Tuesday, August 31, 2010

SALAM KEMERDEKAAN KE53

Salam merdeka di bulan mulia....

1 Malaysia menjana transformasi.
Semua bangsa di Malaysia hendaklah bersatu dalam mempertahankan kemerdekaan negara. Tidak kira agama ya! Kita telah merdeka dan kita mahu terus merdeka.
Jika dahulu, penjajah adalah musuh kemerdekaan, tapi kini, kita ada banyak musuh kemerdekaan. Dalam konteks Malaysia hari ini, sifat perkauman yang keterlaluan adalah antara musuh utama kemerdekaan. Ingat 13 Mei?
Bersatulah mendokong Rukun Negara.



Ramai yang telah melupakan semangat Rukun Negara.

Kepercayaan kepada Tuhan. Rakyat yang beragama dan mengamalkan agamanya adalah rakyat yang berkeperibadian tinggi.

Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara. Yang di Pertuan Agong merupakan ketua negara dan Raja Melayu merupakan ketua negeri.

Keluhuran Perlembagaan. Perlembagaan merupakan undang-undang yang paling utama. Ia perlu diterima sepenuhnya dan dihormati.

Kedaulatan Undang-Undang. Patuhilah semua undang-undang yang tiada buruknya jika dipatuhi.

Kesopanan Dan Kesusilaan. Rukun ini andai diamalkan akan menjamin kehidupan masyarakat yang harmoni, penyayang dan saling menghormati agama yang dianuti.

Ayuh, rakyat Malaysia, jangan segelintir sahaja yang bersungguh-sungguh mempertahankan kemerdekaan dan segolongan yang lain mentertawakannya...

*sumber gambar dari internet

Ramadan keduapuluh

Dua pertiga Ramadan akan berlalu ketika Isnin melabuhkan tirainya.

Saya memulakan kelas pertama pagi Isnin pukul 8am. Pelajar nampak kurang ceria. Mungkin telah mula terkenangkan kampung halaman. Ketika berehat dari sejam kuliah yang pertama, saya membacakan hadis tentang Lailatul Qadar dan Aidilfitri. Mereka nampak berminat. Yang tertidur mula terjaga. Saya menggesa mereka agar menghargai 10 Ramadan terakhir. Sesiapa yang belum pernah bangun solat sunat cubalah bangun, rasai kelainan solat ketika banyak mata yang sedang tertutup rapat. Rasai rapatnya hubungan kita dengan Allah pada masa itu. Jika boleh, renunglah langit, kita akan merasa kebesaranNya. Rasailah dinginnya udara pukul 3-4 pagi. Cubalah...

Saya minta pula wakil kelas, Hidayat mengalunkan zikir taubat. Bekas pelajar SMKA Segamat ini sering diminta berdoa dan membawa ayat Al Quran sepanjang bulan Ramadan dan dia tidak pernah menolak.

Sejam yang kedua, saya mulakan tajuk ketiga terakhir dalam silibus Business Law. Sale of Goods. Memandangkan Aidilfitri semakin menghampiri, banyak contoh biskut raya dikaitkan dengan tajuk. Kelas berjalan lancar...

6.30pm, saya membawa anak-anak ke Masjid As-Syakirin, UiTMJ bagi memenuhi undangan majlis ringkas meraikan pelajar Iqra. Dapat kain pasang yang berwarna ceria. Terima kasih CITU. Terima kasih Prof. Berbuka dengan ayam kurma, kerabu mangga yang hmmmm sungguh sedap dan dua kuih tradisional Kelantan yang manis dan lazat. Terima kasih Ustaz dan Kak Nor. Sekitar 7.50pm, bergegas pula ke Segamat Seafood, ada program Iftar bersama AJK Kelab Inspirasi. Sambil makan, kami bersembang dan bergurau, program yang merapatkan lagi hubungan kami...Saya ingatkan mereka, jangan lambat balik! Sebelum pukul 11pm!

Ya Allah, nikmatnya Ramadan ke20, banyak sungguh rezeki pemberianMu...

Ramadan kesembilanbelas

Pagi Ahad itu, kami sekeluarga bergerak pulang ke Segamat dari JB. Cuaca 19 Ramadan begitu tenang. Suami singgah sebentar di Pasaraya Bestmart kerana ingin mencari lontong yang dibalut dengan daun pisang. Saya pula mencari bahan-bahan untuk memasak kuah lodeh. Itu menu berbuka kami petang nanti.

Sampai di Segamat, berehat sebentar sebelum solat Zuhur. Bahan-bahan masakan disediakan terlebih dahulu agar selepas Asar, saya boleh terus memasak. Fatihah telah mula menunjukkan ciri-ciri anak perempuan dengan meminta pisau dan memotong sayuran buat lodeh. Fadhli vacuum seluruh ruang tamu. Farhan dan Fahim melipat kain baju. Suami jadi mandur yang tegas sepanjang hari. Anak-anak 'bertuah' ini bila abah ada, semuanya akan menjadi anak-anak yang soleh dan solehah dan mendengar kata. Kalau mamanya yang suruh, perkataan 'kejap' sentiasa diucap sehingga menjadi 'lama'...

Malam sekitar pukul 9.45pm, kami menerima kunjungan jiran lama yang membawa jemputan khusus. "Datang seawal mungkin ye Ani, kalau boleh hari Khamis tu dah ada, banyak kerja ni, Jumaat dah akad nikah, kita dah masak-masak untuk orang rewang, malamnya berinai, kita buat roti jala dan kari, Sabtu hari besarnya..." perkataan 'kita' oleh Kak Zaharah dari Taman Dedap membayangkan hubungan kami yang rapat. Ini kenduri sulung Kak Zaharah. Dijadualkan berlangsung pada 9 Syawal. "Akak tak bagi Ani kad, datang jemput mulut je ni, kalau bagi kad, jadi jemputan aje nanti..." Saya faham maksudnya. Bergotong royong di Jementah memang telah sebati di kalangan jiran tetangga. Keberkatan Syawal akan lebih dirasai...

Monday, August 30, 2010

Ramadan kelapanbelas








Gambar-gambar di atas diambil ketika saya dan dua adik tercinta bersama-sama keluarga berbuka puasa sekitar Tanjung Pelepas. Restoran ini mendamaikan. Hembusan angin melekakan. Puluhan ekor ketam dan ikan belacak bangga menunjukkan diri. Terbongkok-bongkok anak-anak saya menyaksikan hidupan laut di sisir pantai.

Nurul, bakal jururawat, adik bongsu, turun dari Kuantan. Saya bercadang menziarahi adik di Setia Indah, Johor Bahru. Iftar di luar, suami belanja. Alhamdulillah..Kami bergerak dari Segamat pada pukul 9am, terus menghala ke Plaza Angsana mencari keperluan (kehendak) Aidilfitri...
Selesai berbelanja, menghala ke rumah adik dahulu untuk solat dan rehat sebentar. Pukul 5.30pm kami bergerak ke Kg. Tg. Adang. Perjalanan mengambil masa selama sejam. Restoran ini menyediakan bilik untuk solat. Ramai juga pengunjung dari Singapura. Masakannya menyelerakan. Selesai makan, kami menghala pulang ke rumah adik kembali. Bermalam di sana.
Ramadan dan Syawal memang bulan yang merapatkan silaturrahim antara sesama manusia dan memantapkan hubungan Pencipta dengan hambaNya, andai itu yang diburu...

Sunday, August 29, 2010

Ramadan ketujuhbelas

10 pertengahan Ramadan hampir tiba ke penghujungnya. 10 Ramadan terakhir dinanti ramai umat Islam sehingga ada yang ke Mekah untuk beribadat di Tanah Haram setekun mungkin. Saya betemu dengan Tuan Haji Nasir di DST semalam dan sempat memintanya mendoakan hajat saya ketika di Mekah nanti. Beliau dan keluarga beruntung diberi Allah rezeki untuk beribadat sepanjang akhir Ramadan di Baitullah. Semoga selamat sampai dan selamat pulang.

Sesungguhnya rezeki Allah itu sentiasa ada...Saya dikhabarkan berita gembira. Berita yang dinanti selama ini. Jumaat ini Jumaat yang akan dikenang sampai bila-bila.

17 Ramadan 1431H...terima kasih Allah...

Ramadan keenambelas

Nuzul Al-Quran. Kitab suci yang diturunkan dalam bulan Ramadan ini membawa sinar kehidupan buat yang mengerti dan mematuhi. Jika faham sahaja tetapi tidak patuh, kehidupan akan cacat. Kita mungkin merasa biasa-biasa sahaja bila melanggar suruhan Allah, itu maknanya kita masih belum beriman kerana iman yang sempurna ialah mengamalkan keseluruhan larangan dan suruhan Allah. Satu peringatan besar buat saya pastinya.

Hari Khamis hari terakhir IID 2010 UiTMJ. Walau berlangsung dalam bulan puasa, team Nurzea menunjukkan komitmen yang jitu. Walau dijemput merasmikan IID 2010 tanpa minuman dan makanan, orang besar BPJI Shah Alam tetap datang dan berucap penuh semangat. Itulah kerja ikhlas namanya. Semoga dapat ganjaran dari Allah. Team saya pula meraikan pingat emas kami dengan berjanji akan makan-makan di Hadratulmaut JB selepas bulan puasa...

Sebelum ke DST tempat IID berlangsung, saya terserempak dengan bekas pelajar. Sekitar Jun lalu, saya menerima beberapa panggilan daripadanya meminta nasihat tentang rayuan masuk semula ke UiTM. Dia dibuang pengajian! Dia benar-benar susah hati sampai rasa ingin bunuh diri. Saya memintanya beristighfar beberapa kali kerana urusan hidup mati itu urusan Allah. Sebaik sahaja masuk bertugas semula selepas bercuti 10 hari di Serendah, dia membawa borang rayuan. Wajahnya serabut. Saya langsung lupa kepadanya selepas membantunya mengisi borang rayuan (dia nyata begitu lemah dan terkejut dengan keputusan pembuangan). Dia kini nampak sangat ceria. Senyumannya lebar. "Saya dah tak ponteng kelas lagi Puan" itulah kata-katanya kepada saya semasa berselisih. Dia telah berubah? Saya doakan dia tabah dengan kehidupannya...

Thursday, August 26, 2010

Ramadan kelimabelas

Alhamdulillah, sudah masuk hari kelimabelas Ramadan ini. Alang sudah mula bertanya "Mama, lagi berapa hari ye kita kena puasa?"

Kanak-kanak tetap kanak-kanak. Waktu beginilah terasa seksa menghabiskan puasa. Tambah lagi kalau ibubapa telah mula membeli baju raya dan membakar biskut raya. Masa kecil dahulu, baju raya kami tiga beradik macam boria, maksudnya sama sahaja. Tetapi entah apa lainnya saya, warna baju untuk saya tidak sama dengan yang dua lagi. Kalau emak dan abah beli baju warna biru untuk kak long dan adik, saya pula warna coklat. Bila dilihat kembali foto-foto lama, saya sahaja yang berlainan warna. Tetapi tidak pula saya ingat kenapa saya berbeza. Nanti balik beraya ini, saya akan tanya emak...

Tentang biskut raya pula, setiap tahun, emak akan membuat kuih gunting dan biskut mazola. Itu biskut wajib. Seingat saya, arwah abah paling minat kuih gunting yang pekat rasa serbuk kari dan ditambah dengan hirisan daun kari. Emak dan abah akan sama-sama menggoreng kuih gunting sehingga selesai.

Ibadat Ramadan semasa zaman kanak-kanak tiada langsung yang lekat dalam fikiran saya. Agaknya saya kurang beribadat semasa kecil...

Buat kita yang telah mengerti kemanisan Ramadan, apabila hari begitu pantas berlalu, hati jadi sayu....

Tuesday, August 24, 2010

Ramadan keempatbelas

Hari ini saya mengalami dua peristiwa yang menggembirakan. Walau kelas penuh berderet, tapi hati senang. Saya ceritakan satu persatu.

Semester ini, alhamdulillah, saya tidak pernah membatalkan kelas. Tempoh saya sebagai perunding JAWHAR telah tamat. Jadi saya tidak perlu berulang alik ke Putrajaya lagi. Oleh yang demikian, hubungan saya dengan pelajar agak rapat. Saya hampir mengingati kesemua nama pelajar. Perasaan sayang kepada mereka cepat terbentuk dan mereka memandang saya seperti seorang emak. Tempoh lima minit berehat selepas sejam pertama saya isi dengan sedikit tazkirah. Minggu lepas, dengan penuh hati-hati saya menyentuh isu puasa dan wanita yang tidak bertudung. Saya kisahkan apa yang telah dikatakan oleh Dr Yusof Qardawi tentang isu ini. Saya ambil berat tentang pelajar perempuan yang begitu baik, sopan, aktif, cantik namun masih belum terbuka hatinya untuk bertudung. Saya cakap dengan penuh berhemah. Alhamdulillah, pagi tadi salah seorang daripada mereka telah mula bertudung. Sungguh cantik Nabilah di mata saya. Rambut hitamnya yang ikal mayang telah ditutup dari pandangan bukan muhrim. Saya ucapkan tahniah kepadanya dan berharap ia akan berkekalan.

Aqilah ialah bekas pelajar saya yang sekarang menyambung pengajian peringkat Sarjana di Scotland. Dia menelefon saya tengahari tadi. Di sana pukul 5 pagi katanya. Puasa 20 jam, puan, terangnya. Dugaan betul...Dia akan pulang ke Malaysia bulan Disember ini. Apa yang menggembirakan hati saya ialah dia mendapat A untuk subjek Investment Law. Sebaik mendapat tajuk tugasan daripada pensyarahnya pada awal Mac lalu, dia terus menelefon saya. Tajuknya berkisar tentang perlindungan kepada pelabur melalui undang-undang UK. Dia buntu bagaimana untuk menyiapkan tugasan tersebut. Dengan penuh kasih sayang, saya menggariskan beberapa panduan dan buah fikiran menerusi emel. Dia menyiapkan tugasan tersebut dan mendapat gred yang baik.

Dua pelajar ini saya harap akan berjaya dunia dan akhirat. Ilmu yang disampaikan dan bermanafaat akan membantu saya di alam kubur nanti...InsyaAllah!

Ramadan ketigabelas

Saya terlupa cerita tentang pengisian pagi Ahad di Serendah. Pukul 9 am, emak mengajak saya ke surau. Pengumuman tentang aktiviti wanita di surau itu telah terlebih dahulu diumumkan pengerusi surau pada malam sebelumnya. Beruntung emak di Serendah. Ada sahaja pengisian rohani disusun oleh AJK surau.

Pagi Ahad itu, kami adakan solat-solat sunat yang dipimpin oleh Ustazah Salmah, pesara Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ia bermula dengan sedikit penerangan tentang solat yang akan kami dirikan. Kami mulakan dengan solat taubat 2 rakaat, solat Dhuha 2 rakaat, solat hajat 2 rakaat dan disudahi dengan solat sunat tasbih 4 rakaat. Malu rasanya untuk menulis di sini yang inilah pertama kali dalam hidup saya bersolat sunat tasbih! Namun, kenikmatan mengerjakannya hanya Allah yang tahu. Selesai semua solat sunat, Ustazah melagukan zikir Wahai Tuhan, Ku Tak Layak Ke SyurgaMu Namun Tak Pula Aku Sanggup Ke NerakaMu Ampunkanlah Dosaku Terimalah Taubatku.. Ustazah minta kami dengar sahaja dan membayangkan betapa banyaknya dosa kita padaNya, pada suami, pada adik beradik..

Maka ramailah jemaah wanita hari itu teresak-esak, teresak-esak, teresak-esak....

Sungguh bermakna kepulangan saya Ramadan ini, diwarnai ibadat yang saya harapkan diterima Allah...

Monday, August 23, 2010

Ramadan kedua belas

Suasana pagi di Serendah memang mengujakan. Selesai solat Subuh dan membaca Al-Quran, saya membelek-belek buku Indahnya Hidup Bersyariat karya Datuk Ismail Kamus. Buku ini pemberian UiTMJ. Hidup berpandukan agama semakin diabaikan umat Islam masa kini. Ramai yang tidak mengamalkan agama secara keseluruhan. Ambil sini sikit sana sikit. Penulisan ini menjadi ingatan buat diri saya juga.

Saya mendapat emel dari seorang bekas pelajar IPB tentang perbualan online beberapa orang remaja kota di Facebook yang menghina ibadat puasa yang telah diwajibkan ke atas umat Islam. Si Salleh ini merasakan betapa rupa, warna kulit dan butir peribadinya di dalam kad pengenalan telah menyusahkan hidupnya. Andai benar semua ini, apakah peranan kita? Sekadar membaca, menggeleng-gelengkan kepala dan beristighfar? Marilah kita berdoa agar anak-anak kita akan hidup dalam iman dan mati juga dalam iman...

Kembali kepada cerita Serendah. Emak meminta saya menyediakan juadah berbuka hari ini. Tiada masalah. Saya mula mereka-reka menu yang jarang dimasak. Maka inilah antara hasilnya: Kerabu kerang, masak lemak cili padi telur itik campur belimbing buluh dan siakap tiga rasa.



Kebetulan nenek saudara datang ke rumah bersama anaknya dari Bukit Beruntung. Adik sepupu dari Selayang juga turut menziarahi kami sekeluarga. Maka bertambah meriahlah suasana Iftar petang Sabtu yang berbahagia itu...

Ramadan kesebelas

Perjalanan dari Segamat ke Serendah mengambil masa 4 jam. Cuaca petang Jumaat lepas sungguh nyaman. Mendung. Tiada sinar terik mentari. Sampai saya tersiksa menahan ngantuk. Saya terlelap sesaat dua mungkin. Sedar-sedar Naza menghimpit kiri jalan. Tersentak lalu segar kembali. Kemudian mata kembali berat. Kena berhenti rehat, lalu saya lelap sebentar di RnR Dengkil.

Sampai di Serendah elok-elok waktu untuk berbuka. Emak sihat-sihat sahaja. Alhamdulillah. Ina, adik saya yang sedang sarat mengandung telah berada di Serendah sejak awal Ramadan. Dua dulang hidangan telah disiapkan emak. Ada macam-macam lauk yang saya rindui. Yang paling sedap kari ayam. Kari masakan emak cantik warnanya. Rasanya tidak perlu dipertikaikan lagi.

Selesai berbuka, emak mengajak saya bertarawikh di Surau Al-Mustaqim Desa Anggerik. Solat di sini agak berbeza dengan di Segamat. Selesai Isya', kami bertahlil untuk para gemulah ahli keluarga. Kemudian, tarawikh empat rakaat. Penceramah luar dijemput untuk memberi tazkirah selama 30 minit. Akhirnya kami sambung lagi Tarawikh empat rakaat dan diikuti Witir tiga rakaat. Kami selesai beribadat pada pukul 10.30 malam. Sebelum pulang, jemaah dijemput menikmati hidangan yang agak berat. Jemaah wanita tinggal makan sahaja. Kesemua kerja menyiapkan hidangan sehingga mengemas dilakukan jemaah lelaki.

Pengalaman ini amat berharga buat perantau seperti saya...wahh ayat sedih...

Selamat berbuka semua

Friday, August 20, 2010

Ramadan kesepuluh

Alhamdulillah, Ramadan kesepuluh datang menziarahi mereka yang mencari keberkatanNya. Maknanya satu pertiga Ramadan akan berlalu...masuk dua pertiga...Pagi tadi, Ahmad Fitri Yahya MHI TV3 berbicara tentang hadis palsu yang menjanjikan ganjaran kepada mereka yang beribadat. Yang penting dulu, sekarang, esok dan selamanya, bagi saya, beribadatlah untuk kasih sayangNya, sekali kita hampir kepadaNya, sepuluh kali Dia menghampiri kita.

Petang ini saya akan bertolak pulang ke Serendah. Anak-anaklah yang paling teruja. Rindukan Atok itu salah satu sebab yang saya rasa bukanlah faktor terbesar. Padang yang besar di hadapan rumah Atok itulah faktor yang paling besar. Tapi bulan puasa ini mungkin mereka akan berjalan lemah gemalai sahaja sekitar padang. Saya pun apalah kurangnya. Rumah emak itulah yang sering bermain di fikiran kerana itulah rumah terakhir didiami arwah Abah dan Kak Long. Ya Allah, berilah khabar-khabar gembira kepada mereka berdua, muslimin muslimat, mukminin mukminat, luaskanlah tempat tinggal mereka di sana, permudahkanlah urusan mereka...sampaikanlah doa kami anak-anaknya yang cuba menjadi anak yang soleh dan solehah.

Saya tidak akan bersiaran secara langsung dari Serendah kerana masalah talian internet:)) Buat Ida di UiTM Pahang, balik dari Serendah nanti, Kak Ani tayang gambar lagi ek!

Doakan kami selamat sampai dan selamat kembali ke Segamat...

Thursday, August 19, 2010

Ramadan kesembilan

Cuaca sepanjang Ramadan tidak terlalu panas. Sedang-sedang sahaja. Mula redup menjelang petang. Terkadang mendung yang membawa hujan. Para peniaga Bazar Ramadan tentu susah hati melihat gelapnya langit. Tetapi rezeki itu pemberian Allah.

Sebentar tadi saya sekeluarga bersolat Tarawih di Masjid Jamek Segamat. Sementara menunggu Isya', ada kariah masjid yang membahagikan bungkusan murtabak kepada jemaah. Anak-anak saya sangat senang hati. Bulan Ramadan banyak murtabak kata mereka, sampai dah tak nampak burger!

Imam tarawih di Masjid ini tidak membaca ayat-ayat lazim sebaliknya membaca surah-surah panjang. Bacaannya lunak walau agak laju. Al-Hafiz memang terbiasa membaca laju barangkali. Jadi makmum boleh membaca Al Fatihah dalam keadaan tenang dan tidak terkejar-kejar.

Ramadan ini tetap seperti bulan-bulan biasa bagi segelintir manusia beragama Islam. Buktinya bacalah surat khabar tiap-tiap hari. Kes buang bayi makin menjadi walau ada peringatan tegas daripada Dato' Shahrizat Jalil. Kes pasangan ditangkap khalwat tetap berlaku. Kes berkelakuan tidak senonoh turut tidak berkurangan. Kes amuk kembali kedengaran. Saya terasa sangat sebak mengenangkan anak sekecil 8 tahun yang parah disimbah cuka getah oleh bapanya sendiri. Dadah memang musuh keluarga bahagia. Keluarga hancur kerana dadah. Semua ini berlaku kerana manusia tidak merindui dan mencintai Allah. Jika benar kita cinta Allah, pasti kita sanggup korbankan perasaan kita. Seperti pasangan yang bercinta, kerana kekasih, kita lupa ibubapa, yang kelihatan di mata dan ingat di hati adalah kekasih kita. Kita sanggup berkorban apa sahaja. Jadi jika kita mencintaiNya, segala rasa yang terbit dari nafsu dapat kita kawal.

Bagaimana mencintai Allah? Saya juga masih belajar mencintaiNya. Saya juga masih sedang berusaha melakukan apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang. Saya sedang cuba memperbanyakkan amalan sunat dan meninggalkan yang makruh. Saya dalam proses mencintaiNya...

Semoga Ramadan kali ini mendewasakan hubungan seorang hamba dengan Pencipta...

Wednesday, August 18, 2010

Ramadan kelapan

Sudah masuk minggu kedua Ramadan. Cepat ya masa berlalu, rugi buat kita yang leka dan tidak menghargai detik-detik Ramadan.

Pagi ini pagi Kelab Inspirasi. Tiga exco Kelab ada temujanji dengan saya bagi mengemaskini maklumat terkini Kelab. Saya berdoa setiap perancangan yang telah kami susun dipermudahkan Allah dan memberi kebaikan kepada banyak pihak. Terima kasih exco Kelab, jasa kalian pasti dibalas Allah...

Pukul 12 tengahari seperti biasa, kami ada usrah dengan Ustaz Zainuddin yang kaya ilmu. Ustaz muda ini berbakat. Beberapa ayat dalam surah-surah terpilih dikupas Ustaz dengan bahasa yang mudah difahami. Usrah kali ini lebih bermakna apabila disertai TPBPJI dan PM Ustaz Nawawi. Semasa sedang tekun mendengar, masuk mesej suami yang akan pulang ke Segamat petang ini. "teringin nak makan bubur sum-sum". "No problem" balas saya.

Saya ada bercerita tentang hujan lebat beberapa hari sudah. Semasa memandu pulang, saya dapati paras air Sungai Segamat naik mendadak dan hampir mencecah tebing. Itu baru hujan 2 jam. Kalau 2 hari? Mohon dijauhkanNya. Teringat 2006...

Sampai sahaja di rumah, saya terus mengeluarkan kelapa parut dari peti sejuk dan selongkar kabinet cari gula merah. Solat Asar dahulu. Selepas itu, perjuangan memasak pun bermula...

Kualiti gambar memang kurang memuaskan. Bukan mata anda yang bermasalah. Gambar yang biasa-biasa ini sengaja ditayang untuk Ida di Pahang:))

Tuesday, August 17, 2010

Ramadan ketujuh

Ditakdirkan Allah, telinga saya tidak menangkap bunyi alarm handphone yang dikunci pada pukul 4am. Saya hanya terjaga pada pukul 5.25am. Panik. Terus mengejutkan anak-anak. Mereka yang terkejut dengan panggilan panik saya bingkas bangun. Kami hanya dapat makan makaroni semalam bersama air suam. Alhamdulillah ada roti sebungkus. Farhan membancuh milo suam sendiri. Fatihah minum air milo yang disimpan dalam peti sejuk sejak semalam.

Setiap tahun, pasti ada sekali dua saya terbabas dari bangun bersahur. Anak-anak jadi mangsa...Namun, saya berdoa agar esok, saya mampu bangun lebih awal dari masa yang telah ditetapkan. Cuba untuk mengukuhkan kebiasaan solat sunat. Mohon Allah permudahkan. Perkongsian ilmu di UiTMJ tengahari tadi mengingatkan lagi peri pentingnya solat.

Saya ada dua tempat yang ingin dituju pukul 12 tadi. Tadarus Al-Quran di Bilik Seminar atau Wacana Akademia di Bilik Sekretariat. Saya pilih yang kedua. Tajuk Biomekanik Solat menarik hati. Apatah lagi Prof Kamil adalah salah seorang panelnya. Kata-kata Prof ada sentuhan tersendiri. Moga Allah merahmati mereka yang tidak jemu-jemu memberi peringatan buat saya yang sering lupa...

Kelas saya berderet hari ini. Dari pukul 8 ke 4 petang. Tenaga berkurangan (alasan untuk tidak memasak:)) Tomyam semalam tidak bersentuh. Saya panaskan. Terfikir tentang lauk tambahan. Telur dadar pun lauk juga:) Jimat tenaga...

Buat Ida, hari ini Kak Ani tayang gambar tomyam je..

Monday, August 16, 2010

Ramadan keenam

Hujan lebat membasahi bumi Segamat petang Ramadan keenam. Sungguh lebat. Anak-anak yang baru pulang dari sekolah habis basah lecun. Sebaik sahaja Fatihah masuk ke bilik saya, dia bercerita.

"Tadi masa kakak cakap assalamualaikum, ada air hujan masuk dalam mulut kakak"

"Aaaa, habisla puasa ko..."usik Fahim.

"Agaknya siapa ye sembahyang minta hujan?" tanya Farhan.

Rasanya sudah lama Segamat tidak hujan yang betul-betul lebat. Suasana sangat sejuk. Makin laparlah anak-anak. Dua tiga kali mereka menjenguk masuk ke dapur. Saya masak ringkas sahaja hari ini. Asalkan digemari anak-anak. Nasi masa bersahur tadi dipanaskan. Saya buat tomyam ayam bersayur cendawan.

Gambar makaroni ni agak kelabu. Maklumlah, guna kamera handphone sahaja. Semalam saya panjangkan juadah ke rumah jiran. Lalu, dibalas dengan makaroni goreng. Berebut anak-anak makan. Hah, hari ini mama masak menu yang sama, makan sampai kenyang!

Popiah goreng berinti sengkuang dan lobak merah. Kegemaran Fatihah. Bersungguh-sungguh dia tolong menggulung. Saya teringin popiah basah dan teringatkan popiah Teluk Intan....
Selamat berbuka muslimin dan muslimat...

Sunday, August 15, 2010

Ramadan kelima

Alhamdulillah, telah masuk Ramadan yang kelima. Anak-anak masih senang dikejutkan bangun bersahur. Namun, waktu cuti begini, jika tidak dipantau, mereka akan terus tidur selepas sahur tanpa mengerjakan solat Subuh. Tugas kitalah ibu bapa yang mesti peka dengan kerenah anak-anak. Segagah mungkin cuba mengikuti jejak langkah Hj Ahmad Zahid, ayah adik Muhammad (Naib Juara Akademi Al-Quran 2010). Walau tidak seistiqamah Tuan Haji Ahmad Zahid dan dengan kekurangan ilmu di dada, kita pohon kepada Allah agar anak-anak ini akan menjadi umat Nabi Muhammad saw yang soleh dan solehah, mukmin dan mukminah, bertaqwa, menjunjung Al-Quran dan sunnah, mempunyai akhlak semulia Rasulullah atau Siti Khadijah. Aminnnn

Semalam kami berbuka di Juara Ikan Bakar, bersebelahan Hotel Neo Pegasus. Suami kata mari kita cuba buffet RM9, lauk campur. Ada lebih dari 10 lauk dan sayuran. Ulaman dan empat jenis sambal belacan pun ada. Di atas meja telah terhidang kuih, kurma dan sebekas air sirap. Kami hanya tinggal mengambil nasi dan lauk pauk. Sebekas besar air sirap tambahan juga disediakan. Rasanya amat berbaloi harga RM9 dengan lauk pauk yang terhidang. Cubalah! Selesai makan sekitar 7.55pm, kami pulang dengan perut yang amat kenyang. Ketika azan Isya berkumandang, suami pantas mengajak saya ke surau Kg Sedeng. Alhamdulillah...

Pagi ini, kami meneruskan tadarus seperti biasa. Selesai tadarus ringkas (anak-anak asyik menguap), saya keluarkan daging dari peti sejuk. Niat hati ingin dibuat daging panggang. Tapi tiada resepi. Selepas ini, kenalah mencari resepi untuk menyedapkan hidangan buat suami tercinta...

Saturday, August 14, 2010

Ramadan keempat

Sebelum tidur semalam, saya telah memikirkan menu bersahur. Saya keluarkan sotong dan ikan dari bahagian sejuk beku, memudahkan proses memasak esok. Pukul 5am, sambal sotong, ikan goreng dan kacang panjang goreng terhidang di atas meja. Nampaknya Along dan Angah kurang selera. Namun, digagahi juga bersama-sama secawan milo suam. Mungkin saya kena beli roti untuk sahur esok.

Sabtu yang sunyi...sehingga ke pukul 11am, cuaca masih seakan pukul 8am. Selesai solat Dhuha, saya mengajak anak-anak bertadarus. Untuk mengelakkan mereka hilang tumpuan, masing-masing membaca satu ayat, ikut giliran. Alang kata dia masuk tadarus di sekolah, ustaz suruh dia baca juz 25. Bila ditanya bila hendak mula membaca, dia kata nantilah:) Itulah bagusnya sekolah agama, perasaan mencintai Al-Quran telah mula dipupuk sedari kecil. Harapan saya biarlah anak-anak ini mencintai Al-Quran tanpa paksaan.

Suami ajak berbuka di luar hari ini. Ala buffet. Saya ikut sahaja. Lagipun, anak-anak jarang berjumpa ayah mereka. Biarlah sekali sekala berbuka di luar...

Friday, August 13, 2010

Ramadan ketiga

Cuaca agak panas hari ini. Teringatkan anak-anak di sekolah. Tiga yang besar sudah mula biasa dengan lapar dahaga Ramadan. Tapi yang kecil itu...

Di UiTM, selesai memasukkan markah kuiz pelajar ke dalam rawscore, bertadarus untuk hari yang kedua. Berkumpul di tempat yang telah dipersetujui lalu sama-sama menyemak bacaan rakan. Bertuah tahun ini kerana satu kumpulan dengan Puan Ruwiyah Bendahari. Kak Yah banyak ilmu tajwid. Dapat beberapa panduan baru hari ini. Alhamdulillah.

Menjemput anak-anak dari sekolah. Betul jangkaan saya. Si kecil bermuka masam kelat. Tunjuk perasaan. Sampai ke rumah, terus berbaring sambil menyebut lapar...lapar...dan langsung tertidur.

Selepas asar, baharulah memikirkan menu berbuka. Nasi semalam berbaki agak banyak. Nasi yang dihangatkan kurang enak dimakan berbuka. Lantas saya bertanyakan anak-anak, Mama buat nasi goreng special ye..alhamdulillah, anak-anak saya tidak banyak kerenah tentang makanan. Asal ada nasi dan air manis. Setakat hari ini, tiada yang mengajak saya ke Bazar Ramadan. Mereka redha dengan apa sahaja yang dijamu Mama.

Perlu memikirkan lauk. Teringin makan ayam. Lalu ayam diperap dengan madu, serbuk oregano, daun basil dan sedikit garam. Agar ada rasa Inggeris...lalu dibakar selama 30 minit. Fatihah minta air sirap bandung. Dalam kesederhanaan menu, Sasai menghantar sepinggan penuh mihun goreng. Alhamdulillah, Allah Maha Pemurah...

Thursday, August 12, 2010

Ramadan kedua

Alhamdulillah, seperti semalam, bangun pukul 4am. Subuh Ramadan sememangnya berbeza dari Subuh bulan Islam yang lain. Mungkin terasa Tuhan begitu dekat dengan kita...langit terbuka luas...

Kari udang campur kentang dan kacang panjang dipanaskan. Tapi, hati terdetik untuk menggoreng nasi. Bawang kecil, bawang putih, cili api dan ikan bilis dikisar halus. Ditumis mesra bersama nasi. Goreng telur mata kerbau. Timun dihiris. Rupanya, tepat detik hati saya. Anak-anak berselera makan sahur. Teh strawberi Cameron Highland melengkapkan sahur kami. Pukul 6am, anak-anak mula segar. Alhamdulillah, tiada yang tidur semula.

Semalam, suami pulang. Selepas berehat sebentar, kami ke surau Kg. Sedeng. Kariah surau tidak ramai. Ramai warga emas. Namun, imam tarawihnya masih muda. Awal 40an. Bacaanya bagus. Ada lahjah Arab walau berbangsa Jawa. 20 rakaat dengan ayat-ayat lazim.

Sekarang 6.35am. Perlu bersiap menghantar anak-anak ke sekolah. Angah minta dihantarkan pukul 6.40am. Semangat awal Ramadan...

Wednesday, August 11, 2010

Ramadan pertama

Alhamdulillah, terjaga pukul 4am, sliding door dibuka, udara subuh dihirup penuh nikmat. Langit cerah, bintang masih sayup kelihatan. Rugi rasanya andai subuh Ramadan pertama kali ini dibiarkan berlalu tanpa pengisian rohani...Umur yang begini, alhamdulillah, diberikan rasa menghargai Ramadan, bulan penuh keberkatan.

4.45am turun ke dapur, memanaskan lauk semalam. Teringin makan sayur. Kobis dirincih kasar, digoreng bersama-sama bawang besar dan ikan bilis.

5am, naik semula ke tingkat atas untuk kejut anak-anak dari lena. Tidak seperti Ramadan yang lepas, kali ini misi tersebut lebih mudah dilaksanakan. Tanpa perlu saya mendukung sikecil yang sudah besar, tanpa perlu saya geletek tapak-tapak kaki, tanpa perlu saya menjerit sesudah memanggil, kesemua mereka turun bersahaja. Alhamdulillah, mereka telah bersedia untuk bangun sahur. Di meja makan, tiada yang tertidur, tiada yang menangis minta disuapkan, tiada yang merajuk, tiada yang tolak pinggan dan cawan, tiada yang garu-garu kepala yang tidak gatal tanda protes, kesemua mereka makan bersahaja. Alhamdulliah, mereka semakin matang. Milo suam dihirup. Gigi digosok. Air kosong segelas diminum. Kembali ke tingkat atas. Bersedia untuk solat Subuh. Alhamdulillah, Ramadan kali ini, anak-anak saya telah dewasa....dan saya bertambah tua...

Tuesday, August 10, 2010

Salam Kemaafan di Gerbang Ramadan

Sempena ketibaan kekasih kita Ramadan, saya dan keluarga memohon kemaafan, saya hanya manusia lemah yang punya banyak kekurangan namun masih berusaha membina jati diri muslim yang berhati-hati dengan setiap kata dan tingkah laku...

Gembiranya hati kerana masih bernafas sehingga kini, terima kasih Tuhan kerana memberi peluang bertemu RamadanMu buat sekian kalinya...

Hari ini sebelum memulakan kuliah, saya menjadi ustazah sebentar, memberi sedikit tazkirah tentang mulianya Ramadan dan pengisian masa di dalam bulan yang mulia ini. Saya kata, kita selalunya take five selepas sejam kuliah. Apa kata dalam bulan Ramadan ini sewaktu rehat lima minit, kita buka tafsir dan bincang tentang ayat-ayat tertentu. Nampaknya semua mereka teruja. Namun saya pula yang bertanya dalam hati, layakkah saya? Apapun, apabila ada niat untuk membuat sesuatu yang baik, teruskanlah, moga Allah membantu.

Petang tadi, saya siap-siap memasak agar sahur nanti, lauk itu akan dipanaskan sahaja. Selepas maghrib, saya membawa anak-anak ke surau Taman Pelangi. Jemaah sini bersolat sunat Tarawih 20 rakaat. Imam membaca ayat-ayat lazim. Mungkin malam esok, saya ingin cuba solat di surau atau masjid lain. Jika ada hafiz yang dilantik menjadi imam solat tarawih, tentu bacaannya dari surah-surah yang lebih panjang. Tentu lebih terkesan. Tentu lebih asyik. Tentu lebih rindu....

Ramadan, bulan yang sungguh manis buat manusia lemah seperti saya...