Wednesday, April 30, 2008

Pekerja Industri Wanita

Dahulu dikenali sebagai minah kilang. Walaupun nama asal mereka bukanlah Aminah, tetapi nama tersebut menjadi panggilan biasa. Pekerja Industri Wanita berbunyi lebih manis dan profesional. Semasa saya menjawat jawatan tersebut selama 2 bulan di sebuah kilang multinasional di Petaling Jaya sekitar 1994 (semasa cuti semester), banyak sungguh pengalaman baru yang dikutip. Saya ditempatkan di bahagian pengeluaran. Berdiri terus menerus selama 4 ke 5 jam amat memenatkan. Bila curi-curi duduk, cepat sahaja mata Penyelia menjeling tajam.

Seperti di tempat kerja lain, ada cabaran yang terpaksa dihadapi golongan pekerja ini. Antara yang terbesar ialah gangguan seksual dan masalah penjagaan anak.

Gangguan seksual bukanlah setakat sentuhan semata-mata. Kata-kata dan gerak geri mana-mana anggota badan yang berbentuk seksual juga dianggap satu kesalahan. Gurauan lucah juga dianggap gangguan seksual. SMS atau MMS yang ada unsur-unsur lucah janganlah diambil mudah.

Masalah penjagaan anak juga tidak pernah selesai. Ada yang terpaksa menghantar anak-anak ke kampung. Ada yang menghantar ke rumah jiran. Ada yang terpaksa meninggalkan anak sendirian di rumah. Saya tidak pasti berapa banyakkah kilang di Malaysia yang mempunyai pusat jagaan kanak-kanak sendiri. Semasa berkursus di Suruhanjaya Sekuriti minggu sudah, saya seronok melihat sebuat pusat jagaan kanak-kanak yang dihias ceria. Sudah sampai masanya semua kilang besar di Malaysia mempunyai pusat jagaan kanak-kanak sendiri. Bas Pengangkutan pun mestilah disediakan secukupnya bagi pekerja industri wanita membawa anak-anak mereka ke kilang. Mungkin, ini dapat membantu menyelesaikan kes anak-anak didera oleh pengasuh atau anak-anak ditimpa kemalangan semasa sendirian di rumah. Guru yang lulus Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak hendaklah disediakan. Kita sekarang sudah banyak graduan dalam bidang tersebut. Kanak-kanak mempunyai beberapa hak yang diberi kepada mereka di dalam Hak Konvensyen Kanak-kanak. Mereka berhak ke atas hak tersebut.

Kepentingan Pekerja Industri Wanita tidak boleh dinafikan. Mereka amat-amat menyumbang dalam sektor pembuatan. Satu sektor yang menggerakkan nadi pelaburan Malaysia. Di harap Menteri bertanggungjawab terus memperjuangkan nasib golongan ini.

Selamat Hari Pekerja buat semua wanita.

No comments: