Tuesday, March 4, 2008

Pantai, laut dan kehidupan




Kami sekeluarga memang kaki pantai. Cuma selepas peristiwa Tsunami, kami sifarkan aktiviti ke pantai. Sekarang perasaan takutkan laut masih belum hilang tapi sudah agak berani.Gambar-gambar ini diambil sekitar Setiu Terengganu dan Batu Layar Johor. Hidup bagai pantai dan lautan. Pantai yang luas di tepi lautan mendamaikan hati dan perasaan. Namun, bila lautan bergelora dan ombak besar menghempas pantai, hati jadi tak keruan. Ujian, cubaan dan dugaan dalam kehidupan umpama ombak di lautan. Kehidupan yang tenang dan selesa boleh tergugat dengan ujian atau dugaan. Jauh di sudut hati, berdoa agar ujian yang diberi setimpal dengan kekuatan keimanan pada qada dan qadar Ilahi. Terimbau pula ingatan pada arwah Kak Long yang meninggal dunia Mac 2003 diikuti abah Julai tahun yang sama. Betapa berat ujian yang menimpa kami sekeluarga terutama emak. Anak sulung tersayang dan suami tercinta dijemput Allah dalam masa empat bulan. Selepas 2003, pantai kehidupan kami tidak begitu ceria. Ombak kegirangan beralun amat perlahan. Kami adik beradik cuba menceriakan suasana semampu mungkin. Namun, kenangan pada arwah-arwah menyelusup hadir. Apa sahaja yang dialami, dirasai, dinikmati...pasti teringat pada arwah berdua. Kenikmatan beransur menjadi seminimum mungkin. Al Fatihah dikirim...

No comments: