Thursday, May 22, 2008

Jauh perjalanan luas pandangan

Singapura...tidaklah sejauh mana. Setelah sehari setengah di sini, saya dan suami sudah pandai naik mrt, sudah arif tentang perhentian2 yang sepatutnya kami turun untuk ke destinasi seterusnya. Sekitar 6 petang semalam, kami memulakan pengembaraan. Pukul 12.30 pagi, kami sampai ke hotel semula setelah merayau2 sekitar Singapura. Little India, Mustafa Centre, Bugis Street, Arab Street, Kampung Gelam, Orchard Road, Harbour Front sudah kami jelajahi. Ada beberapa tempat lagi yang 'mesti sampai'. Pagi tadi, opening ceremony.

Sebentar tadi ber'ym' dengan anak-anak. Kakak pesan 'tanah liat' Singapura!

Sekarang, sudah berada di bilik semula dan mula membaca apa yang patut. Esok, saya akan 'present'. Moga Allah mempermudahkan.

Saturday, May 17, 2008

Cikgu: betapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul

Kerjaya sebagai seorang cikgu tidak enteng. Seringkali pulang lewat petang. Di sekolah, bukan sahaja mengajar dan mendidik, malah lebih dari itu. Selalu kita mendengar cikgu di sekolah perlu multi skill, kerana berdepan dengan manusia seumpama sehelai kain putih bersih dan bukannya mesin. Cikgu perlu bijak menelah emosi, menjangka kemungkinan-kemungkinan, meraih minat, menabur kata, merawat duka, macam-macam lagi. Bimbingan secara spiritual dengan penuh kasih sayang diperlukan.

Pensyarah di universiti juga begitu. Namun, pelanggan kami berumur dewasa. Peranan menjurus kepada membimbing secara lebih praktikal.

Saya percaya peranan cikgu di sekolah sebagai 'in loco parentis' kepada ibubapa sebenar adalah satu amanah yang sangat berat.

‘Seseorang individu yang menerima jawatan sebagai seorang guru meletakkan dirinya dan tingkah lakunya dalam arena perhatian orang awam. Seorang guru mempunyai kedudukan istimewa dalam komuniti. Pengaruh seorang guru dan kesannya terhadap pelajar melampaui sempadan bilik darjah dan sekolah. Guru menjadi model peranan untuk pelajar. Guru bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesejahteraan semua pelajar. Peranan guru melibatkan semua perkara di atas dan tanggungjawabnya adalah sangat luas'- Hakim Gross

Jadi cikgu dan bakal cikgu, bersediakah menerima amanah itu?


*Buat para pelajar yang menghantar pesanan 'selamat hari guru', terima kasih atas ingatan dan ucapan.

Friday, May 9, 2008

Cinta itu Benar Buta

Benarlah kata pepatah Melayu, cinta itu buta.

Kerana cinta, mata hati seseorang boleh menjadi buta. Kerana cinta, walau apa pun agamanya, walau apapun kepercayaan yang dianuti sebaik dilahirkan di dunia sehinggalah bertemu dengan si pecinta, ia boleh dilupakan.

Butanya mata hati kita bila bercinta
Panahan cinta menembusi kepingan hati
Hangatnya cinta mencairkan ketulan hati
Geloranya cinta membadai tebing hati
Semaraknya cinta membakar belukar hati
Rakusnya cinta menyingkap tirai hati
Indahnya cinta mengasyikkan dendangan irama hati
Meriahnya cinta menggamatkan sudut sepi sebuah hati
Bongkaknya cinta meruntuh tembok hati

Kerana cinta,

Aishah Bokhari
Lina Joy
Tan Ean Huang (Siti Fatimah)
Hartina Haji Kamarudin
Jacqueline Gillespie (Bekas isteri Raja Bahrin)
Aishah Jane (bekas isteri Ismail Ariffin aka Lepat)

Mereka, kerana cinta , sanggup meninggalkan agama masing-masing. Agama tergadai.

Paling menyedihkan, apabila melibatkan agama Islam. Kesucian agama Islam dicabuli. Islam menjadi mangsa. Islam dihina. Islam dipandang rendah. Islam hilang maruah.

Walau ada hukum tersedia, gagal diselia, gagal dibela...

Oh Tuhanku, Allah Yang Satu, matilah aku dan zuriat-zuriatku, suamiku, ahli keluargaku, sahabat saudara seislamku..dalam iman…Amin

Jahiliah moden

Musalmah, lahir dalam tahun 70 an. Sekitar 1990 an, semasa sedang bercuti semester, Musalmah bekerja sebagai pembantu sebuah kedai percetakan di Serdang. Ingin mencari pengalaman sambil menambah duit poket. Suatu hari, dua orang pelajar UPM datang ingin membuat pendua sebuah buku. Sambil mencetak, Musalmah mencuri baca. Buku ‘Permata Yang Hilang’ ternyata bukan buku biasa. Buku yang menjadi panduan bakal pengantin! Atas desakan rakan sekerja (dan dengan persetujuan Musalmah juga), buku yang sepatutnya dicetak dua salinan ditambah menjadi tiga! Bila waktu rehat, mereka membaca sambil ketawa. Bukan mudah mendapat bahan bacaan begitu!

Hani, lahir pada tahun 1991. Pulang sahaja dari sekolah, remaja yang akan menduduki pepriksaan SPM hujung 2008 ini menghidupkan komputer peribadinya. Laman sawang Youtube menjadi santapan mata hampir setiap hari. Segala macam aksi dari setiap benua di dunia ini boleh dijelajahi termasuklah adengan-adengan yang sepatutnya disekat dari tontonan Hani. Muak dengan adengan yang sama, Hani menaip perkataan Myspace. Rakan-rakan seluruh Malaysia malah dunia bebas berkomunikasi dengan mengirimkan gambar-gambar yang kadang kala menjolok mata dengan aksi separuh sedar. Setelah tiga jam hanyut di alam siber, Hani menonton HBO Astro. Hebat juga! Sedang asyik menonton, mms kiriman kenalan lelaki baru menjengah telefon genggamnya. Gambar yang tidak senonoh dikirim sebagai gurauan. Hani ketawa terhibur.

Dua senario berbeza, melibatkan remaja perempuan. Perkembangan teknologi yang sepatutnya menguntungkan umat Islam telah disalahgunakan. Terlalu banyak maklumat di dalam internet. Jika tiada sempadan, iman yang senipis kuit bawang akan terkoyak robak rabik. Manusia kembali ke zaman jahiliah.

Menurut Muhammad Quthb, (1403 H) ciri-ciri istimewa kejahiliah moden banyak, antaranya ialah: kemajuan ilmu dan teknologi yang menyesatkan manusia dan kebebasan wanita.

Benarlah tulisan Muhammad Quthb:

1. Jahiliah moden adalah jahiliah ilmiah
2. Jahiliah yang lahir dari hasil penelitian, kajian dan berbagai macam pandangan teori
3. Jahiliah moden adalah sesuatu yang berakar mendalam
4. Jahiliah moden muncul dari kemajuan material
5. Jahiliah yang diatur, dipelajari, dicernakan dan diarahkan untuk menhancurkan manusia
6. Jahiliah yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah

Monday, May 5, 2008

Selamat Ulang Tahun Kelahiran, Mak

Hari ini, 5 Mei 2008, usia emak 57 tahun. Alhamdulillah, mak sihat. Walau didampingi kencing manis dan darah tinggi, mak bolehlah dikategori dalam golongan sihat. Tidak pernah masuk wad kerana dua penyakit itu masih peringkat asas. Namun, pengambilan ubat yang berterusan membimbangkan.

Mak keseorangan. Tanpa abah. Kasihan bila terkenangkan mak di Serendah. Bila di ajak berlama-lama di Segamat, mak mengelak. Teringatkan abah, katanya. Setiap minggu, mak ke kubur abah. Kasihan mak kerana kubur abah di atas bukit. Terpaksa mendaki lebih 20 mata anak tangga untuk menemui kekasihnya. Sebaik sampai, dibentangnya tikar, dibukanya penutup botol air, dan mula membaca surah Yasin. Usai bacaan, air disiram penuh kasih sayang. Mak kemudiannya akan mencapai seberkas penyapu lidi yang sengaja ditinggalkan di bawah pokok. Dibersihkan sekitar kubur abah dan kak long. Rumput yang memanjang di gunting kemas. Sebelum berangkat pulang, mak akan menghadiahkan Al Fatihah buat abah dan Kak Long sekali lagi sambil mengusap-usap batu nisan. Air mata mengalir laju.

Begitulah rutin mak setiap minggu. Suami tercinta dan anak sulung kesayangan pergi meninggalkannya dalam tahun yang sama. Allah tentu tahu sejauh mana ujian ini boleh ditanggung bahu mak. Allah Maha Penentu. Mak faham dan mak tabah.

Hari ini, saya menangis kerana tidak dapat menyambut ulang tahun kelahiran bersama-sama mak. Pagi tadi semasa menelefon mak dan mengucapkan selamat, mak terus menangis. Saya faham perasaan mak. Mak, insyallah, cuti sekolah ini, kami akan pulang bercuti ke Serendah. Bolehlah kita ke kubur abah dan Kak Long.

Kegembiraan mak telah surut sejak pemergian dua insan tercinta. Tiada seorang pun yang boleh mengubahnya. Nikmat kehidupan mak sekarang ialah kunjungan ke kubur, kesihatan yang baik dan keselamatan anak-anaknya dunia akhirat.

Selamat Ulang Tahun Kelahiran, Mak...

Friday, May 2, 2008

Corat coret beras

1. Semalam, beras Jasmine Super Tempatan 10kg berharga RM29.90. Harga sebelum kecoh isu beras ialah RM23-24. Naik RM5! Beras Jati 10 kg, RM27 dari harga dulu, RM21

2. Buletin Utama TV3 hari ini menyiarkan isu beras selama 20 minit. Isu nasional katakan...

3. Seorang pemanggil radio Era mengeluh mahalnya harga beras. Kak Engku cadangkan agar kita makan bubur nasi. Jadi penggunaan beras akan berkurangan.

4. Stok beras di pasaraya di Kedah, negeri jelapang padi, semakin susut. Di Giant Segamat semalam, yang tinggal cuma beras perang dan beras beras yang seangkatan dengannya. Beras biasa-biasa ni cuma tinggal beberapa kampit.

5. Kelantan ialah di antara negeri yang paling banyak penggunaan beras. Khabarnya, orang Kelantan suka makan di luar. Logiklah sebab sarapan orang Kelantan biasanya berasaskan beras. Wanita-wanita Kelantan pula kebanyakannya berniaga. Jadi makan luar le.

6. Thailand akan berbincang dengan negara-negara pengeluar beras Asia untuk mencari formula mengawal harga beras. Elok lah tu.

7. Ada rakan yang bertanya kepada peniaga, harga nasi putih sepinggan. Dia tidak kesah tentang harga lauk dan sayur. Dia nak kaji impak kenaikan harga beras pada harga sepinggan nasi.

8. Menteri KPDN & HEP dengan sopannya menegur para media supaya memahami tentang bidangkuasa kementerian yang ada kaitan dengan harga beras.



Bendang Tok Teh di Sg. Acheh Nibong Tebal. Pengalaman menanam anak padi dengan kuku kambing masih segar dalam ingatan.





Fatihah, itulah bendang Tok Nek. Masa mama kecil dahulu, di situlah tempat mama bermain sambil menolong Tok menanam padi. Bukan setakat menanam, mama juga pernah bersungguh-sungguh menarik plastik kanvas warna biru yang di atasnya penuh anak-anak padi. Memang berat. Tapi seronok punya pasal, benda berat terasa ringan. Kaki penuh lumpur. Langsung tak rasa geli. Di tengah-tengah sawah, ada pulau kecil. Ada sebatang pohon mempelam telur yang memang cukup manis bila masak meranum. Jika nak mencicah pelam muda, tok akan siapkan bekalan sambal cicah: tokyu (kicap) dicampurkan cili burung, belacan dan gula. Tok bawa bekalan nasi dalam mangkuk sia. Lauk yang cukup ringkas: Nasi, sayur lemak kucai dan ikan goreng, tapi terasa cukup enak.

Thursday, May 1, 2008

Perlembagaan

Sejak sebulan yang sudah, ramai yang bercakap tentang perlembagaan itu, perlembagaan ini.

Sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, isu-isu berkaitan Perlembagaan mula kedengaran. Peruntukan had umur Pengerusi SPR juga dipinda selaras dengan perlembagaan. Apabila beberapa negeri beralih kuasa pentadbiran, perlantikan baru harus mengikut perlembagaan negeri. Pindahan jumlah dana yang terkumpul dalam badan-badan tertentu ke badan-badan lain juga mesti patuh dengan kehendak perlembagaan badan tersebut. Penggunaan perkataan Allah oleh majalah tertentu juga, jangan melanggar peruntukan perlembagaan.

Perlembagaan bermaksud undang-undang utama yang dibentuk bagi sesebuah badan. Perlembagaan Persekutuan misalnya adalah undang-undang agung Malaysia. Tiada yang lebih tinggi lagi melebihinya.

Pelajar UiTM tertakluk di bawah satu perlembagaan istimewa, Akta 174. Akta ini bertujuan mengawal selia tatatertib pelajar UiTM agar menjadi graduan cemerlang dunia akhirat. Kebanyakan larangan di dalam Akta ini juga di larang agama Islam. Kepatuhan terhadap Akta ini insyallah menjanjikan kehidupan yang selesa dan diredhai Allah sepanjang pengajian. Pelajar Muslim Melayu UiTM harus bersyukur kerana terpilih menimba ilmu di daerah yang berkat. Supaya lebih diberkati, bersikaplah seperti seorang Melayu sejati. Penuh adab dan sopan.

Musim peperiksaan begini, larangan membawa masuk nota ke dewan/bilik peperiksaan perlu dipatuhi. Jika tertangkap, buruk padahnya.

I will grad on time. Untuk merealisasikannya, bertindaklah seprofesional mungkin mengikut perlembagaan UiTM.

Anas dan kawan-kawan, antara graduan yang grad on time dan patuh kepada Akta 174

Lelaki itu

11.30 malam. Mata Ati belum mahu lelap. Sudah dua bulan Ati tidak pernah tidur lelap. Air mata sering menemani malamnya. Perut diusap. Usia kandungannya genap lima minggu. Siang tadi, Dr. Zetty yang berwajah ceria bertanyakan tentang Suhaimi. Pantas Ati memberitahu Suhaimi bertugas luar bandar. Berita gembira ini patut dikongsi bersama,bilang Dr. Zetty. Ati menahan sakit belahan belati di hati. Pilu. Pedih. Ati pura-pura gembira. Ati tahu Suhaimi tidak akan gembira dengan berita ini. Ati sendiri cuak setelah disahkan mengandung. Perasaan gembira seorang bakal ibu tidak hadir di hatinya. Suhaimi pulang pukul 2 pagi. Mandi dan terus keluar dari bilik dengan memeluk dua biji bantal. Hanya satu malam mereka tidur bersama. Malam pengantin. Selepas malam itu, mereka tidak pernah lagi tidur sekatil. Selepas malam itu, Suhaimi nyata tidak lagi berminat dengan tubuh seorang wanita. Kerana Suhaimi seorang gay!

Peguam Ati menelefon petang tadi. Segala dokumen permohonan perceraian sudah difailkan. Sekarang biarlah Mahkamah Syariah yang menentukannya. Ati kecewa. Sungguh kecewa. Percintaan setahun mereka rupanya hanya lakonan. Malam pengantin mereka juga lakonan. Janin yang sudah terbentuk di rahimnya bukan lakonan. Nyata. Ati terpaksa menelan kenyataan tersebut. Semoga Ati tabah. Moga Allah mempermudahkan ujian ini. Pasti ada hikmah disebaliknya.

********************************

Golongan gay di merata tempat pada hari ini mendapat beberapa hak yang diiktiraf undang-undang. Mereka boleh berkahwin atas nama perkongsian. Mereka juga dibenarkan mengambil anak angkat. Sekiranya mereka bercerai, hak ke atas harta akan di selesaikan, juga mengikut undang-undang. Tapi bukan undang-undang Malaysia. Tentunya undang-undang sebahagian negara barat.

Bukanlah satu perkara yang mengejutkan jika cerita pendek di atas benar-benar terjadi. Ia memang cerita benar. Dari fail Mahkamah. Entah mengapa, ada juga gay yang sanggup berlakon menjadi lelaki normal semata-mata ingin menjaga hati ibubapa. Namun setelah dicuba, nyata tidak berselera. Yang menjadi mangsa ialah kaum hawa yang menginginkan sebuah keluarga bahagia sebaik sahaja selesai ijab kabul.

Mengapa lelaki menjadi gay? Apa kurangnya insan bergelar perempuan? Sedih...