Sunday, April 4, 2010

Rendang Ayam

Saya masak rendang ayam untuk makan tengahari. Ahad yang tidak mendung dan tidak cerah di Segamat melekakan perasaan. Sambil memasak, ingatan mengembara mengenangkan emak di Serendah. Waktu-waktu sebegini emak tentu sedang berbaring di sofa panjang di hadapan tv. Astro Oasis atau cerita-cerita Melayu menjadi peneman hari emak.

Tiba-tiba air mata memenuhi kantung mata. Saya terbayangkan andai sahaja saya tinggal di sekitar Selangor atau berdekatan rumah emak, sudah pasti saya akan membuat penghantaran sebekas rendang ke dapur emak. Dan mungkin kami akan berbual-bual sekejap di dapur sambil menghirup air teh o panas kurang manis kegemaran emak. Mungkin bila azan zuhur berkumandang, saya akan solat dahulu sambil mendoakan arwah abah dan kak long, semoga mereka tenang di persemadian abadi. Atau mungkin bila terasa mengantuk usai solat, akan bermalas-malasan sebentar di ruang tamu emak. Mungkin juga emak akan segera ke dapur sebelum Asar, membancuh tepung gandum, gula merah, telur, yis mauripan dan perap sekejap sebelum dikukus dan bila sudah boleh dipotong, apam akan digolekkan ke dalam kelapa parut yang digaulkan secubit garam. Selepas Asar, mungkin kami akan ke kubur abah dan kak long. Dan mungkin, sebelum Maghrib saya akan memandu pulang ke rumah kerana esok anak-anak akan kembali bersekolah.

Ohh begitu jauh angan-angan ini yang tidak pasti bila akan berlaku. Betapa 4 jam perjalanan ke Serendah dari Segamat menghalang angan-angan itu menjadi kenyataan. Hanya kerana rendang ayam, perasaan menjadi begitu sayu. Terus menekan pad handphone. Rasa bersalah bersarang di hati.

Emak, doakan yang terbaik untuk kami sekeluarga dan Ya Allah berikanlah peluang untuk menjaga emak diusia emasnya. Takdirkan kami ke arah itu...

3 comments:

zura said...

aaminnnn...

Ilham Ainol said...

salam Aini,
memang, kadang-kadang perkara-perkara sebesar zarah pantas menghantar kita menjenguk ke jendela rumah ibu/ayah nun jauh di tubir desa.mungkin tali pusat yang pernah menyambung hayat kita dengan ibu sampai bila-bila pun pasti menghantar getaran kasih kepadanya.saya pun sama,kekadang sambil bersembang dengan pelajar, dan terbual akan mereka, dengan tetiba hp berdering, aneh sekali, di penjuru telefon adalah abah yang memanggil kerna ingin bertanya khabar.rasenya itu bukan aneh atau satu kebetulan, bagi saya ia pertalian kasih yang sungguh indah dan sukar untuk dijelaskan...saya syukur mereka masih ada, dan berada 6 jam lebih jauh perjalanan daripada saya...
amin...

su_kartini said...

Betapa hebatnya kasih ibu..bersyukurlah ani sekurang2nya masih berkesempatan untuk berbicara dengan ibu tersayang. Akak, walaupun hampir 30 tahun ditinggalkan masih terasa lagi belaian,kasih sayang, masakan dan..segala2nya. Al-Fatihah dan surah Yassin jadi pengubat rindu..bila dikirimkan hati rasa tenang seolah2 mak mengucapkan.. terima kasih sambil tersenyum.
Semoga Allah membalas jasa ibu dunia dan akhirat. Aminn..