Tuesday, April 22, 2008

Cemburu

Sudah lama saya cemburu. Cemburu yang membuatkan tidur yang tidak nyenyak. Cemburu yang menjadikan saya termenung panjang. Mencari ilham bagaimana cemburu ini dapat diatasi. Saya cemburukan Dr Zaidi, Dr Intan, Khairul & Wan, Imah & Shahrul dan ramai lagi kawan-kawan yang sedang melanjutkan pelajaran dalam peringkat PhD. Zaidi & Intan sudah terlalu cemerlang. Cemburukan mereka kerana dapat keluar negara,usah diceritakanlah. Seronok baca entri Intan tentang brooch di Korea. Lalu saya terfikirkan diri sendiri yang masih teraba-raba tentang tajuk apa yang perlu saya teroka. Minat pada undang-undang kanak-kanak dan perlembagaan persekutuan memberi saya ilham untuk menggabungkan kedua bidang ini dalam penulisan. Tapi apa ya? Apa yang perlu ditulis? Saya berdoa abstrak saya ke Hong Kong diterima untuk pembentangan September ini. Artikel saya tentang child offenders diharap dapat menarik perhatian panel.

Tapi, disebalik kesibukan mencari ilham tajuk PhD, kerja-kerja pejabat, 5S, Audit Dalam, AKNC, marking papers, consultations, penulisan dan pembentangan, anak-anak saya terabai. Itu hakikat yang sangat menyedihkan. Penat seharian di pejabat membuatkan saya cukup penat di sebelah malam. Homework anak-anak terpaksa dilihat, prep mereka dipantau. Kadang-kadang nampak khusyuk membaca, rupanya majalah Doraemon. Beg mereka terpaksa disemak. Kadang-kadang ada kerja rumah tapi tidak dibuat. Akibat diasak dengan pelbagai hal disebelah malam, saya jadi cepat 'naik angin'.

Saya juga cemburu dengan suami. Namun, kerjaya beliau lebih penting. Sekiranya suami berpindah ke Segamat, kerjayanya susah untuk bekembang. Di Damansara, beliau menganggotai berbagai Jawatankuasa. Jawatan yang membantu kenaikan pangkatnya. Cemburu juga bila memikirkan seronoknya suami berseorangan tanpa diasak anak-anak dengan pelbagai kerenah.

Cemburu saya cemburu bertempat. Cemburu dengan perkembangan pesat pembelajaran rakan sekerja. Cemburu dengan 'ketidakserabutan' suami dengan kerenah anak-anak. Cemburu dengan mereka yang sebumbung dengan suami setiap hari.

Aduhai hati, bersabarlah lagi. Tentu Allah sudah tetapkan apa yang terbaik untuk diri.

4 comments:

Anonymous said...

Puan Noraini,

Saya mendoakan puan diberi ketenangan yang berpanjangan. Ingat DIA, DIA pasti memudahkan hidup kita. Sembahyang malam atau Dhuha. Saya pasti - InsyaAllah - Dia akan membantu!

MKI

aniisma said...

Salam Prof

Dunia siber tanpa sempadan, tanpa pintu dan tingkap telah membawa Prof ke 'rumah' saya. Terima kasih. Punya ketua yang amat prihatin membuatkan staf rasa lebih dihargai. Doa Prof saya hargai. Saranan Prof akan cuba diamalkan.

Terima kasih banyak.

Professor Dr Norzaidi Mohd Daud said...

Cemburu yang dibenarkan ialah cemburu untuk mencapai kejayaan seperti orang yang dicemburi. InsyaAllah dengan usaha, tawakkal dan doa akan membuatkan kita beroleh kejayaan di negeri dunia dan negeri akhirat. Saya mendoakan semoga puan beroleh kejayaan.

Anonymous said...

Salam Dr Zaidi

Baru terperasan ada jejak Dr ditinggalkan di sini. Syukran untuk doa Dr. Semoga Dr terus cemerlang

Noraini Ismail