Thursday, October 8, 2009

Cakap banyak

Semalam semasa melawat Jua yang baru menimang cahaya mata pertama, kami (termasuk Sasai dan Ju) bercakap banyak perkara. Sambil makan biskut raya dan kekacang, kerepek, minum sirap yang sejuk, kami berrrrrrcakap tak berhenti. Bila ada isu isu sensitif, masing-masing memperlahankan nada suara, macamlah ada orang lain yang mendengar.

Saya pula memang sejak kecil pandai dan banyak bercakap. Semasa bersekolah di SMKA SHMS Seremban, saya sering menjadi penglipurlara selepas waktu prep, sebelum mata dilelapkan. Kami bertemankan lampu beranda. Kami akan ramai-ramai duduk di lantai, antara katil. Banyak cerita yang akan diperdengarkan. Kawan-kawan khusyuk mendengar. Hingga betul-betul mengantuk, barulah kami akan beredar ke katil masing-masing. Dan saya yang sememangnya fobia dengan waktu malam di asrama akan membaca buku sehingga tertidur.

Bila di alam universiti pula, bakat bercakap yang ada disalurkan kepada Moot Court Club.

Di alam pekerjaan, akibat bakat bercakap, saya menjadi orang penting dalam Kelab Pensyarah. Maklumlah kolej swasta, banyak kebajikan staf yang dipandang sepi. Keuntungan diutamakan. Sayalah yang bercakap banyak dalam mesyuarat. Saya di'mark'.

Balik kepada cerita asal, selepas menziarahi Jua dan baby baharunya, kami pun pulang ke kampus. Ju ingin melihat-lihat dahulu rumah-rumah staf UiTMJ yang mendominasi Taman tersebut. Kebetulan saya pernah menyewa di situ selama 4 tahun, jadi saya agak pakar tentang ini rumah En Kadir Library, sebelahnya Husni Fasiliti, yang ni pula rumah En Riduan HEP, itu rumah Kak Ida Penawar, ini rumah Din Fasiliti, itu rumah En Halim Kadri.

"En Halim ni, pendiam betul orangnya. Tapi dah berbuah buku dia tulis" komen Ju sewaktu keretanya melalui hadapan rumah En Halim.

"Jadi kita ni kena jadi pendiam la, mungkin banyak buku atau artikel yang boleh kita tulis" balas Sasai.

Saya setuju. Bila banyak bercakap, kita cepat letih. Bila dah letih, kita akan tertidur. Jadi bila masa nak menulis? Itu belum kira dosa yang kita himpun bila banyak bercakap. Pesan Luqmanul Hakim tentang kurangkan bercakap memanglah tidak dapat dinafikan kebenarannya. Bercakap banyak juga boleh membawa kepada mengumpat dan mengeji. Juga membuat fitnah. Umpatan, kejian dan fitnah kemudiannya akan sampai ke telinga-telinga lain dan telinga orang yang diumpat akhirnya. Dendam terbentuk. Persahabatan terlerai.

Kalau saya kurang bercakap selepas ini, janganlah saya dikatakan sombong. Saya cuba untuk kurang bercakap. Tapi tetap ramah. Memberi salam kepada mereka yang berselisih adalah tanda ramah saya.

2 comments:

Mohd Halim Kadri said...

Salam Puan Noraini,

Saya dah banyak cakap masa kecil-kecil dulu sampai sekolah menengah. Kira penglipurlara juga la. Bila meningkat dewasa, saya banyak berfikir tentang kehidupan dan masa depan. Mungkin itu sebabnya saya jadi kurang bercakap. Peliknya ada orang yang bila bercakap dengan saya tak boleh berhenti...

aniisma said...

Salam En Halim

Nampaknya sekarang En Halim adalah pendengar yang baik sehingga orang itu tak boleh berhenti cakap:)