Tuesday, January 29, 2008

Warga Nilam dan Masjid As-Syakirin

Nilam, nama sebuah kolej kediaman siswi. Ada sebuah kelas di tingkat bawah. Petang tadi, saya menggantikan kelas di situ. Semasa meninjau suasana sekeliling kelas, saya ternampak laluan ke Masjid As-Syakirin. Oh! terlalu hampir dengan Masjid. 1 minit perjalanan. Beruntung warga Nilam. Solat lima waktu di Masjid tentu menyeronokkan. Ruang solat wanita luas. Sementara menunggu solat isyak contohnya, boleh mengulangkaji pelajaran atau membuat nota. Ramadhan tentu lebih istimewa. Terawih berjemaah membangkit perasaan yang indah.

Saya teringatkan Masjid Abu Bakar di UIA. Kolej Khadijah berdiri megah di sebelah masjid. Memang seronok bila ramai-ramai menuju masjid. Bertelekung putih, sama-sama melangkah dengan perasaan gembira. Kenangan berbuka puasa terbayang.

Namun, kediaman saya sekarang agak jauh dari UiTM. 25 minit perjalanan. Kalau dekat dan ada suami menemani, mahu saja saya solat penuh lima waktu di sana. Terasa lebih tenteram. Terasa lebih asyik.

Warga Nilam beruntung.

*gambar Fatihah dan Fadhli di depan Masjid 'terapung' di Terengganu


Monday, January 28, 2008

Pengenalan kepada MQA, MQR, MQF

Makna tiga perkataan di atas agak baru bagi saya. Mula-mula macam susah hendak faham. Pun begitu, PM Dr Titik Khawa sungguh-sungguh menerangkan dari A sampai Z. Akhirnya dipertengahan syarahan, barulah saya dapat menjiwai sepenuhnya. Kesimpulannya ialah seluruh sistem akademik UiTM sedang rancak bergerak ke arah yang lebih cemerlang dan diiktiraf dunia. Hebat! Walaupun perbincangan adalah seputar akademik, saya mendapat ilham bagi perkara-perkara lain yang tiada kaitan dengan akademik. misalnya kelab pelajar dan komunikasi dengan anak-anak. Dalam melangsungkan sesuatu aktiviti, objektif mesti jelas. Objektif mesti realistik pastinya. Malah kemahiran soft skills mesti berjaya dibaja, disemai dan dituai. Dan hasilnya mestilah mekar menghijau dan terang bercahaya.

Bila berkomunikasi dengan anak-anak pula, tutur kata seorang ibu mestilah dapat difahami. Kehendak seorang ibu mestilah dapat diduga anak. Barulah anak dapat melaksanakan sesuatu pekerjaan itu sebaik mungkin bagi mencapai objektif yang disasarkan. Setakat ini, saya sering gagal dalam komunikasi dengan anak-anak,maksud saya, banyak permintaan saya gagal dilaksanakan anak-anak secara sukarela, tapi dalam keadaan terpaksa. Solat umpamanya, kerana anak gagal memahami mengapa solat itu wajib, tidak boleh tidak! Mungkin, saya patut menerangkan dengan lebih mendalam objektif mengapa wajib solat dalam kata-kata yang lebih difahami anak-anak. Bagi saya seorang ibu itu adalah 'agent', solat memang sudah lama di'register' (worldwide recognition) dan perlu ada 'framework' yang jelas.

Sunday, January 27, 2008

Anak-anak lelakiku

Bila tiba saat mengusung jenazah keluar dari pintu rumah, kudrat lelaki sangat diperlukan. Saya tidak risau andai ditakdirkan meninggal dikala usia anak2 lelaki saya sudah bergelar lelaki dewasa. Tiga orang anak lelaki,dan empat orang anak saudara lelaki. Semua memanggil saya mama. Pasti semuanya sudah cukup kuat untuk mengusung jenazah seorang mama yang beratnya melebihi 60kg (jika masih 60kg pada saat itu). Saat ini saya teringatkan semua lelaki2 tersebut.







Inilah anak-anak lelaki saya, darah Hj Ismail Mat turut mengalir dalam badan cucu-cucu arwah abah.

Semoga Almi Fadhli, Almi Farhan, Almi Fahim, Muhammad Arif Hakimi, MuhammadUmar Hazimi, Aiman Zafran dan Amir Razin akan menjadi hamba-hamba Allah yang kekal beriman dan beramal.

Karya Sastera Komsas

Sudah lama saya tidak mengikuti perkembangan sukatan matapelajaran sastera SPM, yang saya tahu ia telah menjadi salah satu bahagian dalam matapelajaran Bahasa Malaysia. Terimbau ingatan di SMKASHMS atau sekarang SHAMS di Seremban. Saya memang sangat seronok bila tiba waktu belajar sastera. Dapat pula cikgu pelatih yang cantik manis. Pelajar lelaki pun mulalah bersastera dan menjiwai sastera. Saya mendapat A1 bagi matapelajaran ini dan pelajar kedua terbaik matapelajaran sastera peringkat SPM sekolah. Manisnya kenangan tersebut walau tidak dapat naik pentas menerima hadiah.

Yang terbaru, menjelang 2010 akan muncul karya sastera alaf baru agaknya untuk santapan pelajar SPM. Dengarnya, banyak karya popular. Ustaz Zaid Akhtar bolehlah dikecualikan dari label karya popular. Marah ustaz! Impian di Jaring antara karya yang patut dibaca oleh pelajar. Tapi kalau karya Ahadiat (isterinya yang cantik, bekas pelajar saya di IPB), saya agak terkesima. Saya pernah baca karya beliau semasa masih bergelar remaja. Tapi tidak meresap dan sebati dengan jiwa sastera saya. Apa yang menarik tentang penulisan beliau mungkin hanya boleh dijawab oleh peminat-peminat karya beliau.

Lalu saya terkenangkan karya-karya ini:



Berat sangatkah karya-karya ini? Kumpulan karya dari gambar pertama ringan dan menarik. Karya dari gambar kedua pula kurang ringan tapi sarat dengan ilmu. Perlu cikgu sastera yang bijak menawan hati pelajar untuk menghadam mesej yang ingin diutarakan penulis.
Sekadar cadangan di alam siber.

Hari-hari nan ceria

Ada hari-hari ceria, ada detik muram, semuanya mewarnai sebuah kehidupan manusia. Semalam hari yang agak ceria, walau suami tidak dapat pulang menghabiskan cuti hujung minggu bersama tetapi pengisian waktu bersama-sama empat orang cahayamata tetap menceriakan. Pukul 9 pagi, ke SRAB menghadiri ceramah keibubapaan demi kecemerlangan anak. Penceramah yang hebat, Ustaz Mohd Nasri dari Pejabat Agama Segamat. Suka dengan nada dan rentak percakapannya. Menarik! Antara panduan yang bagus ialah membaca Al-Quran disisi anak yang sedang tidur sambil mendoakan kesejahteraan anak dunia akhirat. Slot yang ceria!

Pukul 5.20 petang, bekas pelajar datang melawat bersama seorang rakan perempuan. Mee goreng dan puding karamel menjadi hidangan. Shariman dan Rohana, kehadiran kalian menceriakan petang saya! Terima kasih.


Pukul 8 malam, ke Hotel Pelangi.
Night of Roses. Namun, pakaian saya tidak menepati warna tema. Jenuh mencari pakaian makan malam warna merah tapi tiada yang berjaya sangkut di hati. Majlis makan malam sederhana tapi ceria. Lebih ceria bila Pengarah memberi nombor cabutan bertuahnya kepada saya. Ceria hati dapat hadiah bertuah seorang Pengarah. Lalu, naik pentas dua kali mengambil hadiah. Satu, bingkai gambar dan satu lagi bekas kertas nota.
Keceriaan semalam berlanjutan ke hari ini.Pagi lagi, Kak Lin hantar mesej, cerpennya disiarkan Berita Minggu. Kemudian, menyusul masuk mesej Nisah Haron, minta tolong sampaikan salam tahniah pada Kak Lin. Saya tumpang ceria. Namun, semasa terserempak dengan Hanim, ada berita muram. Emaknya baru menjalani pembedahan membuang sebelah payudara akibat barah. Hmmm...begitulah hidup, ceria dan muram mewarnai kehidupan.

Sunday, January 6, 2008

Isu sama, makna beza

Setiap hari, saya pasti meluangkan sedikit masa membaca akhbar online. Antara yang menjadi pilihan utama ialah Utusan & Berita Harian. Pagi ini, saya keliru dengan kedua akhbar ini. Isu yang dibangkitkan sama, undang-undang privasi (rentetan kes Chua Soi Lek). Tapi isu diolah hingga membawa maksud yang berbeza. Tajuk pun sudah mengelirukan. Utusan melaporkan 'Undang-undang langgar hak individu dikaji – Najib'. Berita pula 'Undang-undang privasi sedia ada mencukupi: TPM'. Tajuk dan olahan wartawan Utusan memberitahu kajian akan dibuat terhadap undang-undang sedia ada. Wartawan Berita pula melaporkan undang-undang sedia ada sudah mencukupi. Tidak pula mengatakan samada kerajaan akan mengkaji semula atau tidak. Sebagai pembaca, tentu kita ingin melihat apa sebenarnya matlamat isu tersebut dibangkitkan. Namun, setelah perbandingan dibuat ke atas dua tajuk tersebut, matlamat tidak sampai. Kaji atau tidak? Cukup ke kurang?

Itulah keburukan yang akan menimpa pembaca andai hanya bergantung pada satu bahan bacaan sahaja. Terutama membaca akhbar harian. Ideologi berbeza, sasaran tidak sama. Budaya membaca pelbagai bahan bacaan perlu disemat. Lagi banyak membaca, lagi luas pemikiran. Juga penilaian.

Friday, January 4, 2008

Pertemuan Pertama Pengarah

2.50pm, 4 Januari 2008, mesyuarat pertama bersama Pengarah baru. Bersemangat nak hadir kerana selama ini hanya membaca blog beliau dan mengintai dari jauh. Lebih teruja nak melihat beliau dari jarak dekat setelah menghabiskan bacaan Travelog Haji. Orangnya tidak tinggi namun tidak terlalu rendah. Sedang. Dahinya luas, tanda orang bijak pandai, ada kesan lebam membulat kecil di dahi, berkat solat tahajud sepertiga malam. Antara pesanan yang terkesan di hati ialah tabiat membawa buku ke mana sahaja. Itu antara tabiat baik saya. Lagi? Supaya rajin menulis sehelai sehari. Kalau setahun, maknanya 360 helai. Tolak cuti itu ini 300 helai, tolak kenduri kendara majlis sana majlis sini malas tidur tak sihat, 150 helai. Akhirnya dalam setahun dah dapat sebuah buku. Ini bukan tabiat saya. Namun, terkesan juga di hati, akan cuba amalkan, moga Allah mempermudahkan.

Tuesday, January 1, 2008

Peristiwa sungguh sedih di awal tahun

Sungguh terkejut dengan berita sensasi awal tahun. Bertaraf menteri dan naib presiden MCA. Sungguh, berani sungguh Menteri berkenaan membuat pengakuan terbuka begitu. Berani buat berani tanggung. Mungkin itu prinsip yang dipegang beliau.

Sungguh, sungguh terkejut menonton berita malam ini. Sekumpulan anak muda tanpa baju menari sambil menghidu gam dalam plastik di malam tahun baru. Sungguh berani mereka! Konsep berani buat berani tanggung mungkin juga dipegang mereka. Bermalam dalam lokap polis gamaknya.

Sungguh, ini bukanlah permulaan yang baik bagi tahun 2008. Sesungguhnya jika dua peristiwa tersebut dipandang sepi, sungguh, Malaysia belum merdeka!

Sungguh sedih...

Tahun Baru 2008

Hari ini tahun baru. 1 Jan 2008 bersamaan 22 Zulhijjah. Pagi tadi menelefon UKM dan UiTM Shah Alam tapi tiada jawapan. Ishh mana pegi semua orang ni..Rupanya cuti umum..Maklumlah kami di Johor tak sambut tahun baru...Negeri2 MelayuTidak Bersekutu katakan...

Azam baru? Banyak tapi biarlah tersimpan di sudut hati. Suami di rumah mengemas seharian. Petang ni akan berangkat semula ke Kuala Lumpur.

Namun harapnya tahun 2008 memberi kehidupan yang lebih bermakna buat semua. Dan yang paling penting diredhai Allah.