Monday, January 12, 2009

Muar, 1976-1978

Semasa sedang mencari-cari gambar untuk 'presentation' 5S, saya terbuka 'folder' gambar dulu-dulu. Nostalgia di Muar kembali mengingatkan kepada gemulah abah dan kak long. Abah berambut kerinting. Hanya adik di JB mewarisi jenis rambut abah. Manakala saya mewarisi rupa abah hampir seratus peratus kecuali rambut. Orang selalu menggelar saya 'anak abah'. Bangga juga walau tidak sedikit pun mewarisi kecantikan mak yang berhidung mancung dan berkulit cerah. Arwah Kak Longlah anak yang paling cerah dan menjadi cucu kesayangan Tok Nek di Sungai Acheh Nibong Tebal.
Dulu saya 'tomboy'. Ada geng basikal. Dua rakan lelaki dan saya sendiri. Kami akan berbasikal sekeliling padang yang luas hingga menjelang Maghrib. Malangnya, saya terlupa langsung nama-nama rakan basikal. Apapun, ia tetap kenangan manis.

Gambar di Tadika Kemas Jalan Temenggung Ahmad pula mengimbas kenangan manis bersama-sama rakan seusia. Hanya nama Fuad sahaja yang masih dalam ingatan. Fuad berdiri berhampiran tiang bendera, empat dari kanan. Kenapa ya saya hanya ingat nama Fuad. Yang pasti ketika Fuad berpindah ke Tadika lain dan beredar dengan kereta ayahnya, saya sedih dan tidak putus-putus melambai dari tingkap rumah yang berhadapan dengan Tadika.
Gaun yang dipakai semasa bergambar merupakan gaun pertama saya yang kebiasaanya hanya suka berseluar dan ber'tshirt'. Gaun hanyalah untuk 'special events'. Alhamdulillah, tidak terbawa-bawa hingga ke besar.
Mahalnya kenangan-kenangan tersebut dan perlu ada coretan yang boleh dirujuk anak-anak saya kelak.

No comments: