Wednesday, September 29, 2010

Kena tulis sesuatu

Malu dengan tajuk entry terakhir yang masih mengekalkan perkataan Ramadan, maka saya menulislah sesuatu pada pagi ini sebelum ke pejabat. Lewat sikit hari ini sebab perlu singgah dahulu kedai ambil bunting untuk ceramah akademik Jumaat ini.

Saya sekarang sedang menekuni beberapa buah buku untuk persiapan rohani dan jasmani. Juga sedang agak sibuk bermarhaban rumah ke rumah. Ohhh Segamat kaya marhaban. Juga sedang agak sibuk menguruskan itu ini.

Kesibukan itu ini bukanlah punca utama untuk kurang menulis namun semangat saya sekarang tertumpah kepada perkara lain. Menulis perlu ada semangat.

Akan menulis lagi bila ada semangat di Segamat.

Wednesday, September 22, 2010

Ramadan ke 26, 27, 28, 29, 30

Salam...

Sudah tiga minggu tidak meninggalkan catatan di sini, rasanya saya sudah lupa apa yang perlu dinukilkan di diari maya ini.

Yang pasti, Ramadan ke 26, 27, 28, 29 dan 30 sememangnya istimewa kerana berada dalam lingkungan ahli keluarga tercinta. Dalam sibuk tidak berapa sibuk bersedia untuk sambutan Syawal dan terharu dengan keberangkatan pergi Ramadan yang mulia, kami agak sedih dengan keputusan ujian darah bayi Ina, adik saya. Bacaan 'kuning'nya melebihi had biasa. Doktor Klinik Kesihatan Serendah beri Ina 3 pilihan: Hospital Sg Buloh, Selayang atau Kuala Kubu Baru. Tentu sahaja kami pilih KKB kerana untuk ke sana tidak perlu melalui trafik yang keterlaluan sibuknya. Maka Rabu malam Khamis, Ina dan bayinya, Asyraaf dihantar Firdaus dan emak ke KKB. Itu ialah malam terakhir solat sunat Tarawikh. Suami pula balik ke Sg Sumun sebentar. Saya tidak dapat mengerjakan solat tersebut di surau secara berjemaah. Sedih.

Namun, selepas Firdaus dan emak kembali dari Hospital, peluang solat berjemaah datang bergolek.

"Kak Ngah nak jemaah Tarawikh dengan adik ke?" tanya Daus. Alhamdulillah, Tarawikh terakhir dapat disempurnakan secara berjemaah dengan adik lelaki sendiri.

Khamis Ramadan ke 30, kami berbuka dengan lauk pauk Syawal. Ketupat daun palas belum dikukus dan takbir Syawal pun bergemaaaa

Sunday, September 5, 2010

Ramadan keduapuluhlima

Ramadan ke25 tahun ini ialah hari ulang tahun suami yang ke 40. He kept saying, life begins at 40...My heart keeps praying, may Allah endows him with taqwa and iman until the end of his breath..Moga dipanjangkan umur yang diberkati, moga diberi rezeki melimpah ruah yang boleh dizakatkan kepada mereka yang berhak, moga dianugerahkan kesihatan yang cemerlang yang membolehkan ibadat siang dan malam dan moga bertemu di Syurga... Butter cake yang merekah, mungkin terlebih butter, asal sedapkan anak-anak...

Untuk suami tercinta, hampir setiap tahun, hati terpanggil untuk mengukus pulut kuning dan dihadiahkan kepada jiran terdekat.

Ini lawan pulut kuning. Rendang ayam Cik Ani.


Pembantu dapur yang kurang setia, Fatihah bersemangat dalam kelaparan.

Hadiah hari jadi untuk diri sendiri, Encik Shamsul Kamal mengacau dodol.

Dibantu oleh pembantu yang sihat walafiat, Fadhli yang senyum terpaksa, dipaksa abah mengacau dodol.

Alhamdulillah, hari yang ceria, hari yang bahagia bersama ahli keluarga tercinta. Pukul 4pm mendapat satu lagi khabar gembira, Ina selamat melahirkan seorang lagi cucu lelaki buat emak di Serendah menjadikan bayi itu cucu lelaki emak ke9. Fatihah masih mempertahankan kedudukan sebagai satu-satunya cucu perempuan...Tahniah!


Saturday, September 4, 2010

Ramadan keduapuluhempat

5am, kami sedang bersahur. Farhan menyuap nasi ke mulut dengan mata tertutup. Fatihah dengan rambutnya yang serabut dan kembang. Fahim masih terpisat-pisat. Fadhli sedang berusaha melawan perasaan mengantuk. Tiba-tiba terdengar deraian air hujan menimpa awning pintu dapur yang sedia terbuka. Subuh Jumaat yang mulia, hujan turun di Segamat. Saya segera ke pintu. Ingin merasakan dingin hawa saj-saj Subuh. Subhanallah, kedinginannya melekakan.

Jumaat ini ialah persekolahan terakhir anak-anak sebelum Syawal. Semuanya telah teruja untuk pulang beraya di Serendah. Mereka asyik mengira berapa hari lagi mereka wajib berpuasa. Kita pula mengira berapa hari lagi Ramadan akan meninggalkan kita yang masih berusaha mencari yang terbaik...

Ustaz Omar bercerita tentang banyak perkara di Tazkirah Jumaat pagi tadi. Bagi saya, bagilah Ustaz ini 5,6 jam pun, kita tidak akan bosan mendengar tazkirahnya. Beliau banyak pengalaman. Beliau bersuara lembut. Beruntunglah bagi sesiapa yang sentiasa merapatkan diri dengan mereka yang berilmu. Ustaz bercerita tentang amalan membaca surah Al Kahfi pada malam Jumaat. Surah ini panjang dan penuh dengan kisah menarik. Saya teringat kepada ayah seorang sahabat yang akan sampai awal ke masjid sebelum solat Jumaat semata-mata kerana ingin membaca surah Al Kahfi sehingga selesai. Setiap surah dalam Al Quran ada kelebihan tersendiri.

UiTMJ kelihatan sunyi. Pelajar telah mula meninggalkan bumi Segamat. Begitu juga dengan Ramadan...

Friday, September 3, 2010

Ramadan keduapuluhtiga

Khamis yang tenang. Cuaca agak panas. Dua tiga urusan perlu diselesaikan hari ini. Tetapi agak terganggu kerana kerja pemasangan penghawa dingin yang baharu di pejabat. Mereka kata mereka akan tutup peralatan dan perabot dengan kanvas namun jauh panggang dari api. Semuanya terdedah begitu sahaja. Saya berpejabat di bilik rehat pensyarah. Namun, namanya pun bilik rehat, jadi lebih rehat dari bekerja...

Kelas petang itu kelas terakhir pelajar pengangkutan. Kami sudah selesai menggantikan kelas untuk minggu hadapan. Ada dua lagi kumpulan yang akan membentangkan tugasan mereka. Kedua-duanya kumpulan pelajar lelaki. Slides mereka kosong, hambar, tiada bunga, tiada kupu-kupu yang terbang, tiada apa-apa. Kosong. Namun, mereka dapat bentang dengan baik sekali. Mereka menjiwai topik. Lancar. Saya menghargai pelajar perempuan yang cukup kreatif bermain dengan slides mereka. Terkadang saya leka memerhati kupu-kupu perbagai warna di layar putih. Namun, mereka kurang menjiwai topik. Tetapi mereka hanya berusia 19 tahun, masih terlalu muda belia. Masih banyak masa untuk memperbaiki kelemahan pembentangan. Atau mereka malu barangkali kerana banyak pasang mata akan memerhati mereka semasa pembentangan.

6pm, saya terus memandu pulang ke rumah. Misi memasak kueh tiow goreng mesti dilaksanakan. Itu permintaan Fadhli. Jika tidak, pasti si sihat itu akan merajuk dengan mata berair...

Thursday, September 2, 2010

Ramadan keduapuluhdua

Saya membaca dengan penuh teliti penulisan Ustaz Hasrizal Bertuahkah Islam Mendapat Melayu? Naluri saya senada Ustaz...Ustaz menulis dengan begitu baik sekali. Tersurat dan tersirat.

Banyak peristiwa berlaku kebelakangan ini. Saya yakin peristiwa-peristiwa itu terjadi kerana rupa, rasa dan roh unik Malaysia. Kerana faktor-faktor rupa, rasa dan roh tersebut, Malaysia melahirkan gempa bumi yang tersendiri. Tidak mengorbankan nyawa, tetapi mengecewakan Ustaz Hasrizal dan saya, antaranya...

Ya Allah, ini doa khususku di 22 Ramadan, semoga Islam terus mekar di bumi Malaysia, semoga Melayu Islam kembali kepada roh Islam, semoga roh Islam meresapi kehidupan kami Ya Allah, semoga Islam kembali dihormati, semoga Islamnya Melayu bukannya layu di tasik madu yang menghanyutkan kami jauh dari agamamu....

Wednesday, September 1, 2010

Ramadan keduapuluhsatu

Matahari memancar terang. Hari yang elok buat menjemur. Menmen, jiran sebelah rumah menjemur beberapa loyang 'benda' yang tidak dapat saya kenalpasti. Tidak kelihatan pula kelibatnya. Jika ternampak, tentu saya akan bertanya apakah gerangan benda yang dijemur itu. Menmen bukanlah seorang yang peramah pada asalnya namun setelah beberapa ketika berjiran dengan saya, setiap kali bertembung kami pasti berbual seketika. Paling kurang, bertanya sudah makan ke? Masa musim rambutan bulan sudah, kami sekeluarga merasa rambutan percuma pemberian Menmen. Pernah juga seplastik kecil cili api dihadiahkan kepada kami. Pemberian tersebut pastinya dibalas ikhlas.

Hanya tinggal 9 hari lagi Ramadan akan meninggalkan kita. Perlu lebih tekun beramal ibadat. Buat wanita yang tidak dapat berpuasa penuh, kita ganti dengan membaca tafsir Quran dan buku-buku agama yang lain. Moga dapat menggantikan solat wajib dan solat sunat yang lain. Namun tetap tidak sama kan?

Buat yang masih belum beraya, teruskan pemburuan Lailatul Qadar. Hanya keampunan dan kerahmatan Allah yang kita harapkan...