Friday, January 23, 2009

Kualiti Teras Kejayaan Dunia Akhirat

Tajuk di atas adalah ransangan untuk diri sendiri. Bagaimana untuk menjadi manusia yang berkualiti?

Mendengar ucapan Prof Kamil yang sungguh bersemangat pagi tadi, ada dua cara terbesar untuk menjadi manusia berkualiti khusus buat yang beragama Islam.

Pertama SOLAT kedua membaca AL QURAN.

Prof tidak jemu-jemu menyebut dua perkara ini dalam setiap ucapannya. Bagi diri ini yang kadang ingat kadang lupa, peringatan yang disebut berkali-kali berjaya menginsafkan diri yang cuai dan lalai.

Melalui solat, bila berhadapan dengan Yang Maha Besar dalam keadaan khusyuk, diri terasa sangat kerdil, masih belum sempurna dan terlalu banyak dosa lampau yang entah diampunkan entah tidak. Namun, tetap berpegang teguh bahawa Allah itu Maha Pengampun. Compang camping dalam solat juga perlu diperbaiki. Rasanya dapat dikira berapa kali khusuknya diri dalam solat. Malu...

Bacaan Al-Quran juga masih jauh dari cemerlang. Bila menonton Kalam Suci Astro Oasis, tersedar bahawa banyak bacaan selama ini melanggar hukum tajwid. Tebal nipis huruf, qalqolah, idgham, mad...Ohhhhh..terimbau ingatan kepada Ustaz-ustaz di SMKA Sheikh Haji Mohd Said Seremban...Wahai ustaz semua, andainya waktu dapat diputar kembali, ingin sahaja saya kembali ke kelas 1, 2 dan 3 Atarid bagi menekuni tajwid dalam bacaan Kitab Suci Al Quran. Betapa waktu dahulu, kelas Al-Quran dirasakan antara kelas yang sangat panjang masanya...tetapi kini, betapa ruginya kerana tidak menghargai detik-detik itu...Semoga ustaz-ustaz semua dalam naungan kasih sayang Allah.

Solat dan Al Quran pemangkin kualiti dalam kehidupan. Moga diri ini lebih memahami....

Dunia ini pinjam-pinjaman
Akhirat itu tempat tujuan
Solat yang wajib, ditinggal jangan
Dendangi diri dengan Al Quran

No comments: