Petang tadi, saya berkesempatan menjadi tenaga pengajar sukarela untuk kanak-kanak Tahap 2 SK Tebing Tinggi Segamat. Bahasa Inggeris memang antara matapelajaran kegemaran saya sejak sekolah rendah. Mendiang Cikgu Shanmugam percaya saya boleh menguasai matapelajaran ini walau dilahirkan dalam keluarga yang ibubapanya bercakap loghat utara setiap hari. Saya agak bagus dalam tatabahasa namun amat malu untuk berkomunikasi. Beliaulah yang mendorong saya memperbaiki kelemahan tersebut. Di UIA, kelemahan tersebut dapat dibaiki ke tahap yang lebih baik. Bila berkerja, ia menjadi lebih baik dan bertambah baik.
Cik Noridah, pensyarah Bahasa Inggeris UiTM Segamat memang sangat ikhlas mengajar. Ia boleh dilihat dari cara penyampaiannya yang bersungguh-sungguh. Dengan gaya mimik muka dan gerakan tangan, badan, kaki, beliau berjaya menambat hati pelajar-pelajar Melayu kita. Suaranya yang jelas, nyaring dan bermelodi amat menarik. Saya membantu dua kumpulan pelajar yang bersemangat tinggi dan minat belajar. Mendorong mereka supaya lebih berinteraktif dan pada masa yang sama memahami apa yang sedang dipelajari.
Aktiviti dimulakan dengan melihat tayangan kartun bertajuk 'Fire in the Kitchen', kemudian menulis semula apa yang dilihat dari tayangan tersebut, menyebut dan mengeja perkataan, membuat soalan atas apa yang dilihat dan menjawab soalan tersebut. Kami juga sama-sama menyanyi lagu 'Hero' dendangan Mak Cik Mariah Carey. Dan kemudian bertanding menyanyi tanpa melodi antara dua kumpulan. Saya seronok. Saya pasti pelajar-pelajar kecil itu tentu lebih seronok.
Ini baru betul. Pengajaran dan pembelajaran Bahasa, tidak kiralah apa Bahasa pun, mestilah bersifat menyeronokkan. Ada komunikasi dua hala. Ada hiburan bermakna. Ada gambar. Ada warna. Ada suara. Ada guru yang bersifat ikhlas seperti Cik Noridah.
Matematik dan Sains bukan Bahasa.
No comments:
Post a Comment