Friday, July 11, 2008

Titipan doa di pagi Jumaat

Setiap pagi bekerja, saya akan melewati sebuah tanah perkuburan di Lubok Batu.
Pagi ini, seperti dua Jumaat minggu-minggu sebelum, saya melihat tiga wanita bersimpuh di tepi sebuah kubur dengan tangan masing-masing memegang sebuah buku. Yaasin barangkali. Pasti kubur ahli keluarga terdekat. Serta merta saya teringat pada arwah abah dan kak long yang sudah 5 tahun meninggalkan kami tanpa mungkin kembali. Saya hanya mampu menziarahi ’rumah’ mereka apabila pulang ke Serendah. Itupun pada hujung minggu. Setengah jam di ’rumah’ mereka berupaya melepaskan rindu kami kepada kedua arwah.
Menziarahi kuburan pada pagi Jumaat mengikut beberapa Hadis, ada hikmah tersendiri.
Namun, hadis tersebut dikatakan hadis da’if.
“Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibubapanya atau salah seorang daripadanya pada setiap hari Jumaat, diampunkan baginya dan dia dicatat sebagai anak yang berbakti (terhadap orang tuanya). (Riwayat Hakim)
Anjuran menziarahi kubur, bagi saya adalah satu peringatan kecil buat kita yang masih hidup. Keheningan di tanah perkuburan membuat saya terfikir tentang jemputan maut Malaikat Izrail yang boleh berlaku pada bila-bila masa. Saya juga sering terfikir tentang kehidupan di alam barzakh yang hanya Allah sahaja Yang Lebih Mengetahui. Bagaimana roh-roh arwah melayari kehidupan di sana tidak terjangkau oleh akal fikiran.
Allah berfirman dalam surah Al-Israa', ayat 85 yang bermaksud: Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
Apabila menziarahi kubur arwah abah, saya selalu berkomunikasi di dalam hati dengan harapan abah mendengar apa yang saya bualkan.
"Abah, Ani ni, maaf ye, sekali sekala je dapat ziarah abah. Ani, Shamsul dan anak-anak sihat...Ani berdoa abah selamat sejahtera di sini. Mak pun sihat...mak dah tak kuat sangat, naik tangga nak ke sini, lenguh-lenguh kaki mak...tapi insyallah selagi kami masih boleh bergerak, kami akan datang ziarah abah. Bah, Nurul dapat Diploma Kejururawatan. Mak nak dia jadi nurse, boleh rawat mak kalau mak sakit..."
Di hadapan kubur arwah kak long pula..
"Kak Long, anak-anak kak long dah besar. Umar kurus sikit, dia tak suka makan nasi. Tapi dia bijak kak long..Hakimi dah bersunat…lepas bersunat, badan dia naik, selera pun bertambah. Insyallah, bila Ani bercuti ke mana-mana, Ani akan bawa anak-anak kak long, biar mereka bergembira bersama-sama anak-anak Ani"
Ya Allah, semoga arwah Abah,Kak Long, Tok Nek, Pak Ngah, Tok Su dan arwah muslimin muslimat keseluruhannya berada dalam rahmat kasih sayang Mu, dijauhkan dari seksaan api kubur, diterangi cahaya dari Syurga dan tergolong dalam golongan yang mendapat syafaat dari Nabi Muhammad s.a.w
*gambar dan sumber hadis daripada internet

2 comments:

Anonymous said...

Salam Ani, saya pun rasa sayu membaca perbualan ani dengan abah dan kak long. Inilah peringatan buat diri kita yang masih hidup. Mati di tentukan Allah. Giliran kita bila pula? Semoga mati dalam keimanan pada Yang Maha Esa.

RBA

Anonymous said...

Salam RBA

Amin, saya mengaminkan doa RBA agar kita mati kelak dalam keimanan dan ketaqwaan yang jitu, tidak berbelah bahagi berpegang pada kalimah suci Laailahaillallah Muhammadur Rasulullah...

Noraini Ismail