Wednesday, January 20, 2010

2010

Setakat hari ini, saya masih berat hati untuk mengemas kini selalu blog yang makin kekurangan entry baru. Berat hati itu kemungkinan besar disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya, anak sulung sudah mendaftar masuk sekolah berasrama (proses permohanan dan persiapan masuk agak renyah dan memenatkan), penulisan-penulisan akademik memerlukan penelitian rapi, sistem 5S di pejabat makin membimbangkan, perjumpaan, perbincangan dengan AJK Kelab dan jadual anak-anak yang bertiga di rumah yang sudah dihantar bertuisyen akibat kegagalan mamanya mengajar anak sendiri di rumah sendiri hingga terpaksa dihantar ke rumah orang lain. Belum lagi cerita sedih tentang kegagalan mamanya mengajar anak-anaknya membaca Iqra dan Quran secara tetap dan konsisten:(

Atas alasan-alasan tersebut, aktiviti merehatkan minda saya dengan menulis blog agak mengecewakan diri sendiri. Khabarnya, rakan saya, Shima juga seakan-akan ingin menarik diri dari dunia blog. Tentu beliau sangat sibuk dengan PhDnya.

Dalam minggu ini, sebelum tidur, saya akan membaca buku penulisan Dr Kamarul Zaman Ahmad 'PhD The Pursuit of Excellence'. Dan saya amat mengharapkan 2010 akan memberi sinar baru bagi penyediaan diri ini ke alam PhD.

Semoga Allah membantu hati ini agar lebih kuat sebagaimana pesan saya kepada Along semasa meninggalkannya di asrama "Along, you have to be strong!" dan Fatihah telah mencairkan semangat Along dengan melambai-lambai "bye-bye Along, bye-byeeeeeeeeeeeeeeeeeeeee'.

Tentu hati anak sulung saya itu telah di bawa pergi seiring dengan putaran roda Saga 1.3cc...

Thursday, January 7, 2010

Rabiah

Itu nama sebenar Rabiatul Adawiyah, seorang wali perempuan, wanita mulia yang disebut-sebut sebagai contoh kepada kaum muslimah. Beliau adalah anak ke 4, angka 4 dalam Bahasa Arab ialah Arba'ah. Nama beliau bermaksud empat. Adawiyah pula adalah nama keluarga atau gelaran keluarga ayahnya.

Saya sedang membaca buku terjemahan tentang beliau. Buku yang sangat menarik. Di beli di Pustaka Asma Segamat yang kini ada menjual karya sasterawan Faisal Tehrani :) Sebelum tidur, saya akan meluangkan 20-30 minit membaca buku atau majalah.

"Mama baca buku sebab nak bagi ngantuk ye? Mama tak boleh tidur ye?" tanya Along bila melihat saya menghidupkan lampu bacaan di meja sisi, bersebelahan katil.

Sambil membetul-betulkan bantal dan menarik selimut, saya mencari jawapan yang sesuai.

"Bukan sebab tu...Mama kan memang suka membaca, jadi sebelum tidur, mama perlu membaca, supaya apa yang mama baca boleh dijadikan panduan bila bangun esoknya. Mama baca buku tentang Rabiatul Adawiyah ni, bukan mudah nak jadi wanita macam dia."

Sebelum melelapkan mata, teringatkan suami di perantauan (JB) dan hati terus berkata-kata...

"Aku ada Allah, kasih Allah kasih sejati, sebagaimana kasihnya Rabiah kepada Allah sehingga menolak lamaran puluhan lelaki, seperti itulah sepatutnya kasih muslimah harus terbentuk. Semoga suami selamat di sana dan pandai menjaga diri."