Thursday, July 16, 2009

Islam dari pandangan seorang Hindu

Pagi tadi, hari ke dua Seminar Antarabangsa Penyelidikan Undang-Undang Islam di UM.

Seorang Prof Madya beragama Hindu bersemangat membentangkan penyelidikan beliau tentang status agama anak apabila salah seorang pasangan bukan Islam memeluk agama Islam. Beliau nampaknya memahami roh Perlembagaan Persekutuan dalam kebebasan beragama. Namun sudah pastilah beliau cuba sedaya upaya mempertahankan agama asal anak yang lahir daripada sebuah perkahwinan yang dimeterai di bawah kepercayaan Hindu. Pada masa yang sama beliau menghormati pegangan dan keputusan Mahkamah Syariah di dalam isu ini.

Di akhir sesi pembentangan, saya bertanya pandangannya tentang cara alernatif mengatasi isu sensitif ini. Beliau berpendapat isu agama anak patut diselesaikan di Mahkamah Sivil kerana perkahwinan diadakan mengikut kepercayaan asal mereka. Biarlah Hakim Mahkamah Sivil menyelesaikan isu itu. Namun bagi saya isu baru akan timbul. Siapa pula yang akan dilantik menjadi Hakim Bicara? Tidakkah pegangan agama Hakim tersebut akan mempengaruhi keputusannya? Adakah keputusan Hakim tersebut akan mengambil kira kepentingan kanak-kanak atau dibuat mengikut 'the best interest of the child'?

Seorang Mat Salleh bertanya pula tentang andai kedua ibubapa beragama Islam, tetapi anak yang lahir daripada perkahwinan tersebut tidak pernah mengamalkan Islam dalam hidupnya, bolehlah beliau keluar dari Islam apabila berusia 18 tahun?

Prof Madya beragama Hindu tersebut menjawab ia sudah terang lagi bersuluh kes murtad dan akan diadili di Mahkamah syariah. Beliau turut menerangkan beberapa Artikel dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan isu tesebut.

Prof Madya ini nampaknya amat arif tentang pentadbiran agama Islam di Malaysia. Saya mendoakan agar kefahaman mendalam ini akan menyumbang kepada penyelesaian isu sensitif yang semakin membara,hasil daripada perkembangan dan penerimaan agama Islam oleh bukan Islam.

Segala yang tersurat ada makna tersirat.

3 comments:

Mohd Halim Kadri said...

Puan Noraini,

Mudah-mudahan Prof Madya ini diberi hidayah oleh Allah. Amin.

Noraini said...

Salam En Halim

Ya, saya pun turut memuji beliau dengan diiringi doa yang sama.

Nizam Awang said...

Kak Ani,
Amatlah indah kalau beliau memahami Islam.

Suatu keadaan kontra apabila saya membaca sebuah makalah karya seorang ahli akademik muallaf tentang kebebasan beragama di Malaysia. Makalah itu diterbitkan dalam makalah undang-undang di negara jiran. Saya tidak pasti adakah ahli akademik di Malaysia akan hal tersebut. Hujahnya diperihalkan atas hak asasi manusia, tetapi malangnya gagal memahami dalam konteks tersebut negara sendiri. Tampak kemas dengan nas-nas undang-undang dan menidakkan hampir kesemua keputusan mahkamah yang kononnnya tidak memahami konteks hak asasi manusia mengikut instrumen undang-undang antarabangsa. Maaf. Sekadar pendapat peribadi.Harap-harapnya ada yang lebih pakar menegur tambahan pula dalam perjalanan beliau mendapatkan segulung ijazah doktor falsafah dalam isu-isu sensitif sebegitu.

Dalam keadaan lain, saya kagum dengan seorang ahli akademik berbangsa India, bicaranya tentang takaful di malaysia dan potensi untuk model di peringkat Asean. Kupasannya cukup kemas dan adil. Kebetulan pula dalam jurnal yang yang sama.

Renung-renungkan bersama...