Tuesday, December 30, 2008

Kelas Pertama

Hanya 6 orang pelajar sahaja yang masuk kelas pertama pagi ini. Daripada 30 orang yang berdaftar, 6 pelajar ini hadir bagi mendengar penerangan tentang sukatan matapelajaran dan perkara-perkara yang berkaitan rapat dengannya. Khabarnya, ramai yang balik semula ke kampung masing-masing dan hanya akan hadir kelas minggu hadapan.

Saya cuma geleng kepala. Sewaktu saya masih bergelar pelajar, kelas pertamalah yang sangat dinanti. Kalau tidak dapat hadir, satu kerugian besar telah berlaku. Selalunya, silibus akan diedarkan. Tentu pensyarah akan menerangkan tentang buku teks, nota dan akta apa yang perlu dipakai. Pertemuan pertama juga penting kerana beberapa DO AND DONT akan diterangkan secara spesifik. Pertemuan pertama juga membantu kita 'membaca' secara kasar personaliti pensyarah yang akan membimbing kita sepanjang semester tersebut. Pertemuan pertama penuh keberkatan.

Namun, tentu ada alasan tersendiri bagi 24 pelajar yang gagal hadir. Saya akan dengar. Khamis ini, kelas kedua. Saya telah berpesan kepada 6 pelajar yang hadir (Saiful, Husna, Izzati, Zul, Fazrin dan Faiq) untuk menyelusuri laman-laman web yang relevan bagi membantu mereka memahami pengenalan kepada matapelajaran. Yang 24 lagi (itupun kalau mereka hadir) tentu terpinga-pinga dan malu-malu meminta silibus daripada saya.

Berpantun hamba dengar olehmu
Empat perkara kata penghulu
Pertama akal kedua ilmu
Ketiga iman keempat malu.

So, see you on Thursday...

Monday, December 29, 2008

Palestin, deritamu ditangisi...

Surah Al-A'raf ayat 167 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Ia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Wahai saudaraku di Palestin, berpegang teguhlah pada janji Allah itu...

IA PASTI DATANG!!!

Sunday, December 28, 2008

Selamat Datang Muharram

Ya Allah, semoga 1430H ini, segala aspek dalam kehidupan hambaMu yang terlalu kerdil ini dirahmatiMu, kekalkan keimanan dan janganlah dibolak balik keyakinanku padaMu dan pada semua ketentuanMu, namun, Ya Allah, berilah qada dan qadar yang baik buat diriku, suamiku, anak-anakku, ahli keluargaku, ibuku, adik-beradikku dan ipar duaiku dan muslimin serta muslimat. Semoga Tahun Baru ini menjanjikan kecemerlangan buat diriku dunia dan akhirat.

Ya Allah,
Apa yang telah aku lakukan dalam tahun 1429H daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.
Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.
Ya Allah
Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.
Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.
Amin.

Sek Keb Ampangan Seremban (1979-1984)

Ini entri retro. Semasa mengemas secara ala kadar perpustakaan nano di rumah, saya terpandang tiga buku kecil ini. Gambaran perpustakaan SK Ampangan berputar pantas dalam minda.

Darjah 5, menjadi Pengawas Perpustakaan (PP) memang menjadi idaman hati. Terlupa bagaimana cara saya terpilih. PP mendapat kelebihan membuka bungkusan buku-buku baharu bersama-sama guru. Juga pastinya mendapat keutamaan untuk menjadi pembaca pertama.

Buku-buku kecil seperti gambar di atas, dulunya muka hadapan bercorak batik. Seingat saya, semuanya dalam Bahasa Inggeris. Tulisannya besar-besar dan gambarnya cantik berwarna. Kebanyakkannya cerita-cerita rakyat dan dongeng. Cinderella, Alice, Gingerbread Man, Shoemaker antara tajuk-tajuk pilihan. Hampir setiap kali waktu rehat, saya akan ke Perpustakaan. Membawa bersama 2, 3 ketul karipap dan sebekas air, senyap-senyap saya membuka pintu yang berkunci dan segera mengunci semula. Waktu rehat, pelajar tidak dibenarkan mengunjungi Perpustakaan. Saya akan terus ke rak paling belakang dan sambil membaca buku-buku kecil, perut juga diisi. Seingat saya yang mudah lupa ini, hanya saya sahaja yang suka melakukan aktiviti tersebut. PP lain tidak pernah turut serta dalam operasi rahsia ini yang dapat melepaskan rindu saya pada buku.

Rasanya minat membaca bermula seawal darjah 2. Majalah Bujal menjadi majalah kegemaran. Kini, Along, Alang dan Kakak mengikut jejak. Angah lebih suka melukis.

Hanya baru-baru ini sahaja, keinginan memiliki Perpustakaan sendiri menjadi kenyataan. Walau ia hanya bertaraf nano library, alhamdulillah kerana buku-buku yang memenuhi rak di pejabat dapat di bawa pulang.



Belum berkesempatan untuk membahagi kumpulan buku mengikut genre, kerana bukanlah banyak mana...Yang penting, buku-buku kesayangan tersusun kemas di tempat yang sepatutnya.
Ilmu, semakin dicari, semakin terasa kerdil...
Semakin banyak tebu dicabut
Makin terasa tumbuhnya semak
Semakin banyak ilmu dituntut
Makin terasa bodohnya awak
Ilmu juga, semakin banyak di dada, semakin terasa rendahnya diri...
Terang bulan kerana mentari
Bersinar terang melimpah ke bumi
Indah tuan kerana pekerti
Berbekal ilmu tertanam di hati

Wednesday, December 24, 2008

Keindahan Sabah





Memandangkan Rafiq telah update blognya tentang lawatan kami ke Sabah, maka saya pun ingin menyimpan memori manis tersebut dalam bentuk gambar terpilih. Banyak yang tersimpan dalam lap top tapi gambar-gambar di atas sungguh mengusik perasaan. Tidak terucap melalui kata-kata.

RES IPSA LOQUITUR!

Tuesday, December 23, 2008

Budi Bahasa

Yang kurik itu kendi.
Yang merah itu saga.
Yang molek itu budi.
Yang indah itu bahasa.

Melayu bangsa yang indah budi bahasa. No doubt!

Namun, terkadang kebaikan berbudi dan berbahasa memakan diri sendiri..(isu bahasa, ketuanan Melayu....:(

Sedari remaja, emak mendidik kami berbudi bahasa.

Tetamu datang, semua anaknya mesti sambut dengan senyuman dan kemudian bersalam. Seterusnya ke dapur. Bancuh air. Mesti ada hidangan selain air. Setidak-tidaknya biskut atau keropok. Bila tetamu hendak pulang, kembali ke ruang tamu, bersalam sekali lagi.

Kalau kita yang bertamu, jangan pegang itu ini. Jangan ke dapur orang. Jangan lahap menikmati makanan yang dihidang. Jangan licinkan makanan yang dihidang walau sesedap mana pun.

Selesai makan, bawa pinggan ke dapur tuan rumah(sekiranya tuan rumah itu saudara mara dekat). Basuh semua pinggan mangkuk yang digunakan. Semasa di bawah ’kuasa’emak, sekiranya kami terleka selesai makan, peha dicubit emak. Ia adalah amaran mesra daripada emak.

Sekarang, setelah bersuami, emak masih begitu. Namun, tidak sampai mencubit. Dengan lembut, emak berkata...”Ani, bawa ke dapur Ni..” atau emak sendiri, dengan susah payah bangun mengutip semua cawan, pinggan. Maka, secara automatik, ia adalah satu petanda yang sudah sampai masanya kami ke dapur walau bukan rumah kami sendiri.

Mungkin penat lelah tuan rumah menyediakan hidangan buat tetamunya berbaloi melihat semua pinggan mangkuk yang digunakan selesai dibasuh. Bolehlah tuan rumah berehat seketika selepas tetamu pulang.

Molekkan?

Rakan lama (UIA di hatiku)

Rancangan awal ingin meraikan Nor dari Sabah yang pulang bercuti di rumah ibunya. Semasa saya mengiringi sekumpulan pelajar ke Sabah Nov lepas, Nor belanja kami suami isteri makan seafood. Juga membawa kami berkunjung sebentar ke banglo setengah jutanya di Tanjung Aru.

Tapi rancangan untuk merai Nor tidak terlaksana. Nor ada agenda lain yang memenuhi percutiannya di Semenanjung. Namun, dengan izin Allah, kehampaan saya berganti dengan perjumpaan bersama-sama 5 rakan lama di Restoran Uncle K di SACC Shah Alam.

Jun, Alang, Che Nor, Nurul dan Ina adalah rakan seperjuangan di UIA 1991-1995. Kini masing-masing sudah berkerjaya tetap. Kemeriahan, keriuhan dan kerancakan bercerita itu-ini memenuhi ruang restoran. Terasa muda kembali!

Dari kiri, Jun (Pegawai Undang2 DRB Hicom), Che Nor (Senior Manager), Ina Hassan Basri (Peguam dan Sleeping Partner), Alang ( Pegawai Undang2 Perkeso)

Nurul(bertudung biru) pulang bercuti dari UK, sedang melanjutkan PHDnya dalam Medical Law

Cerita dulu-dulu kembali digali. Tentang mesin taip, tentang kelam kabut siapkan assignments, tentang teater, tentang macam-macam.
Saya sangat menghargai detik-detik ini. Perjumpaan selama sejam setengah itu memberi semangat baru, entah dari mana, tapi sungguh, saya terasa puas, terasa indahnya kehidupan ini...dan saya panjatkan kesyukuran padaNYa...
Ya Allah, semoga hambamu ini dan rakan-rakan tersayang tetap dalam keimanan kepadaMu, di Jalan yang Lurus...
Semoga bertemu lagi...

Monday, December 22, 2008

Makan-makan Malaysia

Malaysia memanglah kaya dengan makanan. Cuti Nov-Dis dimeriahkan lagi dengan makanan yang pelbagai rasa. Teringat kat Ida di UiTM Dungun. Dulu-dulu blognya kaya dengan gambar makanan. Sejak menjadi pensyarah, blognya berbau kertas je....

ABC Special yang memang special. Terdapat di Tanjung Aru Sabah sahaja.


Popia goreng dan basah yang diselaputi sambal dan bawang goreng. Eksklusif di Teluk Intan.


Ais Bandung yang lemak berkrim. Cik yang bertudung kuning menggunakan alat khas untuk mengisi air ke dalam cawan plastik. Singgahlah di Pasar Malam Teluk Intan.


Spaghetti Meatballs di Restoran Uncle K SACC Shah Alam. RM15.90.


Ikan siakap dan sotong bakar di belakang Pasar Filifina Kota Kinabalu. Harganya macam di Semenanjung juga. Ingatkan murah sangat! Tapi kalau nak beli ikan segar, memang berbaloi. Tiga pinggan ikan kerisi yang bermata bundar segar, setiap piring ada 5 ekor, berharga RM5 sahaja!



Mee Hoon Sup yang kaya hirisan daging. Selak mee nampak daging, selak mee nampak daging lembu...penat gigi geraham mengunyah! Hanya di deretan kedai, berhampiran Kedai Mutiara Jamilah Kota Kinabalu.


Mee Kari yang kaya lemak. Sedap. Di Restoran Uncle K SACC Shah Alam.

Alhamdulillah...Memang Allah mengurniakan rakyat Malaysia dengan rezeki makanan yang berlebih-lebihan.
Di Segamat, ada sebuah kedai makan baharu berkonsep retro 60 dan 70 an. Meja makan, pinggan mangkuk, hiasan dalaman, lagu-lagu semuanya membuatkan pengunjung kembali ke zaman tersebut. Kalau tak silap, namanya D'Anjung Cafe..depan Sg Kapeh, Segamat.

Hot Springs Sg Klah Perak



Sg Klah bukanlah satu tempat asing bagi saya. Di situ, tinggal Tok Ngah dan Tok Long, pangkat ayah saudara emak saya. Dahulu, kalau balik beraya dengan abah dan emak, Sg Klah adalah rumah wajib pergi. Tetapi, kewujudan hot springs tidak diketahui sama sekali atau mungkin belum wujud? Lima enam tahun lepas, sepupu-sepupu saya menceritakan keseronokan mandi air terjun di sana. Kesuntukan masa menghalang kami melihat sendiri air terjun yang disebut-sebut. Sekarang, ia telah dinaik taraf. Namun bukan air terjun yang menjadi tarikan utama, tetapi kolam air panasnya. Cuti yang panjang membawa saya, emak, adik, anak-anak dan anak-anak buah merasai keseronokan yang dikatakan.



Kolam ini terletak bersebelahan cafenya yang bersih. Ratusan ikan berenang sehala. Pandangan yang mempersonakan...


Surau yang bersih dan berbau harum.



Kolam bersumberkan air terjun.



Taman ini luas. Siap round about lagi. Anak panah petunjuk arah membantu.

Berbaloi membawa anak-anak mandi manda di sini. Cubalah...

Deejay Maziah IKIM FM

Pukul 5.25am, dapat mesej dari Maziah, exco Kelab Inspirasi yang boleh diharapkan. Dia jadi deejay jemputan di IKIM Fm bermula pukul 6am sehingga 10am. Saya ke televisyen. Membelek senarai radio yang masuk channel astro. Not in the list.

Turun ke tingkat bawah. Capai radio dan kembali ke tingkat atas. Teruja nak dengar suara Maziah dalam radio. Memang merdu. Mengalahkan suara DJ tetap. Cuma Maziah tidak banyak bercakap. Mungkin gementar atau mungkin tidak mahu dianggap lebih sudu dari kuah.

Apapun, Maziah memang berbakat dan bersuara lembut merdu.

Kemudiannya saya mesej Maziah, beri kata-kata semangat, buat homework untuk topik esok, cari maklumat terkini dalam internet dan ...kalau berkesempatan, sebut-sebutlah nama saya dalam radio tu....

Kembali ke Segamat

Setelah bercuti lamaaaa...saya kembali ke bumi Segamat. Rutin asal dilalui dengan rasa kesyukuran. Alhamdulillah, saya masih sihat untuk kembali berkerja dan rumah di Segamat juga selamat tanpa apa-apa gangguan.

Di pejabat, banyakkkkk urusan pejabat yang menanti. Kalau difikirkan satu-satu tentu tertekan. Kata-kata suami Shirley, pemilik kedai perabot di Segamat saya pegang kemas-kemas.

"Tuhan bagi kita hidup ini dunia, bukan mau kita susah. Dia bagi kita otak, kita mau sendiri fikir...Jangan pening-pening fikir itu ini. Buat satu-satu. Nanti kalau otak pressure senang dapat penyakit...banyak susah oooo..."

Jadi, saya perlu buat satu persatu ikut keutamaan. Saya mesti tenang dan banyakkan berzikir pada DIA. Moga DIA mempermudahkan...

***terima kasih Intan, bagi sepohon kaktus yang comel sangat pada Kak Ani..Kak Ani akan bela kaktus ni sampai dia besar dan sihat macam Intan...gurau...jangan marah ye Intan!!!***

Thursday, December 4, 2008

Hakikat Sedih Malaysia

Cina dan Melayu sering tidak sekata. Hakikat sedih yang sudah lama sebati, yang terselindung di sebalik tonjolan kemesraan dua kaum terbesar di iklan tv atau sambutan rumah terbuka Malaysia.

Rata-rata berita utama hari ini menyentuh hubungan Cina-Melayu. Saya sangat tertarik dengan komentar Mohd. Ridhuan Tee Abdullah di Utusan Malaysia.

"Setelah membaca sepenuhnya teks ucapan beliau bertajuk Change the Game, saya tidak nampak, ucapan beliau dipolitikkan oleh media, khususnya Utusan Malaysia. Saya fikir orang Cina faham makna sebenar ketuanan Melayu tetapi sengaja dipolitikkan untuk mendapatkan political mileage terutama kalangan pemimpin mereka. Persepsi yang mengatakan jika orang Melayu adalah tuan, maka hambanya orang Cina sengaja diada-adakan. Begitu juga dengan ungkapan "Hidup Melayu". Jika Melayu hidup, siapa pula yang mati? Saya fikir orang Cina menyedari makna ketuanan Melayu yang merujuk kepada perkara-perkara di atas, tetapi mereka sengaja mencari publisiti murahan ketika pengaruh MCA dan Gerakan mula merosot di kalangan kaum Cina yang telah beralih kepada DAP. Dalam mengulas isu ini, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, menyarankan supaya sekolah vernakular ditutup. Sistem satu sekolah iaitu sekolah kebangsaan mesti diperkasakan. Ini bukanlah isu baru dan bukan mudah untuk menghapuskan sekolah vernakular yang telah menjadi agenda politik tuntut-menuntut dan ugut-mengugut. Orang Cina akan menggunakan isu ini untuk mendapatkan political mileage dalam BN dan Pakatan Rakyat. BN dan Pakatan Rakyat terpaksa tunduk kepada ugutan ini demi survival politik. Saya tidaklah menyokong sangat saranan Mukhriz ini, tetapi pengalaman saya memimpin PIBG di sekolah yang majoritinya pelajar Cina di Sekolah Jenis Kebangsan Cina (SJKC), menyebabkan saya terpaksa bersependapat dengan Mukhriz, walaupun ia amat pahit untuk diluahkan sebagai seorang berbangsa Cina."

Akhirnya, ia akan kembali kepada faktor politik juga..

Untuk Amirul Rafiq, pelajar DQS semester 6, bukan mudah kerja seorang ahli politik...semua sangkut menyangkut..agama, bangsa, bahasa...

Segalanya di TanganMu Tuhan

Berita kemalangan maut yang melibatkan Timbalan Dekan sebuah Fakulti UiTM dan pelajar-pelajar Fakulti tersebut di New Zealand, saya baca dengan rasa sangat sedih. Al-Fatihah.

Lawatan sambil belajar adalah perkara biasa bagi penuntut universiti. Semasa membawa exco dan ahli Kelab Inspirasi ke Sabah minggu lalu, saya menyerah sepenuhnya kepada Maha Penentu. Penerbangan, ketibaan, lawatan, kunjungan, malah setiap detik langkah, tidak henti-henti saya mendoakan yang baik-baik buat ahli rombongan. Yelah, andai berlaku kecelakaan atau musibah, bukanlah satu jarak yang dekat untuk pulang ke Semenanjung.

Namun, bukan pelajar yang ditimpa kesusahan, tetapi ibu kepada Siti Aisyah, seorang ahli rombongan pergi mengadap Ilahi takkala kami dalam perjalanan sesi lawatan ke Papar. Kewarasan dan kebijaksanaan perlu ketika itu. Setelah berbincang, kami memutuskan menghantar Aisyah pulang ke Semenanjung. Beliau adalah anak bongsu...Jenazah ibunya dijadualkan dikebumi selepas zuhur. Tiket baru terpaksa dibeli. Kutipan derma kilat dibuat. Terima kasih En Adrey, kaunselor UiTM Sabah, terima kasih Pn Che Manisah, kaunselor UiTM Kelantan, terima kasih Exco MPP UiTM Sabah, terima kasih ahli Kelab Peers Sabah, terima kasih Exco dan ahli Kelab Inspirasi, sumbangan kecil yang membuat airmata Aisyah mengalir laju, entah, buat kali keberapa...

Lawatan sambil belajar bersama pelajar di luar Semenanjung mengundang pelbagai rasa. Rasa teruja, gembira, meriah, dan yang pasti, rasa tanggungjawab yang berat bagi memastikan keselamatan para pelajar.

Takziah buat Aisyah, takziah juga buat keluarga Timbalan Dekan dan pelajar UiTM Malaysia yang pergi tidak akan kembali...

Tuesday, December 2, 2008

Cuti Semester

Alhamdulillah, cuti semester sedang berjalan menuju penghujung Disember. Inilah masanya kami di UiTM Johor mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga. Namun, ada kakitangan yang hanya akan bercuti hujung minggu ini bersambung dengan cuti Hari Raya Korban dan seterusnya. Ketiadaan hampir 100% pelajar mengundang suasana sunyi sepi di sekitar kampus.

Terfikirkan anak-anak yang ditinggalkan di Serendah bersama emak. Selain dari belajar Al-Quran dan Iqra setiap hari Isnin hingga Khamis, dari pukul 9 hingga 12 tengahari, yang lelaki akan bermain bola sepak di padang depan rumah mak dan Fatihah selalunya akan bermain 'emak-emak' di rumah jiran. Fatihah dan kawan sepermainan, Najihah akan mengendong anak patung, disuapnya air dan nasi olok-olok, dipakaikan pakaian dan ditidurkan sambil ditepuk-tepuk badan 'anak-anak' mereka. 'Typical girls'....

Teringat dulu-dulu, abah dan emak akan membawa kami 3 beradik (3 lagi belum lahir) ke Bagan Serai Perak. Ditinggalkan kami di rumah Cik Lah(adik abah) di Kuchi Sungai Bogak. Abah akan menghulurkan duit belanja makan dan kemudian pulang bersama emak ke Seremban(masa itu tidak mengerti keseronokan suami isteri yang bebas tanpa anak-anak buat seketika). Hehehe...

Kami akan menghabiskan masa di rumah Cik Lah dengan mengaji Al-Quran, bermain pondok-pondok, meramaikan kenduri kawin jiran se'kuchi', berbasikal bersiar-siar ke rumah Tok Mah, mertua Cik Lah di kampung berdekatan....hmmm...indahnya kenangan dulu-dulu...Bila bosan, kami akan ke Parit Buntar. Pakai baju cantik-cantik dan tunggu bas, terkadang selepas sejam menunggu, baru bas muncul. Kami ke kedai makan, bersebelahan sungai, makan mee bandung yang enak...Petang, bila ke rumah Tok Chah di Sungai Rawa (15 minit berbasikal dari Sungai Bogak) kami akan 'melepak' di titi tepi jalan. Bila ada trak askar yang melalui jalan utama, kami pakat lambai-lambai pada 'Mat Terap'(gelaran buat askar). Mereka pastinya membalas lambaian dan hati jadi puas....

Di rumah Tok Teh di Sungai Acheh pula, pondok kami dibuat Tok Wan dari bilah-bilah buluh dan beratapkan pelepah daun kelapa. Kami hampar kanvas biru buat baring-baring. Kami 'import' nasi dan lauk dari dapur Tok Teh. Cukup puas hati...Bila balik ke Seremban, kami dapat semangat baru untuk meneruskan persekolahan.

Saya bersyukur dapat menghantar pulang 4 orang anak ke rumah emak yang ada laman, ada jiran, ada padang, ada ustaz ajar Al Quran, ada kawan-kawan sebaya. Jadi anak-anak saya tidaklah terperuk di dalam bilik mengadap komputer, bermain 'game'. Mereka masih memerlukan suasana yang saya lalui dahulu....

Saya juga akan bercuti selepas ini...Ke mana ye? Kelantan Terengganu banjir...mungkin akan menghabiskan masa di Serendah bersama-sama emak dan adik-adik, dan mungkin akan menziarahi rakan-rakan lama semasa mengajar di IPB...

Sunday, November 16, 2008

Al Kafirun

Katakanlah Hai orang-orang kafir!

Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah

Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah

Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah

Dan kamu tidak pernah menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah

UNTUKMU AGAMAMU UNTUKKU AGAMAKU!

Saya fikir ayat terakhir dalam surah ini wajar ditegaskan kepada mereka yang tidak faham hukum hakam Islam.

Majlis Fatwa Kebangsaan tentulah terdiri dari mereka yang tinggi pengetahuan agama. Masing-masing tentulah telah mendalami semua jenis hadis dan ijma' ulama'.

Namun, dalam keadaan masyarakat majmuk (ada juga Muslim yang meragui fatwa yang telah dibuat oleh pakar dalam bidang...alahai....), sesuatu yang menjadi amalan biasa atau sesuatu yang tidak dianggap salah oleh agama mereka, apabila diputuskan haram untuk Muslim, sukar diterima akal dan perasaan.

Oleh yang demikian, lontarkan sahaja ayat terakhir tersebut...

Nilai Kisah Tain

Saya tidak meminati Senario. Lawak mereka selalu tidak menjadi. Kadang-kadang terfikir, harus gelak atau diam sahaja.

Namun, di bawah arahan suami Pn Sheila Rusly, lakonan mereka dalam drama Tain lain dari selalu. Maknanya, mereka memang berbakat tetapi bakat mereka perlu diterjemahkan melalui pengarah yang tahu menghargai bakat tersebut.

Dalam drama Tain, Wahid, Lan dan Azrey kelihatan yakin dengan watak masing-masing. Lan yang gagap, Azrey yang alim dan Wahid yang 'naive' menghiburkan. Episod kali ini ditonton bersama anak-anak. Babak dalam kelab dangdut menjadi perbualan saya dan anak-anak.

Mama: Along, Angah, Alang dan Kakak nak masuk kelab dangdut ke bila dah besar nanti?
Anak-anak: Tak nakkk...
Mama: Mula-mula minum air, lepas tu menari, lepas tu pegang-pegang...bukannya suami isteri..tak boleh, nanti Allah marah...
Anak-anak: Hmmmm...
Angah: Dangdut ni disko ke?
Mama: Bukan, dangdut bukan disko, tapi syaitan suka tempat ni.
Along: Tapi ma, Tain nampak macam suka je menari dengan pompuan tu..
Mama: Mmmm...(apa nak jawab yee)..Manusia imannya lemah, walau Tain macam suka, tapi dia sebenarnya tak suka...dia terpaksa...dia anak yang baik, dia ingat pesan mak dia...(dengan harapan anak-anak akan ingat pesan mama)

Perbualan ringkas yang harapnya dapat membuka minda anak-anak kita yang menonton apa yang dihidang. Saya fikir bila kesempatan, ibubapa perlu menemani tontonan anak-anak. Lakonan para pelakon perlu dinilai melalui kata-kata yang mudah difahami. Banyak drama Melayu yang bagus (terutamanya arahan suami isteri berbakat ini). Banyak juga yang entah mana nilai murninya.

Cuti sekolah ini, tentu ramai anak-anak yang akan terperuk dalam rumah, depan tv. Kitalah yang boleh memastikan nilai kisah sebalik apa yang ditonton dapat membentuk personaliti anak kita di masa akan datang. Cabaran berat buat ibubapa yang bekerja pastinya....

Wednesday, November 12, 2008

Kersani

Di Segamat, kem motivasi anjuran Kersani Training Centre menjadi pilihan ibubapa. Kalau di Lembah Klang, berpuluh pengusaha menawarkan kem serupa dengan bayaran berbeza.


Pak Long, pemilik Kersani Training Centre rupanya seorang Jurutera, mungkin bekas jurutera. Dengan bayaran RM20, Along menyertai kem motivasi selama2 hari 1 malam. Alhamdulillah, lebih 100 orang murid Tahun 4 dan 5 turut menyertai.
Hutan dan pohon buah-buahan memagari Kersani Training Centre. Terasa nyaman walau nyamuk berterbangan riang. Along melahirkan rasa seronok sebaik pulang dari kem.
"Kalau ada lagi kem ni, Along nak ikut" bersungguh dia berharap.
Makan dalam dulang, cicah biskut dengan air teh, solat berjemaah, lontaran kata-kata nasihat dari Pak Long adalah antara cerita Along kepada Angah, Alang dan Kakak.
Alhamdulillah, anak yang sulung ini menikmati detik-detik tersebut. Along menerima kesederhanaan dalam kehidupan. Namun, mama berharap kecemerlangan dalam menjalani hidup sebagai hamba Allah yang soleh dan bertakwa...

Benarkah Tun?

Tun Dr Mahathir Mohamad- Bukan Melayu boleh jadi PM.
Noraini-
1) Benarkah Tun?
2) Tidakkah bertentangan dengan kontrak sosial?
3) Bolehkah Tun? Dengan Islam sebagai agama rasmi, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Yang Di Pertuan Agong sebagai payung negara, adakah ia realistik Tun?

Bukan entri perkauman, entri perbincangan...

Kedai Runcit Melayu

Dari UiTM Johor ke Segamat, ada tak kedai runcit Melayu di deretan bangunan kedai? Manalah tahu, saya terlepas pandang.

Yang saya tahu, kedai runcit Melayu di Segamat Baru dan di Bukit Siput. Lokasi tidak strategik. Kedai yang terlalu sederhana. Barang terhad. Ada yang tamat tempoh guna dan berhabuk.

Bila terdesak, terpaksa membeli sayur di kedai bukan Melayu. Sayur disimpan bersama tin minuman keras di peti sejuk besar. Atas bir, bawah sayur. Kalau tin ada kecacatan,menitik airnya jatuh ke sayur...

Apa yang penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna boleh buat?

Keadaan yang merimaskan.

Sirih tidak pulang ke ganggang

Apabila Impak Maksima The Musical dipentaskan di Istana Budaya, saya terlongo dan mula berfikir.


Istana Budaya dimiliki oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA). Budaya merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa ialah tamadun atau peradaban. Tujuan penubuhan KEKKWA adalah untuk mempromosikan kebudayaan dan kesenian di Malaysia. Visi KEKKWA ialah melahirkan bangsa Malaysia yang berbudaya luhur dan bersatu ke arah negara bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Misi pula menyemarakkan dan merakyatkan seni dan budaya.


Antara peranan Kementerian ialah menyediakan kemudahan prasarana untuk aktiviti budaya, seni dan warisan. Istana Budaya itu prasanalah. Aktiviti KEKKWA saya kiralah tentulah berpaksikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan(DKK).


Objektif Dasar Kebudayaan Kebangsaan ialah mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan, memupuk dan memelihara keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada kebudayaan kebangsaan dan memperkaya dan mempertingkatkan kualiti kehidupan kemanusiaan dan kerohanian yang seimbang dengan pembangunan sosio-ekonomi.


DKK berteraskan tiga prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan iaitu berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini atau unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar dan yang menariknya ialah Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan Kebangsaan. Cukuplah dengan kajian literaturnya(disunting dari laman sawang KEKKWA)

Berbalik kepada tajuk asal, teater ini dikatakan mengetengahkan gabungan tarian antara tradisional, ballroom dan street dance seperti funky hip hop, stomping dan street jazz. Wah! Ini dikatakan BUDAYA TARIAN CACA MARBA ALA MALAYSIA ALAF BARU.

Persoalannya:
1) Adakah budaya 'drift' adalah budaya yang sesuai dipentaskan di Istana Budaya?
2) Apakah ukuran budaya yang wajar dipentaskan pada persepsi pengurusan Istana Budaya?
3) Adakah pementasan filem ini mencapai Dasar Kebudayaan Kebangsaan?
4) Adakah pementasan ini boleh meluhurkan bangsa?

Bak kata Nabil ANDA FIKIRLAH SENDIRI....

Ini bukan sirih, tapi kemuncup...

Tuesday, November 4, 2008

Durian

Seronoknya menonton Buletin Utama tadi. Seorang Profesor Madya dari USM berjaya dalam penyelidikannya mengenai kegunaan 'emas' pangsa durian. Terbukti setelah dua tahun penyelidikan, pangsa durian yang diproses menggunakan teknologi moden boleh menyingkirkan bahan logam dalam badan manusia. Prof Madya tersebut sedang menunggu pelabur yang berminat untuk mengkomersialkan hasil penyelidikannya.

Datanglah Segamat. Bila tiba musim, kulit-kulit si raja buah ini begitu mewah. Seguni durian yang kurang elok berharga RM10. Isinya dibuat tempoyak. Kulitnya dicampak. Segamat masih kaya dengan hasil alam. Bukan setakat buah rambutan dan durian. Andai ingin menyelidik tentang khasiat buah duku, sumber buah ini terdapat meluas di Muar. Mungkin, kulit duku mujarab untuk produk penjagaan kulit. Seperti kulit buah rambai.

Sebagai tambahan, jangan sampai hasil bumi kita di'curi' orang luar dan dipatenkan di negara mereka. Contoh paling sesuai, 'rompakan' pokok neem (semambu) di India oleh sebuah syarikat US. Paten menjadi isu besar dalam kes tersebut.

Andai ada Fakulti Sains di UiTM Johor, mungkin banyak sumber alam semulajadi Segamat boleh dikomersialkan.

Tahniah Prof Madya.

Saturday, November 1, 2008

Impian Di Ambang Senja

Itupun kalau umurku panjang...sebelum maghrib tadi, sempat melewati beberapa blog mereka yang tidak dikenali. Ada yang menulis tentang percintaan, warna kegemaran, fesyen terkini. Yang terkesan di hati, apabila mengunjungi blog saudara seislam dari USM. Pengisian blog mereka berfokuskan agama. Mungkin sesuai dengan umur ini, saya terleka menyelusuri penulisan mereka sehingga ke Maghrib. Mereka menulis tentang perbandingan agama, tentang kaum Yahudi, tentang murtadnya segelintir Muslim di Acheh selepas tsunami dan banyak lagi perkara baharu. Rasanya terlalu luas imu Allah di alam siber.

Impian di ambang senja...moga Allah mengizinkan untuk saya belajar pelbagai ilmu lagi di kala umur mencecah waktu-waktu senja. Ingin ke Syria, Damsyikkan kota ilmu. Ingin ke Baghdad, ke Istanbul, ke China, ke India...Mungkin masa itu saya telah bercucu, moga ayah emak mereka tidak menggangu impian saya dengan meminta saya menjaga cucu-cucu itu...

Sekarang, terpaksa menyambung marking exam papers kembali...bersambung impian di waktu lain...

Tuesday, October 28, 2008

Selamat Menduga Kefahaman

Peperiksaan bukanlah segalanya. Bukan bermakna dapat A, kita pandai segala-galanya. Kita belum tentu manusia hebat jika dapat CGPA 3.5 ke atas. Hebat di kertas bukan bermakna hebat di sisi Allah. Hebat di sisi Allah melebihi segalanya.

Peperiksaan adalah untuk menduga kefahaman. Kerana apabila kita faham, sesusah atau sepanjang mana soalan diberi, insyallah kita mampu menjawab. Kalau masih belum faham sesuatu topik, bacalah lagi perlahan-lahan. Hargai masa. Rancang pembacaan. Susun jadual semampu diri. Tidur itu perlu. Makan pun jangan tinggal.

Selamat berjaya buat pelajar-pelajar. Bila bersendirian mengulangkaji, ingatlah ilmu itu nanti untuk kita sendiri. Bukan untuk 60% markah akhir sahaja.

Semoga diberi ketenangan apabila menjawab soalan.

Musim hibernat

Peperiksaan akhir semakin dekat. Bukan pelajar sahaja yang sibuk sekarang, kami pun sama. Bukan kerja mudah menanda kertas peperiksaan akhir. Perlu lapang dada dan kepala. Kalau ada masalah, perlu campak jauh-jauh. Dah selesai tanda, pungut balik.

Kalau nak jumpa kami, perlu buat temujanji. Sekarang musim hibernat. Tetapi hibernat kami bukan hibernat biasa. Pukul 2 3 pagi belum tentu tidur.

Moga Allah mempermudahkan.

Friday, October 24, 2008

Keberangkatan Roh

Roh dan jasad milik Allah. Roh diangkat, jasad kembali ke tanah. Sejak Ramadan dan kini penghujung Syawal, beberapa berita pemergian kenalan ke alam abadi, singgah ke pengetahuan saya. Malam semalam, Mak Munah, katerer dan bidan kampung dari Tebing Tinggi kembali mengadapNya.

Mak Munah pandai masak. Mahir mengurut. Jabatan Undang-Undang UiTM Segamat akan merindui nasi minyak, nasi tomato, popia goreng dan segala kuih muih Mak Munah. Semasa melawat jenazah pagi tadi, saya terharu melihat wajah Mak Munah yang sungguh bersih dan kelihatan terukir senyuman di bibirnya. Subhanallah dan Al Fatihah.

Alam Roh adalah rahsia Allah. Hanya sedikit yang diketahui, selebihnya rahsia. Selepas abah dan kak long pergi tidak kembali, saya membeli beberapa buah buku tentang alam roh. Kesemua buku memperihalkan perkara yang sama. Roh ada dunia tersendiri. Beberapa hadis menggambarkan keadaan roh-roh: ada yang sentiasa bergembira kerana amalan di dunia dan doa anak mereka, ada yang kesedihan kerana tiada kiriman doa dari mereka yang masih hidup. Agama lain juga memperakui kewujudan dunia roh.

Namun, ada peristiwa besar yang saya masih ingat sampai kini. Sekitar hujung Ramadan 2003, saya bersolat Tarawikh dan solat Hajat. Rindu pada arwah abah dan kak long mendorong saya berdoa kepada Allah agar menemukan saya bersama kedua arwah di dalam tidur. Tepat pukul 3 pagi, saya terbangun dari tidur dalam keadaan menyebut kalimah Subhanallah berkali-kali. Saya bermimpi dan berjumpa kedua arwah. Kami berada di depan sebuah rumah dua tingkat yang dilimpahi sinaran lampu sambil memuji Maha Pencipta.

Mungkinkah roh mereka melawat dunia tidur saya? Hanya Allah Maha Mengetahui...

Thursday, October 23, 2008

Hadiah Pengantin Baru

Musim pengantin baru kembali lagi. Hujung minggu ini sahaja, saya mendapat 3 undangan. Insyallah, jemputan akan ditunaikan. Pengantin baru sinonim dengan hadiah. Apa hadiah pilihan hati?


Nostalgia 12 tahun sudah hadir. Kami mendapat berpuluh set pinggan mangkuk. Alhamdulillah. Tidak perlu membeli. Hadiah paling mulus ialah sekotak tisu, pemberian anak jiran berusia 7 tahun. Hadiah paling 'kasar' seutas gelang emas.


Setelah bergelar suami isteri, tiba pula giliran untuk memikirkan hadiah buat pengantin lain. Di Segamat, kami cuma ada Giant, Upwell, Nirwana dan Billion. Tiada Ikea. Jaya Jusco di Melaka. Pilihan barangan terhad. Ada tapi tak banyak.

Semasa Ajak, adik ipar saya berkahwin, kami menghadiahkannya mesin pengisar. Ajak suka makan jadi Ema, isterinya perlu rajin memasak. Cili kering dan kelapa parut perlu dikisar. Cili boh di kedai tidak sedap. Santan segera dalam kotak bolehlah untuk kes-kes kecemasan.

Apapun hadiah yang diberi, pastinya manggembirakan hati pengantin yang memang tersangat-sangat gembira...

Thursday, October 16, 2008

Apa ada pada sekeping gambar?

Che Da, kawan sejawatan di UiTM Segamat sungguh bergaya dengan kamera DSLRnya. Semua gambar di blognya menawan sukma. Memikat hati. Apa ada pada gambar?

Gambar-gambar dengan kenangan tersendiri memberi suntikan perasaan segar tentang memori silam.

Bendang tinggalan Tok Nek.

Dari anjung dapur Tok Teh, kehijauannya mendamaikan.

Kenangan bersama gemulah abah dan gemulah Kak Long menikmati kari ikan kegemaran mengisi ruang fikiran.

Di anjung mengadap bendang, kami menikmati hidangan tengahari bersama-sama.

Namun kini, hanya memori yang bersisa, menemani hangatnya perasaan kasih pada kedua gemulah.

AL-FATIHAH buat Haji Ismail Mat & Rosita Haji Ismail

Tosei dan Teh Tarik Raya

Tahun ini kami beraya sakan. Jenuh limpahan petrol di tangki Naza. Segamat ke Perlis. Hampir 2000km 4 tayar Naza meninggalkan jejak. Janji untuk ke Perlis dibuat seminggu sebelum raya. Penurunan beberapan sen harga seliter petrol melegakan hati(bolehlah...). Bermalam di Putra Palace Hotel di Kangar untuk tidak menyusahkan keluarga mertua Ina.

Abang ipar Ina bermurah hati keluar awal pagi dari rumahnya menuju ke rumah emaknya khusus untuk membuat teh tarik buat kami. Terima kasih. Sungguh terharu. Semoga perniagaan capati, tosei, roti canai kalian akan bertambah maju di kedai baru kelak
Tosei bancuhan mak mertua Ina memang sedap. Lembut. Hangat dicicah bersama kari kambing. Kacang khas buat tosei direndam semalaman. Dikisar halus.





Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi, kita merasa

Set pinggan kaca

Di suatu pagi yang berbeza, susunan cawan kaca beserta piring kaca dan pinggan kaca di atas meja makan, kelihatan janggal. Namun, mempersona. Along yang telah siap berpakaian seragam sekolah (pelanggan pertama yang akan turun makan di dapur), bertanya dengan nada pelik.

"Ada orang nak datang ke pagi ni ma?"

"Tak, untuk anak-anak mamalah"

"Tapi kenapa kaca? Pinggan plastik mana?"

"Melamin bahaya. Ia boleh menyebabkan masalah sistem penghadaman, masalah pernafasan, batu karang, kegagalan buah pinggang, kanser pundi kencing dan kerosakan sistem pembiakan"

Saya seperti seorang doktor.

'Kenaikan' di bulan Syawal

Sudah masuk hari yang ke 16 Syawal tahun ini. Di sebalik perasaan indah sepanjang bulan kemenangan, ia dibataskan dengan kerja seharian. Semua pun begitu. Jemputan makan-makan diterima dengan rasa gembira. Selain merasa masakan dari dapur orang, kemesraan juga dapat dilansungkan. Ringan badan semasa Ramadan kini berkurangan. Ia menjadi betambah berat. Naik kembali 2, 3 kilo. Peluh perlu dikeluarkan. Kerja harian di rumah tidak membantu. Sambil mengemas, sebalang biskut raya menjadi peneman mulut. Pelawaan main futsal di UiTM Segamat tidak berjaya menarik minat. Perlu seseorang yang sentiasa mengingatkan tentang bahaya berat badan berlebihan. Seorang yang konsisten. Teringat bagaimana konsistennya pemimpin tertinggi UiTM Segamat mengajak kami beribadat lebih dari amalan seharian biasa. Ia menjadi bagi segolongan kami. Ramai yang berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Ramai yang bersolat sunat Dhuha. Masjid As-Syakirin dipenuhi siswa siswi.

Tentang menjaga kesihatan diri, perlu juga seseorang yang konsisten begitu. Ingatkanlah kami selalu. Kenaikan berat badan perlu dikawal. Ingin rasanya ke gym UiTM Segamat setiap petang. Namun untuk berulang alik 2, 3 kali ke sana memberatkan hati. Lalu terbayang alangkah seronoknya jika ada gym sendiri di rumah. Namun, impian pudar takkala melihat sebuah basikal hadiah suami terdampar lesu di tepi ampaian.

"Nak berbasikal sebulan sekali pun susah, tak payahlah..."usik suami bila angan-angan mini gym disebut-sebut.

Monday, September 29, 2008

Lebaran Harapan

Lebaran ini
Lebaran Harapan
Bertemu keluarga dan rakan taulan
Bermaaf-maafan kunjung-kunjungan
Ziarahi pusara dilupa jangan
Sambutlah Aidifitri penuh keinsafan
PadaMu Tuhan kami panjatkan
Syukur segala nikmat kurniaan
Alhamdulillah
SALAM AIDIFITRI BUAT SEMUA MUSLIMIN & MUSLIMAT

Saturday, September 27, 2008

Kehilangan Aidilfitri menjelang Aidilfitri

Sedih dengan berita online pagi ini. Mohd Farid Aidilfitri 17 tahun, terbunuh dihempap tembok batu bata di asrama sekolahnya di Tanjung Karang Selangor. Arwah sedang membaca buku ketika kejadian. Berat mata memandang, berat lagi emosi ibubapa arwah memikul. Dikala setiap keluarga normal sedang membuat persiapan terakhir menyambut lebaran, anak yang dilahirkan dalam bulan Syawal 17 tahun sudah, pergi mengadap Ilahi di sebuah asrama, sebuah tempat yang secara rasionalnya bukan tempat kemalangan. Melainkan banyak kes buli di sekolah tersebut.

Jika dilihat pada gambar kejadian, tembok batu bata tersebut disandarkan dengan puluhan kepingan papan yang kelihatan seperti daunan pintu. Mungkin beban daunan pintu-pintu itulah yang memberi tekanan ke atas dinding batu-bata yang mungkin dibuat tidak mengikut spesifikasi. Banyak kemungkinan.

Setiap sekolah mempunyai 'duty of care' kepada pelajar. Jika terbukti tiga elemen biasa dalam undang-undang kecuaian, sekolah dan kontraktor boleh disaman. Sekiranya pembinaan tembok jelas melanggar piaiwan standard, kontraktor akan bertanggungjawab. Namun sekolah tetap memegang teraju utama menjaga keselamatan pelajar secara yang munasabah.

Begitu juga universiti, kolej, tadika dan tempat kerja. Walau perkara ini nampak remeh, namun setiap kelalaian dan ketidakpatuhan akan membawa bencana. Perlu ada Biro Keselamatan yang memantau secara munasabah setiap penjuru yang berkemungkinan mengundang bahaya. Tetapi kalau terbukti sebarang bencana itu adalah kemalangan semata-mata, liabiliti tersebut akan hilang.

Hikmahnya, bila buat kerja, buatlah dengan ikhlas, berhati-hati dan bersungguh-sungguh...(ingatan bagi diri sendiri).

Friday, September 26, 2008

Cabaran Seorang Ibu

7.30 petang semalam, ketika saya dan anak-anak sedang lahap berbuka, Hazlina, rakan pensyarah menelefon bertanyakan lokasi Hospital Besar Segamat. Anaknya yang cantik, Aisyah lelah teruk. Kata Lina, Aisyah sesak nafas, diiringi "wheezing" dan batuk-batuk. Kulit mukanya pucat.

Selepas solat Maghrib, cepat-cepat saya menyusul ke Hospital. Terlintas di hati, tentu hanya dia dan anak-anaknya sahaja di sana. Suami Lina di Kuala Lumpur. Fenomena biasa di UiTM Johor: suami isteri tinggal berjauhan. Aisyah terpaksa dua kali menyedut ubat menggunakan nebuliser. Selepas rawatan, barulah dia cergas sedikit.

Kasihan Lina. Pelbagai usaha telah dilakukan apabila dia mendapat tahu yang dia diarahkan bertugas di Segamat. Dia tiada masalah dengan Segamat. Tetapi kesihatan dua anaknya yang mengidap lelah memaksa dia menebalkan muka naik turun tangga Pejabat Perjawatan Shah Alam merayu agar dapat bertugas di Shah Alam. Namun, usaha tidak berhasil. Dengan redha dan izin suami, Lina pindah bersama 3 anaknya. Tanpa suami. Pembantu rumah pula menambah kusut apabila meluahkan hasrat terpendam ingin pulang ke Indonesia. Raya ke 4 nanti, terbanglah dia.

Sekarang, ihsan ibu mertua yang sakit dan ibubapa sendiri yang terpaksa turun dari Perlis, bergilir-gilir menjaga anak-anak Lina. Saya doakan Lina bersabar. Tentu ada rahmat mengapa Lina bertugas di sini. Dan berdoalah selalu agar dapat bertukar ke Shah Alam kembali...

Kisah hidup saya sama seperti Lina. Pernah anak ke 3 masuk wad Hospital Segamat kerana viral fever. 3 hari saya berkampung di wad. Suami juga jenuh berulang alik daripada Kuala Lumpur sepanjang tempoh tersebut. 7 tahun di Segamat, pelbagai cabaran diharungi sendirian. Namun, kerana cintakan kerjaya ini dan sesuai dengan keadaan Segamat, saya teruskan kehidupan. Namun saya sentiasa beringat kekuatan menguruskan anak-anak ini adalah kekuatan pemberian Allah.

Sekarang, anak-anak sudah besar dan pandai menguruskan diri masing-masing. Tetapi anak-anak Lina masih kecil. Perlu ada pembantu rumah. Kalau dapat yang jujur datang bekerja di Malaysia kerana ingin mencari duit, alhamdulillah. Kalau dapat yang bermasalah, tambah lagilah masalah kita yang sedia ada...

Cabaran...menjadikan kita lebih mengerti sebuah kehidupan...

Tuesday, September 23, 2008

Thaahaa

Subuh tadi, saya sambung membaca surah Thaahaa.

Antara ayat yang menunjukkan keadilan Allah Yang Maha Esa ialah

"Sesungguhnya hari Kiamat itu akan datang. Aku merahsiakan waktunya supaya tiap-tiap diri itu dibalas dengan apa yang diusahakan"

Adil kan? Semestinya.

Manusia berakal. Manusia berhati. Manusia berperasaan. Manusia bernafsu.

Dosa yang pernah dilakukan dahulu amat dikesali. Semoga dosa-dosa tersebut diampuni. Kini, cuba seboleh daya menghindari dosa kerana manusia berakal dapat membayangkan yang setiap perbuatan jahat akan dibalas walau sebesar zarah. Amalan baik dan mulia pula mengharapkan kasih sayang Allah. Moga Allah menerima amalan tersebut.

Setiap kali membaca Al-Quran, saya mendoakan kesejahteraan bekas pelajar semasa saya di Institut Profesional Baitulmal, Syahrum. Sudah 9 tahun alat pembuka surat pemberiannya yang diperbuat dari buluh menemani helaian Quran saya. Semoga Syahrum dirahmatiNya walau dimana Syahrum berada.

Teringat pula tadarus Quran di IPB sepanjang Ramadhan...Ustazah Rohayu yang bersuara merdu dan Kak Ilmiah sentiasa bersama-sama membetulkan bacaan. Kenangan manis...

Sunday, September 21, 2008

Biskut Raya Pertama


Sudah lama anak-anak merengek nak buat biskut raya. Mereka bersemangat. Mama lemah semangat. Takut sekerat jalan dah 'surrender'. Nanti mama je yang terkebil-kebil menghabiskan bakar biskut, korang entah ke mana.

Tapi bila anak-anak dah besar ni, desakan makin kuat. Buktinya, balik je dari sekolah, terus 'order' saya masak itu ini untuk berbuka. Along yang sihat, tempahannya hebat belaka. Mama, hari ni nasi tomato ye, nasi minyak esok!

Kasihankan anak, abahnya pun mengajak saya ke Nirwana. Beli barang-barang buat biskut. Hasilnya, alhamdulillah...Lepaslah untuk mereka makan sambil membayangkan kemeriahan Aidilfitri yang bakal tiba..




Friday, September 19, 2008

Undang-Undang Baru

Sudah dua undang-undang baru yang sedang dirangka untuk warga Malaysia.

Undang-Undang DNA dan Undang-Undang Kaum. Yang pertama mendapat tentangan hebat MP (Members of Parliament). Mungkin tidak kena pada masanya. Yang ke dua, baru disebut-sebut semalam oleh Pak Menteri.

Malaysia sedang mengalami perubahan hebat. Perubahan yang dituntut oleh tiga kaum terbesar. Perubahan yang terhasil akibat tingkah laku manusia yang dipengaruhi keadaan semasa. Undang-Undang lama sudah tidak tercapai 'preamble' seperti yang tertera dalam setiap Akta. Sejajar dengan pembangunan mahupun penurunan, undang-undang perlu cukup lengkap untuk mengatasi setiap perlakuan atau transaksi. Malaysia tidak dapat lari dari menerima hakikat bahawa alaf ke 21 ini menuntut penyedian undang-undang baru dan perubahan atau pindaan undang-undang lama. Akta Hasutan misalnya dilihat tidak dapat memenuhi situasi Malaysia sekarang. ISA sering ditentang pihak pembangkang mahupun orang kerajaan sendiri.

Undang-undang yang lengkap tetapi tidak dikuatkuasa merupakan satu lagi masalah. Akta Kanak-kanak misalnya dilihat seperti sudah sangat lengkap. Tetapi dari segi perlaksanaan dan penguatkuasaan, masih jauh dari yang telah termaktub. Beberapa kelemahan dapat dilihat antaranya kekurangan mereka yang berpengalaman mentadbir peruntukan dalam Akta dan kurangnya kemudahan yang disediakan sebagai medium perlaksanaan Akta.

Sebagai warganegara Malaysia, saya berharap walau apa jua undang-undang baru yang akan diluluskan, perlaksanaannya biarlah dibuat secara terancang. Maksud saya, perlu ada mekanisme yang telah disusun dan kapasiti perlaksanaan mestilah sepadan dengan tujuan kewujudan Akta baru.

Kad Raya Pertama

Kakak minta duit RM1 sebelum turun dari kereta. Saya tanya, nak beli apa? Kakak senyum simpul. Saya bagi tanpa banyak tanya. Bulan Ramadan ni, mesti pemurah.

Kakak balik sekolah pukul 4 pm bulan puasa ni. Dia belek-belek beg sekolah. Tangan dia cepat memasukkan sesuatu dalam beg. Sebelum sempat dia angkat beg masuk biliknya, Angah pecah rahsia.

"Mama,mama, kakak nak bagi kad raya kat mama"

Kakak terkulat-kulat pandang Angah. Mungkin dia nak 'surprise'kan saya sebelum tidur. Perlahan dia keluarkan kad dari dalam beg.

"Ni mama, kakak bagi kad kat mama"

Oooo...patutlah minta RM1.

Cantik tulisan tangan kakak.

Selamat hari raya mama. Mama, akak minta maaf. Halalkan makan dan minuk akak. oklah bye bye.

Itulah kad raya pertama saya tahun ini. Kad kedua datang dari VC UiTM. Kad ketiga, Nurul Huda, ex student saya yang baik budi pekertinya. Betapa kurang popularnya saya tahun ini...

Berbalik pada isi kandungan kad raya kakak, teringat raya dua tahun sudah. Semasa bersalam, anak-anak akan minta maaf dari kami suami isteri. Bila tiba giliran kakak, sambil cium tangan saya, dia tergagap-gagap mengatur ayat.

"Mama, akak minta maaf. Halalkan makan dan.....air kakak ye" Semua ketawakan perkataan 'air'nya tu.

Nampaknya sekarang kakak dah tahu apa ayat yang sebenar meminta kemaafan dari ibubapa.

Pesuruhjaya Sumpah dan Dobi di Segamat

Saya dapat tawaran yang ditunggu selama ini dan saya perlu ke Pesuruhjaya Sumpah (PS). Saya tanya Kak Zaini, kerani Pejabat Pentadbiran. Katanya di Pejabat Tanah. Saya memilih untuk mencari di deretan kedai-kedai di bandar Segamat dahulu. Jumpa satu. Berkongsi pejabat dengan Tetuan Firdaus, peguam yang bertanding pilihanraya sudah. Tapi diberitahu, PS tersebut telah menutup perniagaan. Saya terus ke Pejabat Pos. Khabarnya ada PS di hadapan Pejabat Pos. Oh, ternampak notis. TUTUP 19/9/08. Saya terus ke bangunan lama hadapan deretan kedai MARA. Teringat ada PS di situ. Lama dulu. Eh...papan tandanya pun dah tak ada. Akhirnya saya menghala ke Pejabat Tanah. Bukan di sini dik, di Mahkamah Majistret, kata seorang kakitangan di kaunter pertanyaan. Saya menghala pula ke Mahkamah. Teringat masa jadi lawyer dulu. Hadir kenangan sepintas lalu. Ya, seorang PS ada di sana. Alhamdulillah, selesai satu tugas bersumpah di hadapan PS. Lega.

Susah juga nak cari PS di Segamat. Kalau di Kuala Lumpur, berlambak. Di Pandan Indah pun senang nak cari. Mungkin Segamat pekan kecil. PS pun tak perlu ramai. Namun, Segamat yang kecil ini kaya dengan bank. Sebut je Bank apa. Maybank, Bank Islam, Bank Muamalat, Affin Bank, Agro Bank, RHB, CIMB, cuma Cik Citi Bank je yang tak sudi ke Segamat.

Rupanya, suami saya yang sedang bercuti seminggu, melilau mencari kedai dobi. Serik menghantar dobi berhampiran Stesyen Bas Segamat, suami berpusing-pusing satu Segamat mencari kedai dobi. Tapi hampa. Mana lagi ye kedai dobi kat Segamat ni? Ada keperluan penting. Comforter tebal sangat. Kawan baik saya, mesin basuh tak terbasuh comforter tu. Tebal.

Jadi, kalau nak cari PS, teruslah ke Mahkamah Majistret. Ada Puan PS yang cukup manis menanti. Cuma kedai dobi je yang belum berjumpa.

Segamat, bandar kecil yang....ok lah

Monday, September 15, 2008

Untuk Ina

Satu-satunya pengikut setia blog ini, adik saya menelefon petang tadi.

"Kenapa dah lama tak update blog, Ngah?"

"Ya Allah, Ramadan bulan yang sangat cepat masa berlalu. Tanpa sedar dah petang. Sibuklah Na"

"Oooo"

Betul, saya sibuk. Bukanlah sibuk sangat. Tapi peranan seorang ibu, isteri, pekerja, guru Al-Quran, cikgu tuisyen, tukang masak, tukang basuh, sidai, lipat kain dan lain-lain (sekadar menyebut beberapa tugas) menyibukkan saya. Bangun seawal 4am, sediakan sahur, saya cuba mengelak untuk tidur semula. Kalau tidur juga, badan jadi lemah.

Pukul 10 malam, saya sudah ke katil. Memilih untuk merehatkan badan seawal mungkin supaya bertenaga untuk bangun sebelum subuh. Bila saya mengadap komputer, mengemaskini blog adalah impian terakhir. Saya penuhi dulu dengan mengemaskini powerpoint presentation buat mengajar. Marking juga sedang menggila sekarang.

Jadi Na, bila Kak Ngah free, barulah Kak Ngah ada selera nak update blog yang serba sederhana ni. Mungkin selepas Syawal. Mungkin ada banyak cerita!

Aidilfitri ni, Abang Ngah kata, kalau ada modal lebih, insyallah kami sampai ke Perlis. Sediakan je tosei dengan capati....

Sunday, September 7, 2008

Penulisan bagai pedang

Saya pernah menulis dalam blog ini tentang jenaka menghina. Saya sebenarnya merujuk kepada satu laman blog yang sudah di'censor' oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. Fuhhh..saya lega.

Penulisan tuan punya blog tersebut menghiris hati saya bagai pedang tajamnya. Komentar nukilan pengunjung setia blog tersebut langsung tidak menjaga adab hormat menghormati. Memang kebebasan bersuara itu ada tapi usahlah lebih sudu dari kuah. Penulisan yang diluahkan atas nafsu marah atau tertekan kadangkala boleh menyimpang dari jalan yang lurus.

Kain baldu dibuat tilam
Dara berdandan pengantin baru
Rosak madu kerana jadam
Rosak iman kerana nafsu.

Go JAKIM go.

Teringat pula pada Pak Samad Ismail. Cerpen tulisan Azizi Hj Abdullah hari ini di Utusan Malaysia membuat mata saya berair. Sedih. Saya meminati Pak Samad. Azizi juga. Dua permata asli berkilau berharga. Himpunan artikel Pak Samad perlu saya teliti lagi. Penulisannya bagai pedang. Tajam namun walau berdarah, merah darah yang mengalir lambang membaranya semangat cintakan negara, bukan duri dalam daging, api dalam sekam, gunting dalam lipatan.

Al-Fatihah buat Pak Samad.

Saturday, September 6, 2008

Buku baru



Saya baru menerima 5 buku baru dari Ujana Ilmu, kedai buku siber milik Nisah Haron. Perkhidmatan yang sangat bagus.
Saya mulakan dengan Warisnya Kalbu, hasil karangan Sri Rahayu. Memang berbaloi, patutlah jadi pemenang pertama. Bahasanya mudah tetapi indah. Kecantikan budaya berpantun dalam masyarakat Melayu membuatkan hati teruja. Sungguh kreatif pengarang ini.
Buku kedua, Tarawikh Cinta. Baru habis tiga bab. Sesiapa yang mengikuti penulisan Nisah Haron pasti sudah arif dengan gaya penulisannya. Penuh dengan perkataan baru bagi saya yang masih biasa dengan perkataan-perkataan biasa. Nama-nama ciptaan Nisah panjang namun indah. Untuk membaca buku karangan Nisah, saya perlukan suasana yang tenteram, tanpa anak-anak.
Saya jeling buku ketiga. Baromkeh Matamu di Mataku karya Ummu Hani. Sarat perkataan Arab. Jenuh juga saya menyelak ke helaian-helaian muka surat terakhir bagi memahami sebahagian perkataan dan ayat yang tidak dapat difahami. Kalau novel ini ada footnote, alangkah bagusnya. Keadaan sebenar kota Damsyik dan Syria digambarkan jelas. Tiba-tiba, negara ini menjadi salah satu negara impian untuk dikunjungi.
Wira Mandala Hijau dan Dari Suatu Tikungan Lorong menanti untuk dicerna. Petang-petang Ramadhan, sementara menanti waktu berbuka, saya isi dengan membaca novel. Tapi, tidak begitu tekun. Perut yang lapar menganggu tumpuan. Mata pun asyik menjeling ke jam dinding. Hehe, macam budak kecil...

Jururawat Nurul

Adik bongsu kesayangan, Nurul datang dari Kuantan pagi tadi. Pertama kali naik bas. Alhamdulillah selamat sampai. Bakal jururawat montok yang belum kurus-kurus lagi.

Saya seronok Nurul datang menjenguk dalam bulan Ramadhan ini. Seronok untuk mendengar cerita pengajiannya di Kuantan.

Alang dan Ateh demam. Nurul kata dia boleh rawat. Perlu lima tuala kecil. Banyaknya! Satu di dahi, dua untuk ketiak kiri dan kanan, dua untuk celah kangkang. Tak payah lah, kata saya, kat dahi cukup.

Nurul panggil Along, suruh baring atas katil. Along yang seberat 50 kilo menurut perintah. Rupanya Nurul ingin tunjukkan cara bagaimana hendak mengangkat pesakit lumpuh. Perlu tiga jururawat katanya. Memang tidak terangkat! Along yang berat, ketawa mengekek.

Nurul juga menceritakan tentang ramai jururawat yang bekerja di Arab Saudi. Saya kata, bolehlah Nurul pergi nanti. Dia menjawab, tak naklah, pakai jubah bagai!

Kemudian, Nurul memeriksa nadi di pergelengan tangan saya. 80 bpm seminit. Normal, katanya. Dia juga bercerita tentang tugasan makmal yang mencabar. Terutamanya memasang tiub bagi orang lelaki yang tidak boleh buang air kecil secara normal. Memang mencabar. Teringat arwah abah yang mengadu kesakitan selepas dipasang tiub. Abah...

Dalam hati, saya bersyukur. Semoga adik bongsu saya akan menjadi seorang jururawat yang komited dan merawat pesakit dengan ikhlas. Pemakanan zaman moden sekarang punca penyakit akan datang. Teringat saya berita baru-baru ini tentang makanan segera yang diambil sebagai sarapan oleh sebahagian besar kanak-kanak sekarang, bijirin contohnya, akan mendatangkan mudarat kepada kesihatan mereka. Saya bersyukur kerana ia bukan amalan pagi anak-anak saya.

Jururawat pekerjaan yang mulia. Semoga Nurul cemerlang dalam bakal kejayanya.

Tuesday, September 2, 2008

Ramadhan Kembali

Ramadhan sudah masuk hari ke 2.

Salam Ramadhan buat semua.

Ramadhan yang setia menguji banyak perkara. Sebagai emak kepada 4 anak yang sedang membesar, kesabaran sering teruji. Johor bercuti umum selama 2 hari lagi sebagai tambahan kepada Sabtu dan Ahad. Menjelang petang, rengekan Angah, Alang dan Ateh yang kelaparan dan dahaga 'meletihkan'. Along sudah stabil.

Pukul 3 ke 4 pagi, ujian bangun memanaskan lauk untuk sahur terpaksa dilalui. Dalam keadaan penat, kaum ibu berlapang dada beribadah dalam menyediakan sahur.

Pukul 4.30 ke 5 pagi, ujian mengejut anak-anak satu ujian yang agak berat. Anak-anak bukan semuanya senang nak bangun subuh-subuh macam ni. Kaum ibu lah yang terpaksa bertungkus lumus memastikan anak-anak bersahur. Kalau terlepas,kaum ibu juga yang terpaksa menahan telinga mendengar 'ugutan' mahu berbuka kerana kelaparan melampau akibat terlepas sahur.

Pukul 4 ke 6 petang, ujian menyediakan juadah berbuka. Kaum ibu ada dua pilihan. Membeli sahaja atau memasak. Bagi yang tidak bekerja, memasak bukanlah satu ujian berat. Bagi yang bekerja, penat membuatkan kadang-kadang terfikir untuk membeli sahaja di Pasar Juadah. Namun, ada anak-anak yang lebih selera kalau ibunya yang menyediakan sendiri juadah berbuka. Walau sesedap manapun lauk pauk yang dibeli, tidak sama dengan masakan ibu sendiri.

Pukul 7 ke 9 malam, perlu pastikan anak-anak solat dan baca Al-Quran. Dalam keletihan, teringatkan yang tadarus perlu dihidupkan sepanjang bulan Ramadhan. Lain rasanya membaca Al Quran di bulan ini. Terasa lebih manis. Namun, masa masa terasa singkat. Anak-anak perlu tidur awal, supaya senang hendak bersahur pagi nanti.

Itu antara ujian-ujian seorang ibu. Ramadhan yang mulia, walau kepenatan, mesti diceriakan dengan tuntutan-tuntutan yang menjanjikan sejuta hikmah.

Ya Allah, semoga Ramadhan tahun ini, kami sekeluarga dan kaum muslimin muslimat akan mendapat keberkatan dan kasih sayang dariMu.

Wednesday, August 20, 2008

Hak Kanak-kanak (5)

Iklan mengenai seorang penjual cempedak lakonan Afdlin Syauki sarat dengan mesej. Betapa dia menyimpan duit saban hari demi masa depan anaknya, Man Gyver. Man yang cerdik, yang sering ditolak kemahuannya, akhirnya dihulurkan buku akaun simpanan berjumlah lebih RM41,000. Man kemudiannya selesai pengajian dan berkerjaya, menghadiahkan sebuah motorsikal kuasa tinggi impian ayah tercinta.

Saya mengaitkan iklan ini dengan dua hak kanak-kanak. Artikel 28 dan 29 Konvensyen Hak Kanak-Kanak.

Artikel 28 menggariskan setiap kanak-kanak mempunyai hak terhadap pendidikan. Artikel 29 pula mengatakan pendidikan hendaklah mempunyai matlamat untuk mengembangkan personaliti, bakat dan kebolehan mental dan fizikal kanak-kanak pada tahap potensi yang paling tinggi.

Man Gyver beruntung kerana dianugerahkan IQ yang tinggi. Mungkin Man bekas pelajar UiTM Penang dalam jurusan Kejuruteraan Automatif.

Namun bagi kanak-kanak yang IQnya rendah, mereka akan dikumpulkan dalam satu kelas yang khusus buat mereka. Kelas Z mungkin atau Kelas Ceria bukannya Kelas Bijak. Kanak-kanak Kelas A atau Kelas Bijak dijemput menghadiri kelas tambahan sewaktu cuti sekolah. Mereka jugalah yang sering mewakili sekolah ke Pertandingan yang pelbagai. Pernah saya bertanya kepada seorang guru, mengapa pelajar yang sama mewakili sekolah. Jawapannya, tiada masa nak latih pelajar lain. Maknanya, pelajar lain bukanlah tidak berbakat namun tidak berpeluang.

Kanak-kanak kelas Z pula semasa cuti sekolah menghabiskan masa mereka dengan melukis, menyanyi, mewarna dan menonton. Mereka selalunya lemah Matematik, lemah Sains, lemah Bahasa Inggeris. Bila bersekolah menengah, mereka akan mengambil matapelajaran wajib sahaja. Mereka tidak ambil peduli apabila matapelajaran Sains diajar. Akhirnya akibat bosan, mereka membuat ujikaji atas paru-paru sendiri dengan menghisap rokok di gerai Kak Ton, tidak jauh dari sekolah.

Sewaktu berguru dengan PM Datin Noor Aziah Haji Awal di UKM, saya tertarik dengan saranan beliau agar kelas khas diwujudkan bagi menggantikan kelas-kelas yang tidak mampu ditakluki pelajar berIQ lemah. Maknanya, sekiranya A, lemah Matematik, A boleh beredar ke kelas lain, kelas drama misalnya. Atau kelas membuat biskut. Atau kelas pengajian Al-Quran. Saya kira, kelemahan atau kepandaian seseorang kanak-kanak itu sudah dapat dikenal pasti dengan keputusan UPSR. Oleh yang demikian, diperingkat menengah, diadakan kelas-kelas khas yang boleh mengembangkan bakat dan kebolehan mental dan fizikal kanak-kanak ini. Tidaklah mereka memberontak dengan keluar dari kawasan sekolah akibat kebosanan.

Gejala sosial boleh dielakkan apabila sekolah mesra dengan kemampuan mental kanak-kanak. Malaysia berkebolehan untuk menyediakan kemudahan ini. Kemudahan yang saya fikir mampu dilaksanakan dengan kehadiran ribuan graduan saban tahun.

Akta Pendidikan mungkin perlu dipinda. Pindalah dengan mengambil kira setiap aspek keperluan kanak-kanak. Pastinya mereka di Kementerian Pelajaran sudah mengambil kira kelebihan sebahagian negara lain semasa lawatan 'benchmarking'.

Mungkin apabila satu pembaharuan dilakukan ke atas sesuatu sistem, akan lahir perkara lain yang bersifat positif. Cubalah...

Hak Kanak-kanak (4)

Kanak-kanak sekolah seluruh Malaysia sedang bercuti sekarang. Anak-anak saya sedang bercuti di rumah Tok mereka. Semoga hubungan nenek-cucu bertambah erat.

Ketika mereka sedang bergembira menghabiskan cuti sekolah, ada kanak-kanak yang sedang bersedih dan dalam keadaan trauma akibat perbuatan orang dewasa. Seorang kanak-kanak berbangsa Cina dilaporkan surat khabar hari ini, merayau dalam keadaan hanya berbaju T, luka dan lebam-lebam kesan cubitan. Apabila ditanya, kanak-kanak malang ini menceritakan bagaimana dia dipukul oleh penjaga kerana dituduh mencuri duit. Uniknya, kanak-kanak ini tinggal di Kuantan, ibunya di Batu Pahat dan ayah pula di Kuala Lumpur. Kasihan.

Seorang kanak-kanak perempuan comel pula, mengadu sakit alat kelamin kerana dirogol seorang 'Pak Cik'. Seorang kanak-kanak lelaki yang hobinya bermain bola, sakit duburnya akibat diliwat seorang 'abang'. Seorang yang lain, tidak sedar, dia sudah dicabuli ahli keluarga sendiri.

Akibat perbuatan mengikut nafsu, kanak-kanak menjadi mangsa. Tiada kudrat melawan, tiada daya menahan, kanak-kanak ini masih hidup bersisakan ingatan peristiwa pahit yang tidak mungkin dapat dihapuskan dari kotak fikiran. Mereka akan meningkat dewasa bertemankan peristiwa tersebut.

Adakah kanak-kanak mangsa jenayah ini akan berkelakuan seperti kanak-kanak lain? Maksud saya, adakah selepas segala peristiwa kejam ini, mereka masih boleh menjalani kehidupan biasa seorang kanak-kanak? Bolehkah mereka bergelak ketawa, bermain sepuas hati, berlari-larian di padang permainan dan menangis hanya kerana sebab-sebab biasa seorang kanak-kanak lain menangis? Atau mereka akan bertukar menjadi seorang yang murung pendiam dan hanya memerhati dari jauh kawan-kawan sebaya riang bermain? Beberapa kes di United Kingdom telah membuktikan bahawa kanak-kanak mangsa jenayah bertukar menjadi penjenayah akhirnya.

Menurut seorang pengkaji Barat, Ronald Barri Flowers, 'children as victims does not end with maltreatment but extends to delinquency'.

Artikel 39 Konvensyen Hak Kanak-Kanak amat berkaitan dengan penulisan saya kali ini. Negara mempunyai obligasi untuk memastikan bahawa mangsa kanak-kanak dalam penyeksaan, pengabaian dan penganiyaan, menerima rawatan yang sewajarnya bagi pemulihan mereka dan integrasi semula sosial. Seksyen 17 Akta Kanak-kanak pula memperuntukkan perlindungan buat segolongan kanak-kanak malang.

Bagi saya, kanak-kanak mangsa jenayah adalah kanak-kanak yang diseksa secara fizikal mental tanpa rela. Mereka memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Sejauh manakan kanak-kanak ini dipelihara dan dilindungi. Apakah pelan positif pihak yang berwajib dalam perkara ini? Sejauhmanakah pelan ini telah dilaksanakan? Bagaimanakah keberkesanannya?

Kanak-kanak ini akan terus hidup dibayangi peristiwa silam. Mereka terlalu mentah untuk menerima ujian ini. Sekiranya tiada tindakan awal, adakah mereka boleh menjalani hidup seperti kanak-kanak yang tidak dirogol, didera, diliwat, dicabuli?

Monday, August 4, 2008

Pahlawanku- Ogos 2008

Semua rakyat Malaysia tahu, Ogos bulan kemerdekaan.

Kemerdekaan berkait rapat dengan semangat cintakan tanah air. Mereka yang berjuang bagi menuntut kemerdekaan layak digelar Pahlawan. Berjuang dengan senjata, berjuang dengan pena. Perwira bangsa.

Bangat-bangat menanam delima
Buah ranum merah menyala
Ingat-ingat pesan Panglima
Hilang Melayu hilang dunia

Keris sempena Ganja Iras
Bisanya empat puluh hari
Ke mana Panglima muda berhias
Menegak adil membela diri

Tak guna ayam di kampung
Ayam hitam memakai taji
Tidaklah guna berikat berbengkung
Kalau tak boleh menahan negeri

Saat ini, saya terkenangkan Dato' Onn Jaafar, pahlawan Melayu Johor. Pengasas UMNO, tetapi tidak pernah terlantik sebagai Perdana Menteri. Entah mana silapnya.

Dato' Onn sangat komited dalam perjuangan menuntut pembebasan dari British. Beliau menentang Malayan Union. Beliau berani meluahkan ketidakpuasan hati dengan sikap Sultan terhadap bangsa Inggeris. Sehingga pernah dihukum buang negeri oleh Sultan Johor. Namun, apabila Dato' Onn menulis sebuah buku yang mengangkat kemuliaan Sultan yang terbit dari taat setianya, Sultan memaafkan beliau dan menganugerahkannya sebanyak RM5000.

Namun, semasa beliau meninggal dunia, wang di akaun simpanan hanya berbaki sebanyak RM300 dan wang tunai RM30.

Beliau berwasiat supaya beliau dikapankan dengan wang simpanan beliau dan tidak perlu diadakan 'state funeral'.

Saat ini, saya kagum apabila membaca tentang semangat kental dan perjuangan yang sangat jitu oleh Pahlawan bangsa ini. Perwira negara.

Di UiTM Johor, andai ada pertandingan bercerita tentang pahlawan-pahlawan Melayu yang sanggup berkorban demi kemerdekaan tanah air tercinta, dan dilangsungkan di Masjid As-Syakirin, alangkah indahnya...

Syurga gambaran anak-anak

Ada masanya, saya perlu bercerita tentang keindahan syurga kepada anak-anak. Agar mereka tidak liat menunaikan solat atau jemu membaca Al-Quran yang tidak difahami maksudnya. Mereka mendengar dengan penuh minat dan tersenyum-senyum kesukaan apabila diceritakan di syurga kelak, beribu macam kesenangan akan dihidangkan kepada penghuninya.

Ada buah-buahan manis bermadu, makanan lazat berkhasiat, pakaian dari kain sutera halus kehijauan, gelang permata, bidadari rupawan...semuanya dinyatakan dengan jelas dalam puluhan ayat Al-Quran. Bila dah khatam Al-Quran nanti, baca terjemahan, pesan saya.

Saya sebutkan bahawa terdapat beberapa batang sungai yang mengalir di dalam syurga. Diriwayatkan antaranya ada sungai madu dan sungai susu.

Saya bercerita dengan penuh kesungguhan.."bayangkan kita duduk bersimpuh di tepi sungai yang mengalir susu, bila kita dahaga, kita ambil gelas yang diperbuat dari perak, kita cedok susu segelas dan kita minum..."

Along dengan selamba bertanya.."boleh tak susu tu jadi bebola jernih macam dalam cerita The Ant Bully tu?"

"pastu kita masuk aje dalam mulut dan boleh main campak-campak macam salji" sambung Angah pula.

"Aah, kita boleh main kejar-kejar..."tambah Kakak.

Dengan penuh keyakinan saya jawab..."Insyallah..boleh, di syurga semuanya boleh"

Begitulah anak-anak yang imaginasi mereka penuh dengan permainan...

Saturday, July 26, 2008

Hak kanak-kanak (3)


Bukankah ibu bapa pelindung terbaik bagi kanak-kanak? Ibu bapa seharusnya melindungi anak-anak mereka di dalam dan di luar rumah. Namun, kalau ibu bapa sendiri sanggup membunuh anak-anak mereka yang tidak berdosa, wajarkah mereka dipanggil ibu bapa?

Saya jenuh beremosi apabila didatangi berita ibubapa mengambil nyawa zuriat mereka dengan pelbagai cara. Ada yang meracuni, menjerut leher...Ya Tuhan, tidak terdaya otak ini mengingati cara pembunuhan yang amat kejam terhadap insan kecil bergelar kanak-kanak. Bayi baru lahir yang ditinggal begitu sahaja di tong-tong sampah, di gigit serangga, itu cerita sedih lain...

Apa yang telah terjadi kepada institusi kecil keluarga kita? Kerana kesibukan kita? Kerana kecuaian kita?

Mungkin ramai yang masih ingat kes pembunuhan Ying-Ying yang berumur 3 tahun. Ibunya sendiri adalah suspek utama. Kes di Pulau Pinang, seorang ibu menjerut leher dua anak mereka gara-gara kecurangan suami bermain kayu tiga. Dan yang terbaharu, berlaku di Parit Kasa, Nibong Tebal (saya terkejut kerana Parit Kasa adalah antara tempat yang ’wajib singgah’ apabila kami balik melawat saudara mara). Seorang ayah dan dua anak kecil mati dalam keadaan yang menyedihkan. Namun, kes ini masih dalam siasatan. Kita belum pasti lagi cerita sebenarnya.

Artikel 19 Konvensyen Hak Kanak-Kanak memperuntukkan bahawa kanak-kanak mestilah dilindungi dari segala bentuk keganasan, pengabaian, pengeksploitasian, pecabulan walau semasa berada di dalam jagaan ibubapa. Seksyen 28 Akta Kanak-Kanak 2001 pula mewajibkan mana-mana ahli keluarga yang mensyaki ada keganasan atau pengabaian berlaku pada kanak-kanak agar melaporkan kepada Pegawai Polis.

Dalam kes di Parit Kasa, tidakkah siibu dapat menghidu sesuatu yang buruk bakal berlaku? Arwah suaminya dikatakan mengambil anak perempuan mereka di rumah pengasuh.

Namun, apa yang berlaku dalam sesebuah rumah selalunya dianggap urusan peribadi. Jangan ada yang campur tangan, buruk padahnya. Nah, akibat takut dianggap menjaga tepi kain orang, kanak-kanak sering dilupakan begitu sahaja. Akibatnya, bukan setakat fizikal, mental juga tercedera.

Kasihan kanak-kanak…”they are seen, but not heard”

Talian Nur 15999 mungkin jawapan bagi kita yang ingin membantu kanak-kanak mangsa dera atau keganasan ibubapa atau penjaga sendiri.

Saya pernah mnenukilan sebuah sajak ringkas yang lurus bendul sebaik saja mendengar berita di radio mengenai seorang kanak-kanak yang didera pengasuh sekitar 2006. Ibubapa kanak-kanak tersebut telah bercerai. Lalu, anak mereka diserah kepada jiran. Anak orang tidak sama seperti anak sendiri. Mungkin kerana tertekan kerana ibubapa sebenar tidak langsung menjenguk atau mengirim wang belanja, anak malang itu didera...


Pagi itu, tidak seperti biasa
Komputer dibuka, ditatap sahaja
Hati bergetar menahan geram membara
Bila terdengar berita dicorong radio di dalam kereta
Ada anak kecil mati didera
Mengalir air mata tanpa dipinta
Mengganggu emosi ceria hari nan bahagia…

Di bilik rehat, kalau hari-hari sebelumnya,
Nampak surat khabar terus disambar
Tetapi tidak hari ini, pandanganku hambar
Naluri keibuanku tercalar
Berita yang ku dengar di corong radio tadi…
Anak kecil itu, tanpa dikasihani,tanpa dikasihi
Didera penjaga sehingga mati
Masih terus menghantui…

Di kelas, semasa memberi tunjuk ajar kepada anak bangsa
Fikiranku terlayang , terbayang si kecil
Andai ibubapa yang terputus kasih,
Terus membelai menitip sayang
Mendidik mengasuh penuh harapan
Tidak jadikan perpisahan satu alasan,
Anak kecil itu, mungkin satu hari nanti
Menjadi pelajarku yang dahagakan ilmu
Menjadi orang besar berakhlak mulia
Atau menjadi seorang bapa yang tidak alpa

Namun, takdir telah berlalu
Anak kecil itu yang sepatutnya pada hari ini
Bangun tidur meminta susu, minta didukung
Ingin bermanja dengan si ibu
Telah diambil kembali mengadap Ilahi
Dalam usia sekecil ini
Merasa sengsara ujian menimpa
Merintih mengharap belas dan ikhsan
Namun terkulai terlerai impian

Wahai sikecil
Berbahagialah kau disisi Ilahi
Pemergianmu ditangisi, kehilanganmu dikesali
Bergembiralah kau di sana,
Bebas dilanda ujian dunia


Ya Tuhan, moga semua ibubapa yang sibuk mencari rezeki, yang tiada jodoh lagi, diberi kekuatan untuk menjaga amanahMu sebaik mungkin...Insyallah

sumber gambar dari internet

Friday, July 25, 2008

Wanita dan kelebihan diri anugerah Ilahi

Malam semalam, semasa memandu ke UiTM Johor bagi meraikan ahli baru Kelab Inspirasi, saya mendengar Sinar FM. Kebetulan lagu Inul ke udara . Lirik lagu nyanyian Inul itu saya dengar elok-elok

“Dangdut tanpa goyang
Bagai sayur tanpa garam”

Ishh ishh ishh sayur tanpa garam memang tak sedap!

Dangdut tanpa goyang? Macam tengok nasyid agaknya. Tapi ok apa? Terhibur juga hati walau penyanyi nasyid tegak berdiri…sebab yang kita tonton ialah personalitinya, pakaiannya, rupanya. Yang kita dengar ialah suaranya, lirik lagunya…

Saya fikir penonton Inul pasti datang untuk melihat goyangan 360 darjahnya tu. Memang mendebarkan…Inul sampai terpengsan-pengsan sebab sedih bangat konsertnya dibatalkan. Mungkin Inul setuju berkonsert di Malaysia kerana terkenangkan ratusan ribuan rakyat Indonesia yang berada di sini. Demi saudara senegara tercinta mungkin.

Tapi Rhoma Irama tidak perlu bergoyang pun. Ramai juga peminatnya. Lirik dangdutnya menginsafkan.

Inul menggunakan kecantikan tubuh badannya untuk mengaut keuntungan. Suaranya biasa-biasa sahaja. Merdu lagi suara Hetty Koes Endang dan Endang Estaurina. Ramai lagi sebenarnya yang mengambil kesempatan kelebihan diri bagi mendapat hasil pendapatan lumayan dalam sekelip mata. Ada yang positif, banyak yang negatif. Kebetulan pula, mata manusia memang suka yang cantik mulus. Itu adat manusia.

Tapi Inul mungkin lupa atau cuai, kecantikan tubuh badannya yang ditutup dengan cebisan kain yang dipotong dan dijahit mengikut bentuk dan goyang gerudinya yang dipamer secara berlebihan amat bertentangan dengan adat dan budaya Melayu Muslim.

Cuba lihat Siti Nurhaliza. Mengapa pula saya bandingkan Inul dangan Siti? Mereka membawa genre muzik yang berbeza tetapi mereka tetap perempuan, kedua-duanya penyanyi dan cantik. Dan saya belum pernah melihat Siti dengan pakaian yang keterlaluan. (untuk entri kali ini, lupakan isu tudung tak rupa tudungnya itu). Siti juga menari tetapi tariannya sopan (sopan dalam industri ini)

Saya setuju wanita sukakan sesuatu yang cantik dan terkini. Saya tidak terkecuali. Tetapi beringatlah, ada sahaja mata yang akan memandang. Ingatan ini untuk diri saya juga.

Apapun, rujuklah novel Manikam Kalbu karya Faisal Tahrani (boleh juga dibeli secara online melalui laman sawang Nisah Haron). Novel tersebut sarat dengan penerangan mengenai budaya pakaian Melayu Islam. (saya perlu baca lagi..kadang terlupa kadang ingat)

Atau rujuk sahaja lirik lagu Bunga Melur di sebelah kiri blog saya…(ingatan untuk saya lagi)

Tuesday, July 22, 2008

Cuti Sabtu dan Ahad: Duka Dalam Bahagia

Sekitar 2005, apabila kerajaan mengumumkan 5 hari bekerja bagi kakitangan awam, ramai yang gembira. Termasuklah saya yang tinggal berjauhan dari emak di Serendah dan keluarga mertua di Sg Sumun Perak.

Kerap juga kami pulang ke kampung atau membawa anak-anak bercuti. Emak seronok bila anak cucu selalu pulang melawat. Kami bahagia kerana boleh berehat bersama keluarga tersayang. Adik beradik berkumpul, bersama-sama ke pantai atau air terjun, makan-makan, bakar-bakar ikan, udang. Hujung minggu, mencuba resepi baru.

Hujung minggu lalu, kami ke Serendah. Melawat emak seperti biasa. Juga melawat Jun, sahabat UIA di Paya Jaras Sg Buloh, yang kematian ibu dan ayah yang sudah uzur. Singgah pula di Seremban melawat sahabat karib SMKA Sheikh Haji Mohd Said. Has baru 5 hari melahirkan anak ke 4. Kami pulang ke Segamat melalui jalan lama. Elak tol, bilang suami.

Perasaan saya sangat-sangat seronok kerana dapat berjumpa emak, adik-adik dan sahabat-sahabat. Dapat meluangkan masa, berbual-bual, mengimbau nostalgia lama, berkongsi cerita. Ia adalah satu terapi. Terapi setelah bekerja 5 hari seminggu.

Namun, saya terkejut bila suami berkata.."duit minyak je RM300, Ni."

Itu belum campur duit makan minum sepanjang perjalanan, jajan anak-anak, dan duit yang keluar untuk macam-macam hal lagi sepanjang dua hari bercuti.

Kenaikan harga minyak menyesakkan...Di zaman gawat begini, setiap ringgit yang keluar perlu bersebab. Saya yakin akan ada anak-anak yang mengeluh bila mengenangkan kos perjalanan melawat ibu bapa di kampung halaman. Mereka yang berkeluarga agak besar tentu perlu memasak terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Berhenti makan di RNR atau kedai makan di tepi jalan membuatkan kos bertambah naik. Harga sepinggan nasi putih, lauk, sayur dan teh o ais menjangkau RM6. Itu baru seorang, kalau berenam?

Tentu juga kekerapan melawat ibu bapa merosot. Ibu bapa mungkin tidak sanggup mengeluh kerana mereka juga tahu mengira kos yang terpaksa ditanggung anak-anak. Akhirnya, mungkin bila ketibaan Hari Raya Aidilfitri sahaja, semua ahli keluarga dapat berkumpul. Hujung tahun, terpaksa fikir tentang kasut, baju, buku sekolah pula. Pagi sekolah kebangsaan, petang sekolah agama. Duit tambang bas lagi. Tuisyen? Buku kerja tambahan? Ohhhh...

Bonus hujung tahun ini ada tak agaknya?

Tuesday, July 15, 2008

Along Yang Sihat (15 Julai 2008)

Selamat Ulang Tahun Kelahiran ke 11, Along.
Semoga sihat tubuh badan dan dijauhi penyakit.
Semoga menjadi lelaki soleh dan bertakwa.
Semoga berakhlak mulia persis Nabi Muhammad s.a.w.
Semoga berjaya dunia akhirat.
Semoga cepat khatam Quran.
Semoga menjadi Al-Tahfiz dalam usia remaja.
Semoga Along menjadi contoh terbaik untuk adik-adik.

Abah masak hari ni. Mama balik je dari kelas, tengok makanan dah terhidang atas meja.

Tom Yam Campur yang sungguh memikat.

Udang Goreng Kunyit campur Kacang Panjang yang membuka selera

Telur Bungkus (tapi nampak macam murtabak) yang sungguh fine!

Kuala Terengganu 13 Julai 2008

Saya suka Terengganu. Saya sukakan pemandangan di tepi jalanraya, lambaian pohon kelapa, damparan pasir memutih, alunan ombak di lautan luas, hembusan angin di tepian pantai, bayangan Pasar Payang yang meramah mesra (sudah tentu) dan segala-galanya di sana.

Bila sahaja diberitahu seorang kawan tentang Seminar Undang-Undang Kanak-kanak di Terengganu, saya terus menghantar borang penyertaan sebagai pembentang. 12 Julai 2008, pukul 3.30 petang, saya sampai ke bumi Kuala Terengganu.

Saya menetap begitu hampir dengan Pantai Batu Burok yang meriah dengan sekawan layang-layang yang terbang tinggi di langit biru. Sungguh indah.


Berjumpa dengan rakan-rakan baik dari seluruh tanah air yang meminati bidang yang sama amat mengujakan. Kami bukan setakat berkongsi ilmu pengetahuan, namun berkongsi minat membeli belah di Pasar Payang. Namun, terpaksa ditahan-tahan nafsu membeli belah.

Masuk Pasar dengan doa khusus. "Ya Allah, Aku memohon kepadaMu kebaikan apa yang ada di dalamnya, dan aku berlindung kepadaMu dari kejahatan pasar ini dan kejahatan apa yang ada dalamnya". Hasilnya, tiada sehelai batik sutera pun yang berjaya mengikut saya pulang ke Segamat. Telekung bersulam biru dengan harga yang amat berpatutan memikat hati untuk dijadikan hadiah sempena Ramadhan dan Syawal buat emak tersayang.


Selain keropok dan serunding, pasar ini juga dihujani buah durian. Sempat pula kawan-kawan berkenduri kecil durian di tengah Pasar Payang.

"Durian mana ni dik?" tanya saya.

"Durian Segamat, kak"

Tawa berderai.

"Korang kalau nak makan durian fresh, datang je Segamat. Petik je!"

Petikkk????


Friday, July 11, 2008

Jenaka Menghina



Saya membaca hampir kesemua akhbar harian secara on line dan menyelusuri aliran maklumat di alam siber. Saya tidak ketinggalan mengikuti hal-hal seputar politik tanah air. Saya percaya kepada kebebasan bersuara. Namun, saya juga percaya yang setiap kebebasan ada hadnya.

Kebelakangan ini saya sungguh sedih apabila membaca kandungan beberapa blog terkenal. Paling membuat saya beristighfar ialah apabila membaca komen-komen yang ditinggalkan oleh pembaca blog.

Isu liwat, larangan bersolek yang keterlaluan dan solat lima waktu semuanya ada kaitan dengan Islam. Isu ini menjadi begitu besar dan begitu global.

Beberapa pelawat blog telah membuat ulasan tersendiri yang saya fikir amat keterlaluan dan menghina agama yang saya anuti sejak lahir lagi. Saya sedih Islam telah dipandang remeh dan dijadikan bahan jenaka: diketawakan . Air mata mengalir kerana merasakan betapa Islam telah diperlekehkan.

Inilah antara kata-kata yang saya perturunkan(sumber dari internet):


1. Let me talk about good Muslim. Good muslim should 1. pray 5 times a day, if it's office hour, let the non-Muslim do all the jobs. 2. look closely and admire at those women who cover up their bodies as much as possibe. 3. Try to marry 4 wives if you are able to. 4. Commit crime only when there are less than 4 people (witnesses) around.

2. Let us look at this scenario: Two guys did a robery and 1 is a Muslim while the other is not. Both got caught and the Muslim guy has his hands cut off while the other is jailed for a certain period of time. Another scenario: A Muslim was wrongly accused for robbery. His hands got cut off. At the end of the day we will have many Muslims walking around Malaysia begging for money as their hands has been cut off. While the non Muslim ex-thieves has repented and doing well in life. Is this what we want? Syariah law may not be applicable in Malaysia. If anyone wants to live life under syariah laws then they should migrate to Saudi Arabia.

3. This is a civil case. Why are we discussing about the Islamic law? Is the syariah law supersedes the Civil law? Also, if swearing on the Quran can clear a person name then Malaysia prison will definitely be empty.

Hukum hakam Islam dijadikan gurauan. Mungkin yang memberi komen-komen di atas tidak faham betul dengan ajaran Al-Quran. Tetapi masih berminat untuk membuat ulasan. Hasilnya, penganut agama Islam seperti saya terasa...sungguh-sungguh terasa...

Rakyat Malaysia masih boleh hidup aman damai andainya masing-masing menghormati semua agama yang diamalkan di sini. Kebebasan beragama di jamin Perlembagaan.

Jadi tolonglah, hormatilah agama kami...

Titipan doa di pagi Jumaat

Setiap pagi bekerja, saya akan melewati sebuah tanah perkuburan di Lubok Batu.
Pagi ini, seperti dua Jumaat minggu-minggu sebelum, saya melihat tiga wanita bersimpuh di tepi sebuah kubur dengan tangan masing-masing memegang sebuah buku. Yaasin barangkali. Pasti kubur ahli keluarga terdekat. Serta merta saya teringat pada arwah abah dan kak long yang sudah 5 tahun meninggalkan kami tanpa mungkin kembali. Saya hanya mampu menziarahi ’rumah’ mereka apabila pulang ke Serendah. Itupun pada hujung minggu. Setengah jam di ’rumah’ mereka berupaya melepaskan rindu kami kepada kedua arwah.
Menziarahi kuburan pada pagi Jumaat mengikut beberapa Hadis, ada hikmah tersendiri.
Namun, hadis tersebut dikatakan hadis da’if.
“Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibubapanya atau salah seorang daripadanya pada setiap hari Jumaat, diampunkan baginya dan dia dicatat sebagai anak yang berbakti (terhadap orang tuanya). (Riwayat Hakim)
Anjuran menziarahi kubur, bagi saya adalah satu peringatan kecil buat kita yang masih hidup. Keheningan di tanah perkuburan membuat saya terfikir tentang jemputan maut Malaikat Izrail yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Saya juga sering terfikir tentang kehidupan di alam barzakh yang hanya Allah sahaja Yang Lebih Mengetahui. Bagaimana roh-roh arwah melayari kehidupan di sana tidak terjangkau oleh akal fikiran.
Allah berfirman dalam surah Al-Israa', ayat 85 yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
Apabila menziarahi kubur arwah abah, saya selalu berkomunikasi di dalam hati dengan harapan abah mendengar apa yang saya bualkan.
"Abah, Ani ni, maaf ye, sekali sekala je dapat ziarah abah. Ani, Shamsul dan anak-anak sihat...Ani berdoa abah selamat sejahtera di sini. Mak pun sihat...mak dah tak kuat sangat, naik tangga nak ke sini, lenguh-lenguh kaki mak...tapi insyallah selagi kami masih boleh bergerak, kami akan datang ziarah abah. Bah, Nurul dapat Diploma Kejururawatan. Mak nak dia jadi nurse, boleh rawat mak kalau mak sakit..."
Di hadapan kubur arwah kak long pula..
"Kak Long, anak-anak kak long dah besar. Umar kurus sikit, dia tak suka makan nasi. Tapi dia bijak kak long..Hakimi dah bersunat…lepas bersunat, badan dia naik, selera pun bertambah. Insyallah, bila Ani bercuti ke mana-mana, Ani akan bawa anak-anak kak long, biar mereka bergembira bersama-sama anak-anak Ani"
Ya Allah, semoga arwah Abah,Kak Long, Tok Nek, Pak Ngah, Tok Su dan arwah muslimin muslimat keseluruhannya berada dalam rahmat kasih sayang Mu, dijauhkan dari seksaan api kubur, diterangi cahaya dari Syurga dan tergolong dalam golongan yang mendapat syafaat dari Nabi Muhammad s.a.w
*gambar dan sumber hadis daripada internet