Saturday, September 4, 2010

Ramadan keduapuluhempat

5am, kami sedang bersahur. Farhan menyuap nasi ke mulut dengan mata tertutup. Fatihah dengan rambutnya yang serabut dan kembang. Fahim masih terpisat-pisat. Fadhli sedang berusaha melawan perasaan mengantuk. Tiba-tiba terdengar deraian air hujan menimpa awning pintu dapur yang sedia terbuka. Subuh Jumaat yang mulia, hujan turun di Segamat. Saya segera ke pintu. Ingin merasakan dingin hawa saj-saj Subuh. Subhanallah, kedinginannya melekakan.

Jumaat ini ialah persekolahan terakhir anak-anak sebelum Syawal. Semuanya telah teruja untuk pulang beraya di Serendah. Mereka asyik mengira berapa hari lagi mereka wajib berpuasa. Kita pula mengira berapa hari lagi Ramadan akan meninggalkan kita yang masih berusaha mencari yang terbaik...

Ustaz Omar bercerita tentang banyak perkara di Tazkirah Jumaat pagi tadi. Bagi saya, bagilah Ustaz ini 5,6 jam pun, kita tidak akan bosan mendengar tazkirahnya. Beliau banyak pengalaman. Beliau bersuara lembut. Beruntunglah bagi sesiapa yang sentiasa merapatkan diri dengan mereka yang berilmu. Ustaz bercerita tentang amalan membaca surah Al Kahfi pada malam Jumaat. Surah ini panjang dan penuh dengan kisah menarik. Saya teringat kepada ayah seorang sahabat yang akan sampai awal ke masjid sebelum solat Jumaat semata-mata kerana ingin membaca surah Al Kahfi sehingga selesai. Setiap surah dalam Al Quran ada kelebihan tersendiri.

UiTMJ kelihatan sunyi. Pelajar telah mula meninggalkan bumi Segamat. Begitu juga dengan Ramadan...

No comments: