Tuesday, April 22, 2008

Koleksi entri 2006 dan awal 2007

Entah kenapa malam ini saya gila menulis. Mungkin sudah agak lega kerana kuliah telah tamat, rawscore sudah ditampal dan consultations sudah berkurangan.

Penulisan dalam blog bermula sekitar Ogos 2006. Namun saya malas mengemaskini entri. Lantas saya lupa password blog sendiri. Sayang pada penulisan sebelum ini, saya upload kesemua entri(tak banyak pun...) buat koleksi peribadi. Satu lagi punca mengapa saya malas update entri ialah kerana kepayahan mencari peribahasa yang sesuai. Kononnya, blog saya lain dari yang lain. Setiap entri berperibahasa dan diakhiri pantun. Akhirnya memakan diri sendiri kerana payahnya mencari peribahasa dan pantun yang tepat dengan nukilan yang ingin dikongsi dengan pengunjung blog yang tersesat. Saya sayangkan 'folklores' Melayu dan bercita-cita tinggi menzahirkan kecintaan saya pada budaya Melayu melalui penulisan. Tetapi rupanya sekerat jalan.

Entri dulu-dulu ini terlalu panjang. Bila baca, terasa penat. Tapi penulisan ini tetap bernilai. Sekurang-kurangnya, akan menjadi rujukan 4 beradik tu.

Tuesday, February 06, 2007

Alah bisa Tegal biasa
5 Februari 2007, bermulalah kehidupan saya tanpa seorang pembantu setia...Sebulan sebelum Fahim lahir, suami sudah menyediakan pembantu buat saya..mungkin kerana suami amat arif dengan 'kelembapan' saya membuat kerja-kerja rumah. Saya lebih suka membaca, membaca dan membaca. Sekarang Fahim dah berusia 7 tahun, maka selama 7 tahun itulah saya sudah dibiasakan dengan kehadiran pembantu rumah. Tiga pembantu rumah Indonesia untuk tempoh 7 tahun...Alhamdulillah semua pembantu saya memang banyak membantu dan kurang kerenah tapi habis kontrak 2 tahun, masing2 nak balik kampung bawa duit berbelas juta rupiah.4 Februari 2007, pulanglah pembantu yang ketiga bersama gajinya. Malamnya, saya terjaga 3 ke4 kali kerana terlalu memikirkan tentang kehidupan selepas ini yang pasti berubah dan menuntut komitmen yang bukan sedikit. Pukul 5 pagi, alarm handphone mudah membangunkan saya yang memang tak tidur lena. Terus turun ke tingkat bawah, basuh muka dan kedua tangan, minum segelas air, panaskan kuali, keluarkan bawang putih bawang merah yang telah siap dikisar, goreng dan pecahkan 2 biji telur, tambah garam dan masukkan nasi putih. Siap nasi goreng! Tadah air paip dalam cerek elektrik. Susun pinggan cawan sudu atas meja. Air dah masak. Bancuh milo kegemaran anak2. Naik tingkat atas, kejut Fadhli, Farhan, Fahim, Fatihah. Liatnya anak2 mama nak bangun pagi. Kena pastikan mereka betul-betul mandi dalam bilik air atau mereka cuma berdiri tegak dan terus menutup mata, sambung tidur. Semua selesai mandi dalam 30 minit. Bersiap, lumurkankan minyak zaitun safi pada rambut anak2 lelaki, sikat, ikat rambut Fatihah. Fatihah tak nak pakai tudung lagi. 'Kakak nak pakai tudung bila solat dan hari raya aje' tegasnya. Tak apa, tapi bila dah sampai masa nanti, mama pula akan bertegas dengan kakak. Anak2 solat subuh, pakai stokin, turun tingkat bawah dan mengadap sarapan. Saya pula solat namun doa pendek. Semput juga uruskan anak2 ni...6.50 am, memandu ke sekolah. Udara Segamat masih dingin namun kesemputan sebelumnya telah menghangatkan badan.7.25 am, sampai ke kampus. Hantar Fatihah ke Tadika Kemas dulu. Kalau sampai awal, bacakan Fatihah sebuah dua buku cerita.7.55 am, masuk kelas, mengajar dari 8 am hingga 9.50 am. Balik pejabat. Kemaskinikan diari dan kerja-kerja pejabat yang belum siap. Bila otak dah letih berfikir dan ingin berehat sebentar, layari laman sawang sasterawan2 Malaysia.12.30 pm, ambil fatihah di tadika, terus ke Segamat, ambil adik, Nurul yang mula bersekolah tingkatan 5 di sini. Sejak abah pergi tiada siapa yang memantau pelajarannya. Pujuk mak benarkan Nurul belajar di Segamat, alhamdulillah, setelah mak berfikir panjang, dapat lampu hijau.1.20 pm, ambil anak2 pula. hantar ke rumah, solat zuhur dan ke kampus semula. Mak dah siapkan masakan tengahari. Tapi 19 Feb nanti, mak akan pulang semula ke Serendah. Kenalah saya fikirkan samada nak beli atau siap2 masak lauk semasa sediakan sarapan. Beli je kot!!! Ada kelas petang 2 hingga 4 pm. Usai kelas, tunggu masuk waktu asar, solat dan punch out.5 pm, aduh pening kepala tengok rumah tak seperti biasa, agak bersepah. Anak2 buat kerja sekolah dan tinggal buku sana sini. Kertas dikoyak, dibuat wau, kapal layar, pistol dan dibiar sahaja. Masing2 naik atas, tunggu cerita nabila tv9, dekat di hati. Saya panaskan lauk dan bancuh milo dan teh. Pisang goreng dan karipap yang dibeli sebelum balik tadi, dihidangkan atas meja dapur. Lipat kain dan susun. Mandi dan bersiap sedia untuk solat Maghrib.7.50 pm, ajak anak2 makan. Selesai setengah jam kemudian dan tunggu pula solat isyak sambil menonton berita tv3. selesai isya', gosok baju anak2, suami dan baju sendiri sambil kepala memikirkan tentang menu sarapan esok pagi. Ke dapur, keluarkan daging dan ayam dari peti sejuk, kisar cili kering dan rendam mihun.10 pm, baru rasa lega sikit, tapi bila kenangkan tugasan master yang belum disentuh langsung, kepala yang agak lega tadi terasa berat semula. Dr Juhana dah bagi tugasan. En Rizal asyik sebut dua tiga isu terkini tentang teknologi maklumat. Alamak, quiz 1 untuk pelajar belum hantar fotostet lagi!! Soalan2 untuk ujian pun belum sempat deraf lagi...12 am, mata dah tak larat nak buka, pinggang pun dah lenguh..badan minta dibaringkan atas tilam fiber yang empuk. Bantal kekabu kiriman mak mertua bagai melambai2, selimut tebal ala hotel menyelubungi minda. Apa lagi tidurlah..sebelum tu jangan lupa set alarm pukul 5 am....

Pucuk paku si pucuk ubi
Pekasam goreng ditabur cili
Walau berat tugas dihadapi
Pada Allah doa diberi

posted by Noraini Ismail @ 6:19 PM 3 comments


Friday, December 22, 2006

Adat penuh ke atas, syarak penuh ke bawah
Salam. Aceh meraih simpati seluruh dunia semasa dilanda tsunami. Pilihanraya di Aceh yang baru-baru ini juga meraih perhatian masyarakat dunia. Dikhabarkan 1000 pemerhati luar memantau pilihanraya itu. Namun yang lebih menarik perhatian saya ialah berita yang saya baca melalui e browse Harian Metro. Polis agama di sana menyerbu puluhan pusat kecantikan dan menahan 13 wanita kerana berpakaian menjolok mata. Dua lelaki juga ditangkap kerana menggunakan khidmat wanita untuk menggunting rambut di pusat tersebut. Walaubagaimanapun kesemua mereka dilepaskan selepas diberi nasihat. Hmmmm...menarik! Lebih menarik, minggu sudah, Agensi Syariah mengemukakan usul untuk memotong tangan pencuri! Subhanallah...Saya kebetulan sesudah maghrib membaca ayat mengenai arahan Allah ke atas pencuri lelaki dan pencuri perempuan di dalam surah Al Maidah. Ayat Quran tu! Asbabul nuzul ayat itu mestilah dikaji, tentu ada sebabnya mengapa Allah memerintahkan hukuman potong tangan. Walaubagaimanapun, ada golongan yang menentang atas alasan landasan sosial wilayah itu seharusnya diperbaiki dan dibangunkan terlebih dahulu barulah dilaksanakan hukum potong tangan. Di zaman pemerintahan Khalifah Umar, perlaksanaan hukuman ini ditangguhkan kerana terdapat golongan miskin yang mendominasi keadaan.Fikiran saya berlegar sekitar negara tercinta Malaysia. Bolehkah perlaksanaan hukuman potong tangan dibuat? Di Segamat, banyak kejadian mencuri selepas banjir. Adakah mereka terdesak hingga mencuri? Yang dicuri kebanyakkannya dari kedai alatan telekomunikasi. Makanankah itu? Kejadian mencuri semasa bulan Ramadhan juga berlaku! Terdesakkah mereka? Jika boleh dibuat kajian, golongan manakah yang memonopoli kegiatan mencuri ini? Ada juga kes polis mencuri, tentera mencuri yang dilaporkan akhbar. Terdesakkah mereka? Kan mereka sudah ada mata pencarian tetap! Tidak cukupkah gaji mereka? Sebab tol atau minyak makin naik ke? Alamak, banyak pulak sangkut pautnya!Apapun, sekiranya hukuman ini boleh dilaksanakan, alhamdulillah kerana hukum Allah mesti ditegakkan. Pensyarah Undang-Undang UKM, Dr. Abd. Halim El Muhammady, dalam penulisannya berpendapat kepentingan tentang pembentukan negara Islam ada kaitannya dengan perlaksanaan syariah, kerana syariah tidak dapat dilaksanakan tanpa ada negara dan kedaulatan politik. Tuntutan perlaksanaan syari‘ah adalah wajib ke atas Muslim, maka mewujudkan negara Islam adalah suatu yang wajib.Tetapi pendapat landasan sosial harus diperbaiki dan penerangan hukum Islam dibuat secara meluas perlulah diambil kira terlebih dahulu. Hmmmm..alahai...

Asam rumbia dibelah-belah
Buah separah di dalam raga
Dunia ikut firman Allah
Akhirat juga mendapat syurga

posted by Noraini Ismail @ 2:36 AM 0 comments


Thursday, December 21, 2006

Sekali air bah...
...bandar Segamat berubah wajah! Hujan lebat mula mencurah turun pada pukul 8.30 pagi 18/12/2006. Saya di SKJ memberi penerangan ringkas tentang undang-undang pendidikan. Selesai acara sekitar 11.30 pagi, hujan masih turun. Ahh tapi biasalah Segamat tahun lepas pun hujan turun tak berhenti hinggalah menjelang Idul Adha. Saya masih ingat pergi mencari daun palas di pasar Segamat untuk membuat ketupat pulut orang utara. Tapi mak cik penjual sayuran dan ulaman hanya menggeleng kepala dan mengomel perlahan 'Mana nak cari nak oii..asyik hujan je...' Itu setahun yang sudah. Maknanya, kalau tahun ni kami beraya di Segamat juga, rebus ketupat segeralah jawabnya.Dan memang ternyata, daun palas takkan ada di pasar Segamat tahun ni. Bandar Segamat macam laut!Saya fikirkan hujan ini macam tahun sudah, hanya memberi kesan kepada kawasan yang sama. Tapi sungguh meleset, kawasan yang tidak diduga pun turut menjadi mangsa. Kg Jawa(ada kedai menjual soto yang lazat) dan Kg Abdullah khabarnya ditenggelam air hingga mencecah bumbung rumah! Alhamdulillah, Jementah masih ok walau hujan terus turun, kadang lebat kadang renyai. Bekalan air dah 3 hari terputus. Semalam saya ke bandar Jementah membeli sedozen air mineral 1.5l, 10 kilo beras, ikan bilis, tepung, bawang putih bawang merah, buat bekalan andai kecemasan. Saya juga terkenangkan koordinator saya yang terperangkap di Taman Sedeng Segamat. Jalan masuk semua tertutup. Pagi tadi dia menelefon saya memberitahu air tangki rumahnya dah habis dan air minuman tinggal dua botol...Saya simpati sangat-sangat tapi nak buat macammana, jalan ke Segamat terputus. Jangan kata jalan ke Segamat, nak ke UiTM pun sama.Di padang bandar Jementah semalam, jadi tumpuan penduduk sekitar, dua helikopter mendarat. Pasukan penyelamat beruniform oren kemudiannya dilihat bersarapan pagi di kedai makan paling popular di sini.Banyak yang saya nak tulis di sini tapi anak-anak yang buntu tak ada apa nak buat mengganggu kelancaran idea...Kami dah 3 hari mandi tak mandi! Semalam anak-anak mandi air hujan. Alhamdulillah, tak demam, mungkin air hujan yang telah turun 5 hari ni air yang sihat. Nantilah bila keadaan dah ok, saya akan menulis lagi. Tadi suami di Sg Mati Muar menelefon, katanya air dah mula naik! Ya Allah semoga dia dan penduduk sekitar selamat.Buat Kak Zura di Taman Sedeng, maaf ya tak boleh ke sana, hanya mampu menelefon bertanya khabar

Anak Cina telinga bertindik
Badan kurus panjang lampai
Hendak melangkah kaki pendek
Hendak mencapai tangan tak sampai

posted by Noraini Ismail @ 6:16 PM 1 comments


Thursday, October 12, 2006

Biar titik jangan tumpah
Salam. Kesibukan harian sebagai pekerja dan pelajar separuh masa membuatkan blog ni jarang dikemas kini. Ada saja tuntutan itu ini yang mengekang saya dari menulis. Kerja di pejabat yang tak surut-surut malah semakin sibuk menjelang peperiksaan akhir, tugasan master yang menuntut pembacaan yang bukan sedikit, kerenah dan ragam masam manis kelat anak-anak yang masih kecil menjadikan saya hamba Allah yang merasakan 24 jam sehari tidak mencukupi. Tapi yang anehnya, tidur dapat juga 5-6 jam sehari....Saya memang antara manusia yang perlukan tidur yang cukup...walaupun diselubungi kesibukan.Bulan Ramadan kali ini menambahkan kesibukan. Kesibukan dunia tak payahlah diceritakan lagi..Ramadan menjanjikan keberkatan..Untuk mencari keberkatan, solat tarawikh, Al-Quran dan tadarus menjadi sebahagian dari kesibukan agenda harian.Insyallah Ramadan kali ini, khatam Quran lagi.Anak-anak juga turut menyibukkan jadual seharian. Melatih Fadhli, Farhan, Fahim dan Fatihah berpuasa menjadikan saya ibu yang paling lemah lembut. Menyedari tahap kelaparan dan kedahagaan anak-anak menjelang petang, saya sedaya upaya memujuk, membelai, merayu dengan kata-kata manis "Allah sangat sayang orang yang berpuasa..", "Allah suka budak kecil yang berpuasa..", "Allah dah sediakan syurga bagi budak kecil yang berpuasa.." Nampaknya rayuan dan pujukan saya berjaya mengekalkan puasa anak-anak hingga ke Maghrib. Tapi Fahim dan Fatihah ada juga berpuasa setengah hari sebab tak tahan godaan air kotak dan biskut tiger yang dibekalkan guru tadika di sekolah...Anak-anak sebenarnya mudah dilentur semasa masih kecil. Berpuasa contohnya. Saya berpuas hati kerana Fatihah sekecil 5 tahun sudah 10 hari dapat berpuasa. Jadi dia sudah boleh mengerti erti berpuasa, apa rasanya berpuasa, doa berpuasa, waktu imsak, waktu berbuka, tegahan sewaktu berpuasa. Walaupun tidak dapat puasa penuh sepanjang Ramadan, setidak-tidaknya dia sudah mengalami satu keadaan yang dipanggil puasa. Biar titik jangan tumpah!Dan sayapun rasa puas hati hari ini kerana setelah sekian lama tidak menulis di blog, akhirnya dapat juga mencoret sesuatu. Tak lama lagi saya sendiri akan menghadapi peperiksaan akhir..alahai..setelah sekian lama tak diterjah rasa gabra, kali ini selepas hari raya, perasaan yang telah saya tinggalkan 10 tahun sudah akan kembali menjenguk..Hmmm..lama lagi le blog ni nak dikemas kini pulak...Semoga Ramadan kali ini, walau dihujani titis-titis kesibukan, tetap memberikan keberkatan hidup, keberkatan ilmu dan kemanisan pengalaman dan rezeki yang berpanjangan

Cari galah kayu di hutan
Singgah menetak cendana gaharu
Minta doa mudah-mudahan
Boleh rezeki datang selalu

posted by Noraini Ismail @ 4:11 PM 1 comments


Sunday, August 13, 2006

Hendak terbang tiada bersayap
Salam
Sebagai manusia, saya juga sukakan hiburan. Juga meminati penyanyi tempatan. Namun, seingat saya, hanya kaset penyanyi Uji Rashid pernah dibeli. Uji mempunyai suara yang lemak merdu. Sendainya Uji mengalunkan ayat-ayat suci Al-Qur'an dengan lagu dan tajwid yang betul, pasti burung yang sedang terbang pun berhenti dan singgah di balik jendela mencuri dengar betapa mersiknya suara itu. Saya juga sukakan Siti Nurhaliza. Tapi itu dulu, sebelum rahsianya dengan Dato' K terbongkar. Entah kenapa, sejak TV3 beria-ia membuat liputan pengumuman khas Siti, saya hilang minat pada Siti(tak luakpun Siti walaupun hilang satu peminatnya). Saya jadi rimas dengan rancangan susulan secara langsung yang membongkar kisah cinta Siti. Yang pasti, saya sebenarnya, rimas dengan TV3 yang terlalu mempublisitikan cerita Siti. Bagi saya, sebagai TV no 1 Malaysia, TV3 mempunyai banyak lagi cerita yang perlu didedahkan kepada rakyat Malaysia, yang perlu disensasikan. Tapi apa boleh buat, TV3 gemar memburu perhatian penonton dengan cara begitu.
Media di Malaysia terlalu ghairah dengan tuntutan selera dunia. Sewaktu TV9 diperkenalkan, saya mulanya menarik nafas lega kerana melalui sedutan-sedutan tayangan pengenalan, banyak rancangan bercorak agama dihidangkan kepada penonton. Saluran itu khabarnya khusus untuk menarik penonton Melayu, saluran dekat di hati. Tetapi hakikatnya tidak. Sekadar Iqra, Halaqah dan Akademi Al-Quran(Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada juga), apalah bezanya saluran itu dengan saluran sedia ada? Rancangan kartun dari dunia Barat berpanjangan dan diulang tayang, menghiasi skrin TV.
Sepatutnya TV9 berperanan secara proaktif mendidik masyarakat Melayu ke arah mencintai akhirat. Cukuplah Tv3 dengan rancangan-rancangan dunianya.
Namun, apakan daya saya, hanya boleh mengeluarkan pendapat dan rasa tidak puas hati terhadap media tempatan. Untuk mengubahnya, tidak terdaya. Saya tidak bersayap dan tak boleh pergi jauh. Harapan saya, semoga ada antara anak-anak saya nanti menceburi bidang penerbitan. Semoga dia nanti sekaya Dato' K. Dengan duit yang banyak, bolehlah menerbitkan drama dan filem berunsur Islam atau dokumentari tentang dunia Islam dan dunia akhirat, semoga menjadi panduan kepada Muslimin dan Muslimat. Saya tidak boleh menafikan kepentingan tv sebagai medium dakwah yang berkesan pada masa kini. Insyallah, moga anak-anak mama dipanjangkan umur, diberi kecerdikan akal yang akan digunakan untuk kebaikan umat Islam.

Asam rumbia dibelah-belah
Buah separah dalam raga
Dunia ikut firman Allah
Akhirat juga mendapat syurga


posted by Noraini Ismail @ 9:02 AM 1 comments


Friday, August 11, 2006

Elok bahasa bekal hidup, elok budi bekal mati

Sebelum maghrib tadi saya menerima panggilan telefon dari bekas anak murid yang dah bergelar bapa, Salman. Dia membawa khabar gembira. Dia dan isterinya, Farah(juga bekas anak murid) akan berangkat ke Hungary pada 20hb Ogos ni...
"Membawa hati yang luka ke? Sampai tak sempat tunggu 21hb..." gurau saya.(Umum 'terlebih' dikhabarkan media mengenai perkahwinan Siti 21hb Ogos)
"Itulah sebenarnya Puan, merajuk dengan Siti!". Berbual dengan Salman kerap mengundang tawa berpanjangan. Salman periang orangnya. Budi bahasa dengan pensyarah-pensyarahnya dijaga. Pernah dia berkunjung ke rumah saya membawa buah-buahan dari kampung. Budi dan bahasanya tetap saya kenang selagi diberi nyawa. Saya tumpang seronok dan segera mendoakan mereka bahagia di rantau orang.
Mendapat panggilan telefon, menerima esemes atau menerima kiriman emel dari bekas pelajar sesungguhnya antara perkara yang menyeronokkan. Mendengar kejayaan, pengalaman, masalah mereka di tempat kerja atau di dalam rumahtangga, saya memanjatkan kesyukuran kerana masih bernyawa untuk berkongsi semua itu. Walaupun terkadang dihujani kesibukan, saya sedaya upaya terus berkomunikasi dengan mereka, cukuplah sekadar memberi pandangan, mengucap tahniah, berkongsi rasa sedih dan gembira, tanda kita tetap menghargai mereka. Tak luak apapun, malah memanjangkan lagi silaturrahim sesama manusia. Melayukan terkenal dengan budi bahasa!
Baru-baru ini saya mendapat esemes bekas pelajar yang dilanda masalah dengan suami.
"Puan, alhamdulillah, saya dan suami dah ok. Saya bersyukur mendengar nasihat Puan hari tu. Saya banyakkan sabar dan tak lari dari rumah. Saya layan dia macam biasa walau hati saya sakit dan jelek. Berkat doa-doa saya melembutkan hatinya". Saya membaca mesej itu dengan rasa lega. Rupanya dia mendengar nasihat saya supaya tidak terlalu berkeras dengan suami yang sedang mabuk dilanda asmara. Gunakan pendekatan yang berhikmah dan banyakkan solat hajat.
Berbalik pada Salman, saya sempat berpesan agar menjaga iman walau di mana dia berada. Semoga jatidiri Melayu Islam tidak akan hilang dari dirinya. Dia membalas, dengan berkat doa guru-guru, maka jadilah kami hamba Allah yang berjaya dunia akhirat. Saya tersenyum puas. Manis sungguh bahasanya. Moga jadi ingatan buat diri sendiri juga. Elok bahasa, elok budi, disayangi Ilahi. Sesungghnya agama Islam itu ialah agama yang boleh mencorakkan budi bahasa yang indah seindah pekerti Nabi Muhammad s.a.w.

Anak ayam turun lima
Satu mati tinggal empat
Minta mati dalam agama
Biarlah tulis jalan makrifat


posted by Noraini Ismail @ 6:55 AM 3 comments


Monday, August 07, 2006

Kecil anak besar onak
Assalamualaikum
Pagi ini agak berat nak bangun, semalam tidur lambat. Selesaikan bacaan bab kedua buku Halal Haram terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Tapi kalau seorang emak susah nak bangun, anak apatah lagi. Saya gagahkan diri menentang rasa mengantuk dan terus kejutkan anak-anak. Macam-macam ragam yang terbit di pagi hari. Namun seorang emak mesti sentiasa bersabar. Yang paling kecil, Fatihah, minta didukung ke bilik air sambil merengek minta jangan dibasuh mukanya kerana dia akan sambung tidur lagi selepas mandi. Basahkan badan sahaja! Yang sulung, Fadhli, selsema dan batuk jadi merenung saya penuh harapan meraih simpati penuh makna. Namun saya dengan lemah lembut memujuknya supaya mandi dan bersiap sedia ke sekolah. Yang kedua, Farhan, selepas mandi mengelirukan saya dengan susunan jadual waktunya hari ini.
"Mama, hari ni mama ikut jadual hari apa?"
"Selasalah, kenapa?"
"Nanti mama ikut jadual hari Jumaat!"
"Tapi hari ni hari Selasa, kenalah ikut jadual hari Selasa"
"Nanti ada buku mama tak masukkan dalam beg!"
"Kalau ikut betul-betul jadual tu, adalah semua buku"
"Tapi nanti mama masukkan buku lain"
"Takkk...mama ikut jadual!"
"Bila cuti panjang?" Dia mengakhiri perbualan penuh rengekan dengan persoalan yang saya dah agak dalam hati. Saya teringat tulisan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad dalam bukunya, "Perjalananku sejauh ini: Sebuah Autobiografi".
"...belajar dalam darjah satu dengan hati yang amat berat kerana memang aku tidak gemar bersekolah...Aku merasakan satu kerugian besar bila setiap pagi terpaksa bangun awal, berpakaian kemas dan berjalan terus ke sekolah..." antara bingkisan Shahnon Ahmad.
Nampaknya Shahnon Ahmad juga tidak suka ke sekolah.
Putera saya yang ketiga tidak susah mengurusnya. Fahim tak pernah merengek. Tapi selepas siap berpakaian, sempat dia menutup sebentar matanya dan dalam sebentar itu, terdengar keruhan tanda lena!
Kerenah anak yang pelbagai di pagi hari kadang-kadang menguji ketabahan seorang emak. Dalam mengurus anak, sempatlah memanjatkan doa agar anak-anak ini biar susah diurus semasa masih kecil, namun apabila besar harapnya tidaklah menyesakkan dada! Janganlah menjadi onak wahai anak-anak mama.
Harapan semua yang bergelar emak ialah anak-anak dapat pendidikan yang sempurna yang dapat membantu mereka menjadi manusia yang berguna.

Apa guna memakai kasut
Dilangkah akan betis diri
Apa guna ilmu dituntut
Kalau tidak membantu diri


posted by Noraini Ismail @ 4:31 PM 2 comments


Rendah gunung tinggi harapan

Salam perkenalan dari saya, seorang Muslimah Melayu yang bercita-cita tinggi pada detik ini untuk menulis secara tekal walau arif dengan kelemahan diri...Nama saya Noraini Ismail, seorang pendidik anak bangsa. Sudah berumahtangga dan hidup bahagia dengan Shamsul Kamal bin Abdul Ghafar. Alhamdulillah, dikurniakan Allah empat orang cahaya mata; tiga putera dan seorang puteri. Untuk memulakan penulisan ini, saya mengambil masa yang amat panjang. Kurang yakin dengan diri sendiri! Walaupun saya mendapat A1 untuk matapelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu semasa SPM berbelas tahun sudah, namun kemahiran menulis dan merungkai niat di hati tidak lagi menjadi satu perkara yang mudah(saya terpaksa merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa peninggalan arwah abah untuk memastikan ejaan sesetengah perkataan). Saya jadi pengunjung setia blog sasterawan-sasterawan Malaysia, kagum dengan keindahan penulisan mereka dan berazam akan mempunyai blog sendiri. Hari ini, 8/8/2006, dengan rasminya saya menulis sesuatu di sini. Niat saya biarlah blog ini mendatangkan kebaikan buat diri sendiri dan menjadi wadah buat saya menyuarakan isi hati yang selama ini hanya dikongsi bersama suami dan beberapa teman rapat. Perkongsian suara hati saya diharap dapat memantapkan keimanan saya seorang Muslimah Melayu, melalui perbincangan yang sihat dengan bloggers di luar sana.

Banyak buah perkara buah
Buah di rimba jangan dimakan
Banyak tuah perkara tuah
Tuah menimpa saya harapkan


Salam perkenalan sekali lagi..

Detik inilah bermulanya sejarah blog saya. Sekadar ingin berkongsi rasa bersama bloggers yang tersesat...

No comments: