Wednesday, October 27, 2010

Kembara Rohani 2

Salam buat pengunjung blog.

InsyaAllah dan Alhamdulillah, esok, 28 Oktober 2010, saya akan berangkat ke Tanah Suci Mekah. KT 64. Dijangka sampai di kota Mekah pada malam Jumaat. Alhamdulillah...

Hati berdebar teruja walau terselit perasaan sayu meninggalkan anak-anak yang sedang menghadapi peperiksaan akhir. Apapun, panggilan Haji sudah menghampiri.

Wahai Allah, tuhanku yang satu, terimalah diri ini...

Wahai Muhammad saw, nantikan kehadiranku...

Wahai Mekah, wahai Madinah, akan kuselusuri sejarahmu

Friday, October 15, 2010

Kembara Rohani

Saya akan mengembara, lebih tepat lagi kembara rohani. Jiwa raga roh dan keseluruhan tubuh badan ini akan saya serahkan sepenuhnya pada Allah sepanjang kembara rohani di Mekah dan Madinah. Dosa-dosa terpikul yang telah saya mohon keampunanNya akan saya bersihkan dengan sesucinya di sana. Saya ingin lahir sebagai seorang bayi, putih bersih tanpa secalit pun dosa. Saya ingin menjadi hambaNya yang patuh segala arahanNya dan jauh segala laranganNya. Saya ingin melihat Kaabah. Saya ingin tawaf mengelilinginya. Saya ingin bersaie. Saya ingin merasai betapa jauhnya Siti Hajar berlari mencari air. Saya ingin ke Arafah. Saya ingin menjiwai betapa bahagianya pertemuan semula Adam dan Hawa setelah terpisah sekian lama. Saya ingin merasai kehadiran malaikat di padang yang luas terbentang. Saya ingin melontar di Jamrah. Saya ingin merejam syaitan yang selama ini telah memperdaya diri ini. Saya ingin mengabdikan diri dalam naungan kasih sayangNya. Saya ingin menjadi antara golongan kanan. Saya ingin berbisik dekat denganNya bahawa saya insan hina yang penuh dosa ini telah bertaubat dan terimalah saya, terimalah segala amal ibadat saya, terimalah doa-doa saya, terimalah doa-doa saudara mara, sahabat handai, pelajar saya. Saya ingin bertemu kekasihNya, Muhammad saw. Saya rindu padanya. Dia juga rindu kepada saya, kerana itulah di saat akhir hayatnya, dia masih menyebut ummati ummati...umatku umatku...Saya ingin menziarahi tempat rehatnya yang abadi, saya ingin berdoa di sana. Doakan saya sahabat sekalian. Doakan saya selamat sampai ke Tanah Haram, selamat melaksanakan semua rukun dan perkara wajib haji dan umrah dan doakan kecemerlangan kesihatan saya. Saya juga ingin kembali bagi meneruskan perjalanan hidup seorang hamba, seorang isteri, seorang ibu, seorang anak, seorang kakak..................