Sebagai muslimah, saya fikir saya sudah cuba memenuhi tugas saya mengikut perintahNya. Yang masih cacat di situ di sana di sini adalah kelemahan dan kejahilan diri saya sendiri. Namun, saya masih sangat memerlukan bimbingan dan ajaran mereka yang fasih dalam agama, sebagai memenuhi tuntutan minda dan jiwa yang masih kering dan berdebu. Salah satu caranya ialah melalui 'pengajian' melalui internet.
Saya ikuti penuh minat blog Ustaz Hasrizal, Ustaz Zaharuddin, Ustaz Asri Zainal Abidin dan juga Faisal Tehrani. Secara umum, banyak sungguh maklumat tentang agama yang meliputi pelbagai pendapat dan pandangan aliran-aliran dalam Islam. Mereka menulis berlandaskan Al Quran dan Hadis. Semuanya dapat dicerna otak. Namun, apabila mereka mengangkat pemikiran dan hukum oleh alim ulamak silam dan masa kini, saya terasa ketinggalan: dalam memahami dan mencerna. Apabila mereka mula bercerita tentang usul Fiqh dan kaedah-kaedahnya, saya membaca dengan berhati-hati dan cuba mencernanya dalam otak dan bawa ke hati. Namun, kerana latar belakang yang jauh berbeza dengan mereka, pemahaman saya singkat.
Lalu, apabila Ustaz Dr Asri ditahan JAIS, saya agak terkejut. Melalui pembacaan, gugusan wahabi kurang diterima di Malaysia. Tajuk-tajuk artikel di majalah tidak berpihak kepada gugusan tersebut. Namun, erti wahabi itu sendiri kurang difahami, apabila mereka berkata wahabi itu bahaya, kita terus menerima. Saya juga tidak terkecuali. Lantas, sejurus membaca tulisan Ustaz Hasrizal di lamannya http://saifulislam.com khusus buat Dr Asri, saya memahami sesuatu. Dan saya mengharapkan sesuatu yang terbaik buat kemelut ini.
Islam diturunkan buat semua, semua itu duduknya merata dunia. Merata itu caranya berbeza. Berbeza itu mengundang ilmu pemikiran yang tidak sama walau kitabnya serupa: Al Quran! Itulah kemanisan ilmu, walau berbeza, kita tetap seIslam.
Banyak yang perlu saya gali, namun saya masih kurang berani kerana tidak berguru. Pernah seorang sahabat di sini, mengajak saya 'mengaji' kitab kuning bersama-sama seorang ustaz yang sudah pencen dari UiTMJ. Akibat pertembungan masa, ajakan tersebut tidak dapat saya penuhi. Sebagai jalan alternatif, saya merujuk laman ustaz-ustaz di alam siber. Tidak mengecewakan.
Emel seorang sarjana sains beberapa hari sudah membangkitkan seribu rasa...
"Kita doakan agar 'pertelingkahan' sesama para ulama akan berakhir secepat mungkin. Marilah kita sama-sama kembali kepada Al-Quran. "
2 comments:
salam kak ani
saya pun rasa pening sangat dengan situasi 'pertelingkahan sesama ulama sekarang'
tak mampu saya nak mencernanya
saya rasa kasihan sangat dekat orang2 awam macam saya ni
Salam Ida
Memang rumit juga ujian kesatuan hati ummah Muhammad saw kini. Kita, orang awam boleh berdoa agar krisis ini akan membawa kepada satu tajdid dalam kekuatan ummah: Melayu Islam bersama-sama muslimin muslimat lain.
Post a Comment