Sunday, December 28, 2008

Sek Keb Ampangan Seremban (1979-1984)

Ini entri retro. Semasa mengemas secara ala kadar perpustakaan nano di rumah, saya terpandang tiga buku kecil ini. Gambaran perpustakaan SK Ampangan berputar pantas dalam minda.

Darjah 5, menjadi Pengawas Perpustakaan (PP) memang menjadi idaman hati. Terlupa bagaimana cara saya terpilih. PP mendapat kelebihan membuka bungkusan buku-buku baharu bersama-sama guru. Juga pastinya mendapat keutamaan untuk menjadi pembaca pertama.

Buku-buku kecil seperti gambar di atas, dulunya muka hadapan bercorak batik. Seingat saya, semuanya dalam Bahasa Inggeris. Tulisannya besar-besar dan gambarnya cantik berwarna. Kebanyakkannya cerita-cerita rakyat dan dongeng. Cinderella, Alice, Gingerbread Man, Shoemaker antara tajuk-tajuk pilihan. Hampir setiap kali waktu rehat, saya akan ke Perpustakaan. Membawa bersama 2, 3 ketul karipap dan sebekas air, senyap-senyap saya membuka pintu yang berkunci dan segera mengunci semula. Waktu rehat, pelajar tidak dibenarkan mengunjungi Perpustakaan. Saya akan terus ke rak paling belakang dan sambil membaca buku-buku kecil, perut juga diisi. Seingat saya yang mudah lupa ini, hanya saya sahaja yang suka melakukan aktiviti tersebut. PP lain tidak pernah turut serta dalam operasi rahsia ini yang dapat melepaskan rindu saya pada buku.

Rasanya minat membaca bermula seawal darjah 2. Majalah Bujal menjadi majalah kegemaran. Kini, Along, Alang dan Kakak mengikut jejak. Angah lebih suka melukis.

Hanya baru-baru ini sahaja, keinginan memiliki Perpustakaan sendiri menjadi kenyataan. Walau ia hanya bertaraf nano library, alhamdulillah kerana buku-buku yang memenuhi rak di pejabat dapat di bawa pulang.



Belum berkesempatan untuk membahagi kumpulan buku mengikut genre, kerana bukanlah banyak mana...Yang penting, buku-buku kesayangan tersusun kemas di tempat yang sepatutnya.
Ilmu, semakin dicari, semakin terasa kerdil...
Semakin banyak tebu dicabut
Makin terasa tumbuhnya semak
Semakin banyak ilmu dituntut
Makin terasa bodohnya awak
Ilmu juga, semakin banyak di dada, semakin terasa rendahnya diri...
Terang bulan kerana mentari
Bersinar terang melimpah ke bumi
Indah tuan kerana pekerti
Berbekal ilmu tertanam di hati

4 comments:

nurhuda_cahayapetunjuk said...

Assalamualaikum...

Puan..

Hehehehe..kita mempunyai minat yang sama suka membaca..:)..saya juga mempunyai impian memiliki library sendiri di rumah, tapi bilik tersebut dalam pembinaan..:)

Doakan saya sentiasa mencintai ilmu seperti puan..:)

aniisma said...

Huda,

Waalaikumsalam

Semoga perpustakaan Huda akan siap terbina..dan Selamat Tahun Baru..

Anonymous said...

"Darjah 5, menjadi Pengawas Perpustakaan (PP) memang menjadi idaman hati. Terlupa bagaimana cara saya terpilih. PP mendapat kelebihan membuka bungkusan buku-buku baharu bersama-sama guru. Juga pastinya mendapat keutamaan untuk menjadi pembaca pertama.

Buku-buku kecil seperti gambar di atas, dulunya muka hadapan bercorak batik. Seingat saya, semuanya dalam Bahasa Inggeris. Tulisannya besar-besar dan gambarnya cantik berwarna. Kebanyakkannya cerita-cerita rakyat dan dongeng. Cinderella, Alice, Gingerbread Man, Shoemaker antara tajuk-tajuk pilihan. Hampir setiap kali waktu rehat, saya akan ke Perpustakaan. Membawa bersama 2, 3 ketul karipap dan sebekas air, senyap-senyap saya membuka pintu yang berkunci dan segera mengunci semula. Waktu rehat, pelajar tidak dibenarkan mengunjungi Perpustakaan. Saya akan terus ke rak paling belakang dan sambil membaca buku-buku kecil, perut juga diisi. Seingat saya yang mudah lupa ini, hanya saya sahaja yang suka melakukan aktiviti tersebut. PP lain tidak pernah turut serta dalam operasi rahsia ini yang dapat melepaskan rindu saya pada buku."

Kak Ani...Kita serupa...."sama sebiji" situasi seperti di atas...dan mata ini rabun pun gara2 terlalu asyik membaca (dalam cahaya samar)..tapi sayang 1000 kali sayang...ntah ke mana buku kesayangan menghilang...(org pinjam atas pinjam). tajuknya ialah "Hikayat 1001 Malam", "Bayan Budiman" dan "Hikayat Bakhtiar".

Anonymous said...

Salam Mas

Buku2 yang hilang tu mahal nilainya, terutamanya yang menceritakan 'folklores' Melayu.

Kak Ani