Anak ketiga saya pernah dicubit gurunya. Mungkin kuku guru tersebut agak panjang, cubitannya mungkin agak kuat, geram barangkali, kulit kawasan yang dicubit terkopek sedikit dan berdarah.
Saya agak terkejut, agak kasihan dengan anak, agak terasa dengan guru tersebut. Saya berfikir dahulu sebelum bertanya suami tentang apa tindakan yang patut diambil.
"Anak kita mungkin nakal masa di kelas, guru pula mungkin penat, keadaan dalam kelas mungkin agak panas, murid-murid mungkin agak bising, jadi guru mencubit dengan perasaan agak geram..." kata suami.
Jadi, kami diamkan sahaja perkara itu dan menasihatkan anak kami supaya jangan nakal di dalam kelas, buat semua kerja sekolah, jangan melawan nasihat guru, hormat guru, kasih guru.
Anak itu juga pernah bergurau di dalam kelas. Pensil warna merah jambu yang baru di asah kawan dicucuk di atas tapak tangannya. Mereka bergurau. Tiada guru di dalam kelas pada waktu itu. Tiada kakak atau abang darjah enam yang mengawasi kelas. Murid-murid dibiar tanpa pengawasan.
Anak bertuah itu pulang ke rumah. Dia menunjukkan tapak tangannya yang membengkak. Apabila saya picit di kawasan yang bengkak itu, keluar nanah berwarna merah jambu. Warna itu sungguh menawan hati. Terpaksa dibawa ke klinik. Kawasan tersebut terpaksa dibelah sedikit untuk dikeluarkan segala nanah yang bermaharajalela.
Saya terus berjumpa Guru Besar keesokannya. Saya berbincang dari hati ke hati tentang tanggungjawab sekolah untuk menjaga keselamatan murid-murid tanpa guru di dalam kelas. Murid-murid perlu diawasi. Memadailah dengan menempatkan pelajar yang lebih dewasa supaya kelas dalam keadaan terjaga sekurang-kurangnya. Kecuaian membawa padah. Guru memegang tugas menjaga keselamatan murid dalam kawasan sekolah. Guru Besar menerima dengan hati terbuka.
Saya tidak perlu 'repot' polis.
3 comments:
Salam Puan Noraini, saya yakin perbincangan dari hati ke hati boleh menyelesaikan banyak masalah walaupun bukan semua. Kita belajar dari pengalaman.
saya ayu puan....puan, saya minta maaf...saya bukan pelajar yg baik...tapi saya cuba untuk yg terbaik..kerana saya ke uitm semula pun mengorak langkah membaiki diri yg dah terjebak dengan macam...
link:http://pelitahati88.blogspot.com/
terima kasih puan..
pengalamn saya mendarahkan hati saya....
bukan senang puan
membentuk jiwa
Post a Comment