Monday, August 31, 2009

Emak

Emak datang ke Segamat. Untuk menjemput dua cucu anak arwah Kak Long yang telah seminggu berada di sini sempena cuti sekolah. Emak sampai petang semalam. Emak pakai beg tangan baru. Emak juga membawa sebekas kuih cucur badak untuk berbuka.

Saya masak masak lemak cili api ayam, sup tulang, sayur campur dan goreng ikan. Suami nak makan sagu mata ikan yang dicampur air gula merah berserta susu cair. Ditambah murtabak dari Bazar Ramadan.

Ramai-ramai kami berbuka puasa. Emak nampak berselera, nasi ditambah. Selepas berbuka emak solat. Dia nampak keletihan namun sempat juga dia menyambung tugas membasuh pinggan semasa saya bersolat Magrib. Sesudah Isya', emak sudah terbaring atas tilam. Dan tidur lena.

Saya bangun untuk masak sahur pukul 4 pagi. Emak masih nyenyak. Apabila usia meningkat, badan semakin tidak kuat. Emak senang tertidur. Emak kemudiannya terbangun dan melihat saya menyediakan juadah bersahur. Mukanya masih keletihan.

Usia emak menghampiri 60 tahun dan sudah 6 tahun ditinggalkan arwah abah. Beberapa kali 'ditanya' lelaki usia emas, namun emak menolak terus.

Saya di Segamat, emak di Serendah. Mengambil masa lebih 3 jam jika memandu. Pernah beberapa kali saya mempelawa emak untuk tinggal di Segamat. Balasnya, "bila emak dah langsung tak boleh bangun, masa tu nak bawa ke mana pun, bawalah". Saya menjadi anak sulung selepas Kak Long meninggal. Jadi peranan saya agak besar. Pengorbanan juga harus lebih besar. Emak selesa di rumah sendiri. Saya juga selesa di Serendah, rumah yang pernah kami sekeluarga hidup berbahagia sebelum abah dan Kak Long dijemput pulang dalam tahun yang sama, 2003. Namun, saya sudah memiliki rumah di Segamat. Ia seakan menghalang saya dari memohon untuk berpindah ke Shah Alam. Namun, bila memikirkan emak dan keadaan dirinya yang makin lemah, saya perlu berfikir dan memohon pertolongan Allah.

Takkanlah saya perlu menunggu emak sakit terlantar, baru saya membawanya ke Segamat?

Saya masih keliru dan hanya Allah Maha Menentu.

5 comments:

Nizam Awang said...

Alangkan pula bagi saya yang jauh ini, Kak Ani. Jagalah ibu sebaik-baiknya sementara beliau masih hidup. Doakan kesejehteraannya dunia akhirat.

Tetiba den rasa sayu..;-(

Mohd Halim Kadri said...

Salam Puan Noraini,

Siapalah kita tanpa kasih sayang ibubapa kita. Semoga ibubapa kita dikasihi Allah sebagaimana mereka mengasihi kita.

CIKGU AISHAH said...

puan,hargai lah mak puan sebaik mungkin..sementara masih berkesempatan..jgn jd mcm sy, xsempat pn nak balas jasa mak..nak minta ampun pun xsempat...lagi2 sy kini bergelar 'yatim piatu'..mmg besar dugaan ini.jd hargailah mereka sepenuhnyer.jgn menyesal di kemudian hari...

amirul_rafiq said...

saya pun sayang mak saya =) 3x lebih daripada saya sayang ayah saya...

amirul_rafiq said...

sagu mata ikan campur air gula merah??? menu yg agak pelik dan pastinya menarik...

kalau dapat, next entri upload la gambar makanan tu eh??? ehehehe