Monday, February 23, 2009

Kalaulah aku boleh berkata-kata...

"Makmurkanlah aku, datanglah beramai-ramai, berkenal-kenalanlah, kuatkan silaturrahim, panggillah mereka yang berilmu dan sampaikanlah ilmu mereka, bersihkan aku, harumkan aku, hidupkanlah malamku, marilah wahai pemuda, bacalah Quran itu, betulkan bacaan rakanmu, berbincanglah, dekatkan dirimu, langkahkan kakimu ke sini, rinduilah aku..."

Kalaulah surau boleh berkata-kata...

Dan kalaulah saya lelaki, saya akan ke surau setiap waktu solat. Aduhai, seronoknya bersolat jemaah, rapatnya kita sehingga boleh bersentuh bahu, bersalaman selesai doa dipohon...

Surau di Pangsapuri SM Pandan Indah kelihatan bermaya kebelakangan ini. Dulu, ia lesu, sepi, muram, kering...Paling sedih, ada pasangan ditangkap khalwat di situ. Jemaah lelaki sangat kurang. Hampir pupus. Namun, apabila ada 'orang luar' cuba menghidupkannya, penduduk Muslim Pangsapuri bising. Seolah-olah takut berlaku rampasan kuasa. Mesyuarat tergempar diadakan. Bagaimana mahu mengelak orang luar itu menguasai surau. Sayangnya, suami dan saya telah berpindah ke Segamat. Kami tidak tahu secara terperinci mengapa tindakan cuba menghidupkan surau ditentang. Namun, alangkah malangnya sekiranya punca tentangan ialah kerana mereka orang luar...Tetapi kini, surau tersebut telah dibesarkan dan kelihatan sangat bermaya. Semoga ia kekal begitu.

Di Bukit Beruntung..."Kami mahu pelantikan nazir dan jawatankuasa masjid ini dilakukan mengikut peraturan yang betul dan bukan menyeleweng serta tidak beradab,” kata Timbalan Nazir Masjid As-Salam, Bukit Sentosa di sini, Yaziz Yunus. Menurut Yaziz, pemilihan jawatankuasa baru mesyuarat agung khas masjid itu Ahad lalu tercemar dengan tindakan sekumpulan bukan ahli kariah yang dipercayai ‘pengundi hantu’ merampas kuasa pentadbiran yang dipegang jawatankuasa lalu."

Sekarang, istilah pengundi hantu digunapakai bukan sahaja dalam pilihanraya, dalam masjid yang mulia pun wujud pengundi hantu. Apalah puncanya sehingga berlaku peristiwa tersebut.

Dan kalaulah masjid itu boleh berkata-kata...

"Cukup-cukuplah dengan politik duniamu..Aku didirikan bukan untuk mendengar pertelingkahan ini. Aku digunakan untuk mengumpulkan jemaah Muslim yang bersatu padu.
Bersatulah wahai umat Islam, ketepikan perbezaan, bergotong royonglah dalam segala hal yang tidak termasuk kezaliman, dosa, dan permusuhan..."

2 comments:

AnDeH said...

POlitik Msia kini sudah terlalu 'jauh'... :(

-Andeh-

Melihat Kesunyataan said...

Assalamualaikum!
Memang benarlah, kita seharusnya 'membuka pintu pagar' perbezaan. Terutama kepada Encek-cencek semua. Tahniah! Sajak yang menarik. Penuh pengertian.