Tuesday, March 4, 2008

Resepi Istimewa


Lauk utama
Nasi Daging
Sabtu dan Ahad adalah hari memasak. Masakan istimewa. Saya memang tidak kreatif dalam mempelbagaikan menu dan memang tidak pandai sebenarnya. Lebih tepat, malas. Tetapi, rasa kasihan pada anak-anak menarik kaki saya ke dapur. Nasi Daging menjadi menu istimewa tengahari Ahad. Daging direbus bersama rempah ratus dan ditanak dengan beras. Ayam madu sambal, pajeri nenas dan jelatah timun menjadi lauk utama. Petangnya, bubur kacang hijau. Puas hati bila semua menu habis dimakan. Tinggal semangkuk bubur kacang, disimpan dalam peti sejuk. Malam, selepas anak-anak masuk tidur, sambil berborak dengan suami di tepi kolam sudut ruang tamu, kami berduet menghirup bubur hingga licin. Teh O panas menghangatkan kesejukan bubur.

Terasa bahagia berhari minggu di rumah sendiri. Terpanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana hingga saat ini, masih diberi peluang untuk menikmati detik bahagia. Walaupun tidak kaya, namun rezeki kurniaanNya masih tetap mencukupi untuk kami anak beranak mencicipi sedikit kebahagiaan dunia, dalam dunia kecil keluarga sendiri. Lalu, terkenang emak di Serendah. Mungkin air mata mak tumpah malam ini, mengenangkan arwah abah. Sepi seorang isteri mendambakan keberadaan seorang suami di sisi. Moga Hj Ismail Mat dicucuri rahmatNya. Moga abah sedang berbahagia di dunia sana. Moga kita bertemu dan dapat menikmati resepi istimewa Syurga. Insyallah.



2 comments:

ida_zy said...

salam kak ani

bestnya masak :)
nampak sangat sedap
lain kali mari ganu
mesti singgah rumah saya tau
saya masak ehhe
tapi simple2 je le

aniisma said...

Salam ida,

Resepi ida yang kak ani teringin nak rasa ialah tom yam fish ball, kobis goreng telur dan sosej goreng. Simplekan tapi nampak sedap sangat dalam blog ida. Insyallah kak ani akan ke terengganu lagi sebab negeri ni unik. Nak tambah collection batik sutera.