Monday, July 19, 2010

Di mana kita Melayu?

Teguran Mufti Perak mengenai perpaduan bangsa Melayu dan kesan ketidaksepakatannya bukanlah sesuatu perkara baharu. Namun, apabila Mufti bersuara, kenalah kedua belah pihak bertindak segera. Orang alim begini bersuara apabila perlu. Jarang sekali kita mendengar beliau campur tangan dalam politik (pengecualian diberi dalam isu politik Perak). Tentu ada sesuatu yang mengganggu fikirannya sehingga isu yang diperkatakan diangkat menjadi tajuk besar akhbar semalam.

Orang Islam percaya kepada takdir. Jika kita berkata 'itu sudah ditakdirkan' apabila perkara yang ditakuti Mufti itu terjadi, ialah selemah-lemah kepercayaan kita pada takdir. Kita perlu berusaha. Jangan sampai satu hari nanti, hak beragama dan mempertahankan agama seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan kita dipinda. Bila sudah cukup majoriti undi, kita akan menjadi mangsa takdir yang kita bentuk sendiri.

Kita bukan racist. Islam menggalakkan kita berbaik sesama manusia tidak kira agama dan kepercayaan. Islam tidak pernah menyuruh kita menghina agama lain. Kaum lain bebas beribadat. Bebas merayakan hari kebesaran mereka. Sedang pertambahan cuti Deepavali juga mungkin akan dipertimbangkan Kabinet. Cuma sebagai manusia, apabila kita diberi kuasa dan mandat kepercayaan, kita akan menentukan sesuatu yang memberikan banyak faedah kepada mereka yang sealiran dengan kita dan pada masa yang sama cuba sebaik mungkin untuk tidak menindas hak orang lain. Itu secara logiknya. Kita akan jadi lebih sensitif kepada isu agama. Kaum di Malaysia pula kaum yang beragama, bukan free thinker. Kita lebih peka dalam bab mempertahankan agama masing-masing.

Oleh itu wahai umat Islam Malaysia, kita perlu bersatu. Tulisan ini mungkin tidak sampai jauh, namun buat yang dekat, berdoalah agar perpaduan yang diseru Mufti Perak itu disahut segera oleh pemimpin-pemimpin Islam negara. Lupakanlah seketika hal gula dan pasir. Kerana perkara-perkara manis yang sedang dikecapi oleh kita sekarang mungkin akan terhakis sedikit demi sedikit...

No comments: