Monday, March 28, 2011

Pencinta Buku

Duit RM100 yang saya simpan sejak bulan lepas masih kemas terlipat dan terselit di dalam dompet. Ia adalah untuk tujuan kecemasan dan keperluan. Kebetulan berlangsung Pesta Buku Segamat. Buku ialah keperluan bagi saya bukan kemahuan. Janji sejak Sabtu lepas saya penuhi dengan membawa anak-anak ke sana. Selepas hampir sejam membelek buku-buku yang berkenan di hati, kami ke kaunter bayaran. RM65.70 kesemuanya. Alhamdulillah ada baki. Saya bawa anak-anak ke Kedai Makan Rohaya bersebelahan Dewan tempat Pesta berlangsung. Inilah antara buku-buku yang telah dibeli. Fatihah seperti biasa teruja dengan novel karya Ain Maisarah. Farhan seperti biasa juga keliru untuk memilih antara 3 ke 4 novel. Lalu saya yang membuat pilihan untuknya. Fahim dan Fadhli lebih cenderung kepada novel penyiasatan. Saya pula keliru untuk memilih buku panduan jahitan baju kurung atau buku masakan. Kekecewaan menghantar kain ela 14 meter kepada seorang tukang jahit tahun lepas masih berbekas di hati. Jahitannya sungguh mengecewakan. Sejak Kak Mah Taman Dedap berehat dari menjahit, saya jenuh mancari tukang jahit lain. Saya terlihat buku Panduan A-Z Menjahit Baju Kurung. Setelah berfikir kurang panjang, saya capai sebuah. Saya berhenti di meja lain. Ternampak pula buku Senangnya Memasak karya Chef Hanieliza, maka kekeliruan antara jahitan dan masakan menerpa minda. Setelah berfikir agak panjang dalam keadaan bajet RM100, saya memilih buku masakan sebab anak-anak saya pemakan yang hebat. Masa untuk menjahit pula dilihat agak mustahil dengan keadaan diri saya yang hangat-hangat tahi ayam dalam sesetengah perkara.
Di dalam kereta semasa perjalanan pulang, mereka mula membaca. Alhamdulillah, saya dan anak-anak mencintai buku. Semoga tabiat ini berkekalan ke akhir hayat.


Pecinta Buku

Mari neneroka dunia baru

Dunia ilmu...

Saturday, March 26, 2011

Tahniah SRAB Segamat

Tahniah kepada ustaz-ustazah SRAB Bukit Siput yang berpenat jerih melatih wakil-wakil sekolah sehingga menjuarai kejohanan sukan seluruh Johor 2011. Usaha keras mereka selama ini berbaloi dan berbayar!

Selepas bangun dari sujud syukur, Angah tersenyum lebar...


Aksi menarik yang sempat di rakam. Bola berjaya ditangkis penjaga gol SRAB Segamat.

4-2, jangkaan saya hampir tepat!

Mama bijak

Lagi cerita tentang anak-anak.

Pagi ini, Farhan ada perlawanan bola sepak antara SRAB seluruh Johor. Bertempat di SM Teknik Segamat. Dia perlu sarapan. Nasi dan kangkung goreng belacan semalam berbaki. Saya adunkan keduanya menjadi nasi goreng kangkung belacan. Roti putih Gardenia hampir tarikh luput. Saya 'french toast'kannya. Saya tabur serbuk lada sulah untuk meng'asia'kan french toast saya.

Fadhli dan Farhan turun bersarapan. Farhan ketepikan kangkung dari nasi. Fadhli pula hanya makan secubit roti. Kurang sedap roti ini katanya. Saya perlu bijak meyakinkan mereka dengan resepi sarapan saya pagi ini.

"Kangkung menambah tenaga dan menenangkan jiwa. Lada sulah pula menghangatkan badan dan meninggikan stamina. Elok untuk Along dan Angah pagi ni..."

Farhan segera menarik semula kangkung yang diketepikan tadi dengan sudunya. Masuk mulut dengan penuh yakin.

Farhan, moga menang 4-1...

Thursday, March 24, 2011

Pelangi, kau ceriakan pagiku

Subuh tadi, saya agak emosi dan dramatik. Ia bermula dengan tindakan Farhan yang santai berbaring menonton Oasis sedangkan jam sudah pukul 6.30 pagi. Fadhli pula kelihatan sangat mengantuk kerana tidur lewat gara-gara menyiapkan projek matapelajaran Agama. Sepatutnya amanah tersebut telah disiapkan semasa cuti seminggu namun 'berkat' kelalaian dan kecuaian saya, amanah itu terabai. Fahim masih terbaring di atas katil dengan bantal empuknya. Fatihah lena. Badannya masih dedar.

Allah mengingatkan saya sedetik tentang solat. Betapa saya lalai dan cuai dalam mendisplinkan anak-anak tentang kepentingan solat. Saya terus mencari rotan. Saya teringatkan hadis Nabi Muhammad s.a.w tentang keperluan rotan demi solat untuk anak-anak yang telah mencapai umur 10 tahun. Saya rasa saya perlu merotan mereka kecuali Fatihah. Rotan gagal ditemui. Segera saya menelefon suami di Johor Bahru. Kali terakhir saya melihat rotan tersebut ialah ketika suami menakut-nakutkan Fahim yang sedang asyik dengan lenanya beberapa hari sudah. Suami juga gagal menjawab. Saya jadi tertekan. Saya turun ke tingkat bawah untuk menyediakan sarapan ringkas. Hati saya pedih.

Di dalam perjalanan ke sekolah, saya diselubungi rasa sedih yang amat. Ayat-ayat ini akhirnya keluar dari mulut saya..

"Kenapa anak-anak mama ringankan solat? Mama dah ajar anak-anak mama solat. Mama dan abah hantar ke sekolah agama. Setiap kali lepas solat, mama doakan anak-anak mama jadi anak-anak yang menjaga solat. Masa mama tawaf keliling Kaabah dulu, itulah doa mama sentiasa. Setiap sujud terakhir solat hajat di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi, itu jugalah doa mama. Mama takut andainya mama biarkan anak-anak mama leka dari solat, mama dan abah tak dapat masuk syurga..." Semasa saya mengucapkan ayat terakhir tersebut, getar tangisan sudah kedengaran. Saya sambung lagi.

"Mungkin nanti masa mama dan abah nak melangkah masuk ke syurga, tiba-tiba kami ditahan..dan Allah berkata, kamu suami isteri tak boleh masuk lagi. Singgah neraka sekejap sebab kamu tidak menjalankan tanggungjawab kamu mendidik anak kamu solat. AmanahKu kamu khianati..." Saya menangis di hadapan anak-anak.

Kami sampai ke sekolah Fadhli. Fadhli keluar dari kereta. Bersalaman. Saya pandu kereta ke Bukit Siput pula. Sampai sekolah mereka. Farhan, Fahim dan Fatihah keluar dari kereta. Bersalaman tanpa ciuman. Saya memandu menghala UiTM. Perasaan masih pedih.

Saya perlu mengubah sesuatu. Agar hidup kami sekeluarga dipanjangkan ke syurga. InsyaAllah. Ia satu perjuangan...Dalam kesedihan, saya terpandang jaluran pelangi di hadapan. Subhanallah. Ia sungguh cantik. Sangat sempurna. Sungguh melekakan. Saya kembali tersenyum. Ya Allah, pelangikanlah kehidupan kami sekeluarga selepas ini....

Pelangi, kau ceriakan pagiku...

Thursday, March 17, 2011

Abah Pulang ke Pangkuan Allah

Khamis lepas, 10 Mac 2011, 4 jam sebelum pemergian Abah, saya menulis tentang kesihatan Abah yang beransur pulih. Pada pukul 3.45 petang Khamis yang sama, ketika sedang menghabiskan kuliah kepada pelajar Pengurusan Perniagaan, saya mendapat panggilan sedih..Abah tenat. Pukul 3.50 petang, masuk lagi panggilan..Abah telah pulang ke pangkuan Allah......

Kini telah 8 hari Abah meninggalkan kami dengan seribu kenangan manis dan baik-baik sahaja tentang perjuangan kelangsungan hidup Abah di Sg Sumun, Perak. Abah, menurut suami, tidak pernah meninggalkan solat, Abah menurut Nyah tidak pernah memukul anak-anak, Abah menurut emak tidak pernah meninggikan suara terhadapnya, Abah menurut saya seorang lelaki yang gigih, tabah dan terbaik dalam hidup kami sekeluarga...

Abah, semoga tenang di persemadian abadi, di sisi Ilahi...

Thursday, March 10, 2011

Abah

Abah kena serangan jantung. Kami bergegas pulang ke Teluk Intan. Abah di bawah pengawasan rapi doktor pakar jantung. Keadaan abah sangat menyedihkan. Sebelum ini, abah yang bertubuh tegap sentiasa bergerak ke sana sini. Bagi ayam itik makan, kutip pucuk paku, cari kelapa dan parut untuk emak yang menunggu di dapur, bertukang di bawah rumah, bergegas ke tanah perkuburan menggali liang lahad apabila ada kariah kampung yang meninggal dunia dan macam-macam lagi kerja kampung yang abah sudah biasa lakukan berpuluh tahun...Dan kini, di saat ini abah sedang terlantar di atas katil hospital, lesu tanpa tenaga...

Abah tidak lalu makan, buah anggur yang dibeli hanya sebiji dikunyah perlahan...Abah memberi isyarat dengan mengangkat tinggi tangan kanannya apabila tekaknya kering. Abah menyedut air dalam gelas dengan menggunakan penyedut plastik. Agak sukar kelihatannya. Saya berbisik di telinga kiri abah..."abah, abah nak nestum tak?"

"Ada ke?" balas abah lemah.

"Ada, nanti Ani beli. Abah, abah tak lalu makan nasi hospital ye..." tanya saya lagi. Abah mengangguk perlahan.

"Abah nak rendang ayam? Ani belikan ya.."

Abah mengangguk lagi. Hati saya kembali berbunga. Dan sungguh, abah menyedut laju setengah gelas nestum yang dibancuh dengan air suam. Abah lapar tetapi makanan hospital sungguh tidak kena di tekaknya. Rendang ayam dijamahnya juga walau tidak banyak..Alhamdulillah.

Di suatu ketika, Abah berbisik di telinga saya..nak buang air besar...Saya jadi kalut. Alhamdulillah, sempat saya bertanyakan adik ipar 'prosedur' buang air besar sebelum dia berehat di bilik solat wanita. Segera saya ke bilik yang menyimpan peralatan tersebut. Saya isi dua bekas air buat membasuh najis Abah nanti. Alhamdulillah, walau dalam kekalutan, misi tersebut selamat dilaksanakan. Prosedur terakhir disempurnakan oleh adik ipar saya yang muncul selepas 30 minit berehat.

Abah panas. Kipas kecil yang berputar laju di sebelah kanannya belum cukup untuk mendinginkan badannya. Dahinya berpeluh. Dimintanya saya mengelap butiran peluh yang memenuhi dahi luasnya. Rupanya abah juga mempunyai tahi lalat di tengah tengah dahi. Sama seperti saya. Semasa abah terlantar sakit, barulah saya perasan tentang itu.

Abah semakin pulih, kini ditempatkan di wad biasa. Abah, alhamdulillah, Allah masih memanjangkan kehadiran Abah di kalangan kami, anak menantu Abah. Abah, maafkan Ani, sebagai menantu, mungkin cara ani menjaga Abah tempoh hari kurang sempurna...namun Ani bersyukur, Allah memberi peluang kepada Ani untuk berkhidmat kepada ayah mertua sebelum Abah atau Ani sendiri pergi tidak kembali...