Sunday, June 29, 2008

Mahkamah ISA?

Satu tajuk menarik di akhbar perdana pagi ini. Semalam, saya bertanyakan pada pelajar-pelajar baru UiTM Johor tentang apakah nama penuh bagi singkatan ISA. Tiada yang mahu menjawab. Apabila ditanya pada tiga pelajar baru, ketiga-tiganya sekadar menggeleng-geleng kepala. Mungkin tidak minat politik atau memang tidak tahu kewujudan ISA.

ISA dihujahi dua pendapat. Relevan atau tidak? Di Malaysia, semua arif bahawa kebanyakan yang ditahan di bawah ISA mempunyai kaitan dengan kenyataan atau tindakan berbau politik atau keselamatan dan ketenteraman. Ketuanan Melayu dan kewarganegaraan bangsa Cina dan India di bumi penuh sejarah warna-warni ini perlu dijaga seteliti mungkin. Silap penuturan pasti mencetus ketidakselesaan. Walau kebebasan bersuara dijamin Perlembagaan Persekutuan, ia bukanlah sesuatu yang 'absolute'. Perlu ada batasan.

Bila ada yang terlebih-lebih dalam menyatakan atau menzahirkan sesuatu, tindakan perlu diambil. Namun, membiarkan mereka tanpa perbicaraan yang sepatutnya menjadi hak mereka adalah sesuatu yang sangat-sangat perlu dikaji semula.

Prof Dr Shad Saleem Faruqi dan Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah menyarankan penubuhan satu Mahkamah Khas bagi tahanan ISA. Kehadiran wakil SUHAKAM dalam Mahkamah tersebut adalah satu langkah bijak.

Masih ada sinar bagi mereka dan keluarga mereka harapnya...

Maka Nikmat Tuhanmu Yang Manakah Kamu Dustakan? (Ar-Rahman)

Di sana, mereka kehilangan nikmat makanan

Tikus jadi santapan

Buat menahan kelaparan

Bagi meneruskan perjuangan

Kelangsungan hidup seharian

Tanah lumpur yang kita pijak

Amat bernilai bagi mereka

Dicampur sayuran diubah rasa

Dijual meluas di kaki lima

Mendapat sambutan bagi yang tiada


Di sini, kek coklat tanda persahabatan dikongsi

Penambah keakraban sahabat sejati

Manis dicicip syukur diberi

Rezeki kurniaMu masih dinikmati



Hari ini, anak-anak masih menikmati

Sepinggan potongan ayam bersama roti

Kentang goreng penambah seri

Nikmat pemberianMu tak pernah didustai

Oh Tuhan...

Kami tidak mendustai nikmatMu

Kami mensyukuri pemberianMu

Jauhilah bumi Malaysia ini

Dari azab yang menimpa saudara kami di India dan Haiti


Friday, June 27, 2008

Hak Kanak-kanak (2)

Saya bakal ke Shah Alam minggu depan. Ada mesyuarat. Bermalam di sana. Masalah penjagaan anak-anak kerap menjadi isu bagi saya dan suami. Siapa nak jaga anak sebelah malam? Kami berkeputusan tidak lagi menggunakan perkhidmatan bibik kerana anak-anak telah besar dan pandai mengurus diri.

Almi Fadhli, 11 tahun, walaupun anak sulung tapi amat penakut. Masih tidak boleh diharap. Akalnya masih belum pandai menyediakan pelan kedua atau ketiga andai ada kes-kes kecemasan.

Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan bahawa mana-mana ibubapa atau penjaga yang meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang munasabah adalah telah melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan, didenda RM5,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen ini belum lagi diuji cuba di Malaysia walaupun ada ura-ura dikenakan ke atas ibubapa adik Nurin.

Bagi saya, meninggalkan anak-anak di rumah tanpa pengawasan orang dewasa adalah sesuatu yang mesti dihindari. Namun, ada masanya ibu bapa (termasuk saya sendiri) merasa sangat-sangat terpaksa kerana tiada pilihan lain.

Dikuncinya semua pintu dan tingkap, disediakan handphone dan kunci pendua, diaktifkan 'safety alarm' dan diberitahunya jiran terdekat tentang anak-anaknya berada di dalam rumah. Makanan dan minuman juga siap terhidang dan dipesannya agar janganlah rajin nak masak maggi masa mama tak ada ye!

Andai kita berada dalam dilema ini, langkah-langkah keselamatan seperti tertulis di atas bolehlah diambil kira. Juga, pesan pada anak:

1) Jangan buka pintu pada sesiapa pun kecuali mama dan abah dan orang-orang yang sangat dikenali.
2)Andai ada kelibat polis ke, askar ke depan rumah, telefon mama atau abah dulu.
3)Andai ada kebakaran kecil, cuba padamkan. Kalau dah marak, keluar rumah cepat-cepat.

Kita sebagai ibubapa pun, kalau terpaksa keluar, pastikan tidak meninggalkan anak-anak terlalu lama. 2 ke 3 jam memadailah.

Moga anak-anak kita berada di bawah jagaan Yang Maha Memelihara...

Akuan Bersumpah

Akuan mengikut kamus DBP ialah segala sesuatu yg diakui.

Sumpah pula ialah pengakuan bahawa apa yang dikatakan itu memang benar.

Akuan bersumpah ialah pengakuan yang dibuat di hadapan mereka yang berkelayakan (contohnya Pesuruhjaya Sumpah) dan pengakuan itu dianggap benar sehinggalah dibuktikan disebaliknya.

Selalunya pengakuan bersumpah diperlukan untuk menyokong permohonan pinjaman kewangan, pengurusan harta pusaka atau pertukaran agama. (Aishah Bokhari contohnya)

Mereka yang bersumpah selalunya berkata benar. Kalau kita bersumpah kita bukanlah seorang yang bankrap, maka status tidak bankrap itu akan terpakai sehinggalah carian mendapati kita seorang bankrap. Aishah Bokhari sanggup membuat akuan bersumpah yang dia telah keluar Islam dan bertukar agama. Maka, dia mungkin berkata benar.

Maka, sesiapa yang telah membuat akuan bersumpah, wajiblah baginya mempunyai segala bukti yang menyokong akuannya. Jika tidak, sumpahan yang dibuat akan memakan diri sendiri.

Sekiranya bukti yang ada tidak menyebelahi dirinya ataupun tiada bukti langsung, RPK tidak akan ditelan batu ala-ala batu belah batu bertangkup atau menjadi keras seperti batu ala-ala Si Tenggang, anak durhaka. Tetapi hukuman lain yang sedia tepakai di bawah Undang-Undang Malaysia.

Monday, June 23, 2008

Hak Kanak-kanak (1)

2 in 1, main kejar-kejar sambil bergelongsor
KV Lim dan JV Lim sedang berayun-ayun

Kanak-kanak lazimnya memang suka bermain. Apa sahaja yang mereka sedang lakukan, mesti diselit dengan sedikit permainan ciptaan sendiri.

Bila diminta angkat kain di jemuran misalnya, dibentangnya kain batik di lantai, tuala dijadikan atap, siaplah sebuah rumah kecil buat berteduh.

Bila diminta menyapu, maka terbanglah seorang superkid dengan penyapu ajaib sekeliling rumah dengan misi tersendiri.


Bila diminta mencuci pinggan mangkuk di sinki, akan kedengaranlah alunan irama terbaru hasil gabungan ketukan sudu ke pinggan kaca.


Itulah dunia kanak-kanak yang penuh dengan kegembiraan. Kegembiraan adalah hak mereka.

Artikel 31 Convention on the Rights of the Child mengiktiraf hak ini:

States Parties recognize the right of the child to rest and leisure, to engage in play and recreational activities appropriate to the age of the child and to participate freely in cultural life and the arts.

Malaysia turut mengiktiraf hak ini. Agama Islam tidak menafikannya.

Bagaimana cara kerajaan Malaysia memberi hak ini kepada kanak-kanak secara umum? Sediakanlah sebuah taman permainan di setiap penempatan. Biarlah kanak-kanak kita bermain sepuasnya. Mereka perlukan masa yang secukupnya untuk bermain. Namun, awasilah kanak-kanak kita. Pembunuh Nurin dan penculik Sharlinie masih bebas sekitar kita.






Sunday, June 22, 2008

Dah bertambah lagi usiaku....


22 Jun 2008, happy birthday mama. Kek pilihanFatihah. Kek aiskrim perisa jagung. Saya menikmati kek dengan rasa kesyukuran.
Terima kasih Ya Allah kerana masih memberi peluang untuk terus hidup di bumiMu ini walau banyak dosaku padaMu, walau terlalu kurang ibadatku, namun, rezekiMu yang datang dalam pelbagai bentuk tetap kunikmati hingga detik ini...
Terima kasih abang dan anak-anak mama kerana bersama-sama meraikan hari kelahiran ini dengan penuh kasih sayang...

Saturday, June 14, 2008

Latihan Ringan

Saya perlu banyak latihan ringan. Kebelakangan ini agak tertekan, saya juga perlukan terapi. Saya memilih untuk 'gardening'.


Doktor kata saya tidak fit, sebab itu tekak selalu diserang. Dr Aisyah kata tonsil. Dr Ngali kata ulser. Saya perlu ke pakar agaknya. Perlu jumpa Dr Zaki, pakar ENT di Melaka.

Halaman rumah yang benar-benar sekangkang kera itulah tempat saya mengeluarkan peluh. Saya malas berbasikal. Saya malas beriadah. Ke gym, usah cakaplah. Sikap buruk ini membuatkan badan terasa berat.

Pagi ini, saya ke halaman rumah. Rumput sudah memanjang. Bunga tidak lagi rapi. Walaupun halaman itu kecil, hampir dua jam saya mengerjakannya. Memang berpeluh.
Bila melihat kehijauan dedaun dan merah ungu kelopak bunga, bebanan di minda terasa mengurang. Berkomunikasi dengan bunga dan pohonan juga menggembirakan. Sekawan semut hitam yang bertempiaran lari melekakan. Bau dedaun yang digunting rapi menyegarkan. Dua pohon lidah buaya yang gagah meninggi mengujakan. Dua jam berkawan dengan pokok hijau dan berbunga mencukupi untuk latihan ringan pagi ini.


Friday, June 13, 2008

Filem Kita Tandus Agama?

TV 1, 10 malam, Fenomena Seni. Masuk mesej dari Nisah Haron memberitahu. Faisal Tehrani dijemput. Saya menukar rancangan dari TV3 ke TV1. Anak-anak merungut. Rungutan mereka terhenti apabila saya membenarkan mereka bermain 'game'.

Faisal-Seni itu sekolah. Seniman mesti Agamawan. Adengan 1 minit taubat ditenggelamkan 60 minit ronggeng yang tertonggeng. Filem kita banyak unsur kemungkaran. Faisal tidak mengerti tentang kepercayaan kegagalan untuk mendapat pasaran. Perlu ada subjek agama untuk seni bagi pelajar fakulti media dan seni.

Prof Dr A. Razak- Beri salam dalam filem sudah berunsur agama. Contohnya, Mami Jarum- larangan mengumpat, mengata adalah dakwah. Prof dakwa setiap filemnya ada sedikit unsur dakwah, kalau 100% dakwah takut tak ada penonton.

Noraini Ismail- Filem terbaru Prof (Fasha Sanda dan Awie Wings antara pelakon utama-nampaknya banyak adengan yang melanggar agama) Macammana tu Prof? Mana dakwahnya?

Bade- Lebih senada dengan Faisal nampaknya. Karyawan/Pengarah takut filem dakwah tidak boleh dijual, takut berjihad. Hasilnya banyak filem merapu sekarang. Walau filem 'Syaitan' tiada penonton, Bade tidak kecewa

Rosyam- Bertanyakan tentang lambakan filem Barat. Namun Faisal mencelah tentang jati diri, peradaban, sumber agama di Malaysia. Filem kita tiada wacana. Syukur 21 gagal. Banyak sangat dakwah dan agak sempit. Contoh filem A Letter to God-filem Iran perlu dijadikan contoh.

Komen artis/karyawan
Aziz Sattar- Semerah Padi contoh baik
Watie Elite- Memang kurang filem berunsur agama. Yang agak kelakar ialah pendapatnya tentang penonton suka menonton cerita berkenaan nabi-nabi. Jadi buatlah filem kisah nabi.
Raja Alawiyah- Isu berat. Angkat telefon, beri salam, dah cukup berunsur agama..hehe

Akhirnya, melalui undian, 58% penonton berpendapat pengarah kekurangan ilmu punca filem kita tandus agama.

Gelak Ketawa


''Abu Bakar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Menara, Manir bersyukur semuanya berjalan lancar dan mengharapkan jodohnya dengan isteri baru berpanjangan dan dimurahkan rezeki. Semua sudah selesai dan kini saya mempunyai seorang lagi ahli keluarga yang baru, katanya sambil disambut gelak ketawa oleh keempat-empat isterinya."- Utusan Malaysia, 13 Jun 2008

Saya turut ketawa. Namun, saya tidak faham mengapa saya ketawa. Kerana lucu? Kerana gembira? Kerana seram? Kerana angka 4?

Oh Tuhan, isteri keempatnya berusia 24 tahun...


Wednesday, June 11, 2008

Peristiwa Besar

Ada tafsir yang menterjemahkannya sebagai Peristiwa Kiamat. Anjuran membaca Surah Al Waaqi'ah setiap hari dibuat oleh seorang ustaz UiTM Segamat. Petang itu, sambil berbaring saya membuka Tafsir. Membaca dari satu ayat ke ayat yang seterusnya, saya menjadi teruja, sedih dan terfikir satu persoalan yang mungkin susah bagi saya mendapat jawapan pastinya.
Yang membuat saya teruja ialah:
Indahnya gambaran tentang Syurga, antaranya:
1. Penghuninya duduk bersenang-senangan di suatu tempat yang bertatahkan emas dan intan.
2. Mereka dilayan oleh pelayan-pelayan muda.
3. Minuman dan makanan tersedia mewah, antara yang dinyatakan ialah buah-buahan dan daging burung.
4. Mereka didampingi bidadari yang dipersiskan sebagai mutiara yang tersimpan rapi.
5. Ada kebun dan pohon rendang.
6. Sungai/mata air mengalir terus tenang.
Yang membuat saya sedih ialah:
Dasyatnya gambaran tentang Neraka, antaranya:
1. Keadaan yang panas amat.
2. Berasap hitam pekat.
3. Penghuninya hanya dapat pohon zaqum yang berduri.
4. Minum air yang sangat panas.
Yang membuat saya terfikir ialah:
Kehadiran bidadari beberapa kali dinyatakan di dalam Surah ini mahupun Surah-surah lain. (surah An-Naba' misalnya dalam ayat ke 33 juga menyatakan tentang perawan) (Surah At-Thuur ayat 24 menyebut tentang pelayan yang cantik bak mutiara) (Surah Ar-Rahman ayat 56 pula ditafsirkan sebagai dalam syurga ada perempuan-perempuan yang belum pernah disentuh manusia atau jin)(Surah yang sama ayat 58, 70, 72, 74, 76 memberi gambaran jelas tentang bidadari Syurga).
Persoalan yang terlintas di fikiran saya...bidadari adalah idaman setiap lelaki.
...Maka siapakah sebenarnya penghuni Surga? Bagaimanakah manusia di dunia sini dijelmakan di dunia sana?

Monday, June 9, 2008

Kenangan Pertak 2008

Dua kumpulan sedang berperang dengan peluru air

Dua ibu tunggal yang sama-sama tabah


Tiga cucu jantan kelaparan

Tanpa ada rancangan teliti, kami sekeluarga ke Pertak Kuala Kubu untuk perkelahan. Tok Lang, Lia dan Ira dijemput menyertai perkelahan. Dua kereta bergerak dengan rasa seronok. Namun, kesedihan terselit dek mengenangkan perkelahan terakhir bersama arwah abah dan kak long 6 tahun lepas. Demi mengisi masa cuti yang menggembirakan hati mak, saya menyediakan mee goreng, ayam goreng, nasi goreng (semuanya goreng). Mak masak sambal telur, kobis goreng, ikan kering goreng. Tok Lang menambah hidangan dari dapur rumahnya. Nasi lemak.

Selepas pulang dari menziarahi pusara arwah-arwah, kami menuju Pertak. Ramai pengunjung namun masih ada ruang buat kami. Sebaik tikar dibentang, kami menjamah makanan. Mandi jadi agenda kedua. Air yang mengalir deras sungguh sejuk. Keseronokan dan gurauan menghangatkan suasana.

Perkelahan singkat akan menjadi memori manis buat saya yang berjauhan dari bonda tercinta.

Selera Sg Sumun

Kuih Koci

Tapai Ubi Kayu


Pulut Kacau


Rendang Daging

Antara makanan menyelerakan yang dijamu semasa 'Penanggah' atau 'Rewang' datang membantu bergotong royong sehari sebelum kenduri. Inilah antara makanan tradisional yang masih dihidang di Sg Sumun. Keseronokan terasa bila makanan dijamah sambil berbual mesra. Sesungguhnya konsep bergotong royong ini memang wajar dilangsungkan.

31 Mei 2008

Dua peristiwa dalam lipatan kenangan.

1. Ulangtahun pernikahan kami yang ke 12
2. Kenduri kahwin Ajak (adik ipar) dan biras saya, Ema

Kami menyambut ulangtahun perkahwinan di Perak. Ucapan ringkas keluar dari bibir suami yang sedang memegang dulang. Dia kemudiannya pantas ke halaman rumah mak mertua. Ada sahaja kerja sempena kenduri adiknya. Saya mengucapkan terima kasih atas ucapan sambil membawa pinggan mangkuk yang selesai dicuci ke dapur rumah. Kami tidak ambil pusing bagaimana harus kami raikan tarikh bersejarah itu.

Rupanya, 1 Jun 2008, semasa perjalanan pulang ke KL, suami bertanyakan anak-anak dalam kenderaan. "Siapa nak ke Teluk Batik?" "Nakkkkkk" jerit anak-anak.

Maka, kami bermalam di Teluk Batik Resort. Pakej penginapan yang lengkap dengan makan malam dan sarapan. Ternyata, dalam kepenatan menjayakan kenduri kahwin Ajak, kami tetap mencuri masa meraikan pernikahan 12 tahun sudah.

Semoga Allah merahmati kami suami isteri...