Friday, June 27, 2008

Hak Kanak-kanak (2)

Saya bakal ke Shah Alam minggu depan. Ada mesyuarat. Bermalam di sana. Masalah penjagaan anak-anak kerap menjadi isu bagi saya dan suami. Siapa nak jaga anak sebelah malam? Kami berkeputusan tidak lagi menggunakan perkhidmatan bibik kerana anak-anak telah besar dan pandai mengurus diri.

Almi Fadhli, 11 tahun, walaupun anak sulung tapi amat penakut. Masih tidak boleh diharap. Akalnya masih belum pandai menyediakan pelan kedua atau ketiga andai ada kes-kes kecemasan.

Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan bahawa mana-mana ibubapa atau penjaga yang meninggalkan kanak-kanak tanpa pengawasan yang munasabah adalah telah melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan, didenda RM5,000 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen ini belum lagi diuji cuba di Malaysia walaupun ada ura-ura dikenakan ke atas ibubapa adik Nurin.

Bagi saya, meninggalkan anak-anak di rumah tanpa pengawasan orang dewasa adalah sesuatu yang mesti dihindari. Namun, ada masanya ibu bapa (termasuk saya sendiri) merasa sangat-sangat terpaksa kerana tiada pilihan lain.

Dikuncinya semua pintu dan tingkap, disediakan handphone dan kunci pendua, diaktifkan 'safety alarm' dan diberitahunya jiran terdekat tentang anak-anaknya berada di dalam rumah. Makanan dan minuman juga siap terhidang dan dipesannya agar janganlah rajin nak masak maggi masa mama tak ada ye!

Andai kita berada dalam dilema ini, langkah-langkah keselamatan seperti tertulis di atas bolehlah diambil kira. Juga, pesan pada anak:

1) Jangan buka pintu pada sesiapa pun kecuali mama dan abah dan orang-orang yang sangat dikenali.
2)Andai ada kelibat polis ke, askar ke depan rumah, telefon mama atau abah dulu.
3)Andai ada kebakaran kecil, cuba padamkan. Kalau dah marak, keluar rumah cepat-cepat.

Kita sebagai ibubapa pun, kalau terpaksa keluar, pastikan tidak meninggalkan anak-anak terlalu lama. 2 ke 3 jam memadailah.

Moga anak-anak kita berada di bawah jagaan Yang Maha Memelihara...

No comments: