Monday, July 5, 2010

Hajar dan kisahnya

Saya ada kawan, namanya Siti Hajar. Kulitnya putih, tudungnya labuh, bajunya longgar, langkahnya kemas, cucu kepada Sheikh Haji Mohd Said, ulama Seremban. Sesuai dengan kedudukannya sebagai cucu seorang ulama tersohor, Siti Hajar dikagumi kerana kewarakannya. Entah di mana rakan saya yang seorang ini...

Saya membaca buku karangan seorang penulis Iran, Dr. Ali Shariati: Haji Suatu Perjalanan Ibadah. Ada cerita menarik tentang Siti Hajar, isteri kedua Nabi Ibrahim. Siti Hajar adalah seorang wanita berkulit hitam dari Afrika, dipilih oleh Siti Sarah kerana dengan kekurangan rupa paras Hajar maka berkuranganlah cemburu Sarah. Namun, kerana kemuliaan Hajar, Allah telah mengiktiraf kedudukannya, ditolak tepi rupa dan warna kulitnya, diangkat menjadi ibu kepada Nabi Ismail dan bertambah istimewa lagi kawasan yang dipijak Hajar semasa berlari-lari mendapatkan air buat Nabi Ismail dijadikan tempat saie bakal Haji. Saya tertarik dengan cerita ini yang penuh dengan cerita sisi. Tentang sisi wanita yang cemburu. Sisi terbinanya tempat ibadat utama Muslimin Muslimat terutamanya.

Saya mencari-cari cd dalam kereta. Himpunan lagu bertemakan wanita mulia dalam Islam sering dimainkan. Namun, selepas dibelek senarai judul lagu, tiada satupun mengenai sejarah wanita mulia ini. Saya tahu Saiyidatina Khadijah hebat sejarahnya, Saiyidatina Fatimah mulia keturunannya, Saiyidatina Aisyah luhur cintanya, Rabiatul Adawiyah dengan kisah zuhudnya, Asiah isteri Firaun dengan kesabarannya, namun ada sesuatu yang hebat tentang Siti Hajar yang jarang direkodkan dalam bentuk nasyid. Sekurang-kurangnya, di Tanah Haram, terbinanya Hijir Ismail dan terletaknya Hajarul Aswad...Hijir dan Hajarul, ada kaitan dengan nama Siti Hajar.

Saya pasti akan mencari buku tentang wanita hebat ini...

No comments: