslim was wrongly accused for robbery. His hands got cut off. At the end of the day we will have many Muslims walking around Malaysia begging for money as their hands has been cut off. While the non Muslim ex-thieves has repented and doing well in life. Is this what we want? Syariah law may not be applicable in Malaysia. If anyone wants to live life under syariah laws then they should migrate to Saudi Arabia.

3. This is a civil case. Why are we discussing about the Islamic law? Is the syariah law supersedes the Civil law? Also, if swearing on the Quran can clear a person name then Malaysia prison will definitely be empty.

Hukum hakam Islam dijadikan gurauan. Mungkin yang memberi komen-komen di atas tidak faham betul dengan ajaran Al-Quran. Tetapi masih berminat untuk membuat ulasan. Hasilnya, penganut agama Islam seperti saya terasa...sungguh-sungguh terasa...

Rakyat Malaysia masih boleh hidup aman damai andainya masing-masing menghormati semua agama yang diamalkan di sini. Kebebasan beragama di jamin Perlembagaan.

Jadi tolonglah, hormatilah agama kami...

Titipan doa di pagi Jumaat

Setiap pagi bekerja, saya akan melewati sebuah tanah perkuburan di Lubok Batu.
Pagi ini, seperti dua Jumaat minggu-minggu sebelum, saya melihat tiga wanita bersimpuh di tepi sebuah kubur dengan tangan masing-masing memegang sebuah buku. Yaasin barangkali. Pasti kubur ahli keluarga terdekat. Serta merta saya teringat pada arwah abah dan kak long yang sudah 5 tahun meninggalkan kami tanpa mungkin kembali. Saya hanya mampu menziarahi ’rumah’ mereka apabila pulang ke Serendah. Itupun pada hujung minggu. Setengah jam di ’rumah’ mereka berupaya melepaskan rindu kami kepada kedua arwah.
Menziarahi kuburan pada pagi Jumaat mengikut beberapa Hadis, ada hikmah tersendiri.
Namun, hadis tersebut dikatakan hadis da’if.
“Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibubapanya atau salah seorang daripadanya pada setiap hari Jumaat, diampunkan baginya dan dia dicatat sebagai anak yang berbakti (terhadap orang tuanya). (Riwayat Hakim)
Anjuran menziarahi kubur, bagi saya adalah satu peringatan kecil buat kita yang masih hidup. Keheningan di tanah perkuburan membuat saya terfikir tentang jemputan maut Malaikat Izrail yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Saya juga sering terfikir tentang kehidupan di alam barzakh yang hanya Allah sahaja Yang Lebih Mengetahui. Bagaimana roh-roh arwah melayari kehidupan di sana tidak terjangkau oleh akal fikiran.
Allah berfirman dalam surah Al-Israa', ayat 85 yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
Apabila menziarahi kubur arwah abah, saya selalu berkomunikasi di dalam hati dengan harapan abah mendengar apa yang saya bualkan.
"Abah, Ani ni, maaf ye, sekali sekala je dapat ziarah abah. Ani, Shamsul dan anak-anak sihat...Ani berdoa abah selamat sejahtera di sini. Mak pun sihat...mak dah tak kuat sangat, naik tangga nak ke sini, lenguh-lenguh kaki mak...tapi insyallah selagi kami masih boleh bergerak, kami akan datang ziarah abah. Bah, Nurul dapat Diploma Kejururawatan. Mak nak dia jadi nurse, boleh rawat mak kalau mak sakit..."
Di hadapan kubur arwah kak long pula..
"Kak Long, anak-anak kak long dah besar. Umar kurus sikit, dia tak suka makan nasi. Tapi dia bijak kak long..Hakimi dah bersunat…lepas bersunat, badan dia naik, selera pun bertambah. Insyallah, bila Ani bercuti ke mana-mana, Ani akan bawa anak-anak kak long, biar mereka bergembira bersama-sama anak-anak Ani"
Ya Allah, semoga arwah Abah,Kak Long, Tok Nek, Pak Ngah, Tok Su dan arwah muslimin muslimat keseluruhannya berada dalam rahmat kasih sayang Mu, dijauhkan dari seksaan api kubur, diterangi cahaya dari Syurga dan tergolong dalam golongan yang mendapat syafaat dari Nabi Muhammad s.a.w
*gambar dan sumber hadis daripada internet

Monday, July 7, 2008

Semester baru, kepulangan pelajar dan musim buah

Semester Julai-Nov 2008 bermula hari ini. Pelaja-pelajar telah pulang kembali ke bumi Segamat setelah hampir dua bulan bercuti. Pagi tadi, semasa memandu ke kampus, kelihatan deretan motosikal ditunggang perlahan. Kebanyakkan mereka pelajar UiTM yang meyewa sekitar Segamat. Semoga perjalanan kalian menuntut ilmu dilindungiNya. Pelajar-pelajar perempuan pula lenguh berdiri menunggu bas. Semoga sempat kejar kelas pukul 8.
Di bahu jalan, kiri dan kanan, puluhan pohon rambutan berbuah lebat. Beberapa minggu lagi, tentu masak ranum. Andai tiba musim, harga sekilo rambutan amat-amat menyeronokkan.

Si raja buah juga kelihatan gagah bergayutan di dahan tegap, seakan-akan melambai pemandu yang terpesona. Pernah harga sekilo hanya beberapa puluh sen sahaja kerana lambakan yang berlebihan. Tempoyok disimpan tahan bertahun.
Tiba-tiba, kelihatan sebiji durian bergolek di tengah jalan raya. Di hati berdoa, janganlah ia jadi penyebab kemalangan.
Semester baru yang menyegarkan, matahari pun menyinar lemah...

Friday, July 4, 2008

Terbang Tinggi...


BUAT PELAJAR-PELAJAR BARU UiTM JOHOR


Di daerah berkat ini
Tanganku dilepaskan
Mindaku bebas terbang
Memburu keindahan ilmu
Membina keutuhan peribadi
Bukannya kejatuhan jati diri

Aku ingin terbang tinggi
Tidak mungkin bertangguh lagi
Perjuangan di daerah berkat ini
Harus kuakhiri dengan terbang pulang
Bersama kecekalan dan pengalaman
Mencorak kanvas kehidupan
Biarlah warna warni seindah pelangi
Semanis nikmatMu Ilahi....

Wednesday, July 2, 2008

Janji Allah bagi Orang yang Berilmu (Al-Mujadalah:11)

1 dan 2 Julai baru-baru ini, kami berlima dari UiTM Johor melaksanakan misi penting di UiTM Malaysia yang berada di USA (Utara Shah Alam). Mesyuarat dua hari menemukan kami dengan rakan-rakan sealiran dari seluruh cawangan seMalaysia.

Azilah dari Sabah, Farhah dari Terengganu, Kak Che Asiah dan Zeti dari Perlis adalah antara rakan baik yang memeriahkan perjumpaan yang jarang-jarang berlaku. Banyak cerita yang kami kongsi bersama. Sambil minda dan tangan sibuk menjalankan tugas, mulut tidak terkecuali. Itulah perempuan. Kalau berbual, dari sekecil-kecil perkara (berapa orang dah anak u? ) sehinggalah sebesar dunia ( I rasa harga minyak akan naik lagi!) (sekadar menyebut beberapa contoh), kami akan leka dalam dunia perbualan, namun, misi penting tersebut, berkat kerja sepasukan, dapat dilaksanakan tepat pada masanya.

Ada beberapa isu yang menjadi bahan ketawa kami, menarik untuk saya simpan di diari siber ini.

Seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan nada sinis, bangun bertanya pensyarahnya pada hari pertama perjumpaan mereka di kelas.

“Madam, why must we, accountancy students take law papers? Would you dare to try one of our papers?”

Kalau saya diaju soalan yang sama, saya akan tergelak dahulu.

Ini sebab-sebab yang akan saya beri:

1.Ia adalah arahan Fakulti, saya sebagai ‘special agent’ Fakulti hanya menjalankan tugas yang diarahkan ‘principal’ saya.

2.Fakulti saya pula mendapat arahan dari Fakulti Perakaunan supaya para pelajarnya diajar matapelajaran ini.

3.Fakulti Perakaunan pula mendapat arahan daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

4.Kementerian pula inginkan graduan UiTM mendapat silibus yang sama/setara seperti yang digunapakai di mana-mana Universiti lain. Agar lebih competitive.

Sebab-sebab di atas berbunyi rasional dan profesional.

Sebab-sebab di bawah pula mengimbas sejarah dan berbunyi lebih islamik. Islam is the best way of life, right?

1.Ayat pertama Al-Quran (mengikut pendapat yang paling sahih) yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w ialah ‘Iqra’!’ bermaksud bacalah. Ia adalah satu arahan. Arahan adalah sebahagian dari undang-undang.

2. Terlalu banyak ayatul quran berupa larangan dan arahan. Kedua-duanya adalah undang-undang Allah.

3.Nabi Adam juga di larang mendekati sepohon tanaman di dalam Syurga. Atas bisikan iblis, larangan tersebut dilanggar dan hukuman dilaksanakan. Semuanya ada kaitan dengan undang-undang.

4.Dalam peperangan Uhud, beberapa arahan Nabi Muhammad s.a.w diengkari sahabat. Akibatnya, ramai mujahid terkorban. Arahan sinonim dengan undang-undang.

Sesiapa pun yang ingin mendapat balasan baik di dunia akhirat, perlulah patuh kepada ajaran, arahan dan larangan yang termaktub di dalam Al-Quran. Kita perlu mengikut undang-undang Islam agar kehidupan lebih teratur dan sentiasa berada di landasan yang lurus. Insyallah.

Boleh terima sebab-sebab di atas? Dan akhirnya, saya akan ceritakan tentang kehidupan seharian kita yang tidak dapat lari dari undang-undang. Ia diamalkan oleh hampir semua bangsa, tidak kira agama.

Bangun sahaja dari tidur, antara peraturan pertama ialah mandi. Jika tidak, badan kita tidak segar. Sebelum tidur malam sebelumnya, kita kunci jam loceng atau ‘set alarm handphone’. Jika terlupa, mungkin tersasar kesiangan. Kita perlu sarapan, jika tidak kita akan kekurangan tenaga. Kita perlu tepati masa. Jika lewat, tahan sahajalah dengan jelingan pensyarah. Kita perlu belajar, jika malas kurang cantiklah CGPA kita. Kita perlu ‘grad on time’. Jika dilanjutkan,PTPTN tidak bermurah hati melanjutkan pinjaman.

Semuanya berkaitan dengan peraturan kehidupan bukan?

Begitu jugalah dengan matapelajaran undang-undang bagi pelajar bukan undang-undang. Apa yang diajar amat bekaitan dengan masa depan pekerjaan kalian.

Bagi pelajar yang bertanya tadi, Allah telah berjanji untuk menaikkan darjat orang-orang yang berilmu pengetahuan.

“If I were you, I will grab this golden opportunity to learn many new things as I am still young and have enough energy to explore interesting zone, guided by proper persons and inspired by beautiful promise, written in the Al-Quran.”