Thursday, February 26, 2009

Keusahawanan Sosial

Khabarnya akan muncul satu matapelajaran baharu buat pelajar-pelajar IPT.


KEUSAHAWANAN SOSIAL

Menarik juga tetapi apa ya kaitan usahawan dan sosial?

Visi UiTM Johor ialah:
Menjadikan UiTM Johor sebagai sebuah institusi pendidikan unggul yang mengendalikan program profesional dengan menyatupadukan sains, industri, teknologi dan kemanusiaan berorientasikan pengurusan dan keusahawanan
Oleh itu, kepada KPT andai perlu IPTA untuk merealisasikan projek-projek perintis di bawah sukatan matapelajaran baru ini, UiTM Johor adalah institusi yang paling bersedia. UiTM Johor ada Tuan Haji Ros Hasri yang kental dengan semangat kesahawanan.
Malah, pensyarah-pensyarah UiTM Johor juga ada yang sangat berpotensi dalam keusahawanan. Mereka juga pandai bersosial. Mereka juga rapat dengan masyarakat. Cuma, kekangan mengajar menghalang keistimewaan mereka disalurkan kepada masyarakat.
Saya fikir, andai sahaja matapelajaran ini berupaya memberi impak positif yang maksima, ia perlu disegerakan.

Monday, February 23, 2009

Kalaulah aku boleh berkata-kata...

"Makmurkanlah aku, datanglah beramai-ramai, berkenal-kenalanlah, kuatkan silaturrahim, panggillah mereka yang berilmu dan sampaikanlah ilmu mereka, bersihkan aku, harumkan aku, hidupkanlah malamku, marilah wahai pemuda, bacalah Quran itu, betulkan bacaan rakanmu, berbincanglah, dekatkan dirimu, langkahkan kakimu ke sini, rinduilah aku..."

Kalaulah surau boleh berkata-kata...

Dan kalaulah saya lelaki, saya akan ke surau setiap waktu solat. Aduhai, seronoknya bersolat jemaah, rapatnya kita sehingga boleh bersentuh bahu, bersalaman selesai doa dipohon...

Surau di Pangsapuri SM Pandan Indah kelihatan bermaya kebelakangan ini. Dulu, ia lesu, sepi, muram, kering...Paling sedih, ada pasangan ditangkap khalwat di situ. Jemaah lelaki sangat kurang. Hampir pupus. Namun, apabila ada 'orang luar' cuba menghidupkannya, penduduk Muslim Pangsapuri bising. Seolah-olah takut berlaku rampasan kuasa. Mesyuarat tergempar diadakan. Bagaimana mahu mengelak orang luar itu menguasai surau. Sayangnya, suami dan saya telah berpindah ke Segamat. Kami tidak tahu secara terperinci mengapa tindakan cuba menghidupkan surau ditentang. Namun, alangkah malangnya sekiranya punca tentangan ialah kerana mereka orang luar...Tetapi kini, surau tersebut telah dibesarkan dan kelihatan sangat bermaya. Semoga ia kekal begitu.

Di Bukit Beruntung..."Kami mahu pelantikan nazir dan jawatankuasa masjid ini dilakukan mengikut peraturan yang betul dan bukan menyeleweng serta tidak beradab,” kata Timbalan Nazir Masjid As-Salam, Bukit Sentosa di sini, Yaziz Yunus. Menurut Yaziz, pemilihan jawatankuasa baru mesyuarat agung khas masjid itu Ahad lalu tercemar dengan tindakan sekumpulan bukan ahli kariah yang dipercayai ‘pengundi hantu’ merampas kuasa pentadbiran yang dipegang jawatankuasa lalu."

Sekarang, istilah pengundi hantu digunapakai bukan sahaja dalam pilihanraya, dalam masjid yang mulia pun wujud pengundi hantu. Apalah puncanya sehingga berlaku peristiwa tersebut.

Dan kalaulah masjid itu boleh berkata-kata...

"Cukup-cukuplah dengan politik duniamu..Aku didirikan bukan untuk mendengar pertelingkahan ini. Aku digunakan untuk mengumpulkan jemaah Muslim yang bersatu padu.
Bersatulah wahai umat Islam, ketepikan perbezaan, bergotong royonglah dalam segala hal yang tidak termasuk kezaliman, dosa, dan permusuhan..."

Thursday, February 19, 2009

Bedak Sejuk

Semalam, ketika sedang meratakan bedak talkum di wajah, suara Abby Fana aka Abbyfanaskova di TV3 melantun sampai ke telinga.

"Bedak talkum boleh menyebabkan kanser, mengundang maut" begitulah lebih kurang.

Saya agak terkejut. Sebenarnya, memang terkejut. Botol plastik bedak talkum saya simpan terus dalam laci. Kenapa pulak ni?

Melaui carian internet, bahan utama bedak talkum mengandungi magnesium silicate hydroxide atau dikenali sebagai talc yang juga ramuan utama dalam bedak bayi, bedak berubat dan bedak wangi untuk tubuh termasuk yang berjenama terkenal. Bahaya di sebalik penggunaan bedak talkum mengandungi talc iaitu bahan beracun yang zarahnya menyebabkan tumor dalam ovari dan paru-paru.

O begitu! Selama hampir 40 tahun, saya memakai bedak talkum. Hampir 40 tahun!!!

Kementerian Kesihatan sepatutnya meletakkan tanda amaran ke atas produk mengandungi talc.

CAP yang mendedahkan isu ini akhirnya menyarankan pengguna memakai bedak diperbuat daripada tepung jagung atau tepung beras.

OK di mana letaknya botol bedak sejuk yang dikirim opah dari Sg Sumun Perak? Ada yang nampak? Siapa yang nampak, mama bagi RM1!

Halaqah untuk si pelupa

Saya sering lupa. Waktu remaja dahulu, lupa adalah satu penyakit serius dan perlu sentiasa diingatkan. Saya selalu diingatkan oleh kakak naqibah dalam program Halaqah di UIA tercinta.

Setiap Jumaat, ketika brothers bersolat, kami sisters diwajibkan menghadiri halaqah. Terkadang, rasa amat malas bersarang di hati. Ada juga 'tuang' halaqah beberapa kali. Tidak lebih 3 kali setiap semester. Terutamanya, ketika rasa rindu pada keluarga dan tv di rumah datang menyerang.

Kami akan berkumpul di mana-mana tempat yang dipersetujui bersama-sama. Kadang, di musolla, kadang di kelas, kadang di bilik naqibah. Kami akan mulakan dengan membaca doa mudah belajar atau mendendangkan Asma-ul-Husna atau menzikirkan "wahai tuuuhan, ku tak laaayak ke syurgaaamuuuuu namun tak pulaa akuuu sanggup ke neeerakamuuuuu..."

Halaqah berlangsung selama 1 jam. Isu-isu seputar remaja menjadi tajuk perbincangan. Naqibah kami selalunya bertudung labuh. Sinar wajah mereka terserlah. Ada yang berkulit gelap, macam saya, tapi tetap ada sirna di sebalik kegelapan tona kulit itu. Pelajar antarabangsa akan diketuai oleh pelajar antarabangsa juga. (Sekarang, saya terasa satu kerugian apabila mengenangkan pengasingan pelajar yang andainya disatukan, pasti menguatkan silaturrahim sesama Islam dan menambahkan senarai sahabat sedunia)

Ada naqibah yang garang dan bersuara keras. Ada naqibah yang sangat lemah lembut dan terserlah sifat keibuan. Ada pelajar yang datang hanya kerana memenuhi syarat lulus ijazah. Dan saya, saya selalu mendapat gred cemerlang setiap semester. MUMTAZ..Namun, cemerlang dalam Halaqah gagal mencemerlangkan saya dalam setiap tindakan. Saya alpa dan saya cuai. Terkadang saya lupa yang saya mungkin tidak layak mendiami syurga yang serba mewah serba indah tetapi saya juga kecut hati mengenangkan neraka Allah...

Sehingga kini, saya masih perlu halaqah. Manusia dan sifat lupa adalah lumrah kehidupan. Ketika kedutan di bawah mata semakin jelas kelihatan, saya semakin dambakan ingatan-ingatan kepada sifat lupa ini. Namun, batasan masa dan tugas sebagai seorang ibu menghalang saya keluar mencari ubat lupa. Terima kasih kepada teknologi terkini yang menghidangkan ubat mujarab dalam bentuk web yang bersesuaian bagi mengingatkan yang lupa. Siri-siri halaqah berbentuk tulisan ini sesuai untuk saya yang mudah lupa. Namun sesuaikah untuk semua golongan?

P/s: Untuk pelajar K2 Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Law 485), bersyukurlah dengan modul pelajar itu...

Thursday, February 12, 2009

Cinta Pelajar

Bolehkah kita menghindari perasaan cinta kepada seseorang semasa sedang menuntut ilmu? Saya terkenangkan seorang exco Kelab Inspirasi yang bermunajat di Masjid As Syakirin apabila jiwanya diganggu perasaan cinta kepada seorang pelajar perempuan yang manis dan lemah lembut. Exco tersebut memohon bantuan Allah supaya dijauhkan perasaan cinta tersebut kerana khuatir niatnya merantau ke Segamat menuntut ilmu akan bertukar apabila bercinta. Kepada Exco tersebut, saya tabik springggg....

Cinta itu indah. Namun cinta kepada Allah lebih indah mengatasi segala keindahan cinta kaum Adam dan Hawa. Cinta kepada manusia kerap mengundang sedih.

Seorang pelajar lelaki meminta pendapat saya tentang masalah dengan kekasihnya. Mereka kerap bergaduh. Lelaki itu penuh dengan kasih sayang. Si perempuan khabarnya tidak pandai menghargai kasih sayang tersebut. Lalu 'cool war' sering dilancar. Lelaki itu tidak mampu untuk belajar kerana terganggu emosinya.

Saya tersenyum apabila mendengar keluhan lelaki itu. Pengalaman lampau dijadikan sempadan.

"XXX, lelaki perlu macho apabila menghadapi masalah cinta. Perlu ada ego yang bertempat. Dalam keegoan, ada kelembutan. Cinta perlu rintangan. Apabila ditimpa rintangan, kesabaran itu perlu. Biarkan sidia bertenang. XXX perlu teruskan kehidupan seperti biasa. Satu kerugian kalau biarkan emosi menguasai diri. Kita hanya perlu ingat ALLAH. Hanya dengan mengingatiNYA hati akan menjadi tenang. Jangan ikut hati. jangan ikut emosi. XXX ada ujian kan, baliklah dan tumpukan kepada ujian tersebut. Ingat ALLAH!"

Di sebalik nasihat itu sebenarnya, saya hanya harapkan XXX ingat ALLAH kerana pelajar yang bercinta tanpa keredaan ALLAH hanya terheret dalam cinta palsu. Tambahan pula, kita di sini adalah untuk menuntut ilmu. Seandainya dilanda cinta, perlu bijak memberi sempadan kepada diri sendiri.

LAW 485, Tanah Kubur & Spa Q

Law 485 kod kursus bagi Undang-undang Korporat adalah matapelajaran wajib buat pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan. Bermula dari penubuhan syarikat, jenis-jenis syarikat, kesan perbadanan, pengarah setiausaha juruaudit syarikat, saham sehinggalah ke penggulungan syarikat. Akta Syarikat 1965 menjadi peneman utama pengajaran dan pembelajaran.

Namun, bukan tugas mudah menyampaikan ilmu undang-undang kepada pelajar bukan undang-undang. Terlalu banyak legal terms yang sukar difahami. Yang mereka suka sebut ialah bona fide mala fide. Bila berbincang mengenai kes, kreativiti pensyarah untuk memberi penerangan tepat memang diperlukan. Terkadang, perlu memberi illustrasi atau contoh untuk lebih membantu.

Tanah Kubur dan Spa Q adalah dua drama Melayu . Tanah Kubur ialah drama yang mengisahkan seorang usahawan Melayu yang berjaya dan kaya namun miskin amal ibadat. Meninggal dunia akibat serangan jantung. Di akhir cerita, isteri usahawan tersebut tidak dapat mewarisi saham-saham syarikat akibat wasiat tanpa tandatangan. Terma Article of Assosiation syarikat juga tidak memihak kepada si isteri. Spa Q pula penuh dengan konflik wanita cantik, namun itu bukan tumpuan utama, yang lebih penting bagaimana pengarah syarikat melanggar tugasnya sebagai pengarah dengan 'mencuri' kontrak-kontrak syarikat. Bagaimanapula proaksi dilantik dan juga halatuju sesebuah syarikat.

Apabila melihat kesusahan pelajar untuk memahami apa yang saya terangkan, saya akan kaitkan dengan drama-drama tersebut. Mereka akan ketawa gelihati. Tak sangka pensyarah ni tengok Spa Q. Namun, akhirnya mereka faham.

Untuk En Ikmal di UiTM Pahang, pengalaman saya menjadi peguam selama 3 tahun banyak membantu dalam pengajaran matapelajaran undang-undang buat pelajar yang tidak minat menghafal tetapi cinta abjad-abjad yang memeningkan kepala saya. Pengalaman moot En Ikmal, insyaAllah akan diperlukan nanti buat pelajar di Pahang. Boleh juga jadi Penasihat Kelab Debat. Tentang UK, saya pun teringin nak sampai ke sana....tentang Main Campus, itu juga satu idaman...

Thursday, February 5, 2009

Bukalah pintu pagar




Encik-encik semua,
Boleh saya bicara sebentar
Ini isu besar
Saya perlu memberi khabar
Saya sudah tidak sabar
Kulit saya gelap terbakar
Bukalah pintu pagar
Saya sudah tidak sabar
Penat bersimpuh di atas tikar
Perut pedih menahan lapar

Encik-encik semua
Walau encik berbeza dasar
Walau encik sering bertengkar
Walau hubungan terlalu hambar
Jangan kami menjadi sasar
Janganlah halang kami belajar
Kami seronok melaung ikrar
Kami asyik melihat gambar
Kami gembira bertepuk tampar
Kami leka kejar mengejar
Bukalah pintu pagar

Encik-encik semua
Bukalah pintu pagar
Kami sudah tidak sabar
Cikgu kata nak tunjuk gambar
Dua gajah bergaduh besar
Pelanduk tersepit tak boleh keluar
Kesian pelanduk, hak tercabar
Dek gajah besar yang tidak sedar

Encik-encik semua
Bukalah pintu pagar...

Nukilan hati:
Saya anak nelayan
Kuala Sungai Pinang

Wednesday, February 4, 2009

Merdeka dari kacamata seorang India

Sekarang saya sedang menekuni The Struggle For Malaysian Independence. Sedang pelajar-pelajar C2 berbincang soalan tutorial, saya dengan senang hati mengisi masa 30 minit yang sangat berharga itu dengan membelek-belek buku setebal 425 helai. Saya baca dahulu tentang latarbelakang penulis, Dato' Sri J.J.Raj (JR). Kemudian saya baca isi kandungan. Saya tengok dahulu semua gambar hitam putih dihelaian-helaian buku.

Dan saya terbaca kenyataan ini:

"In this context, I believe, that all Malaysians, putting politics aside, should objectively ponder in a neutral manner, how the simple God fearing religious leader Abdullah Fahim, and Tunku succeeding in overcoming monumental racial hurdles and laid the foundations of the multiracial and prosperous Nation of Malaysia." ( Abdullah Fahim adalah nenda kepada PM kita)

Kemerdekaan tercapai apabila British yakin bahawa 3 kaum terbesar di Malaysia sudah boleh hidup rukun aman damai di bawah pemerintahan Kerajaan Pusat.

Selepas hampir 52 tahun Malaysia merdeka, perlukah Institut Hubungan Kaum seperti saranan seorang Cina berjiwa besar itu?

Sunday, February 1, 2009

Masa untuk menulis

Sudah masuk bulan Februari. Belum ada penulisan akademik. Rasa sungguh tercabar. Bila nak mula menulis ni?

Sudah ada beberapa tajuk yang telah dibincangkan dengan Hjh Rohani Jangga. Kak Hajjah, kita buat betul-betul ye penulisan ni. Kalau Ani terleka, cepat-cepatlah sedarkan. Dengan kak Saliza, Peguam Syarie di Kluang juga, sudah bersetuju untuk menulis bersama-sama terutamanya tentang hal-hal perundangan keluarga Islam. Dengan sahabat yang sungguh baik hati di Shah Alam, Norazlina, juga telah menghantar abstrak ke Hong Kong. Cuma perlu mengemaskini kertas kerja penuh.

Ya Allah, cerdaskan akalku, segarkan mindaku, tajamkan pemikiranku, perhalusikan hujahku, rasionalkan penulisanku, kekalkan semangatku, sihatkan tubuh badanku...Amin

Ok Noraini Ismail, masa untuk menulis sudah bermula...

Doa buat Ema, Mirul, Echot, Kecik dan Ida

Entri ini khusus untuk mereka.

Saat ini, saya rindukan 'kanak-kanak riang' tersebut.

Mereka adalah bekas Exco Kelab Inspirasi UiTM Johor.

Ema yang jelita, semoga terus cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga terus menjadi anak yang solehah. Semoga Ema mendapat tawaran belajar ke luar negara. Semoga bertemu bakal suami di luar negara yang manis chinese blood macam ema yang jelita.

Mirul yang tampan dan kepochi, semoga tenang di Kelantan. Makan je apa yang ada. Butterscoth pun kenyang jugak. Semoga dapat DL macam musuh ketat kat Shah Alam tu. Rajin-rajinlah update blog yang dah bersawang...

Echot yang manis, semoga terus dapat DL setiap semester. Janganlah bersedih lagi. Hidup perlu diteruskan. Pasti arwah emak Echot sedang berbahagia di dunia sana. Tengok-tengokkan Mirul tu...Semoga Echot akan menjadi pensyarah yang cemerlang 4 tahun akan datang...

Kecik yang cute, semoga beroleh manafaat yang banyak di sana. Janganlah besarkan badan je, besarkan juga minda dan jiwa. Kecik beruntung sebab dapat ziarah negara orang..jauh perjalanan luas pemandangan bestari pemikiran, betul tak mirul? Teruslah menulis pengalaman Kecik di sana...

Ida yang menawan, semoga praktikal semester ini mematangkan lagi pemikiran Ida..Ada contact orang Sabah lagi tak? Ida, saya ada cerita terbaru, telefonlah saya bagi mendapatkan berita terkini lagi sensasi...Ema, Mirul, Kecik dan Echot tidak dijemput untuk mendengar cerita ini.

Kalian kekal dalam ingatan saya. Saya sentiasa mendoakan kalian berbahagia dan sentiasa dirahmati Allah Maha Penyayang. Dan yang penting sekali, semoga kalian kekal beriman, beramal dan bertakwa.
Moga bertemu lagi