Friday, April 25, 2008

Sempat ke sarapan?

1982, di SK Ampangan Seremban, ada seorang kawan. Habib. Setiap waktu rehat, Habib jarang sekali ke kantin. Ketika murid-murid lain berebut beli makanan, Habib berjalan lemah ke pokok besar di tepi padang. Dia duduk di situ sampai habis waktu rehat. Saya fikir tentu Habib tiada duit. Saya perlu membantu semampu yang boleh. Sebelum ke sekolah suatu pagi, saya masuk ke bilik mak, buka almari baju dan 'mengambil tanpa izin' 50 sen, dengan niat membelanja Habib waktu rehat nanti. Di sekolah, bila sampai waktu rehat, saya terus membeli makanan untuk dua orang dan menuju pokok besar tepi padang. Kami makan bersama-sama. Saya tidak ingat sampai bila saya 'mengambil tanpa izin' duit mak. Sampai sekarang mak tidak tahu. Yang tahu ialah anak-anak saya. Saya ceritakan pada mereka kerana saya ingin beritahu mereka betapa pentingnya sarapan bagi pelajar.

Sempat ke sediakan sarapan buat anak-anak? Rasanya kalau di sekitar KL dan Shah Alam, mungkin sebelum pukul 7 pagi, kita sudah bergerak keluar ke tempat kerja. Di Segamat, saya keluar sebelum 7.30 dan akan sampai ke pejabat pukul 7.55 am. Saya perlu hantar 4 anak bertuah itu dahulu. Dan saya akan pastikan mereka makan sedikit. Mihun goreng, nasi goreng, roti telur antara juadah lazim sarapan. Seringkas-ringkas sarapan ialah cereals atau roti, jem dan milo.

Sarapan begitu penting. Terutamanya buat kanak-kanak. Di sekolah, saya tidak pasti bila sarapan RMT untuk kanak-kanak terpilih disediakan. Kalau pukul 8 am, alhamdulillah. Kalau pukul 10 am baru nak bersarapan, saya fikir ia kurang munasabah. Maknanya dari pukul 10 malam sebelum tidur sehingga 10 pagi esoknya, perut anak kita kosong. Saya fikir tentu anak-anak kita tidak mampu menumpu penuh pehatian terhadap pelajaran. Kasihan mereka. Sarapan amat perlu untuk memberi tenaga. Belajar itu satu proses pembelajaran yang berat. Jadi, seboleh-bolehnya, bersarapanlah dengan anak sebelum mereka berjuang menuntut ilmu.

No comments: