Thursday, March 10, 2011

Abah

Abah kena serangan jantung. Kami bergegas pulang ke Teluk Intan. Abah di bawah pengawasan rapi doktor pakar jantung. Keadaan abah sangat menyedihkan. Sebelum ini, abah yang bertubuh tegap sentiasa bergerak ke sana sini. Bagi ayam itik makan, kutip pucuk paku, cari kelapa dan parut untuk emak yang menunggu di dapur, bertukang di bawah rumah, bergegas ke tanah perkuburan menggali liang lahad apabila ada kariah kampung yang meninggal dunia dan macam-macam lagi kerja kampung yang abah sudah biasa lakukan berpuluh tahun...Dan kini, di saat ini abah sedang terlantar di atas katil hospital, lesu tanpa tenaga...

Abah tidak lalu makan, buah anggur yang dibeli hanya sebiji dikunyah perlahan...Abah memberi isyarat dengan mengangkat tinggi tangan kanannya apabila tekaknya kering. Abah menyedut air dalam gelas dengan menggunakan penyedut plastik. Agak sukar kelihatannya. Saya berbisik di telinga kiri abah..."abah, abah nak nestum tak?"

"Ada ke?" balas abah lemah.

"Ada, nanti Ani beli. Abah, abah tak lalu makan nasi hospital ye..." tanya saya lagi. Abah mengangguk perlahan.

"Abah nak rendang ayam? Ani belikan ya.."

Abah mengangguk lagi. Hati saya kembali berbunga. Dan sungguh, abah menyedut laju setengah gelas nestum yang dibancuh dengan air suam. Abah lapar tetapi makanan hospital sungguh tidak kena di tekaknya. Rendang ayam dijamahnya juga walau tidak banyak..Alhamdulillah.

Di suatu ketika, Abah berbisik di telinga saya..nak buang air besar...Saya jadi kalut. Alhamdulillah, sempat saya bertanyakan adik ipar 'prosedur' buang air besar sebelum dia berehat di bilik solat wanita. Segera saya ke bilik yang menyimpan peralatan tersebut. Saya isi dua bekas air buat membasuh najis Abah nanti. Alhamdulillah, walau dalam kekalutan, misi tersebut selamat dilaksanakan. Prosedur terakhir disempurnakan oleh adik ipar saya yang muncul selepas 30 minit berehat.

Abah panas. Kipas kecil yang berputar laju di sebelah kanannya belum cukup untuk mendinginkan badannya. Dahinya berpeluh. Dimintanya saya mengelap butiran peluh yang memenuhi dahi luasnya. Rupanya abah juga mempunyai tahi lalat di tengah tengah dahi. Sama seperti saya. Semasa abah terlantar sakit, barulah saya perasan tentang itu.

Abah semakin pulih, kini ditempatkan di wad biasa. Abah, alhamdulillah, Allah masih memanjangkan kehadiran Abah di kalangan kami, anak menantu Abah. Abah, maafkan Ani, sebagai menantu, mungkin cara ani menjaga Abah tempoh hari kurang sempurna...namun Ani bersyukur, Allah memberi peluang kepada Ani untuk berkhidmat kepada ayah mertua sebelum Abah atau Ani sendiri pergi tidak kembali...

2 comments:

Anonymous said...

Salam sejahtera,

Saya doakan agar beliau sembuh dan penyakitnya tidak berbekas lagi. Allahlah yang menyembuhkan segala penyakit...

MKI

Sati said...

Salam kak ..

Sedih baca posting akak..by the way, ayah sati had the same attack last year and stroke.. but Alhamdulillah dengan izin Allah, abah hari ni dah sihat semula.. tp sati masih tak boleh lupa the whole incident and how strong abah was.. Sati doakan ayah akak sihat semula seperti sediakala dan berdoalah banyak2 ..take care!