Wednesday, March 24, 2010

Bicara Pagi dan Cuci Kereta

Dalam kelam pagi, kami telah menaiki kereta Ustaz menghala ke sekolah. Alot, anak ke dua ustaz di kerusi depan sebelah ustaz. Kak Thahirah, anak sulung Ustaz, arwah kak long dan saya di kerusi belakang. Masuk sahaja ke dalam perut kereta, suasana sunyi sepi. Ustaz yang berwajah garang tidak menoleh-noleh lagi, pandangannya lurus ke hadapan. Kadang-kadang Ustaz membebel. Marahkan sesuatu yang terjadi di rumahnya sebelum perjalanan pagi. Kadang-kadang Ustaz mengaji. Memecahkan suasana sepi. Namun, tiada perbualan antara kami, penumpang pagi. Itu senario semasa dalam perjalanan ke sekolah menumpang kereta Ustaz jiran sebelah rumah 20-30 tahun sudah.

Kini, telah lebih 12 tahun, saya menjadi pemandu bagi anak-anak saya. Diam semasa memandu adalah perkara biasa. Radio menjadi teman setia. Kadang IKIM, kadang Sinar, kadang Klasik. Memang sesuai dengan umur. Namun, bila berdiam, mood anak-anak tidak ceria. Sampai ke sekolah, bersalaman, buka pintu kereta, ambil beg di boot, lambai bai-bai mama, bai bai...dan saya akan memandu terus ke pejabat. Ada yang bermuka kelat ditinggalkan. macam tidak puas hati.

Pagi tadi, saya buntu. Perasaan bercampur baur. Ada masalah? Biasalah, semua itu asam garam sebuah kehidupan. Tiba-tiba sahaja saya terkenangkan senario berdiam diri di dalam kereta Ustaz. Kami agak tertekan ketika itu. Atau saya sahaja berperasaan begitu? Mungkin! Saya mencari-cari ide bagaimana untuk menceriakan suasana. Saya perlu berbicara dengan anak-anak yang sedang leka dibuai perasaan yang entah apa. Ternampak di tepi jalan sebuah kedai mencuci kereta yang berdinding warna hitam dan dilakari gambar haiwan termasuk monyet. Saya mendapat ide.

"Alang, kalau mama nak cuci kereta, mama tak nak cuci kat kedai ni"

"Kenapa?"

"Nanti, tengok-tengok keluar monyet cucikan kereta mama, nanti melompat-lompat atas kereta, kuku dia tajam, nanti habis calar kereta ni."

Hahahahaha..

Pagi ini, senyuman lebar menghiasi wajah anak-anak yang melambai-lambai. Mereka masih terbayangkan bagaimana monyet mencuci kereta mama. Saya pula memandu ke UiTM dalam keadaan yang tenang kerana telah bergelak ketawa dengan anak-anak, cuma untuk sebuah lawak jenaka yang akan dibakulsampahkan andai masuk pertandingan Raja Lawak.

4 comments:

Mohd Halim Kadri said...

Salam Puan Noraini, Syabas atas usaha Puan untuk menceriakan anak-anak. Sebenarnya macam-macam perkara boleh kita sembang dengan anak-anak dalam perjalanan ke sekolah. Yang penting kita nak tengok anak-anak kita memulakan pagi mereka dengan keceriaan di wajah. Bapa yang pendiam pun kena belajar jadi peramah, zaman telah berubah.

Anonymous said...

Salam En Halim

En Halim seingat saya pernah juga menulis tentang perbualan semasa dalam perjalanan ke sekolah.Kita perlu berkreatif dengan anak-anak, dan terkadang perlu berpura-pura, asal hati mereka tenang sebelum memulakan persekolahan.

Telah banyak kisah rekaan/kisah nabi yang diceritakan sepanjang perjalanan selama 10-13 min itu, bila sampai sekolah, cerita terpaksa disambung keesokan paginya. Tapi, itu berlaku kalau mood tengah baik. Kalau kepala agak 'berangin', saya hanya berdiam diri, melayan hati...

Noraini

Mohd Halim said...

Puan Noraini, bila pergi sekolah memang saya yang kena beria-ia menimbulkan suasana. Tapi biasanya bila balik dari sekolah, rasa macam tak cukup telinga pula untuk saya mendengar celoteh anak-anak tentang kisah-kisah di sekolah. Inilah keseronokan ada anak-anak, peluang untuk kita menimba pengalaman...

f@reez said...

Salam Pn Noraini, puan apa khabar?saya pelajar puan untuk course investment law...awal tahun lepas puan mengajar dan sekarang saya dah graduate. saya nak beritahu puan yang saya dapat masuk UM untuk meneruskan pengajian dalam kursus ekonomi. sekarang dah masuk setahun saya kat UM. tak sangka masa berlalu begitu cepat. teringat masa puan datang mengajar setiap pagi di block c tingkat 3