Friday, September 3, 2010

Ramadan keduapuluhtiga

Khamis yang tenang. Cuaca agak panas. Dua tiga urusan perlu diselesaikan hari ini. Tetapi agak terganggu kerana kerja pemasangan penghawa dingin yang baharu di pejabat. Mereka kata mereka akan tutup peralatan dan perabot dengan kanvas namun jauh panggang dari api. Semuanya terdedah begitu sahaja. Saya berpejabat di bilik rehat pensyarah. Namun, namanya pun bilik rehat, jadi lebih rehat dari bekerja...

Kelas petang itu kelas terakhir pelajar pengangkutan. Kami sudah selesai menggantikan kelas untuk minggu hadapan. Ada dua lagi kumpulan yang akan membentangkan tugasan mereka. Kedua-duanya kumpulan pelajar lelaki. Slides mereka kosong, hambar, tiada bunga, tiada kupu-kupu yang terbang, tiada apa-apa. Kosong. Namun, mereka dapat bentang dengan baik sekali. Mereka menjiwai topik. Lancar. Saya menghargai pelajar perempuan yang cukup kreatif bermain dengan slides mereka. Terkadang saya leka memerhati kupu-kupu perbagai warna di layar putih. Namun, mereka kurang menjiwai topik. Tetapi mereka hanya berusia 19 tahun, masih terlalu muda belia. Masih banyak masa untuk memperbaiki kelemahan pembentangan. Atau mereka malu barangkali kerana banyak pasang mata akan memerhati mereka semasa pembentangan.

6pm, saya terus memandu pulang ke rumah. Misi memasak kueh tiow goreng mesti dilaksanakan. Itu permintaan Fadhli. Jika tidak, pasti si sihat itu akan merajuk dengan mata berair...

No comments: