Thursday, March 24, 2011

Pelangi, kau ceriakan pagiku

Subuh tadi, saya agak emosi dan dramatik. Ia bermula dengan tindakan Farhan yang santai berbaring menonton Oasis sedangkan jam sudah pukul 6.30 pagi. Fadhli pula kelihatan sangat mengantuk kerana tidur lewat gara-gara menyiapkan projek matapelajaran Agama. Sepatutnya amanah tersebut telah disiapkan semasa cuti seminggu namun 'berkat' kelalaian dan kecuaian saya, amanah itu terabai. Fahim masih terbaring di atas katil dengan bantal empuknya. Fatihah lena. Badannya masih dedar.

Allah mengingatkan saya sedetik tentang solat. Betapa saya lalai dan cuai dalam mendisplinkan anak-anak tentang kepentingan solat. Saya terus mencari rotan. Saya teringatkan hadis Nabi Muhammad s.a.w tentang keperluan rotan demi solat untuk anak-anak yang telah mencapai umur 10 tahun. Saya rasa saya perlu merotan mereka kecuali Fatihah. Rotan gagal ditemui. Segera saya menelefon suami di Johor Bahru. Kali terakhir saya melihat rotan tersebut ialah ketika suami menakut-nakutkan Fahim yang sedang asyik dengan lenanya beberapa hari sudah. Suami juga gagal menjawab. Saya jadi tertekan. Saya turun ke tingkat bawah untuk menyediakan sarapan ringkas. Hati saya pedih.

Di dalam perjalanan ke sekolah, saya diselubungi rasa sedih yang amat. Ayat-ayat ini akhirnya keluar dari mulut saya..

"Kenapa anak-anak mama ringankan solat? Mama dah ajar anak-anak mama solat. Mama dan abah hantar ke sekolah agama. Setiap kali lepas solat, mama doakan anak-anak mama jadi anak-anak yang menjaga solat. Masa mama tawaf keliling Kaabah dulu, itulah doa mama sentiasa. Setiap sujud terakhir solat hajat di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi, itu jugalah doa mama. Mama takut andainya mama biarkan anak-anak mama leka dari solat, mama dan abah tak dapat masuk syurga..." Semasa saya mengucapkan ayat terakhir tersebut, getar tangisan sudah kedengaran. Saya sambung lagi.

"Mungkin nanti masa mama dan abah nak melangkah masuk ke syurga, tiba-tiba kami ditahan..dan Allah berkata, kamu suami isteri tak boleh masuk lagi. Singgah neraka sekejap sebab kamu tidak menjalankan tanggungjawab kamu mendidik anak kamu solat. AmanahKu kamu khianati..." Saya menangis di hadapan anak-anak.

Kami sampai ke sekolah Fadhli. Fadhli keluar dari kereta. Bersalaman. Saya pandu kereta ke Bukit Siput pula. Sampai sekolah mereka. Farhan, Fahim dan Fatihah keluar dari kereta. Bersalaman tanpa ciuman. Saya memandu menghala UiTM. Perasaan masih pedih.

Saya perlu mengubah sesuatu. Agar hidup kami sekeluarga dipanjangkan ke syurga. InsyaAllah. Ia satu perjuangan...Dalam kesedihan, saya terpandang jaluran pelangi di hadapan. Subhanallah. Ia sungguh cantik. Sangat sempurna. Sungguh melekakan. Saya kembali tersenyum. Ya Allah, pelangikanlah kehidupan kami sekeluarga selepas ini....

Pelangi, kau ceriakan pagiku...

2 comments:

Nizam Awang said...

Kak,
teruskanlah mendidik anak-anak dengan sabar. saya tersenyum mendengar kisah tersebut.

kalau soal solat, ayah saya juga amat tegas. lagi-lagilah solat subuh. diketuknya pintu bilik macam nak bergegar rumah. lagi tak bangun, lagi tu la ditunggunya. jenuh juga dibuatnya. mengalah jua akhirnya, walaupun keluar muncung sedepa. siap dengan skrip leteran yang tak larat nak didengar. lengkap dengan nas, nak ulasan yang 'pedas'.

alhamdulillah, saya ada ayah seperti beliau. belajar tinggi mana. tapi kalau soal ibadat, sangat-sangat ditekankan. bila sudah membesar, belajar dan bekerjaya, kisah sebegitu menjadikan saya sedar sendiri. bila kadang-kadang saya terleka, nasihat/ leteran ayat itulah yang terngiang-ngiang di telinga. kini di kejauhan, kenangan itu jadi pedoman untuk saya. (maaf celoteh panjang pula saya)

semoga Allah permudahkan jihad akak mendidik anak-anak. semoga Allah lembutkan hati mereka untuk beribadah. ;-)

Kak Tini said...

Sis,
Itulah cabaran mendidik anak2 pada masa sekarang.Same here.Mengikut tips org bijak pandai agama yang akak dah cuba dan memang berkesan. Solat kena awal waktu, jgn suruh anak, tapi kita ajak mereka sama2 solat dgn kita. Akak ajak anak mengaji sama2. Sebab pakar kata..suruh dengan ajak akan memberi kesan yang berbeza. Ada kebenarannya.. cubalah. Lepas ni banyakkan 'jom' dengan anak2. InsyaAllah..anda boleh:)