Wednesday, March 25, 2009

Rempuhan Persahabatan

Sabri (nama sebenar) pelajar DIA. CGPAnya cemerlang. Semalam, atas nama sebuah persahabatan, dia merempuh pintu bilik di kolej. Sekali rempuh tak lut, dua kali rempuh, daun pintu terkopak. Diminta membayar denda atau dihadapkan ke Lembaga Tatatertib.

Di dalam bilik, terkurung seorang junior. Dia ada ujian Bahasa Inggeris. Sekiranya dia tidak menduduki ujian tersebut, kegagalan sudah ditempah. Tombol pintu dipusing-pusing. Ke kanan, ke kiri. Enggan terbuka. Jenuh mencuba, Sabri, rakan sebilik, dihubungi.

Rempuhan Sabri adalah rempuhan tanpa niat mengopakkan daun pintu. Rempuhan itu atas dasar sebuah persahabatan adik-abang. Dia tidak mahu adik juniornya ketinggalan ujian. Dia ingin melihat adik juniornya itu lulus. Namun, dalam keadaan cemas, Sabri tidak sempat berfikir panjang. Ujian sudah 20 minit berlalu. Yang terlintas di fikiran ketika itu ialah adiknya akan gagal andai terlambat.

Saya terharu dengan tindakan Sabri. Atas nama persahabatan, dia sanggup menghadapi risiko. Inilah persahabatan sejati. Bersama-sama dalam perkara kebaikan.

Sabri memilih membayar denda. RM200. Mmmm..menarik.

Monday, March 23, 2009

Jahil Undang-Undang?

Saya pernah menulis tentang jahiliah moden. Satu fenomena yang menakutkan. Saya juga takut, terkenangkan 4 anak zaman moden di rumah.

Ada juga segelintir pelajar yang jahil undang-undang, lebih tepat lagi, Akta 174.

Namun, saya tidak merasakan mereka mengalami kejahilan total. Saya fikir, mereka enggan memahami. Jiwa muda adalah jiwa gelora. Bagai lautan luas. Sekejap tenang, sekejap membadai.

Saya simpati dengan mereka kerana saya juga pernah bergelar remaja. Namun, di atas segalanya, sesuatu tindakan itu terhasil kerana kejahilan kita sendiri mengenalpasti apa yang boleh, apa yang tidak. Apa yang baik, apa yang buruk. Risiko tahu tapi hati kata teruskan. Jadi, perlu menanggung segala kesan: kesan jangkamasa pendek dan kesan jangkamasa panjang.

Wahai jiwa, belajarlah memahami...

Perjuangan Belum Selesai

Alhamdulillah, 3 program Kelab Inspirasi berjaya dilangsungkan.

1) Lawatan Amal ke Pernim
2) Forum Cinta Mahasiswa: Semanis Madu Sepahit Hempedu
3) Mahasiswa Turun ke Desa

Exco-exco Kelab tentunya menarik nafas lega. Bolehlah selepas ini mereka memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi kepada akademik sebelum 20 April tiba. Namun, Bendahari masih ada kerja-kerja pelarasan kewangan. Sabri, sabar ajelah...

Sebagai Penasihat, saya turut lega. Saya juga telah mengenalpasti beberapa kelemahan besar Kelab. Bila tiba sesi bedah siasat aktiviti, saya berdoa semua Exco berlapang dada menerima kritikan yang diharap dapat menambahbaik perjalanan Kelab di masa akan datang.

Di sebalik program, terlihat beberapa perkara penting:

1) Komunikasi sangat utama. Komunikasi dua tiga empat hala. Andai terputus elemen ini, kerja jadi pincang.
2) Sikap menunggu kerja adalah sikap yang tidak molek. Cari kerja walaupun terpaksa menyudahkan kerja orang lain. Kita perlu lengkap melengkapi.
3) Ketua projek mestilah seorang yang ada aura dan suara. Hilang aura dan suara, ketua terpaksa menanggung kerja.
4) Doa setiap sebelum dan selesai pekerjaan. Kerana akhirnya, Allah sahajalah yang mempermudahkan semua urusan.

Bukan mudah menjadi penasihat rupanya...

Banyak lagi kerja menasihat yang belum selesai...

Wednesday, March 18, 2009

Bulan Perlaksanaan

Bulan Mac ialah bulan perlaksanaan: ujian, tugasan, aknc, audit dalam dan program Kelab Inspirasi.

Perlaksanaan akan berjalan lancar dengan pembahagian tugas yang berkesan. Displin diri amat penting. Tidak boleh mementingkan diri sendiri. Perlu ada pengorbanan.

Huh...penat!

Dan anak-anak saya biarkan di rumah nenek mereka bergembira...dan saya di sini melunaskan kerja-kerja yang tertangguh dan perlu disegerakan.

Apapun Tuhan...Hanya Kau yang memudahkan...

Sunday, March 8, 2009

Yang Mana Satu?

"Target dan hasrat kita hari tercapai dengan terkumpulnya lebih 100,000 rakyat dan serahan memo juga berjaya disampaikan," katanya ketika dhubungi Harakahdaily kira-kira jam 5.00 petang tadi- Harakahdaily.Net

Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menghalang perarakan kira-kira 5,000 penyokong perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) daripada menghampiri Istana Negara, hari ini.-Utusan.com

Yang mana satu betul?

Jumlah memainkan peranan besar.

Andai 5000 sahaja yang hadir, ia adalah jumlah yang mungkin tidak signifikan.

Namun, andai 100,000 membantah sehati sejiwa, ia bukan jumlah yang harus dipandang sepi.

4 orang anak saya menjadi taruhan. Beratus mungkin beribu kaum kerabat 'kecil' saya di Sg Acheh Seberang Perai dan Sg Bogak Bagan Serai (ibubapa mereka tidak bertutur Bahasa Inggeris) memerhati dari jauh...dan mereka masih belum mengerti....

Friday, March 6, 2009

Puisi Indah Pagi Jumaat

"Orang di utara bilang Gunung itu indah,aku diam...
Orang di selatan bilang Laut itu indah,aku diam...
Orang di timur bilang Bintang itu indah,aku diam...
Orang di barat bilang Permata itu indah,aku diam...
Orang di utara,selatan,timur dan barat diam bila aku bilang kamu yang indah..."
Andai sahaja puisi ini suami saya yang titip di pagi Jumaat, sayalah isteri paling bahagia...
Sayangnya suami bukan orang sastera, dia orang elektrik...dan dia benci bangat nonton sinetron Intan

Thursday, March 5, 2009

Hak Kanak-Kanak (7)

1980an- Untuk menyertai aktiviti Persatuan Puteri Islam dan Persatuan Bahasa Inggeris, saya terpaksa berjalan sejauh 1 kilometer dari rumah ke sekolah rendah. Keluar sahaja dari pintu pagar rumah, saya akan menyelusuri jalan lurus selama 10 minit. Saya akan melalui jambatan yang merentasi sebatang sungai berarus deras dan seterusnya membelok ke kanan. Sekiranya masih awal, saya memberanikan diri turun sebentar ke tepian sungai, mengocak-ngocak airnya yang jernih dan sejuk. Sekumpulan ikan kecil jelas kelihatan berenang riang. Kemudian saya akan terus berjalan sehingga sampai ke jalan berdenai. Laluan sempit bertanah merah itu merupakan jalan pintas ke sekolah. Rumput dan lalang yang melebihi ketinggian saya memenuhi kiri kanan jalan tersebut. Terkadang sempat saya mematahkan sebatang dua pohon paku pakis untuk dibuat pensil khat. Jalan itu sunyi. Saya mengambil masa lebih kurang 5 ke 7 minit sebelum sampai ke jalan utama. Saya akan membelok ke kanan dan berjalan lagi sekitar 10 minit sebelum sampai ke pagar sekolah.

Kini, apabila memikirkan kembali detik berjalan seorang diri di denai, saya terasa seram sejuk. Betapa beraninya saya ketika itu. Betapa beraninya emak saya melepaskan saya berseorangan ke sekolah. Waktu itu tentu tiada kes culik dan rogol anak-anak kecil. Kalau adapun, ia kes yang sangat terpencil. Sebab itulah seorang emak seperti emak saya percaya kepada keadaan sekeliling pada masa itu.

2009- Apabila Fatihah menyatakan hasrat untuk bermain dengan anak jiran belakang rumah, saya akan mengarahkan abang-abangnya mengiringi Fatihah sehingga selamat sampai ke rumah jiran tersebut. Jika Fatihah bermain basikal, saya akan meminta abang-abangnya berkonvoi di belakang Fatihah. Jika Fatihah ingin membeli aiskrim Malaysia di kedai berdekatan rumah (yang kalau batuk2 pun boleh dengar) saya akan meminta abang-abangnya menemaninya. Betapalah saya risaukan keselamatan anak dara saya yang seorang itu....

Saya merasakan hak kanak-kanak di Malaysia untuk bermain (Artikel 31 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak) semakin tergugat dengan meningkatnya kes jenayah ke atas mereka akhir-akhir ini. Sehingga detik ini, pembunuh adik Nurin Jazlin dan penculik adik Sharlinie masih lepas bebas. Kini, ibubapa tidak lagi berani membiarkan anak-anak gadis cilik mereka bermain sebebasnya. Jika dulu, perogol bersiri adalah dari golongan dewasa, kini kanak-kanak lelaki seusia 13 tahun pun sudah pandai merogol atau mencabul. Ini semua terhasil dari kemudahan teknologi. Klip video lucah hanya dihantar melalui telefon bimbit. Dengan hanya menekan butang play, segala yang rahsia kini menjadi tatapan umum.

Saya risaukan kanak-kanak kita. Jenayah ke atas golongan mentah ini semakin menakutkan. Jenayah minda dan jenayah fizikal.

Jenayah minda terhasil apabila kita terlalu mempertahankan hak kanak-kanak untuk menerima maklumat berdasarkan Artikel 13 Konvensyen yang sama. Ada ibubapa yang membiarkan anak-anak mereka melayari internet tanpa sekatan. Handphone canggih diberi berserta duit top-up. Atas dasar kebebasan, ia membuka pintu-pintu yang sepatutnya tidak boleh dibolosi kanak-kanak. Hasilnya, anak-anak kita dewasa sebelum waktu. Juga, pengaruh rakan sebaya sangat merisaukan. Secermat mana kita menatang minyak yang penuh, ia tetap tumpah.

Untuk ibubapa di luar sana, kita semua harus lebih berhati-hati...Dan saya mendoakan kesejahteraan anak-anak kita, keselamatan jasad mereka, kebersihan roh mereka dan kelangsungan masyarakat yang tinggi ketamadunannya...

Wednesday, March 4, 2009

Tudung Pakai Buang

Itu trend sebahagian pelajar perempuan UiTM Johor. Dari pagi membawa ke petang, tudung elok menutup helaian rambut yang diperintah ALLAH supaya dilindungi dari pandangan bukan muhrim. Petang, selepas kelas membawa keesokan harinya, rambut dibiarkan bebas dari sehelai tudung.

Terkadang, ada pelajar menegur sewaktu terserempak. Kerut dahi saya tanda sedang fikir siapakah gadis ini? “Alaaaa Puan, sayalah…E…kelas….Puan lupa ye?” Saya tersedar. “Ohhh Eeeeeee, saya tak kenal awak kalau tidak bertudung”. Dan dia akan tersipu malu.

Saya pernah bertanya kepada seorang pelajar tentang konsep bertudung.

“Rambut saya basah Puan, baru lepas mandi, malas nak tudung bagai, tak sempatlah Puan nak pakai tudung…”

“Puan, Wardina, pengacara TV3 tu pernah berkata, dia mengambil masa yang lama untuk menimbangkan bertudung sepenuhnya. Selepas yakin, baru dia amalkan”

Jawab saya “ Wardina boleh berkata begitu kerana dia masih dipanjangkan umur takkala ditanya wartawan tentang tudung. Kita-kita ni? Andai sahaja Allah menarik umur kita sekarang dalam keadaan kita tidak bertudung, sedangkan bertudung itu WAJIB dan kita faham cuma kita tidak patuh arahanNYA, adakah kita akan membuat pertimbangan sedemikian?”

Pelajar tersebut terdiam. Semoga diamnya tanda dia sedang berfikir. Bukan diam kerana tidak mahu membantah kata-kata Pensyarahnya ini.

XXX, pelajar yang manis, anggun bertudung. Semasa minggu MITEK berlangsung, saya terserempak dengannya. Tanpa tudung di kepala. Rambutnya yang panjang mengurai terserlah. Siapa kata gadis Melayu bertudung, rambutnya tidak terurus!

Tadi, usai mesyuarat, saya salam dan berpelukan dengannya. Sempat saya berbisik.

‘XXX, awak lebih cantik apabila bertudung…”

Tudung, bukanlah untuk dipakai buang. Ia bukan lampin. Lampin dipakai untuk menampung dan menghalang najis dari tercicir merata tempat. Tudung dipakai untuk menghalang kita kelak digantung dengan rambut dan otak di kepala yang mendidih di neraka. Tidak cukup ngerikah anda dengan gambaran perjalanan Israk Mikraj yang diceritakan Nabi Muhammad s.a.w kepada para sahabatnya?

Tepuk dada, tanya iman.

Tuesday, March 3, 2009

Terima kasih Berita Harian

Sajak saya, 'Encik-encik semua' berjaya memenuhi ruang kecil sastera akhbar Berita Harian Sabtu lalu.

Shima, Kak Lin dan En Ainol antara rakan seperjuangan yang memberi ucapan tahniah. Terima kasih. Ucapan kalian menceriakan hari minggu saya. Namun, saya akui sajak ciptaan Shima, Kak Lin dan En Ainol adalah lebih halus keseniannya dan mempunyai tahap keindahan bahasa yang tinggi.

Sejak di Tingkatan 1, saya minat bersajak dan bercerpen. Saya juga menulis novel cinta. Sayangnya naskah novel tersebut hilang entah ke mana. Sementelah, sistem 5S saya begitu buruk pada waktu itu. Namun, saya tidak yakin dengan diri sendiri. Saya juga tidak didorong guru. Semangat menulis karya kreatif hilang semasa menuntut di UIA. Dan terus tenggelam apabila dilanda ombak kesibukan sebagai Peguam.

Di UiTM Johor, semangat tersebut kembali. Bakat yang sedikit diasah kembali. Namun, ia tetap tumpul dek kesibukan mengasah bakat penulisan akademik yang menuntut masa yang bukan sedikit. Walaubagaimanapun, semangat tersebut disiram pula dengan kursus-kursus anjuran UPENA UiTM Johor. Namun, bakat tersebut tidak sesegar seperti usia remaja dahulu.

Apapun, alhamdulillah, Sabtu lalu, Berita Harian telah memberi saya merasai kegembiraan dan keterujaan yang sepatutnya saya alami berpuluh tahun sudah...Terima kasih Berita Harian

Kusut Tiga Serangkai

Kusutnya keadaan sosial, ekonomi dan politik Malaysia sekarang.

Pagi tadi, seorang rakan menelefon bertanyakan tentang politik Perak. Suaminya orang Bagan Serai. Dia pula orang reformasi. Kusut, katanya. Memang kusut dan tidak mudah merungkai isu perlembagaan ini. Isu kuasa Sultan dan Speaker menjadi perdebatan semua golongan. Sultan dan Speaker mempunyai bidangkuasa masing-masing. Prof Dr Aziz Bari UIA dan Prof Dr Shad Saleem Faruqi UiTM nampaknya mempunyai pendapat yang senada.

Yang pasti krisis politik yang berterusan sejak awal Februari itu memberikan gambaran yang negatif tentang negeri Perak dan menjejaskan pembangunan ekonomi yang amat penting bagi kesejahteraan rakyat. Sudahlah ekonomi dunia berada di tahap yang menurun, krisis ini menambah penurunan ekonomi Perak. Pelabur takut ketidakstabilan ekonomi Perak menjejaskan pelaburan mereka. Kestabilan ekonomi adalah antara faktor utama yang dilihat oleh para pelabur.

Buletin Utama malam tadi pula memaparkan kes buli di sekolah. Kes pelajar mati dibuli rakan sebaya semakin membimbangkan. Kalau di USA, pelajar mengamuk menggunakan senjata api, di sini pula baldi pun digunakan sebagai senjata. Kredibiliti Kementerian Pelajaran dan sekolah-sekolah di Malaysia agak terjejas. (Saya teringat kata-kata seorang guru senior tentang kecacatan penggunaan perkataan Kementerian Pelajaran, sepatutnya dikekalkan dengan Pendidikan kerana pelajar harus dididik sebenarnya...) Kesesuaian perlaksanaan hukuman rotan harus dipertimbangkan semula. Sekiranya sekolah hanya berlapang dada dengan isu ini dan tiada pendekatan yang holistik, gejala sosial yang akan terus membadai.

Saya tanya Along bagaimana kalau dia nanti di buli. "Mama hantarlah Along belajar silat sekarang"...katanya.

Patutkah saya menghantar Along belajar silat? Saranan Ustaz Syazali Effendi, pakar seni silat Gayong UiTM Johor terpaksa saya fikir kembali...

Tiga serangkai ini harus kembali tenang...