Tuesday, April 22, 2008

Nukilan Hati Seorang Ibu

Cahaya mataku,
Sesungguhnya kehadiranmu,
Melengkap bahagia diari hidupku
Sembilan bulan ibu menunggu,
Untuk dicurah segala ilmu,
Cinta pedoman buat anakku,
Buat bekalan di masa depanmu.

Permata hatiku,
Duduklah di sisi ibu,
Amatilah solat dan bacaan Al-Quran,
Kan kudodoikan tidurmu dengan kisah-kisah silam,
Perjuangan Rasulullah dan sahabat sekalian,
Derita sengsara menegakkan kebenaran,
Agar Islam terus berkekalan,
Dan padamu wahai anakku,
Ibu pancarkan sinar harapan,
Jadikanlah Islam satu pegangan,
Mekar berkembang ke akhir zaman.

Mutiara hatiku,
Bila usia meningkat remaja,
Biar solatmu tertunai rela,
Ayatul quran penuhi dada,
Sirah nabimu usah dilupa
Iman di hati sempurna dijaga,
Rauplah ilmu di mana saja,
Balut tubuhmu pakaian takwa
Hiasi dirimu akhlak mulia

Sayang,
Kita bukan di zaman Rasulullah,
Agama kita semakin goyah,
Tingkah dan akhlak tiada indah,
Bebas membelai nafsu amarah
Ilmu ditawar mencurah mudah,
Peluang istiqamah terhidang mewah,
Tidak di hargai, tidak di endah.

Waris kasihku
Jangan dicabuli, jangan dikhianati,
Ikrar janjimu dengan Ilahi
Tugas khalifah di bumi ini,
Tunaikan tulus ikhlas diberi,
Azam dan nekad pegangan hati
Jambatan ke syurga alam yang pasti

*Puisi ini saya karang semasa mengandungkan Almi Fadhli, anak sulung. Semasa anak-anak masih kecil (2-5 tahun) saya sering ceritakan tentang cerita nabi-nabi. Saya selalu berazam untuk mengajar mereka Al-Quran. Namun, akhirnya saya terpaksa mencari ustazah lain kerana saya tidak dapat menahan marah apabila anak-anak ini lupa huruf atau salah bacaan. Bukan mudah mengajar anak sendiri.Tangan ringan sahaja singgah ke bahagian badan tertentu.Cubit lain cerita. Saya risaukan anak-anak ini. Dapat berjumpa abah dua hari seminggu. Apalah sangat yang dapat dilakukan dalam dua hari itu. Jadi, menjadi atau tidak anak-anak ini banyak dpengaruhi oleh diri saya. Sungguh berat tanggungjawab ini. Abang, titipkan doa selalu buat isterimu agar tabah dan redha dengan ujian dunia ini.

1 comment:

Damaikan Jiwaku said...

..sungguh kagum bile mmbca nyer..
ssnguhnya ksih ibu tiada tndingan.. :)