Monday, April 26, 2010

Kalau tidak kerana amanah

Saya baru selesai membaca tulisan terbaharu ustaz Saiful Islam 'kalau tidak kerana syurga'.

Ustaz ini amat jujur orangnya. Perkara-perkara peribadi yang akan dirahsiakan mereka yang bergelar 'motivator', didedahkan sejujurnya. Ujian kerenah anak-anak diperincikan..hanya mereka yang mempunyai anak-anak dan mengambil berat amanah Allah ini akan memahami apa yang dialami ustaz dan isteri.

Saya sedang diuji anak. Anak yang sulung itu, yang sihat itu sedang menguji kesabaran dan keimanan saya.

Saya sudah agak popular di sekolahnya. Ramai warga pendidik di situ sudah mengenali saya. Along sedang mengalami masalah penyesuaian diri dari alam sekolah rendah ke menengah. Sepatutnya tidak berlaku kerana dia sudah menginjak usia 13 tahun. Namun ia telah dan sedang berlaku. Kaunseling dan ubat-ubatan telah diuruskan. Along hanya perlu menguatkan hati. Ketakutannya kepada beberapa orang guru otai di sekolah perlu diatasi. Selalu saya berpesan, kita hanya perlu takutkan Allah, bukan manusia. Kita perlu hormat guru kerana mereka lebih dewasa tetapi tidak perlu takut. Takut hanya pada Allah.

Pagi tadi saya menemannya hingga ke kelas. Dia berwajah ceria. Saya duduk di kantin sekolah sementara menunggu waktu rehatnya. Dia datang menghampiri bersama sepinggan nasi lemak mewah sambal merah pekat. Berselera makan. Kemudian melangkah yakin ke kelas Bahasa Melayu sambil tersenyum manis ke arah saya.

Kalau tidak tekenangkan dia sebagai sebuah amanah dari Allah, mungkin akan saya abaikan sahaja pergolakan dalam dirinya. Mungkin ia akan berakhir dengan lari dari kelas dan lepak-lepak di kedai minum. Tapi ini amanah. Amanah yang perlu saya langsaikan. Amanah yang akan ditanya kelak.

Saya menunggu hari esok dengan harapan yang dia akan tabah menghadapi dunia baru, sebuah fakta kehidupan.

Friday, April 23, 2010

Cerita pagi Jumaat di Serendah HULU SELANGOR

Jumaat petang minggu lepas, usai mesyuarat akademik, saya memandu ke Serendah HULU SELANGOR. Saya ingin menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi ops bukan sebagai anak perempuan sulung (selepas Kak Long meninggal dunia tahun 2003). Emak pasti merajuk kalau saya tidak pulang. Dia sudah pernah merajuk.

Hari ini Jumaat, pagi Jumaat. Sekejap lagi saya ada mesyuarat KIK. Agaknya sungguh penting mesyuarat ini yang terpaksa diadakan dalam minggu peperiksaan. Saya menurut perintah. Pagi Jumaat ini saya terkenang kisah di Serendah HULU SELANGOR minggu sudah.

Serendah HULU SELANGOR memang meriah. Padang bola di hadapan rumah emak saya dibersihkan melalui gotong royong. Alhamdulillah. Di hadapan rumah Puan Hamidah yang tersorok dan tidak perlu ditempuhi orang-orang besar itu kekal bersemak samun. Ada tin-tin kosong yang digenangi air tempat nyamuk aedes berumahtangga.

Di kiri kanan jalan perang poster jelas kelihatan. Buluh digunakan untuk menaikkan bendera-bendera parti. Tentu stok buluh hutan yang digunakan untuk membuat lemang Syawal ini akan berkurangan.

Jalan berlopak sudah diturap. Itu biasa. Jalan dalam di Kg Sedeng Segamat pun selalu diturap. Terima kasih JKR.

Malam minggu saya bawa emak ke rumah Tok Lang, nenek saudara saya yang risau anak-anak daranya masih tidak berpunya. Saya tersenyum sendirian mengenangkan lagu ibuibubapakbapak nyanyian kumpulan Indonesia itu. Di sana-sini ada khemas panas PKR dan BN. Ramai petugas sedang minum-minum makan makan sembang sembang. Meriah! Saya melepasi sebuah dewan serbaguna, bendera PKR PAS berkibaran megah. Banyak sungguh kenderaan di perkarangan dewan. Banyak sungguh juga janji yang berkumandang di dalam dewan. Mungkin!

Petang Ahad itu, ketika saya bersiap-siap untuk balik ke Segamat tercinta (hmmmm), rumah emak dikunjungi seorang wanita berbasikal.

"Dik, petang nanti Dato' S dari Perlis nak datang . Dalam 4.30. Emak adik kan ibu tunggal, jadi Dato' nak bagi sumbangan sikit. Dato' confirm malam semalam. Itu yang akak lambat bagitau ni."

Saya maklumkan adik tunggal lelaki tentang kehadiran Dato' yang sungguh jauh kediamannya di utara tanah air dan sanggup turun padang berjumpa ibu tunggal di Serendah HULU SELANGOR. Adik saya teruja. Dia selongkar almarinya yang selalu dikemas emak untuk mencari seluar track suit lambang dacing.

Malam Ahad itu, sebelum melelapkan mata di atas katil di rumah di Segamat, saya menelefon adik. Teruja ingin tahu apakah sumbangan Dato itu.

"Adik tunggu dari 4.30 sampai 10.30 malam ni, bayang Dato' pun tak ada. Adik dah pakai kain pelikat petak petak biru putih hijau. Esok nak keje ni kat Kalumpang HULU SELANGOR. Selamat tidur".

Saturday, April 10, 2010

Dinner tanpa band

Perlukah setiap dinner anjuran mana-mana Kelab atau Persatuan dimeriahkan dengan kehadiran band?

Anak muda hanya akan rasa puas hati kalau ada band?

Sejauhmana band mempengaruhi jumlah kehadiran ke majlis makan malam?

Apakah hukumnya di sisi undang-undang Islam?

Hilangkah kemeriahan majlis tanpa band?

Adakah band tersebut akan meningkatkan ingatan kita pada Allah?

Adakah diberkati majlis itu nanti?

Hmmmmm....siapa boleh jawab. Benda yang biasa jadi luar biasa bila tiada...

Friday, April 9, 2010

Sheikh Nuruddin Al-Banjari

2,3 kali Ustaz Kamarulzaman mengingatkan kami tentang kehadiran ulama yang terkenal ini ke Surau Hannan.

6.45 petang, dentuman guruh menakutkan. Janjinya, selepas Maghrib Sheikh akan memulakan ta'alim. Anak-anak kata, mama, dah nak hujan ni. Saya balas, tak apa, kita naik kereta bukan jalan kaki. Mesej suami minta izin untuk ke surau.

7.20 malam, kelibat Sheikh kelihatan di dalam surau. Penghadang memisahkan pandangan. Selesai solat dan berqasidah, Sheikh memulakan syarahan. MasyaAllah, memang bernas amat. Ulasannya tentang hadis-hadis pilihan short but very sweet. Beliau pandai mengambil hati dengan menuturkan loghat utara sesekali. Usikan tentang 'hal suami isteri' dengan bahasa yang halus mencuit mereka yang hadir. Jawapan kepada persoalan-persoalan dijawab mesra Melayu.

Selepas Isyak, kami makan berdulang. Lauknya ringkas tapi menyelerakan. Selesai makan, segera saya menuju ke meja yang dipenuhi buku-buku karangan Sheikh. Yang paling mengujakan (malu nak mengaku) apabila Sheikh keluar dari surau lantas saya berserta dua lagi Muslimah meminta jasa baik Sheikh untuk menandatangani buku yang telah dibeli. Terpaksalah saya mengaku yang Sheikh ini 'elok' rupanya. Perawakannya sungguh menyenangkan. Tenang.

Sampai ke rumah, saya terus meneliti penulisan beliau. Himpunan hadis yang membantu umat Nabi Muhammad agar hidup dalam keberkatan Allah...

Terima kasih Sheikh!

Wednesday, April 7, 2010

Bila Terasa Teruk

Kehidupan penuh cabaran. Tiada cabaran bukan manusia namanya.

Bila diri terasa teruk, saya pujuk dengan membaca buku yang telah saya hadiahkan kepada seorang rakan petang tadi. Tajuknya Malam Pertama di Syurga. Dia juga mengalami banyak ujian sejak akhir-akhir ini. Ujian kesihatan dan ujian kehilangan.

Entah mengapa, bila diri terasa teruk, saya akan mencari sesuatu yang manis. Saya pujuk hati dengan membaca dan yakin dengan janji-janji syurga Allah. Walau diri terasa teruk, saya tetap mengharap syurga Allah. Pernah saya mendengar alim ulamak berkata, kita ini layaknya Darul Salam sahaja kerana Firdaus adalah untuk para Nabi dan sahabat. Ada pula yang berhujah, kita minta juga Firdaus, beri atau tidak, itu urusan Allah.

Bila diri terasa teruk, bayangan keindahan dan kenikmatan Syurga menenggelamkan rasa teruk itu. Bila membaca janji-janji Allah, kesedihan terubat, kekusutan terungkai, sekurang-kurangnya buat seketika...

Hari-hari di Syurga...berbahagialah kita...

Sunday, April 4, 2010

Rendang Ayam

Saya masak rendang ayam untuk makan tengahari. Ahad yang tidak mendung dan tidak cerah di Segamat melekakan perasaan. Sambil memasak, ingatan mengembara mengenangkan emak di Serendah. Waktu-waktu sebegini emak tentu sedang berbaring di sofa panjang di hadapan tv. Astro Oasis atau cerita-cerita Melayu menjadi peneman hari emak.

Tiba-tiba air mata memenuhi kantung mata. Saya terbayangkan andai sahaja saya tinggal di sekitar Selangor atau berdekatan rumah emak, sudah pasti saya akan membuat penghantaran sebekas rendang ke dapur emak. Dan mungkin kami akan berbual-bual sekejap di dapur sambil menghirup air teh o panas kurang manis kegemaran emak. Mungkin bila azan zuhur berkumandang, saya akan solat dahulu sambil mendoakan arwah abah dan kak long, semoga mereka tenang di persemadian abadi. Atau mungkin bila terasa mengantuk usai solat, akan bermalas-malasan sebentar di ruang tamu emak. Mungkin juga emak akan segera ke dapur sebelum Asar, membancuh tepung gandum, gula merah, telur, yis mauripan dan perap sekejap sebelum dikukus dan bila sudah boleh dipotong, apam akan digolekkan ke dalam kelapa parut yang digaulkan secubit garam. Selepas Asar, mungkin kami akan ke kubur abah dan kak long. Dan mungkin, sebelum Maghrib saya akan memandu pulang ke rumah kerana esok anak-anak akan kembali bersekolah.

Ohh begitu jauh angan-angan ini yang tidak pasti bila akan berlaku. Betapa 4 jam perjalanan ke Serendah dari Segamat menghalang angan-angan itu menjadi kenyataan. Hanya kerana rendang ayam, perasaan menjadi begitu sayu. Terus menekan pad handphone. Rasa bersalah bersarang di hati.

Emak, doakan yang terbaik untuk kami sekeluarga dan Ya Allah berikanlah peluang untuk menjaga emak diusia emasnya. Takdirkan kami ke arah itu...