Tuesday, July 20, 2010

Suatu Fakta

Selepas Subuh Ahad lalu, saya menemani adik membeli nasi lemak buat sarapan kami. Beberapa peniaga Melayu yang menjual kuih muih, roti canai, nasi lemak, mee goreng, lontong, awal-awal lagi sudah mula memperdagangkan hasilan masing-masing kepada pembeli. Taman rekreasi di Taman Setia Indah Johor Bahru itu sememangnya lokasi yang bagus untuk berniaga. Ramai pengunjung taman akan membeli sebelum atau selepas melangkah ke kawasan hijau penuh pohon rendang. Beberapa pohon kelapa sawit tegap berdiri, dibiarkan pemaju buat penyeri taman. Saya biarkan adik melangkah pulang ke rumahnya sementara saya berjalan perlahan-lahan menyedut udara pagi yang segar di sekitar taman.

Sambil melangkah, pandangan saya tertumpu kepada sekumpulan lelaki dan wanita Cina yang bersenam mengikut muzik. Senaman tai-chi. Saya melangkah lagi. Kali ini, saya melihat sekumpulan lagi, bangsa yang sama, bersenam mengikut alunan muzik yang lebih rancak. Saya teruskan langkah. Saya memperlahankah langkah apabila melalui sekumpulan wanita muda Cina yang bersenam aerobik. Mata saya mencari-cari kelibat kaum Melayu. Tiada dalam kumpulan tersebut. Yang ada ialah sepasang lelaki dan perempuan yang sedang bergurau di pondok berhampiran. Saya teruskan langkah. Terpandang lagi sekumpulan manusia bukan Melayu bukan India yang berpakaian t-shirt putih dan berseluar hitam sedang bersenam lembut mengikut alunan muzik. Saya panjangkan langkah lagi hingga menghampiri sekumpulan pemuda Cina yang sedang bermain bola keranjang. Sepanjang dua pusingan perjalanan saya di taman, hanya 10 ke 15 bangsa saya yang bersenam. Selebihnya bangsa mereka. Dari yang muda hinggalah ke nenek-nenek.

Saya hanya mampu tersenyum sendiri apabila memikirkan di mana bangsa saya berada saat ini. Mungkin masih di rumah, sambung tidur selepas Subuh. Mungkin di hadapan tv, menonton Tanyalah Ustaz seperti emak saya di Serendah. Mungkin ke pasar bagi memastikan hidangan tengahari yang enak bermutu buat ahli keluarga di hujung minggu. Mungkin sedang menyiram bunga dan menabur baja di dalam pasu. Banyak kemungkinan lain yang selalu dibuat oleh bangsa saya yang kurang mementingkan senaman termasuklah yang sedang menaip ini...

Yang menariknya, semasa bersarapan bersama-sama adik, saya diberitahu hanya 30% penghuni kawasan sekitar taman tersebut adalah bangsa mereka. Selebihnya bangsa kita.

No comments: