Monday, July 5, 2010

Langkah-langkah Haji

Saya seorang yang senang terpengaruh dengan nukilan yang indah dan meyakinkan. Terutama mengenai perjalanan seseorang ke sesuatu tempat yang belum saya lawati. Saya pernah mencuba sejenis masakan tradisional Iran di sebuah restoran di Kg Baru,KL selepas terpengaruh dengan penulisan si penulis. Travelog Iran karangan Dina Suleiman amat mengagumkan. Semasa menempah makanan tersebut, perasaan penuh teruja. Selepas dihidang oleh pramusaji, saya bersusah payah berusaha menghabiskannya setelah dijeling-jeling suami. Nasi bercampur sayuran hijau yang dibungkus menggunakan daun anggur sungguh tidak kena dengan tekak! Masam!

Kini saya sedang menghayati semula penulisan Prof Dr Haji Kamil yang saya kagumi, Travelog Haji. Buku terbaharu Puan Roza juga sudah diselesaikan. Travelog Cinta Abadi ditulis penuh perasaan. Pasangan ini memang berbakat besar dalam bidang penulisan. Dan tekun!

Emak telah mendapat jemputan Allah menunaikan fardhu Haji musim ini. Firdaus akan menemaninya. Bakal Haji muda ini selalu terbabas subuhnya gara-gara menonton perlawanan bola sepak. Lalu saya meminta emak mengejut Firdaus dari lena dengan memanggil Haji, Haji bangun Subuh! Ternyata berkesan!

Buku karangan Prof saya baca dengan penuh teliti. Jika sebelum ini saya membaca sekadar menimba pengalaman manis Prof di Tanah Haram tapi kali ini saya baca dengan tujuan memahami secara terperinci bagaimana langkah-langkah menunaikan Haji. Setiap tajuk kecil saya cuba fahami dengan gambaran di minda. Dari umrah sunat sejurus tiba di Mekah sehinggalah Tawaf Wada' dan berlanjutan ke bumi Madinah. Penulisan Prof santai namun bermaklumat. Jika kita membaca buku Panduan Haji dan Umrah yang disediakan oleh Tabung Haji, mata akan layu setelah beberapa ketika. Namun sekiranya membaca buku Prof, insyaAllah, kita mampu menghabiskan banyak bab yang diolah dengan gaya bahasa yang menarik.

Pengalaman Prof saya ceritakan kemudiannya kepada emak. Emak mendengar penuh khusyuk. Untuk membaca sendiri, agak sukar bagi emak. Nanti, andai dibaca dan ditelek, tulisan-tulisan itu akan mengembang dan menguncup sendiri. Dan emak akan menutup dan menyimpan kembali buku tersebut. Pening, katanya. Saya ceritakan pada emak bagaimana suasana di hadapan Kaabah kelak, semasa melontar, suasana di Mina, tahallul, solat di Raudah, seolah-olah saya sudah ke sana. Malam itu, saya tertidur bertemankan buku-buku Haji. Lampu yang terpasang ditutup emak. Khusyuk sampai tertidur, kata emak.

Penulisan Prof membantu memahamkan bakal Haji sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah. Untuk warga emas seperti emak, anak-anaklah yang perlu berusaha menerangkan seringkas-ringkasnya agar perasaan gelisah mereka mengenai langkah-langkah Haji akan berkurangan.

No comments: