Thursday, March 5, 2009

Hak Kanak-Kanak (7)

1980an- Untuk menyertai aktiviti Persatuan Puteri Islam dan Persatuan Bahasa Inggeris, saya terpaksa berjalan sejauh 1 kilometer dari rumah ke sekolah rendah. Keluar sahaja dari pintu pagar rumah, saya akan menyelusuri jalan lurus selama 10 minit. Saya akan melalui jambatan yang merentasi sebatang sungai berarus deras dan seterusnya membelok ke kanan. Sekiranya masih awal, saya memberanikan diri turun sebentar ke tepian sungai, mengocak-ngocak airnya yang jernih dan sejuk. Sekumpulan ikan kecil jelas kelihatan berenang riang. Kemudian saya akan terus berjalan sehingga sampai ke jalan berdenai. Laluan sempit bertanah merah itu merupakan jalan pintas ke sekolah. Rumput dan lalang yang melebihi ketinggian saya memenuhi kiri kanan jalan tersebut. Terkadang sempat saya mematahkan sebatang dua pohon paku pakis untuk dibuat pensil khat. Jalan itu sunyi. Saya mengambil masa lebih kurang 5 ke 7 minit sebelum sampai ke jalan utama. Saya akan membelok ke kanan dan berjalan lagi sekitar 10 minit sebelum sampai ke pagar sekolah.

Kini, apabila memikirkan kembali detik berjalan seorang diri di denai, saya terasa seram sejuk. Betapa beraninya saya ketika itu. Betapa beraninya emak saya melepaskan saya berseorangan ke sekolah. Waktu itu tentu tiada kes culik dan rogol anak-anak kecil. Kalau adapun, ia kes yang sangat terpencil. Sebab itulah seorang emak seperti emak saya percaya kepada keadaan sekeliling pada masa itu.

2009- Apabila Fatihah menyatakan hasrat untuk bermain dengan anak jiran belakang rumah, saya akan mengarahkan abang-abangnya mengiringi Fatihah sehingga selamat sampai ke rumah jiran tersebut. Jika Fatihah bermain basikal, saya akan meminta abang-abangnya berkonvoi di belakang Fatihah. Jika Fatihah ingin membeli aiskrim Malaysia di kedai berdekatan rumah (yang kalau batuk2 pun boleh dengar) saya akan meminta abang-abangnya menemaninya. Betapalah saya risaukan keselamatan anak dara saya yang seorang itu....

Saya merasakan hak kanak-kanak di Malaysia untuk bermain (Artikel 31 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak) semakin tergugat dengan meningkatnya kes jenayah ke atas mereka akhir-akhir ini. Sehingga detik ini, pembunuh adik Nurin Jazlin dan penculik adik Sharlinie masih lepas bebas. Kini, ibubapa tidak lagi berani membiarkan anak-anak gadis cilik mereka bermain sebebasnya. Jika dulu, perogol bersiri adalah dari golongan dewasa, kini kanak-kanak lelaki seusia 13 tahun pun sudah pandai merogol atau mencabul. Ini semua terhasil dari kemudahan teknologi. Klip video lucah hanya dihantar melalui telefon bimbit. Dengan hanya menekan butang play, segala yang rahsia kini menjadi tatapan umum.

Saya risaukan kanak-kanak kita. Jenayah ke atas golongan mentah ini semakin menakutkan. Jenayah minda dan jenayah fizikal.

Jenayah minda terhasil apabila kita terlalu mempertahankan hak kanak-kanak untuk menerima maklumat berdasarkan Artikel 13 Konvensyen yang sama. Ada ibubapa yang membiarkan anak-anak mereka melayari internet tanpa sekatan. Handphone canggih diberi berserta duit top-up. Atas dasar kebebasan, ia membuka pintu-pintu yang sepatutnya tidak boleh dibolosi kanak-kanak. Hasilnya, anak-anak kita dewasa sebelum waktu. Juga, pengaruh rakan sebaya sangat merisaukan. Secermat mana kita menatang minyak yang penuh, ia tetap tumpah.

Untuk ibubapa di luar sana, kita semua harus lebih berhati-hati...Dan saya mendoakan kesejahteraan anak-anak kita, keselamatan jasad mereka, kebersihan roh mereka dan kelangsungan masyarakat yang tinggi ketamadunannya...

3 comments:

AnDeH said...

Salam,
entry yang menarik puan.
Mmg berhasrat nak menulis tntang bahana telefon bimbit berkamera yang menghilangkan 'hijab' atau hak privasi seseorang terutama kaum hawa hari ini. Namun, masih mengumpul contoh2 yang berlaku belakangan ini untuk dihujahkan. Baru dapat 2 kes iaitu kes jururawat yang diugut oleh teman lelakinya unt menyebarkan rakaman aksi panas teman wanitanya dan kes lelaki 23 tahun yang ugut teman wanitanya berusia 17 tahun menyebarkan rakaman 'hubungan intim' mereka.

Kamera pada telefon bimbit banyak disalahgunakan hari ini. Namun, tidak kurang pula banyak membantu seperti kes pemimpin PKR yang dirakam aksinya di luar parlimen bagi membuktikan siapa yang 'memulakan' dahulu perselisihan antara DAP dan BN. Kes pecah rumah seperti yang dirakam jiran mangsa dalam paparan 999 mlm khamis lalu, kes kompromi perbualan tentang perlantikan Ketua Hakim dan mcm2 lagi..

Jadi, terpulang kepada 'integriti' penggunanya untuk menjadikan telefon bimbit berkamera sebagai sesuatu yang baik atau sebaliknya. Cuma, hari ini kita perlu lebih berhati-hati untuk melindungi hak privasi masing2 terutamanya kaum hawa...
Wallahu a'lam...
-Andeh-

aniisma said...

Pak Andeh

Perlu bantuan perundangan? Boleh sahaja kita bergabung buah fikiran...

AnDeH said...

Insya Allah..
sy taw puan sgt arif tntg perundangan..bole tkr2 fikiran.
tQ puan...hehee