Wednesday, January 7, 2009

Cabaran 2009-satu catatan peribadi

Saya banyak mencabar diri sendiri (diam-diam sahaja, diri sendiri yang tahu). Terasa diri semakin kekurangan itu ini (mungkin kerana faktor usia?). Azam dipasang awal tahun. Semoga tercapai. Ia berkenaan hal-hal peribadi dan tentulah pencapaian dalam pekerjaan. Selain dari mencabar diri sendiri, cabaran-cabaran nyata atau hakiki semakin terasa.

Sebagai ibu, sudah pasti cabaran membesarkan anak-anak menjadi keutamaan. Yang sulung sudah mencecah usia remaja awal. Banyak bertanya soalan tentang lelaki perempuan. Kadang-kadang begitu susah untuk menyusun ayat agar berbunyi lebih sopan. Soalannya sangat 'innocent'. Besyukur juga kerana dia lambat memahami perkara-perkara sulit tersebut. Kalau terlebih sulit, biarlah 'abahnya' yang memberi penerangan. Yang kedua, ketiga dan keempat masih kanak-kanak. Sikap kanak-kanak terkadang banyak mencabar kesabaran. Cabaran yang memenatkan namun bila teringat mereka adalah amanah ALLAH, keinsafan hadir dalam diri dan berdoa diberi kekuatan untuk terus memberi yang terbaik dan semampu diri.

Sebagai isteri, faktor berjauhan pencetus cabaran kepercayaan dan redha. Setelah 12 tahun bersama-sama mengharungi pelayaran hidup sebagai pasangan suami isteri, diharap dapat membantu lebih memahami makna sebuah institusi keluarga yang diredhai ALLAH. Bersuamikan lelaki yang terlalu bersistematik (5S) mencabar saya yang sudah tegar dengan 5S yang lagi satu (slow, selamba rock, semak, skema, sorok, ada lagi s...cukuplah 5). Namun, 5S memang bagus. Cuma perlu ada ketekunan diri.

Sebagai pekerja, kerana 'enjoy' dengan kerjaya ini dan segala yang berkaitan dengannya, cabaran kecukupan masa, kesihatan yang baik dan tenaga yang banyak menjadi persoalan utama. Masa banyak mengekang. Tidak cukup 24 jam. Dan saya perlu tidur sekurang-kurangnya 5 jam sehari. Jadi tinggal 19 jam. Bukan setakat mengajar, malah bahan pengajaran perlu dikemas kini, ditambah dengan aktiviti jabatan, pelajar, universiti: adalah antara tugas yang menyeronokkan namun meletihkan badan yang semakin kurang kesegarannya. Perlu ambil supplements? Kacip Fatimah? Manjakani? Gamat? Aktiviti pejabat perlu dihadkan dalam masa pejabat sahaja. Anak yang empat juga perlu perhatian. Satu cabaran yang berat.

Sebagai anak perempuan pertama (jadi pertama setelah kematian Kak Long), sikap terlalu sensitif emak mencabar naluri anak. Dalam usia mencecah 58 tahun dan didampingi kencing manis serta darah tinggi dan juga ketiadaan abah di sisi, emak cepat terasa. Daus dan Nurul pula sedang meningkat remaja. Sering tidak sefahaman. Emak masih dengan mentaliti dulu-dulu,manakala adik berdua itu sedang merasai perubahan usia di kala dunia penuh dengan perubahan pesat. Nasihat saya pada adik, jangan dijawab segala kata-kata emak walau jelas kata-kata tersebut salah atau tidak tepat. Telan sahaja. Kita tidak dapat mengerti perasaan emak sekarang.

Sebagai kakak kepada adik-adik, cabaran terasa jua. Apabila ada masalah berbangkit, pendapat kita menjadi cagaran. Perlu lebih rasional sesuai dengan umur ini, perlu lebih matang membuat keputusan. Namun sebagai manusia, adakala kita dipengaruhi seribu perasaan. Terkadang, usai pendapat diberi, difikir sekali lagi. Susah juga menjadi Kak Ngah yang menggantikan tempat Kak Long...

Sebagai hamba ALLAH, cabaran memenuhi janji-janji untuk tidak lagi mengulangi perbuatan yang dibenci dan melakukan perkara-perkara yang disukai adalah bergantung kepada tahap keimanan dari masa ke semasa. Keimanan yang senipis kulit bawang menjadi taruhan. Semoga menang bergaya sehingga ke dunia yang abadi.

Cabaran ialah perencah dan penentu kesejahteraan sebuah kehidupan.

2 comments:

ROS said...

Salam Ani.
Begitulah kita,Ani. Makin meningkat usia kita, makin banyak cabaran yang kita hadapi. Pasal mak, adik2, anak2,...dan diri sendiri..

Mak saya pun mula merajuk sejak akhir2 ni, terutama jika anak2 tak balik menjenguknya hujung minggu.

Kita pula bila dah makin meningkat usia, dah tak cergas macam dulu...badan mula sakit sana sini. Anak2 mula membesar perlu perhatian. Kadang2(selalu juga sebenarnya) hilang sabar.

Anonymous said...

Salam Ita

Kelak bila kita pula berada di tempat mak kita sekarang, kita akan merasa apa yang mak rasa. Jadi, apa yang mak buat atau kata,yang kadang kala mengguris hati dan perasaan,Ani telan aje.

Semoga tiada tindak tanduk kita yang membuat emak marah dan terasa.

Ani