Wednesday, April 30, 2008

Pekerja Industri Wanita

Dahulu dikenali sebagai minah kilang. Walaupun nama asal mereka bukanlah Aminah, tetapi nama tersebut menjadi panggilan biasa. Pekerja Industri Wanita berbunyi lebih manis dan profesional. Semasa saya menjawat jawatan tersebut selama 2 bulan di sebuah kilang multinasional di Petaling Jaya sekitar 1994 (semasa cuti semester), banyak sungguh pengalaman baru yang dikutip. Saya ditempatkan di bahagian pengeluaran. Berdiri terus menerus selama 4 ke 5 jam amat memenatkan. Bila curi-curi duduk, cepat sahaja mata Penyelia menjeling tajam.

Seperti di tempat kerja lain, ada cabaran yang terpaksa dihadapi golongan pekerja ini. Antara yang terbesar ialah gangguan seksual dan masalah penjagaan anak.

Gangguan seksual bukanlah setakat sentuhan semata-mata. Kata-kata dan gerak geri mana-mana anggota badan yang berbentuk seksual juga dianggap satu kesalahan. Gurauan lucah juga dianggap gangguan seksual. SMS atau MMS yang ada unsur-unsur lucah janganlah diambil mudah.

Masalah penjagaan anak juga tidak pernah selesai. Ada yang terpaksa menghantar anak-anak ke kampung. Ada yang menghantar ke rumah jiran. Ada yang terpaksa meninggalkan anak sendirian di rumah. Saya tidak pasti berapa banyakkah kilang di Malaysia yang mempunyai pusat jagaan kanak-kanak sendiri. Semasa berkursus di Suruhanjaya Sekuriti minggu sudah, saya seronok melihat sebuat pusat jagaan kanak-kanak yang dihias ceria. Sudah sampai masanya semua kilang besar di Malaysia mempunyai pusat jagaan kanak-kanak sendiri. Bas Pengangkutan pun mestilah disediakan secukupnya bagi pekerja industri wanita membawa anak-anak mereka ke kilang. Mungkin, ini dapat membantu menyelesaikan kes anak-anak didera oleh pengasuh atau anak-anak ditimpa kemalangan semasa sendirian di rumah. Guru yang lulus Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak hendaklah disediakan. Kita sekarang sudah banyak graduan dalam bidang tersebut. Kanak-kanak mempunyai beberapa hak yang diberi kepada mereka di dalam Hak Konvensyen Kanak-kanak. Mereka berhak ke atas hak tersebut.

Kepentingan Pekerja Industri Wanita tidak boleh dinafikan. Mereka amat-amat menyumbang dalam sektor pembuatan. Satu sektor yang menggerakkan nadi pelaburan Malaysia. Di harap Menteri bertanggungjawab terus memperjuangkan nasib golongan ini.

Selamat Hari Pekerja buat semua wanita.

Tuesday, April 29, 2008

Hantu

Musim-musim peperiksaan begini, hantu suka. Kadang-kadang hantu melintas sepantas kilat, hantu ketawa mengilai, hantu hembus belakang tengkuk, hantu lambai sambil tersenyum seram, hantu panjat tingkap, hantu tolak pintu, anak hantu berlari manja, macam-macam lagi yang hantu suka buat. Tadi, semasa sedang berhempas pulas menanda kertas jawapan peperiksaan, seorang pelajar datang ke bilik. "Puan, saya sekarang tidur awal. bangun pun awal". Saya tanya "kenapa, tak stay up ke baca buku?" "Hantu banyak sekarang, jadi kalau tidur awal, tak nampak le hantu". Begitu jawapan lurusnya.

Saya percaya hantu memang wujud. Itu istilah bahasa melayu. Syaitan ialah nama asli hantu. Syaitan boleh menjelma dalam pelabagai bentuk. Yang tinggi melampai-hantu galah, yang rambut panjang mengurai-hantu langsuir, yang suka melompat-hantu pocong, yang suka beraya-hantu raya, yang kecil molek bersiung-toyol. Pernah dikacau hantu?

1994, Setiu Terengganu, saya menjadi Pengajar Bahasa Inggeris Komunikasi di Kem Seri Bari. Anjuran bersama UIA dan EPU Terengganu. 2 minggu. Saya dan 5 lagi kawan2 UIA ditempatkan di sebuah rumah kampung berhampiran pantai. Hembusan angin pantai benar2 menyegarkan. Seronok. Namun, kami diingatkan oleh penganjur supaya pergi ke tandas beramai-ramai sebelum tidur. Hairan! Ada dua bilik tidur. 3 orang sebilik. Malam pertama, kami membaca surah Yasin. Malam keduanya, ada bunyi curahan air paip di tandas. Seram! Tapi buat2 tidak dengar. Malam ketiga, ada bunyi orang berlari2 di dapur. Ish! dah lebih ni. Malam ke empat dengar benda yang sama hingga malam keempat terakhir. Malam itu seorang kawan yang paling cantik (Student TESL), dingorat hantu. Maksudnya, ada hantu yang menarik badan kawan kami yang cantik itu. Tapi kawan kami yang cantik ini sempat berpaut pada tilam sekuat hati. Dekat 2 minit dia bergelut. Akhirnya hantu ini frust dan membawa hati. Malam keesokannya, itulah malam yang dikenang sampai hari ini. Malam Jumaat. Seperti biasa, kami baca Yasin. Malam itu kami tekad untuk tidur sebilik. Walaupun kecil dan sempit, kami tidak peduli, asal selamat.

Tepat pukul 12 malam(macam filem sungguh), dua ekor kucing, entah dari mana, bergaduh di ruang tamu rumah. Semua terkejut dan ada yang mula menangis. Seekor kalah dan kedengaran tinggal lagi seekor. Yang seekor itu kemudiannya, bertukar entah menjadi apa dan melompat sekeliling ruang tamu. Bunyi macam piling di tapak pembinaan. Lama betul dia melompat. Hampir 5 minit. Kami mula mencapai Yasin dan membaca kuat. Agaknya, hantu tersebut frust kerana tiada seorang pun yang berani keluar, maka dia pun memanjat atap zink dan bergolek ke tanah.

Kami terdengar bunyi benda berat jatuh terjelepuk. Cuma tiada bunyi adoi!!! Maka sah lah, benda tersebut memang hantu. Cuma kategori mana, kami tidak pasti. Esoknya, 5 pelajar UIA demam terkejut. Kami mengadu kepada penganjur. Siasatan dibuat. Ada penduduk kampung beritahu yang mengganggu kami malam itu ialah hantu raya. Padahal masa itu bukanlah bulan raya. Diceritakan, hantu raya dibela oleh segelintir nelayan untuk menjaga perahu dan alatan menangkap ikan yang lain.

Itu kisah hantu raya. Kisah yang menjadi modal untuk menyuruh anak saya tidur cepat. Ada kisah lain. Di Kg Gajah Perak.

Untuk pelajar, usahlah takut sangat. Jika takut pun, belajarlah secara berkumpulan.

Cukuplah dua kisah hantu. Semoga tidak dikacau lagi. Namun syaitan yang direjam telah berazam di depan Allah untuk mengganggu manusia dengan apa jua cara. Cara yang paling lemah ialah menakut-nakutkan kita sehingga hendak bangun malam bersolat tahajud pun takut. Solat Dhuha pun 'takut' walaupun terang benderang.

Friday, April 25, 2008

Wirid Imam Al Ghazali

Jumaat yang mulia ini, ramai yang amalkan membaca surah Al Kahfi sebelum bersolat jumaat atau zuhur bagi muannas. Apa kelebihannya ya?

Satu lagi, bila teringat, berwiridlah YA ALLAH sebanyak yang mampu. Mengikut Ihya Ulumuddin, sesiapa yang istiqamah mengamalkan wirid harian, insyallah dikekalkan hidayah dan taufik dan mati dalam iman...

Selamat berhujung minggu

Sempat ke sarapan?

1982, di SK Ampangan Seremban, ada seorang kawan. Habib. Setiap waktu rehat, Habib jarang sekali ke kantin. Ketika murid-murid lain berebut beli makanan, Habib berjalan lemah ke pokok besar di tepi padang. Dia duduk di situ sampai habis waktu rehat. Saya fikir tentu Habib tiada duit. Saya perlu membantu semampu yang boleh. Sebelum ke sekolah suatu pagi, saya masuk ke bilik mak, buka almari baju dan 'mengambil tanpa izin' 50 sen, dengan niat membelanja Habib waktu rehat nanti. Di sekolah, bila sampai waktu rehat, saya terus membeli makanan untuk dua orang dan menuju pokok besar tepi padang. Kami makan bersama-sama. Saya tidak ingat sampai bila saya 'mengambil tanpa izin' duit mak. Sampai sekarang mak tidak tahu. Yang tahu ialah anak-anak saya. Saya ceritakan pada mereka kerana saya ingin beritahu mereka betapa pentingnya sarapan bagi pelajar.

Sempat ke sediakan sarapan buat anak-anak? Rasanya kalau di sekitar KL dan Shah Alam, mungkin sebelum pukul 7 pagi, kita sudah bergerak keluar ke tempat kerja. Di Segamat, saya keluar sebelum 7.30 dan akan sampai ke pejabat pukul 7.55 am. Saya perlu hantar 4 anak bertuah itu dahulu. Dan saya akan pastikan mereka makan sedikit. Mihun goreng, nasi goreng, roti telur antara juadah lazim sarapan. Seringkas-ringkas sarapan ialah cereals atau roti, jem dan milo.

Sarapan begitu penting. Terutamanya buat kanak-kanak. Di sekolah, saya tidak pasti bila sarapan RMT untuk kanak-kanak terpilih disediakan. Kalau pukul 8 am, alhamdulillah. Kalau pukul 10 am baru nak bersarapan, saya fikir ia kurang munasabah. Maknanya dari pukul 10 malam sebelum tidur sehingga 10 pagi esoknya, perut anak kita kosong. Saya fikir tentu anak-anak kita tidak mampu menumpu penuh pehatian terhadap pelajaran. Kasihan mereka. Sarapan amat perlu untuk memberi tenaga. Belajar itu satu proses pembelajaran yang berat. Jadi, seboleh-bolehnya, bersarapanlah dengan anak sebelum mereka berjuang menuntut ilmu.

Thursday, April 24, 2008

Cita-cita kanak-kanak





Along nak jadi saintis, nak reka cipta robot











Along nak jadi doktorlah








Tapi best jugak kalau jadi angkasawan






Macam-macam pekerjaan impian anak-anak bila ditanya tentang cita-cita.

Dahulu, semasa umur saya 10 tahun, saya selalu naik ke loteng rumah sewa arwah abah di Seremban. Saya bawa sekali dua tiga anak patung. Juga sebatang rotan. Saya berlakon menjadi seorang guru kepada tiga 'anak murid' bisu.
Selepas keputusan SPM keluar, saya dapat dua tawaran. Satu dari Institut Bahasa(IB), sebuah institut perguruan dan satu lagi, Matrikulasi Undang-undang UIA. Atas saranan abah, saya tolak tawaran IB.
Semasa bercuti long vacation tahun 2, saya menjadi guru sandaran di SK Sri Serdang.
Semasa menjadi seorang peguam di firma guaman di Kuala Lumpur, saya memohon menjadi pensyarah di IPB, salah satu kolej franchise UiTM. Saya berjaya dalam temuduga. Saya tinggalkan kerjaya guaman yang gajinya lebih RM300 dari gaji baru. Semuanya kerana cita-cita dari kecil memang 'saya ingin menjadi seorang guru'.

Anak-anak saya sekarang bila ditanya tentang cita-cita, asyik berubah jawapannya. Maknanya mereka belum tahu dan belum pasti.
Bolehkah cita-cita seorang anak dibentuk oleh ibubapa? Haruskah ibubapa mengabaikan cita-cita asal anak mereka kerana ibubapa lebih arif tentang kehendak pasaran?
Yang pasti, suami saya sangat-sangat berharap anak sulung kami, Almi Fadhli menjadi seorang Mufti. Ya Allah, semoga Along dipermudahkan jalannya menuju kerjaya sebagai seorang Mufti.

Wednesday, April 23, 2008

The beautiful sewing machine

Seluar anak-anak lelaki saya selalu sangat terkoyak. Mujur saya belum daftarkan mereka dalam mana-mana kelas pertahanan diri. Ustaz Syazali (guru silat UiTM Johor) kata "Rugi Kak Ani tak hantaq anak-anak awai-awai lagi. Biaq depa penuh keyakinan diri". Belum dihantar pun, sudah jenuh mereka berkarate dan bersilat (tendang dan terajang, to be exact) sesama sendiri. Inikan pula kalau ustaz dah ajar bunga-bunga silat nanti.

Selalu juga saya menelefon suami, mengada-ngada mengadu penatnya tangan saya menjahit seluar anak-anak bertuah itu. Lantas, sebulan lalu, suami membelikan saya 'the above beautiful sewing machine'.

Minat saya pada jahit menjahit ini bermula sejak 1989. Selepas SPM. Saya ambitious. Macam-macam saya hendak buat sementara menunggu keputusan SPM. Mak hantar saya belajar menjahit di sebuah kedai jahit Cina di Serdang. Cikgunya garang. Sebulan saya belajar. Dapat sehelai baju kurung. Tetapi itulah baju pertama dan terakhir yang saya potong dan jahit sendiri. Alasannya, di rumah mak tiada mesin jahit. Noktah.

Semasa menyewa di Taman Dedap, saya menjahit sendiri langsir, sarung bantal dan sarung kusyen sofa. Menjadi! Tetapi itulah yang pertama dan terakhir. Alasannya, mesin jahit second hand yang saya beli senyap-senyap tanpa izin suami, meragam. Noktah.

Sekarang, the said beautiful sewing machine is a brand new machine. Tiada alasan untuk saya mengabadikan minat saya terhadap jahitan buat selamanya. Nasib baiklah ada seluar anak-anak yang sering terkoyak...

Anak dan anak murid

Anak dan anak murid, keduanya perlu panduan dan bimbingan. Dan doa pada Allah agar mereka sentiasa di jalan yang lurus.

Almi Farhan, 9 tahun, anak lelaki kedua saya. Dari umur 5 tahun sampailah ke dua bulan sudah, asyik menangis bila dikejutkan bangun pagi (ke sekolah). (Pertolongan Allah: Suatu malam, dua bulan sudah, selepas pulang dari percutian di Terengganu, Farhan menyuarakan keseronokannya bersolat di Masjid Negeri Kuantan dan Masjid Kristal. Saya kata "Kalau Angah tak nangis pagi, rajin dan pandai belajar, Angah dapat kerja yang baik, Angah banyak duit, Masjid kat Mekah, Madinah, Turki, Jordan, Amerika pun Angah boleh pergi." Angah tersenyum dan sejak itu dia tidak menangis lagi). Angah kurang cemerlang dalam ujian dan peperiksaan. Puncanya saya sendiri. Kurang memberi bimbingan dan tunjuk ajar. Bila mengajar, saya cepat marah dengan anak ini. Tetapi sebulan yang lalu, saya kuat-kuatkan semangat dan sabar-sabarkan hati. Saya sendiri mengajarnya Bahasa Inggeris terutama grammar. Petang tadi, dia menunjukkan markah ujian bulanan subjek tersebut. 82! A! Saya macam tidak percaya. Dia kata "Angah ingat sampai sekarang yang mama ajar tu. Jadi angah jawab macam yang mama cakap". Saya terharu. Tuisyen saya menjadi. Pokoknya, kita sendiri. Kalau kita kuatkan semangat mengajar anak sendiri, insyallah, anak kita boleh berjaya. Saya berdebar menunggu keputusan Matematiknya. Saya mengajar sambil menampar-nampar tangannya. Geram! Ok Angah, mama berjanji mama akan cuba luangkan lebih masa untuk mengajar anak-anak mama di rumah.Moga Allah mempermudahkan.


Angah: Hari pertama ke sekolah, berwajah muram. Pernah satu hari, cikgu displin SK Jementah mengejar Angah yang berlari keluar dari kawasan sekolah. Semput Cikgu Azmi dan Cikgu Ilham...




Shykin, anak En Aziz, anak murid saya. DBS Part 4. Semenjak pertemuan pertama dalam kelas, saya sudah nampak kesungguhannya. Tidak banyak bertanya tetapi sungguh tekun. Dalam keadaan tidak sihat pun dia tetap hadir ke kelas. Dua minggu sebelum final, dia tekun bertemu saya. Juga rajin menelefon. Mesej juga dihantar. Dan seperti yang saya katakan tadi, pokoknya kita juga. Kalau kita sanggup membimbing, anak murid kita insyallah akan berjaya. Kadang-kadang naik lenguh saya menerangkan setiap persoalannya. Geram pun ada bila saya terpaksa mengulang penerangan. Cuma tidak boleh menampar je! Petang tadi sebelum Maghrib, dia menelefon. Ada nada yang sangat riang di hujung talian. "Puannnnn...saya boleh jawab soalan exam tadi, saya sayang Puan..." Saya balas "love u too". Saya membuka bungkusan jawapan pelajar. Pantas mencari nama anak En Aziz. Shykin guna dua booklets! Hanya dia yang menjawab dengan dua booklets. Ok Shykin, berdoa dan bertawakallah pada Allah selepas Shykin jenuh berusaha.



Shykin tiada dalam gambar. Ex students saya. Aina dan Yanti, sekarang final sem di UiTM Malaysia, Shah Alam. Antara pelajar yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Kek coklat tu....saya tempah dari Kak Ida cleaner di UiTM Segamat.


Anak dan anak murid, dua golongan innocent yang menjadi amanah buat kita...




Tuesday, April 22, 2008

Koleksi entri 2006 dan awal 2007

Entah kenapa malam ini saya gila menulis. Mungkin sudah agak lega kerana kuliah telah tamat, rawscore sudah ditampal dan consultations sudah berkurangan.

Penulisan dalam blog bermula sekitar Ogos 2006. Namun saya malas mengemaskini entri. Lantas saya lupa password blog sendiri. Sayang pada penulisan sebelum ini, saya upload kesemua entri(tak banyak pun...) buat koleksi peribadi. Satu lagi punca mengapa saya malas update entri ialah kerana kepayahan mencari peribahasa yang sesuai. Kononnya, blog saya lain dari yang lain. Setiap entri berperibahasa dan diakhiri pantun. Akhirnya memakan diri sendiri kerana payahnya mencari peribahasa dan pantun yang tepat dengan nukilan yang ingin dikongsi dengan pengunjung blog yang tersesat. Saya sayangkan 'folklores' Melayu dan bercita-cita tinggi menzahirkan kecintaan saya pada budaya Melayu melalui penulisan. Tetapi rupanya sekerat jalan.

Entri dulu-dulu ini terlalu panjang. Bila baca, terasa penat. Tapi penulisan ini tetap bernilai. Sekurang-kurangnya, akan menjadi rujukan 4 beradik tu.

Tuesday, February 06, 2007

Alah bisa Tegal biasa
5 Februari 2007, bermulalah kehidupan saya tanpa seorang pembantu setia...Sebulan sebelum Fahim lahir, suami sudah menyediakan pembantu buat saya..mungkin kerana suami amat arif dengan 'kelembapan' saya membuat kerja-kerja rumah. Saya lebih suka membaca, membaca dan membaca. Sekarang Fahim dah berusia 7 tahun, maka selama 7 tahun itulah saya sudah dibiasakan dengan kehadiran pembantu rumah. Tiga pembantu rumah Indonesia untuk tempoh 7 tahun...Alhamdulillah semua pembantu saya memang banyak membantu dan kurang kerenah tapi habis kontrak 2 tahun, masing2 nak balik kampung bawa duit berbelas juta rupiah.4 Februari 2007, pulanglah pembantu yang ketiga bersama gajinya. Malamnya, saya terjaga 3 ke4 kali kerana terlalu memikirkan tentang kehidupan selepas ini yang pasti berubah dan menuntut komitmen yang bukan sedikit. Pukul 5 pagi, alarm handphone mudah membangunkan saya yang memang tak tidur lena. Terus turun ke tingkat bawah, basuh muka dan kedua tangan, minum segelas air, panaskan kuali, keluarkan bawang putih bawang merah yang telah siap dikisar, goreng dan pecahkan 2 biji telur, tambah garam dan masukkan nasi putih. Siap nasi goreng! Tadah air paip dalam cerek elektrik. Susun pinggan cawan sudu atas meja. Air dah masak. Bancuh milo kegemaran anak2. Naik tingkat atas, kejut Fadhli, Farhan, Fahim, Fatihah. Liatnya anak2 mama nak bangun pagi. Kena pastikan mereka betul-betul mandi dalam bilik air atau mereka cuma berdiri tegak dan terus menutup mata, sambung tidur. Semua selesai mandi dalam 30 minit. Bersiap, lumurkankan minyak zaitun safi pada rambut anak2 lelaki, sikat, ikat rambut Fatihah. Fatihah tak nak pakai tudung lagi. 'Kakak nak pakai tudung bila solat dan hari raya aje' tegasnya. Tak apa, tapi bila dah sampai masa nanti, mama pula akan bertegas dengan kakak. Anak2 solat subuh, pakai stokin, turun tingkat bawah dan mengadap sarapan. Saya pula solat namun doa pendek. Semput juga uruskan anak2 ni...6.50 am, memandu ke sekolah. Udara Segamat masih dingin namun kesemputan sebelumnya telah menghangatkan badan.7.25 am, sampai ke kampus. Hantar Fatihah ke Tadika Kemas dulu. Kalau sampai awal, bacakan Fatihah sebuah dua buku cerita.7.55 am, masuk kelas, mengajar dari 8 am hingga 9.50 am. Balik pejabat. Kemaskinikan diari dan kerja-kerja pejabat yang belum siap. Bila otak dah letih berfikir dan ingin berehat sebentar, layari laman sawang sasterawan2 Malaysia.12.30 pm, ambil fatihah di tadika, terus ke Segamat, ambil adik, Nurul yang mula bersekolah tingkatan 5 di sini. Sejak abah pergi tiada siapa yang memantau pelajarannya. Pujuk mak benarkan Nurul belajar di Segamat, alhamdulillah, setelah mak berfikir panjang, dapat lampu hijau.1.20 pm, ambil anak2 pula. hantar ke rumah, solat zuhur dan ke kampus semula. Mak dah siapkan masakan tengahari. Tapi 19 Feb nanti, mak akan pulang semula ke Serendah. Kenalah saya fikirkan samada nak beli atau siap2 masak lauk semasa sediakan sarapan. Beli je kot!!! Ada kelas petang 2 hingga 4 pm. Usai kelas, tunggu masuk waktu asar, solat dan punch out.5 pm, aduh pening kepala tengok rumah tak seperti biasa, agak bersepah. Anak2 buat kerja sekolah dan tinggal buku sana sini. Kertas dikoyak, dibuat wau, kapal layar, pistol dan dibiar sahaja. Masing2 naik atas, tunggu cerita nabila tv9, dekat di hati. Saya panaskan lauk dan bancuh milo dan teh. Pisang goreng dan karipap yang dibeli sebelum balik tadi, dihidangkan atas meja dapur. Lipat kain dan susun. Mandi dan bersiap sedia untuk solat Maghrib.7.50 pm, ajak anak2 makan. Selesai setengah jam kemudian dan tunggu pula solat isyak sambil menonton berita tv3. selesai isya', gosok baju anak2, suami dan baju sendiri sambil kepala memikirkan tentang menu sarapan esok pagi. Ke dapur, keluarkan daging dan ayam dari peti sejuk, kisar cili kering dan rendam mihun.10 pm, baru rasa lega sikit, tapi bila kenangkan tugasan master yang belum disentuh langsung, kepala yang agak lega tadi terasa berat semula. Dr Juhana dah bagi tugasan. En Rizal asyik sebut dua tiga isu terkini tentang teknologi maklumat. Alamak, quiz 1 untuk pelajar belum hantar fotostet lagi!! Soalan2 untuk ujian pun belum sempat deraf lagi...12 am, mata dah tak larat nak buka, pinggang pun dah lenguh..badan minta dibaringkan atas tilam fiber yang empuk. Bantal kekabu kiriman mak mertua bagai melambai2, selimut tebal ala hotel menyelubungi minda. Apa lagi tidurlah..sebelum tu jangan lupa set alarm pukul 5 am....

Pucuk paku si pucuk ubi
Pekasam goreng ditabur cili
Walau berat tugas dihadapi
Pada Allah doa diberi

posted by Noraini Ismail @ 6:19 PM 3 comments


Friday, December 22, 2006

Adat penuh ke atas, syarak penuh ke bawah
Salam. Aceh meraih simpati seluruh dunia semasa dilanda tsunami. Pilihanraya di Aceh yang baru-baru ini juga meraih perhatian masyarakat dunia. Dikhabarkan 1000 pemerhati luar memantau pilihanraya itu. Namun yang lebih menarik perhatian saya ialah berita yang saya baca melalui e browse Harian Metro. Polis agama di sana menyerbu puluhan pusat kecantikan dan menahan 13 wanita kerana berpakaian menjolok mata. Dua lelaki juga ditangkap kerana menggunakan khidmat wanita untuk menggunting rambut di pusat tersebut. Walaubagaimanapun kesemua mereka dilepaskan selepas diberi nasihat. Hmmmm...menarik! Lebih menarik, minggu sudah, Agensi Syariah mengemukakan usul untuk memotong tangan pencuri! Subhanallah...Saya kebetulan sesudah maghrib membaca ayat mengenai arahan Allah ke atas pencuri lelaki dan pencuri perempuan di dalam surah Al Maidah. Ayat Quran tu! Asbabul nuzul ayat itu mestilah dikaji, tentu ada sebabnya mengapa Allah memerintahkan hukuman potong tangan. Walaubagaimanapun, ada golongan yang menentang atas alasan landasan sosial wilayah itu seharusnya diperbaiki dan dibangunkan terlebih dahulu barulah dilaksanakan hukum potong tangan. Di zaman pemerintahan Khalifah Umar, perlaksanaan hukuman ini ditangguhkan kerana terdapat golongan miskin yang mendominasi keadaan.Fikiran saya berlegar sekitar negara tercinta Malaysia. Bolehkah perlaksanaan hukuman potong tangan dibuat? Di Segamat, banyak kejadian mencuri selepas banjir. Adakah mereka terdesak hingga mencuri? Yang dicuri kebanyakkannya dari kedai alatan telekomunikasi. Makanankah itu? Kejadian mencuri semasa bulan Ramadhan juga berlaku! Terdesakkah mereka? Jika boleh dibuat kajian, golongan manakah yang memonopoli kegiatan mencuri ini? Ada juga kes polis mencuri, tentera mencuri yang dilaporkan akhbar. Terdesakkah mereka? Kan mereka sudah ada mata pencarian tetap! Tidak cukupkah gaji mereka? Sebab tol atau minyak makin naik ke? Alamak, banyak pulak sangkut pautnya!Apapun, sekiranya hukuman ini boleh dilaksanakan, alhamdulillah kerana hukum Allah mesti ditegakkan. Pensyarah Undang-Undang UKM, Dr. Abd. Halim El Muhammady, dalam penulisannya berpendapat kepentingan tentang pembentukan negara Islam ada kaitannya dengan perlaksanaan syariah, kerana syariah tidak dapat dilaksanakan tanpa ada negara dan kedaulatan politik. Tuntutan perlaksanaan syari‘ah adalah wajib ke atas Muslim, maka mewujudkan negara Islam adalah suatu yang wajib.Tetapi pendapat landasan sosial harus diperbaiki dan penerangan hukum Islam dibuat secara meluas perlulah diambil kira terlebih dahulu. Hmmmm..alahai...

Asam rumbia dibelah-belah
Buah separah di dalam raga
Dunia ikut firman Allah
Akhirat juga mendapat syurga

posted by Noraini Ismail @ 2:36 AM 0 comments


Thursday, December 21, 2006

Sekali air bah...
...bandar Segamat berubah wajah! Hujan lebat mula mencurah turun pada pukul 8.30 pagi 18/12/2006. Saya di SKJ memberi penerangan ringkas tentang undang-undang pendidikan. Selesai acara sekitar 11.30 pagi, hujan masih turun. Ahh tapi biasalah Segamat tahun lepas pun hujan turun tak berhenti hinggalah menjelang Idul Adha. Saya masih ingat pergi mencari daun palas di pasar Segamat untuk membuat ketupat pulut orang utara. Tapi mak cik penjual sayuran dan ulaman hanya menggeleng kepala dan mengomel perlahan 'Mana nak cari nak oii..asyik hujan je...' Itu setahun yang sudah. Maknanya, kalau tahun ni kami beraya di Segamat juga, rebus ketupat segeralah jawabnya.Dan memang ternyata, daun palas takkan ada di pasar Segamat tahun ni. Bandar Segamat macam laut!Saya fikirkan hujan ini macam tahun sudah, hanya memberi kesan kepada kawasan yang sama. Tapi sungguh meleset, kawasan yang tidak diduga pun turut menjadi mangsa. Kg Jawa(ada kedai menjual soto yang lazat) dan Kg Abdullah khabarnya ditenggelam air hingga mencecah bumbung rumah! Alhamdulillah, Jementah masih ok walau hujan terus turun, kadang lebat kadang renyai. Bekalan air dah 3 hari terputus. Semalam saya ke bandar Jementah membeli sedozen air mineral 1.5l, 10 kilo beras, ikan bilis, tepung, bawang putih bawang merah, buat bekalan andai kecemasan. Saya juga terkenangkan koordinator saya yang terperangkap di Taman Sedeng Segamat. Jalan masuk semua tertutup. Pagi tadi dia menelefon saya memberitahu air tangki rumahnya dah habis dan air minuman tinggal dua botol...Saya simpati sangat-sangat tapi nak buat macammana, jalan ke Segamat terputus. Jangan kata jalan ke Segamat, nak ke UiTM pun sama.Di padang bandar Jementah semalam, jadi tumpuan penduduk sekitar, dua helikopter mendarat. Pasukan penyelamat beruniform oren kemudiannya dilihat bersarapan pagi di kedai makan paling popular di sini.Banyak yang saya nak tulis di sini tapi anak-anak yang buntu tak ada apa nak buat mengganggu kelancaran idea...Kami dah 3 hari mandi tak mandi! Semalam anak-anak mandi air hujan. Alhamdulillah, tak demam, mungkin air hujan yang telah turun 5 hari ni air yang sihat. Nantilah bila keadaan dah ok, saya akan menulis lagi. Tadi suami di Sg Mati Muar menelefon, katanya air dah mula naik! Ya Allah semoga dia dan penduduk sekitar selamat.Buat Kak Zura di Taman Sedeng, maaf ya tak boleh ke sana, hanya mampu menelefon bertanya khabar

Anak Cina telinga bertindik
Badan kurus panjang lampai
Hendak melangkah kaki pendek
Hendak mencapai tangan tak sampai

posted by Noraini Ismail @ 6:16 PM 1 comments


Thursday, October 12, 2006

Biar titik jangan tumpah
Salam. Kesibukan harian sebagai pekerja dan pelajar separuh masa membuatkan blog ni jarang dikemas kini. Ada saja tuntutan itu ini yang mengekang saya dari menulis. Kerja di pejabat yang tak surut-surut malah semakin sibuk menjelang peperiksaan akhir, tugasan master yang menuntut pembacaan yang bukan sedikit, kerenah dan ragam masam manis kelat anak-anak yang masih kecil menjadikan saya hamba Allah yang merasakan 24 jam sehari tidak mencukupi. Tapi yang anehnya, tidur dapat juga 5-6 jam sehari....Saya memang antara manusia yang perlukan tidur yang cukup...walaupun diselubungi kesibukan.Bulan Ramadan kali ini menambahkan kesibukan. Kesibukan dunia tak payahlah diceritakan lagi..Ramadan menjanjikan keberkatan..Untuk mencari keberkatan, solat tarawikh, Al-Quran dan tadarus menjadi sebahagian dari kesibukan agenda harian.Insyallah Ramadan kali ini, khatam Quran lagi.Anak-anak juga turut menyibukkan jadual seharian. Melatih Fadhli, Farhan, Fahim dan Fatihah berpuasa menjadikan saya ibu yang paling lemah lembut. Menyedari tahap kelaparan dan kedahagaan anak-anak menjelang petang, saya sedaya upaya memujuk, membelai, merayu dengan kata-kata manis "Allah sangat sayang orang yang berpuasa..", "Allah suka budak kecil yang berpuasa..", "Allah dah sediakan syurga bagi budak kecil yang berpuasa.." Nampaknya rayuan dan pujukan saya berjaya mengekalkan puasa anak-anak hingga ke Maghrib. Tapi Fahim dan Fatihah ada juga berpuasa setengah hari sebab tak tahan godaan air kotak dan biskut tiger yang dibekalkan guru tadika di sekolah...Anak-anak sebenarnya mudah dilentur semasa masih kecil. Berpuasa contohnya. Saya berpuas hati kerana Fatihah sekecil 5 tahun sudah 10 hari dapat berpuasa. Jadi dia sudah boleh mengerti erti berpuasa, apa rasanya berpuasa, doa berpuasa, waktu imsak, waktu berbuka, tegahan sewaktu berpuasa. Walaupun tidak dapat puasa penuh sepanjang Ramadan, setidak-tidaknya dia sudah mengalami satu keadaan yang dipanggil puasa. Biar titik jangan tumpah!Dan sayapun rasa puas hati hari ini kerana setelah sekian lama tidak menulis di blog, akhirnya dapat juga mencoret sesuatu. Tak lama lagi saya sendiri akan menghadapi peperiksaan akhir..alahai..setelah sekian lama tak diterjah rasa gabra, kali ini selepas hari raya, perasaan yang telah saya tinggalkan 10 tahun sudah akan kembali menjenguk..Hmmm..lama lagi le blog ni nak dikemas kini pulak...Semoga Ramadan kali ini, walau dihujani titis-titis kesibukan, tetap memberikan keberkatan hidup, keberkatan ilmu dan kemanisan pengalaman dan rezeki yang berpanjangan

Cari galah kayu di hutan
Singgah menetak cendana gaharu
Minta doa mudah-mudahan
Boleh rezeki datang selalu

posted by Noraini Ismail @ 4:11 PM 1 comments


Sunday, August 13, 2006

Hendak terbang tiada bersayap
Salam
Sebagai manusia, saya juga sukakan hiburan. Juga meminati penyanyi tempatan. Namun, seingat saya, hanya kaset penyanyi Uji Rashid pernah dibeli. Uji mempunyai suara yang lemak merdu. Sendainya Uji mengalunkan ayat-ayat suci Al-Qur'an dengan lagu dan tajwid yang betul, pasti burung yang sedang terbang pun berhenti dan singgah di balik jendela mencuri dengar betapa mersiknya suara itu. Saya juga sukakan Siti Nurhaliza. Tapi itu dulu, sebelum rahsianya dengan Dato' K terbongkar. Entah kenapa, sejak TV3 beria-ia membuat liputan pengumuman khas Siti, saya hilang minat pada Siti(tak luakpun Siti walaupun hilang satu peminatnya). Saya jadi rimas dengan rancangan susulan secara langsung yang membongkar kisah cinta Siti. Yang pasti, saya sebenarnya, rimas dengan TV3 yang terlalu mempublisitikan cerita Siti. Bagi saya, sebagai TV no 1 Malaysia, TV3 mempunyai banyak lagi cerita yang perlu didedahkan kepada rakyat Malaysia, yang perlu disensasikan. Tapi apa boleh buat, TV3 gemar memburu perhatian penonton dengan cara begitu.
Media di Malaysia terlalu ghairah dengan tuntutan selera dunia. Sewaktu TV9 diperkenalkan, saya mulanya menarik nafas lega kerana melalui sedutan-sedutan tayangan pengenalan, banyak rancangan bercorak agama dihidangkan kepada penonton. Saluran itu khabarnya khusus untuk menarik penonton Melayu, saluran dekat di hati. Tetapi hakikatnya tidak. Sekadar Iqra, Halaqah dan Akademi Al-Quran(Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada juga), apalah bezanya saluran itu dengan saluran sedia ada? Rancangan kartun dari dunia Barat berpanjangan dan diulang tayang, menghiasi skrin TV.
Sepatutnya TV9 berperanan secara proaktif mendidik masyarakat Melayu ke arah mencintai akhirat. Cukuplah Tv3 dengan rancangan-rancangan dunianya.
Namun, apakan daya saya, hanya boleh mengeluarkan pendapat dan rasa tidak puas hati terhadap media tempatan. Untuk mengubahnya, tidak terdaya. Saya tidak bersayap dan tak boleh pergi jauh. Harapan saya, semoga ada antara anak-anak saya nanti menceburi bidang penerbitan. Semoga dia nanti sekaya Dato' K. Dengan duit yang banyak, bolehlah menerbitkan drama dan filem berunsur Islam atau dokumentari tentang dunia Islam dan dunia akhirat, semoga menjadi panduan kepada Muslimin dan Muslimat. Saya tidak boleh menafikan kepentingan tv sebagai medium dakwah yang berkesan pada masa kini. Insyallah, moga anak-anak mama dipanjangkan umur, diberi kecerdikan akal yang akan digunakan untuk kebaikan umat Islam.

Asam rumbia dibelah-belah
Buah separah dalam raga
Dunia ikut firman Allah
Akhirat juga mendapat syurga


posted by Noraini Ismail @ 9:02 AM 1 comments


Friday, August 11, 2006

Elok bahasa bekal hidup, elok budi bekal mati

Sebelum maghrib tadi saya menerima panggilan telefon dari bekas anak murid yang dah bergelar bapa, Salman. Dia membawa khabar gembira. Dia dan isterinya, Farah(juga bekas anak murid) akan berangkat ke Hungary pada 20hb Ogos ni...
"Membawa hati yang luka ke? Sampai tak sempat tunggu 21hb..." gurau saya.(Umum 'terlebih' dikhabarkan media mengenai perkahwinan Siti 21hb Ogos)
"Itulah sebenarnya Puan, merajuk dengan Siti!". Berbual dengan Salman kerap mengundang tawa berpanjangan. Salman periang orangnya. Budi bahasa dengan pensyarah-pensyarahnya dijaga. Pernah dia berkunjung ke rumah saya membawa buah-buahan dari kampung. Budi dan bahasanya tetap saya kenang selagi diberi nyawa. Saya tumpang seronok dan segera mendoakan mereka bahagia di rantau orang.
Mendapat panggilan telefon, menerima esemes atau menerima kiriman emel dari bekas pelajar sesungguhnya antara perkara yang menyeronokkan. Mendengar kejayaan, pengalaman, masalah mereka di tempat kerja atau di dalam rumahtangga, saya memanjatkan kesyukuran kerana masih bernyawa untuk berkongsi semua itu. Walaupun terkadang dihujani kesibukan, saya sedaya upaya terus berkomunikasi dengan mereka, cukuplah sekadar memberi pandangan, mengucap tahniah, berkongsi rasa sedih dan gembira, tanda kita tetap menghargai mereka. Tak luak apapun, malah memanjangkan lagi silaturrahim sesama manusia. Melayukan terkenal dengan budi bahasa!
Baru-baru ini saya mendapat esemes bekas pelajar yang dilanda masalah dengan suami.
"Puan, alhamdulillah, saya dan suami dah ok. Saya bersyukur mendengar nasihat Puan hari tu. Saya banyakkan sabar dan tak lari dari rumah. Saya layan dia macam biasa walau hati saya sakit dan jelek. Berkat doa-doa saya melembutkan hatinya". Saya membaca mesej itu dengan rasa lega. Rupanya dia mendengar nasihat saya supaya tidak terlalu berkeras dengan suami yang sedang mabuk dilanda asmara. Gunakan pendekatan yang berhikmah dan banyakkan solat hajat.
Berbalik pada Salman, saya sempat berpesan agar menjaga iman walau di mana dia berada. Semoga jatidiri Melayu Islam tidak akan hilang dari dirinya. Dia membalas, dengan berkat doa guru-guru, maka jadilah kami hamba Allah yang berjaya dunia akhirat. Saya tersenyum puas. Manis sungguh bahasanya. Moga jadi ingatan buat diri sendiri juga. Elok bahasa, elok budi, disayangi Ilahi. Sesungghnya agama Islam itu ialah agama yang boleh mencorakkan budi bahasa yang indah seindah pekerti Nabi Muhammad s.a.w.

Anak ayam turun lima
Satu mati tinggal empat
Minta mati dalam agama
Biarlah tulis jalan makrifat


posted by Noraini Ismail @ 6:55 AM 3 comments


Monday, August 07, 2006

Kecil anak besar onak
Assalamualaikum
Pagi ini agak berat nak bangun, semalam tidur lambat. Selesaikan bacaan bab kedua buku Halal Haram terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Tapi kalau seorang emak susah nak bangun, anak apatah lagi. Saya gagahkan diri menentang rasa mengantuk dan terus kejutkan anak-anak. Macam-macam ragam yang terbit di pagi hari. Namun seorang emak mesti sentiasa bersabar. Yang paling kecil, Fatihah, minta didukung ke bilik air sambil merengek minta jangan dibasuh mukanya kerana dia akan sambung tidur lagi selepas mandi. Basahkan badan sahaja! Yang sulung, Fadhli, selsema dan batuk jadi merenung saya penuh harapan meraih simpati penuh makna. Namun saya dengan lemah lembut memujuknya supaya mandi dan bersiap sedia ke sekolah. Yang kedua, Farhan, selepas mandi mengelirukan saya dengan susunan jadual waktunya hari ini.
"Mama, hari ni mama ikut jadual hari apa?"
"Selasalah, kenapa?"
"Nanti mama ikut jadual hari Jumaat!"
"Tapi hari ni hari Selasa, kenalah ikut jadual hari Selasa"
"Nanti ada buku mama tak masukkan dalam beg!"
"Kalau ikut betul-betul jadual tu, adalah semua buku"
"Tapi nanti mama masukkan buku lain"
"Takkk...mama ikut jadual!"
"Bila cuti panjang?" Dia mengakhiri perbualan penuh rengekan dengan persoalan yang saya dah agak dalam hati. Saya teringat tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad dalam bukunya, "Perjalananku sejauh ini: Sebuah Autobiografi".
"...belajar dalam darjah satu dengan hati yang amat berat kerana memang aku tidak gemar bersekolah...Aku merasakan satu kerugian besar bila setiap pagi terpaksa bangun awal, berpakaian kemas dan berjalan terus ke sekolah..." antara bingkisan Shahnon Ahmad.
Nampaknya Shahnon Ahmad juga tidak suka ke sekolah.
Putera saya yang ketiga tidak susah mengurusnya. Fahim tak pernah merengek. Tapi selepas siap berpakaian, sempat dia menutup sebentar matanya dan dalam sebentar itu, terdengar keruhan tanda lena!
Kerenah anak yang pelbagai di pagi hari kadang-kadang menguji ketabahan seorang emak. Dalam mengurus anak, sempatlah memanjatkan doa agar anak-anak ini biar susah diurus semasa masih kecil, namun apabila besar harapnya tidaklah menyesakkan dada! Janganlah menjadi onak wahai anak-anak mama.
Harapan semua yang bergelar emak ialah anak-anak dapat pendidikan yang sempurna yang dapat membantu mereka menjadi manusia yang berguna.

Apa guna memakai kasut
Dilangkah akan betis diri
Apa guna ilmu dituntut
Kalau tidak membantu diri


posted by Noraini Ismail @ 4:31 PM 2 comments


Rendah gunung tinggi harapan

Salam perkenalan dari saya, seorang Muslimah Melayu yang bercita-cita tinggi pada detik ini untuk menulis secara tekal walau arif dengan kelemahan diri...Nama saya Noraini Ismail, seorang pendidik anak bangsa. Sudah berumahtangga dan hidup bahagia dengan Shamsul Kamal bin Abdul Ghafar. Alhamdulillah, dikurniakan Allah empat orang cahaya mata; tiga putera dan seorang puteri. Untuk memulakan penulisan ini, saya mengambil masa yang amat panjang. Kurang yakin dengan diri sendiri! Walaupun saya mendapat A1 untuk matapelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu semasa SPM berbelas tahun sudah, namun kemahiran menulis dan merungkai niat di hati tidak lagi menjadi satu perkara yang mudah(saya terpaksa merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa peninggalan arwah abah untuk memastikan ejaan sesetengah perkataan). Saya jadi pengunjung setia blog sasterawan-sasterawan Malaysia, kagum dengan keindahan penulisan mereka dan berazam akan mempunyai blog sendiri. Hari ini, 8/8/2006, dengan rasminya saya menulis sesuatu di sini. Niat saya biarlah blog ini mendatangkan kebaikan buat diri sendiri dan menjadi wadah buat saya menyuarakan isi hati yang selama ini hanya dikongsi bersama suami dan beberapa teman rapat. Perkongsian suara hati saya diharap dapat memantapkan keimanan saya seorang Muslimah Melayu, melalui perbincangan yang sihat dengan bloggers di luar sana.

Banyak buah perkara buah
Buah di rimba jangan dimakan
Banyak tuah perkara tuah
Tuah menimpa saya harapkan


Salam perkenalan sekali lagi..

Detik inilah bermulanya sejarah blog saya. Sekadar ingin berkongsi rasa bersama bloggers yang tersesat...

Indah Gundah Melayu Islam

Puisi ini tidak sempurna. Banyak cacat cela. Tetapi ia lahir kerana kerisauan akibat kerenah segelintir pelajar-pelajar UiTM Johor yang memeningkan kepala. Akibat tingkah laku pelajar sekolah menengah yang berkeliaran sekitar kedai kopi pada pukul 7.45 pagi. Sepatutnya mereka harus bersekolah pada masa itu tetapi mereka kelihatan seronok bersembang sambil menghisap rokok. Kedegilan anak-anak sendiri juga turut merisaukan hati. Bimbang kerana mereka ialah pewaris bangsa. Bangsa Melayu. Bangsa yang sepatutnya kaya dengan nilai-nilai murni. Kerana Melayu Malaysia beragama Islam. Islam lengkap. Islam cantik. Islam menarik. Islam segala-galanya. Tapi, hari ini pergaulan begitu bebas. Tahap malu dalam diri semakin menghilang. Kes membuang bayi semakin menjadi-jadi. Anak-anak di rumah dibiar dengan dunia siber, mereka semakin menyendiri. Ibubapa semakin sibuk (diri sendiripun hanya ada masa yang begitu terhad dengan anak-anak). Saya perlu mecari web Ustaz Saiful Islam.Dengar khabar ustaz ini arif tentang hal pendidikan anak-anak.

Ya Allah, semoga 4 cahayamataku akan kekal berada dalam jalan yang lurus. Seoga pelajar-pelajar UiTM Johor juga tidak menyimpang ke jalan yang bengkok. Luruskanlah mereka Ya Allah.

Aku bersyukur dilahirkan Islam
Islamnya aku kerana kurniaan
Islamnya aku caturan Tuhan
Aku berbahagia menjadi Melayu
Melayunya aku kerana keturunan
Melayunya aku satu ketentuan

Islam itu agama nan indah
Islam itu petunjuk arah
Islam itu mampu mengubah
Islam itu janjinya mewah
Melayu ini pekerti budiman
Melayu ini berwajah rupawan
Melayu ini berakhlak sopan
Melayu ini hakikatnya menawan

Betapa besar nikmatMu Ilahi
Melayu Islam di tanah subur ini
Tidak tersungkur dikejar peluru senjata api
Tidak diancam bom ‘pejuang’ berani mati
Tidak kebulur krisis kepincangan ekonomi
Tidak tersepit pertelingkahan dua parti
Tidak terkubur di telan gempa bumi dan gunung berapi

Betapa agung takdirMu Rabbi
Melayu Islam di bumi bertuah ini
Terbang bebas seperti helang
Tiada takut tak perlu bimbang
Kocek berisi perut pun kenyang
Pemerintah adil ekonomi berkembang
Fakir miskin ramai yang sayang
HambaMu mampu bernafas tenang

Namun begitu wahai Tuhan
Melayu Islam di daerah damai ini
Semakin jauh dari landasan
Berlari pantas memintas ajaran
Melanggar meredah hukum peraturan
Asyik mengabdi tuntutan zaman
Lelaki perempuan tiada batasan
Sentuh bercumbu erat pelukan
Kain secebis hiasan badan
Singkat ketat jadi pujaan
Dadah dan arak jadi santapan
Musik hiburan dendang perasaan
Terheret terjelepuk dikaki syaitan
Cuai hanyut dariMu Tuhan
Karam dihanyut lautan perasaan


Aduhai Penciptaku Tuhan
Aku malu kerana Islam ini hanya pada nama
Melayu ini hanya pada rupa
Ikrar padaMu terus dikhianati
Ajaran Al Quran disisih ketepi
PerintahMu diabai rakus dicabuli
LaranganMu amalan setiap hari
Sunah NabiMu dipersenda diragui
Fatwa ulama dimusiumkan sepi
‘Nahi Mungkar’ tiada berfungsi
‘Amal Maaruf’ persoalan peribadi

Ya Rabbi Ya Rahman Ya Rahim
Kasihanilah kami, rahmatiah diri
Segelintir hambaMu, Melayu Islam di syurga dunia ini
Walau tidak rela namun tidak berdaya
Walau membara di dada, tiada berkuasa
Walau membenci tiada upaya
Hanya padaMu, kami berserta
Lindungi kami hingga akhirnya…

Nukilan Hati Seorang Ibu

Cahaya mataku,
Sesungguhnya kehadiranmu,
Melengkap bahagia diari hidupku
Sembilan bulan ibu menunggu,
Untuk dicurah segala ilmu,
Cinta pedoman buat anakku,
Buat bekalan di masa depanmu.

Permata hatiku,
Duduklah di sisi ibu,
Amatilah solat dan bacaan Al-Quran,
Kan kudodoikan tidurmu dengan kisah-kisah silam,
Perjuangan Rasulullah dan sahabat sekalian,
Derita sengsara menegakkan kebenaran,
Agar Islam terus berkekalan,
Dan padamu wahai anakku,
Ibu pancarkan sinar harapan,
Jadikanlah Islam satu pegangan,
Mekar berkembang ke akhir zaman.

Mutiara hatiku,
Bila usia meningkat remaja,
Biar solatmu tertunai rela,
Ayatul quran penuhi dada,
Sirah nabimu usah dilupa
Iman di hati sempurna dijaga,
Rauplah ilmu di mana saja,
Balut tubuhmu pakaian takwa
Hiasi dirimu akhlak mulia

Sayang,
Kita bukan di zaman Rasulullah,
Agama kita semakin goyah,
Tingkah dan akhlak tiada indah,
Bebas membelai nafsu amarah
Ilmu ditawar mencurah mudah,
Peluang istiqamah terhidang mewah,
Tidak di hargai, tidak di endah.

Waris kasihku
Jangan dicabuli, jangan dikhianati,
Ikrar janjimu dengan Ilahi
Tugas khalifah di bumi ini,
Tunaikan tulus ikhlas diberi,
Azam dan nekad pegangan hati
Jambatan ke syurga alam yang pasti

*Puisi ini saya karang semasa mengandungkan Almi Fadhli, anak sulung. Semasa anak-anak masih kecil (2-5 tahun) saya sering ceritakan tentang cerita nabi-nabi. Saya selalu berazam untuk mengajar mereka Al-Quran. Namun, akhirnya saya terpaksa mencari ustazah lain kerana saya tidak dapat menahan marah apabila anak-anak ini lupa huruf atau salah bacaan. Bukan mudah mengajar anak sendiri.Tangan ringan sahaja singgah ke bahagian badan tertentu.Cubit lain cerita. Saya risaukan anak-anak ini. Dapat berjumpa abah dua hari seminggu. Apalah sangat yang dapat dilakukan dalam dua hari itu. Jadi, menjadi atau tidak anak-anak ini banyak dpengaruhi oleh diri saya. Sungguh berat tanggungjawab ini. Abang, titipkan doa selalu buat isterimu agar tabah dan redha dengan ujian dunia ini.

Cemburu

Sudah lama saya cemburu. Cemburu yang membuatkan tidur yang tidak nyenyak. Cemburu yang menjadikan saya termenung panjang. Mencari ilham bagaimana cemburu ini dapat diatasi. Saya cemburukan Dr Zaidi, Dr Intan, Khairul & Wan, Imah & Shahrul dan ramai lagi kawan-kawan yang sedang melanjutkan pelajaran dalam peringkat PhD. Zaidi & Intan sudah terlalu cemerlang. Cemburukan mereka kerana dapat keluar negara,usah diceritakanlah. Seronok baca entri Intan tentang brooch di Korea. Lalu saya terfikirkan diri sendiri yang masih teraba-raba tentang tajuk apa yang perlu saya teroka. Minat pada undang-undang kanak-kanak dan perlembagaan persekutuan memberi saya ilham untuk menggabungkan kedua bidang ini dalam penulisan. Tapi apa ya? Apa yang perlu ditulis? Saya berdoa abstrak saya ke Hong Kong diterima untuk pembentangan September ini. Artikel saya tentang child offenders diharap dapat menarik perhatian panel.

Tapi, disebalik kesibukan mencari ilham tajuk PhD, kerja-kerja pejabat, 5S, Audit Dalam, AKNC, marking papers, consultations, penulisan dan pembentangan, anak-anak saya terabai. Itu hakikat yang sangat menyedihkan. Penat seharian di pejabat membuatkan saya cukup penat di sebelah malam. Homework anak-anak terpaksa dilihat, prep mereka dipantau. Kadang-kadang nampak khusyuk membaca, rupanya majalah Doraemon. Beg mereka terpaksa disemak. Kadang-kadang ada kerja rumah tapi tidak dibuat. Akibat diasak dengan pelbagai hal disebelah malam, saya jadi cepat 'naik angin'.

Saya juga cemburu dengan suami. Namun, kerjaya beliau lebih penting. Sekiranya suami berpindah ke Segamat, kerjayanya susah untuk bekembang. Di Damansara, beliau menganggotai berbagai Jawatankuasa. Jawatan yang membantu kenaikan pangkatnya. Cemburu juga bila memikirkan seronoknya suami berseorangan tanpa diasak anak-anak dengan pelbagai kerenah.

Cemburu saya cemburu bertempat. Cemburu dengan perkembangan pesat pembelajaran rakan sekerja. Cemburu dengan 'ketidakserabutan' suami dengan kerenah anak-anak. Cemburu dengan mereka yang sebumbung dengan suami setiap hari.

Aduhai hati, bersabarlah lagi. Tentu Allah sudah tetapkan apa yang terbaik untuk diri.

Thursday, April 17, 2008

Menipu

Along menipu tadi. Ketika saya bertanya sudah solat atau belum, dia beritahu sudah, di sekolah. Saya rasa tidak puas hati. Saya tanya alang. Alang beri jawapan memerangkap. Esok alang tanya kawan along. Terus along mengaku yang dia belum solat. Saya hukum along dengan rotan tiga kali di tapak tangan. Terkilan! Along sudah pandai menipu demi kesenangan sendiri. Saya tutup tv yang menjadi sebab utama along menipu. Rancangan menarik di tv menjadi punca. Sempat saya terangkan maksud siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri. Harap along faham. Saya muhasabah diri sendiri. Kenapa anak berusia 11 tahun ini sanggup menipu. Konsep Allah Maha Mengetahui mungkin belum sebati di sanubari. Mungkin belum dekat di hati. Yang dekat di hati ialah TV3.

Manusia memang akan menipu untuk kesenangan atau kemudahan diri sendiri. Semua orang pasti pernah menipu. Saya fikir semua penipuan dimurkai Allah kecuali penipuan yang disunatkan seperti penipuan dalam peperangan. Sekali menipu, kita akan berkali-kali menipu. Apabila perkara pertama sudah ada unsur penipuan, perkara seterusnya tidak dapat lari dari penipuan yang seterusnya. Bila menipu, hati akan runsing. Takut penipuan terbongkar. Bila hati runsing, manis kehidupan terasa masam. Detik-detik yang dilalui amat mendebarkan.

Semoga along akan terbaca entri ini satu masa nanti. Along tidak boleh menipu lagi. Kalau orang lain tidak tahu, kita ada yang Maha Mengetahui...yang sentiasa mengetahui apa yang along telah lakukan. Semoga Along sentiasa berada di Jalan yang Lurus.

Tuesday, April 15, 2008

5S

Sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal. 2 hari berkursus bersama-sama consultant dari MPC. Ya Allah, banyaknya ilmu baru yang dipelajari. Nampak macam mudah, tapi agak payah terutama dalam mendidik staf jabatan yang masih terlalu selesa dengan keadaan bilik masing-masing. Cuba muhasabah diri sendiri, 1S pun payah. Setiap semester, azam yang sama dipasang. Namun azam'mencair' apabila hari-hari bekerja hangat dengan aktiviti lain. Fail dilabelkan. Tapi isinya tidak disusun. Kadang-kadang dalam kelibut mencari dokumen tertentu, terjumpa dokumen lain yang sepatutnya difailkan. Aduhai, azam selepas kursus:

1. Sistem pemfailan atau pendokumentasian mesti dibuat segera. Jangan tangguh!
2. Jangan tangguh!
3. Jangan tangguh!
4. Jangan tangguh!
5. Noraini Ismail, jangan suka bertangguh!

Sesungguhnya 5S ada kaitan dengan seluruh kehidupan sebagai hamba Allah. Jangan suka bertangguh kerana hati akan susah, gundah. Bila hati tidak tenteram, jiwa kacau. Bila jiwa kacau, solat terjejas. Bila solat terjejas, perkara-perkara lain mendapat tempias.

Noraini, ingatan ini khusus untuk diri sendiri.